
ADA sesetengah wanita sanggup ambil pil penahan haid demi meraih ganjaran al-Qadar.
NABI Muhammad SAW pada 10 terakhir Ramadan ini meningkatkan amalan ibadah Baginda dan berusaha untuk meraihnya.
Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap balasan (daripada ALLAH), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari no1768, An-Nasa’ie no 2164 & Ahmad no 8222)
Situasi Muslimat 10 akhir Ramadan
“Alamak! Esok dah 21 Ramadan period saya baru mula… terlepas la Lailatul Qadar tahun ni…”
“Saya dah tiga tahun, tinggal puasa ‘cuti’ di akhir Ramadan, bila la nak dapat Lailatul Qadar?”
“Kalau kita ‘uzur’ apa ibadat yang boleh kita buat untuk mendapatkan Lailatul Qadar?”
Serta pelbagai lagi bentuk persoalan, tetapi isu utamanya adalah: “Bagaimanakah cara bagi wanita yang datang haid (cuti/uzur) beribadat juga peluang untuk turut meraih Lailatul Qadar?”
Ini bukan isu yang kecil kerana ada yang sanggup mengambil ubat penahan haid pada bulan Ramadan kerana takut terlepas tawaran istimewa yang hanya datang setahun sekali. Sebenarnya kita tidak perlu bertindak sejauh itu, haid adalah satu natural, tabi’i bagi kaum Hawa. ALLAH Yang Maha Adil, yang mencipta kita dan memberikan sifat itu kepada kita pasti sekali tidak akan membiarkan kita kerugian dan terlepas tawaran yang begitu besar ini.
Orang yang berhadas besar seperti haid ini hanya tidak boleh melakukan ibadat puasa, solat serta membaca al-Quran (serta semua yang memerlukan wuduk). Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Bukankah wanita itu jika sedang haid dia tidak solat dan tidak berpuasa? Itulah kekurangan agamanya.” (Riwayat Bukhari)
Walaupun ALLAH memberi kita ‘cuti’, tidak dibolehkan puasa dan solat, namun ia tidak bererti kita tidak boleh melakukan sebarang amalan atau ibadat yang boleh menambahkan lagi pahala kita, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang segala amalan dilipat gandakan pahalanya. Banyak lagi amalan yang dicintai oleh ALLAH dan ibadah sunnah lainnya yang dianjurkan yang dapat dilakukan di antaranya:-
1) Menyediakan dan memberi iftar
2) Menyediakan makanan sahur
3) Menjauhi larangan agama
4) Banyakkan berdoa dan berzikir sepanjang hari
5) Menyibukkan diri menuntut ilmu yang manfaat.
6) Banyak bersedekah dan derma
Sesungguhnya, ALLAH Maha Adil. Dia mendatangkan haid dan Dia juga mendatangkan hikmah di sebaliknya.
Elakkan 9 Posting Riak Ini Yang Selalu Kita Buat Di Laman Sosial Tapi Tak Perasan Boleh Sakitkan Hati Orang

Antara perkara yang agak sukar dipisahkan kini adalah ‘riak’ dalam laman sosial tidak kira akaun Facebook, atau Instagram. Kalau boleh semua perkara kita nak kongsi hingga adakalanya perkara yang peribadi pun tergamak untuk dikongsi.
Mungkin ada yang memang berniat hendak berbangga diri dengan kejayaan mereka namun tak kurang juga yang tidak sedar secara dalam diam mereka telah riak.
Ini antaranya perkara-perkara tanpa sedar yang ada unsur riak dan mungkin kita terlepas pandang.
1. Alhamdulillah, Company Lutfi Lokman dah berjaya melebarkan sayapnya ke Hungary.
2. Alhamdulillah, anak Lutfi dapat straight 79A SPM. Tenkiu Allah.
3. Oh! Tenks isteri Lutfi kerana masakkan untuk Lutfi. So Suwit. Mujur dapat isteri pandai masak macam ni.
4. Baru habis meeting dengan satu company gergasi paling bapak besar kat Malaysia bernama Lutfi And Sons. Mudah-mudahan lulus tender tu.
5. Korang buat apa malam-malam jam 3 pagi ni? Baik tahajud macam Lutfi tu.
6. Masya Allah Tabarakallah dapat solat belakang imam Lutfi dan sempat tegur bacaan dia salah makhraj tadi. Tenkiu Allah.
7. Petang tadi jalan-jalan kat kedai mamak. Jumpa sorang orang tua nama Pak Lutfi. Dia bagi nasihat jangan makan kari mamak banyak sangat. Nanti jadi Pokemon. Wah! Bukan semua orang yang dapat nasihat begitu. Syukur saya terpilih.
8. Duit gaji 17 bulan lepas Lutfi tak habis pakai lagi. Aduh, nak buat apa ya?
9. Ya Allah terima kasih kerana menjadikan aku sebagai tetamu Mu di kala orang lain tak mampu untuk pergi umrah lantaran harga visa naik sampai SR2000 dan aku dapat pergi dengan pakej EPL Travel And Tours harga RM456 ribu duduk hotel dekat masjid dan Kaabah view serta naik jet peribadi parking atas bangunan Royal Clock Tower. Rezeki betul.
Ia sangat sulit. Tersangat sukar. Antara garisan halus yang memisahkan kita dengan riak dan benar-benar ingin berkongsi adalah ‘niat’. Mungkin ia salah satu strategi pemasaran. Ia salah satu unsur menarik pengaruh. Satu faktor meluahkan rasa. Namun perlu perbetulkan niat.
Sangat halus garisan itu saudara-saudari.
Saya juga ada berbuat perkara yang sama yang tidak disedari lantaran kita manusia. Sama-sama kita berpesan kepada perkara kebaikan agar tidak tersasar. Semoga diampunkan Allah dan diterima amalan.
ikhlas,
Lutfi Lokman
#mutalis rapuh.
Moga dengan perkongsian ini kita tidak lagi melakukan ‘kesalahan’ riak tanpa kita sedari.
Sumber kredit: FB:Lutfi Lokman
Lapan Hikmah Di Sebalik Ujian, Tanda Allah Sayang Kepada HambaNya

Bagi yang nipis imannya, mereka pastinya akan mengeluh, merungut dan merintih. Habis semua orang tahu yang dirinya itu sedang dilanda ujian. Semua orang dipersalahkan malah Allah juga turut dipersalahkan juga. Satu-satunya orang yang tidak dipersalahkan adalah dirinya sendiri.
Kualiti diri seseorang itu terserlah saat dia diuji. Ketika itu nampak berbeza antara kaca dengan permata. Waktu senang, bahagia, berharta, berkuasa, berdarjat, berpangkat dan berduit, kita boleh berkata apa sahaja. Kita boleh kata yang kita seorang positif, sabar, terbuka dan sebagainya.
Tetapi apabila diri dihimpit gelombang ujian seperti hilang pekerjaan, tiada wang, pemergian orang tersayang, difitnah dan sebagainya, barulah kita tahu langit itu tinggi atau rendah. Sebab itulah tiada sebaik-baik tempat untuk mengadu selain daripada Allah. Mengadulah pada Allah ketika senang dan mudah untuk Allah mendengar rintihan kita ketika susah.
Apakah hikmah di sebalik semua ujian:
1. Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita.
Dalam surah al-Ankabut ayat 2, Allah telah berfirman yang mafhumnya, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji?” Bermakna apa juga musibah, bala atau ujian yang Allah datangkan dan izinkan berlaku, bagi meningkatkan lagi keimanan dan darjat seseorang hamba itu di sisi-Nya.
Ada orang apabila ditimpa masalah, mereka semakin jauh dari Allah kerana kufur mereka. Ada pula orang, setiap ujian yang datang akan mendekatkan lagi diri dan pergantungannya kepada Allah. Hendaklah kita yakin bahawa tidak akan berlaku sesuatu musibah itu kecuali dengan kehendak Yang Maha Pencipta.
2. Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar.
Ada ketikanya Allah berikan kita ujian dan menarik nikmat yang telah diberikannya kepada kita selama ini bagi melihat dan menguji kesabaran kita sebagai hamba. Sekiranya kita sabar dan reda maka Allah akan tambah dengan nikmatnya yang berlipat kali ganda lagi.
Dalam masa Allah tarik nikmat yang ada, ingatlah Allah tidak tarik kesemua nikmatnya. Jika dihitung yang masih kita nikmati itu sebenarnya lebih banyak daripada yang ditarik.
3. Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar.
Ada ketikanya Allah berikan satu musibah kecil berlaku ke atas kita kerana menghalang satu musibah yang lebih besar. Misalnya dalam perjalanan ke pejabat tiba-tiba kereta kita rosak dan memaksa kita berhenti di bahu jalan. Kita mungkin marah sebab ada urusan penting yang perlu disegerakan hari itu.
Tapi apa pula perasaan kita apabila kita tahu selang beberapa minit di hadapan, tidak jauh daripada tempat kita berhenti itu, telah berlaku satu kemalangan yang meragut nyawa dan kita tahu kalau tidak kerana kereta itu rosak maka kita berkemungkinan besar adalah salah seorang yang terlibat dengan kemalangan tersebut. Beza masanya hanya beberapa minit sahaja daripada masa berlaku kerosakan pada kereta tersebut.
4. Sebagai menghapus dosa.
Dalam hidup ini tiada siapa yang tidak melakukan dosa sama ada dosa-dosa kecil atau besar. Oleh itu Allah turunkan sedikit ujian dan dugaan bagi menguji sejauh mana kita sanggup menerimanya. Sekiranya kita bersyukur maka Allah hapuskan dosa-dosa kita itu. Maklumlah waktu senang dan waktu muda kita dulu apa yang tidak kita lakukan. Semuanya kitalah yang hebat. Jadi Allah berikan ujian kerana Allah sayangkan kita. Supaya kita tidak terus hanyut melakukan maksiat dan dosa.
5. Memberikan kesedaran kepada kita.
Jika manusia ini tidak ditimpa musibah sehinggakan segala apa yang mereka mahukan mereka dapat dan semua yang mereka lakukan, menjadi; maka akan timbullah rasa sombong, riak, takbur dan sebagainya. Ujian dan bala yang Allah turunkan itu adalah sebagai peringatan kepada kita sebagai hamba bagi mengingatkan diri kita betapa lemah dan kerdilnya kita. Bak kata pepatah Melayu ‘bila terhantuk barulah tertengadah’. Bila kena barulah mahu beringat-ingat.
6. Memberikan iktibar kepada orang lain.
Setiap dugaan yang berlaku sebenarnya mengandungi banyak rahsia, maksud dan ingatan yang tersirat bukan sahaja buat merekayang ditimpa musibah tetapi juga buat seluruh umat manusia.
Bagi mereka yang berfikir dan mahu mengambil pengajaran maka mereka pasti dapat lihat bagaimana Allah boleh turunkan bencana dan dugaan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Tiada siapa pun yang boleh lari daripada ujian Allah ini dan hanya mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang mampu tenang di saat berlakunya musibah dan ujian.
7. Tanah subur bagi mereka yang mahu menyemai.
Musibah yang menimpa orang lain membuka ruang dan peluang kepada mereka yang mempunyai lebihan harta dan wang untuk menderma dan menghulurkan bantuan. Apabila apa yang diberikan itu dengan niat yang ikhlas maka Allah akan lipatgandakan lagi rezeki kita seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 265 yang mafhumnya: “Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai menghasilkan 100 biji. Allah melipatgandakan pahala kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia- Nya) serta Maha Mengetahui.” Begitulah luasnya rahmat Allah yang meliputi seluruh langit dan bumi.
8. Tanda Allah masih sayangkan kita.
Setiap dugaan yang Allah berikan itu adalah sebagai tanda Tuhan masih sayangkan kita lalu diberikan oleh-Nya peringatan agar kita cepat sedar dan beristighfar serta kembali ke pangkal jalan. Jika Allah tidak sayangkan kita maka pastilah Allah biarkan sahaja kita lakukan sesuka hati dan dibiarkan mati dalam keadaan sesat dan kufur.
Allah suka apabila kita memuji-Nya, meminta kepada-Nya dan merintih di hadapan-Nya. Sebab itulah Allah berikan kita sedikit kesusahan agar kita tidak terpedaya dan lalai dalam kehidupan yang sementara ini.
Begitulah hebatnya Allah SWT mendidik jiwa hambanya. Di sebalik dugaan, musibah dan ujian itu tersembunyi pelbagai nikmat dan rahmat yang besar. Hanya hati yang celik sahaja mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Ada ketikanya kita rasakan sesuatu itu baik untuk kita tetapi sebenarnya tidak dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu berserahlah kepada Allah dengan penyerahan yang sebenar-benarnya. Teruslah berfikiran positif dengan mencari hikmah, kebaikan dan kekuatan atas segala ujian, keburukan dan kelemahan.
Sumber kredit: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad
Awas! Kita Sedang Berada Di 7 Tempat Kegemaran Jin & Syaitan

Jin atau syaitan itu juga makhluk Allah. Mereka ada di mana-mana bersama kita. Tinggal lagi kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar. Jika kita lalai daripada mengingati Allah, maka mereka akan menguasai persekitaran di mana kita berada.
Ada tujuh (7) tempat jin atau syaitan ini suka menempel dan temat-tempat itu memang sangat dekat dengan kita.
Artikel berkaitan: Rasulullah Baca Doa Al-Mu’awwidzaat, Lindung Diri, Anak-anak & Cucu Dari Gangguan Syaitan
Artikel berkaitan: Empat Amalan Tolak Gangguan Syaitan Di Rumah Baharu
Di Tempat Kotor Seperti Toilet Dan Tempat Pembuangan Sampah
Dari Zaid bin Arqam, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya tandas-tandas itu dihuni oleh Jin. Oleh karena itu, apabila seseorang di antara kalian masuk tandas, maka katakanlah:
Allahumma inni audzubika minal khubutsi wal khabaits
Ertinya: Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari gangguan jin laki-laki dan jin perempuan” (HR. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad).
Rasulullah SAW dalam salah satu hadisnya, dari Ali r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang masuk tandas kemudian berdoa: ”bismillahirrahmanirrahim“, maka mata jin akan tertutup dan tidak akan dapat melihat aurat keturunan Adam” (HR. Ahmad, Turmudzi dan Ibnu Majah).
Di Tempat Kosong Seperti Rumah Terbiar Atau Gurun Dan Padang Pasir
Dari Ibnu Mas’ud RA berkata: “Suatu hari kami (para sahabat) berkumpul bersama Rasulullah SAW tiba-tiba kami kehilangan baginda, lalu kami cari-cari di lembah-lembah dan kampung-kampung (akan tetapi kami tidak mendapatkannya). Kami lalu berkata: “Rasulullah SAW telah diculik”.
Pada malam itu, tidur kami betul-betul tidak menyenangkan. Ketika pagi hari tiba, kelihatan Rasulullah SAW sedang bergegas menuju ke arah kami dari arah sebuah gua yang berada di tengah padang pasir.
Kami lalu berkata: “Ya Rasulullah SAW , malam tadi kami betul-betul kehilangan kamu, lalu kami cari-cari ke sana ke mari akan tetapi kami tidak menemukan kamu. Lalu kami tidur dengan keadaan sangat tidak menyenangkan”.
Rasulullah SAW kemudian bersabda:
“Malam tadi aku didatangi oleh utusan dari kelompok jin, ia membawa saya pergi menemui kaumnya untuk mengajarkan al-Quran”.
Ibnu Mas’ud RAbkemudian berkata kembali: “Lalu kami diajak oleh Rasulullah SAW untuk melihat bekas-bekas tempat dan perapian mereka (kelompok jin)”
Para jin itu kemudian bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai makanan mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Makanan kalian itu (wahai golongan jin) adalah setiap tulang yang masih ada sisa-sisa dagingnya yang berada di tangan kalian dan ketika memakannya disebutkan nama Allah serta semua tahi (kotoran) binatang ternak kalian”.
Rasulullah SAW kemudian melanjutkan sabdanya:
“Oleh kerana itu, janganlah kalian (para sahabat) beristinja (membersihkan najis seperti habis buang air kecil atau besar dengan menggunakan batu atau benda lainnya selain air) dengan keduanya (tulang dan kotoran binatang), kerana keduanya itu adalah makanan saudara kalian (golongan jin)” (HR. Muslim).
Dalam Lubang-lubang
Dari Abdullah bin Sarjas, Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah seseorang di antara kalian kencing di lubang”. Mereka bertanya kepada Qatadah: “Mengapa tidak boleh kencing di lubang?” Qatadah menjawab: “Rasulullah SAW mengatakan kerana lubang itu adalah tempat tinggalnya golongan jin” (HR. Abu Dawud, Nasai dan Ahmad)
Dalam Rumah
Dalilnya adalah hadits berikut ini:
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada satu rumah orang muslim pun kecuali di atap rumahnya terdapat jin muslim. Apabila ia menghidangkan makanan pagi, mereka (jin) pun ikut makan pagi bersama mereka. Apabila makan tengahari dihidangkan, mereka (jin) juga ikut makan bersama orang-orang muslim. Hanya saja, Allah menjaga dan menghalangi orang-orang muslim itu dari gangguan jin-jin tersebut” (HR. Abu Bakar sebagaimana ditulis oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari).
Tetapi golongan jin tidak dapat masuk ke dalam rumah orang-orang Islam apabila mereka membaca ayat-ayat Al-Quran di dalamnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya:
“Apabila seorang lelaki masuk ke dalam rumahnya terus menyebut nama Allah dan begitu juga ketika makan, maka syaitan berkata, maka tidak ada tempat tinggal dan tidak ada tempat makan.
Dan apabila disebut nama Allah ketika masuk tetapi tidak ketika makan maka syaitan berkata kamu dapat makan tetapi tidak dapat tempat tinggal.
Dan apabila tidak menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan maka syaitan mengatakan kamu dapat tempat tinggal dan dapat makan”.
Setiap rumah yang dibacakan surah Al Baqarah maka syaitan tidak akan masuk ke rumah itu selama tiga hari dari tarikh membacanya itu.
Sebagaimana mafhum sabda Rasulullah SAW :
“Jangan engkau jadikan rumahmu sebagai kubur sesungguhnya rumah yang dibacakan surah Al Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan”.
Mafhum sabdanya lagi yang diriwayatkan oleh Sahl bin Saad :
“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada kemuncaknya, sesungguhnya kemuncak Al Quran itu adalah surah Al Baqarah, sesungguhnya sesiapa yang membacanya dia rumahnya pada waktu malam, syaitan tidak akan masuk selama tiga malam, dan sekiranya dibaca pada waktu siang mereka tidak akan masuk selama tiga hari”.
Maka untuk menghalang mereka masuk ke rumah kita selama-lamnya, hendaklah dibaca surah ini pagi dan malam.
Dalam Pasar Dan Tempat Perniagaan (Mall)
Selain di rumah, Jin juga ada yang tinggal di pasar atau mall. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat di mana Salman al-Farisi pernah berwasiat kepada para sahabat yang lain:
“Kalau boleh, janganlah kalian menjadi orang yang pertama kali masuk ke pasar atau menjadi orang yang paling akhir keluar dari pasar, kerana pasar itu merupakan tempat berseterunya para syaitan. Dan di pasarlah syaitan menegakkan benderanya” (HR. Muslim)
Dalam Kandang Unta
Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kalian solat dalam kandang unta kerana di sana terdapat syaitan, solatlah di kandang biri-biri kerana dia itu membawa berkah” (HR. Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Jin juga tinggal di kampung-kampung, di gunung-ganang, dari lembah-lembah
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang disebut oleh Abusy-Syeikh di dalam kitabnya “العظمكة” :
“Telah berlaku pertengkaran di antara jin Islam dan jin musyrikin, maka mereka memohon kepadaku untuk menempatkan mereka, secara berasingan.
Maka aku letakkan jih Islam di kampung-kampung dan gunung ganang dan aku letakkan jin kafir di antara gunung dan laut.”
Kesimpulannya:
Jadikan al-Quran sebagai benteng pertahanan melindungi diri sendiri dan keluarga. Al-Quran itu berfungsi sebagai benteng diri apabila ia dibaca dan didengari bukan ditampal pada dinding.
Tidak salah untuk menampal tulisan khat ayat suci al-Quran di dinding tetapi pastikan kita membaca dan menghayati bacaan al-Quran. Semoga kita semua didalam jagaan Allah.
Sumber artikel:PusatRawatanIslamDarulNusrah