Minggu lalu Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.
Bagi yang banyak melabur di institusi ini sudah pasti sudah mengira pulangannya. Tapi dalam kegembiraan bakal menerima dividen ini Januari nanti jangan lupa pelaburan ASB wajib dibayar zakat. Ia perlu dilunaskan.
Ikuti penjelasan Pusat Pungutan Zakat mengapa ASB dikenakan zakat dan bagaimana cara pengiraannya.
Kenapa pelaburan ASB perlu bayar zakat
Zakat diwajibkan ke atas pelaburan di ASB kerana terdapat sebuah kaedah dalam ibadah zakat yang berbunyi كل مال نام فهو وعاء للزكاة. Ini bermaksud setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat.
Pelaburan yang dibuat di ASB adalah bertujuan untuk mengembangkan harta dan mendapat pulangan berupa keuntungan yang diperolehi menerusi dividen, bonus dan pendapatan ASB setiap tahun. Oleh yang demikian, sesuatu hasil yang diperoleh menerusi pengembangan harta (yang disandarkan kepada emas dan perak) dikenakan zakat sebanyak 2.5%.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu mata wang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali setelah genapnya haul (setahun).”
(Riwayat Abu Dawud dan al-Baihaqi)
Begitu juga dalam sebuah hadis yang lain:
“Zakat perak, ialah seperempat puluh dari nilai harga perak itu”
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham = 5 dirham).
Kaedah Pengiraan Zakat ASB
Pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB boleh dikategorikan berdasarkan beberapa kaedah dan situasi seperti berikut:
1. Pelaburan dibuat menggunakan wang atau modal sendiri
Bagi situasi ini pengiraan zakat adalah berkadar langsung dengan jumlah pelaburan pokok dan keuntungan (dividen, bonus dan pendapatan ASB) yang diperolehi. Jika diteliti penyata pelaburan ASB yang dikemukakan, baki akhir (atau baki tamat) pelaburan tahunan telah mengambil kira keseluruhan pegangan unit oleh pelabur (modal pokok + dividen). Justeru, formula taksiran zakat adalah seperti berikut:
Ads
Baki Akhir Pelaburan Tahunan x 2.5%
Portal rasmi ASNB turut memaparkan taksiran zakat dengan mengambil kira baki akhir pelaburan pada tahun taksiran semasa sebagaimana contoh jadual berikut:
Berpandukan contoh di atas, penyata pelaburan memaparkan untuk tempoh Januari sehingga Disember pada tahun taksiran semasa, justeru dalam contoh ini nilai dividen telah dimasukkan sekali dalam baki akhir pelaburan.
2. Pelaburan dibuat dengan fasiliti pembiayaan ASB dengan pihak bank
Bagi situasi ini, pengiraan zakat hanya akan dikenakan ke atas dividen atau keuntungan yang diperolehi sahaja. Adapun bagi modal pelaburan, tidak dikenakan zakat ke atasnya kecuali setelah berlakunya penebusan sijil pelaburan ataupun setelah selesai tempoh bayaran balik pembiayaan.
Formula kiraan adalah seperti berikut:
Dividen / Pendapatan ASB x 2.5%
Contoh kaedah kiraan seterusnya cuba meraikan beberapa bentuk kaedah pelaburan yang lazimnya diamalkan oleh para pelabur ASB dengan menggunakan fasiliti pembiayaan ASB.
Kes 1: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi TIDAK DIGUNAKAN untuk membuat pembayaran semula pembiayaan.
Ads
Contoh:
Modal Pelaburan Maksimum RM 200,000 [dalam bentuk sijil pelaburan]
Dividen/ Pendapatan ASB 2021: 5.00% dari RM 200,000 = RM 10,000
= RM 10,000 x 2.5%
= RM 250
Justeru, zakat yang dikenakan adalah RM 250
Dalam contoh ini, nilai dividen yang diperolehi tidak melebihi nisab tahunan zakat.
Mengapa dikenakan zakat juga?
Hal ini memerlukan sedikit perincian. Dalam contoh di atas, pendapatan dari ASB itu dicampurkan dengan kesemua pemilikan harta individu yang telah cukup haulnya untuk dizakatkan. Maka kecukupan nisab dikira secara relatif dengan dicampurkan harta-harta lain yang berada di bawah pemilikan individu terbabit.
Namun, jika individu yang terbabit tidak mempunyai harta-harta lain yang cukup haul dan sedia dizakatkan, maka zakat TIDAK DIKENAKAN ke atas dividen/pendapatan ASB yang tidak mencukupi nisab itu tadi. Kaedah yang sama juga terpakai ke atas nilai-nilai lain di bawah nilai pelaburan maksimum.
Kes 2: Dividen/Pendapatan ASB yang diperolehi DIGUNAKAN bagi membuat pembayaran semula pembiayaan.
Dalam kes ini, zakat hanya akan dikenakan ke atas baki atau lebihan dividen/pendapatan ASB yang masih ada selepas ditolak jumlah pembayaran semula pembiayaan.
Jumlah pembayaran semula pembiayaan selama setahun (dikira berdasarkan tempoh ansuran bulanan pembiayaan pelaburan ASB selama maksimum 30 tahun)
= RM 1,099 (sebulan) x 12 (bulan) = RM 13,188
= RM 10,000 (dividen/pendapatan ASB) – RM 13,188 (bayaran semula pembiayaan)
= RM (3,188)
Oleh kerana bayaran semula pembiayaan melebihi jumlah dividen yang diterima, maka TIDAK ADA ZAKAT dikenakan. Juga tidak dikenakan zakat jika jumlah dividen menyamai jumlah pembayaran semula pembiayaan.
3. Perolehan selepas penyerahan semula sijil pembiayaan pelaburan ASB
Sebahagian pelabur menggunakan kaedah membuat pembiayaan pelaburan ASB dan dalam tempoh tertentu membuat penebusan sijil (surrender) dan menyelesaikan bayaran baki pembiayaan untuk mendapatkan keuntungan dan pulangan.
Kes 1: Penyerahan semula sijil pelaburan lebih awal sebelum tamat tempoh pembiayaan.
Contoh (i) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun ke-5 dalam tempoh pembiayaan selama 25 tahun:
[Lebihan tunai selepas penyerahan sijil pelaburan + dividen tahun semasa ASB] x 2.5%
[RM 22,002.61 (lebihan tunai penyerahan sijil pelaburan bernilai RM 200,000) + RM 10,000 (dividen tahun semasa ASB)] = RM 32,002.61
= RM 32,002.61 x 2.5%
= RM 800.07
Zakat dikenakan adalah RM 800.07
Contoh (ii) – Penyerahan sijil pelaburan pada tahun akhir pembiayaan / selepas tamat tempoh pembiayaan 25 tahun.
[RM 200,000 (nilai penyerahan sijil pada tahun akhir pembiayaan/selepas tamat tempoh pembiayaan) + RM 10,000 (nilai dividen semasa ASB)] = RM 210,000
= RM 210,000 x 2.5%
= RM 5,250
Zakat dikenakan adalah sebanyak RM 5,250
*Untuk mengetahui nilai serahan (surrender value) yang sebenar, anda perlu merujuk terus kepada pihak ASNB atau bank penyedia fasiliti pembiayaan. Kiraan di atas adalah bertujuan memberi simulasi taksiran sahaja.
Dengan penjelasan ini, diharapkan agar dapat memberikan manfaat dan kefahaman yang jelas kepada para pelabur dan pembayar zakat.
Hari ini bermulalah cabaran untuk anak-anak tingkatan lima menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak berdepan peperiksaan penting ini sudah tentulah akan turut rasa gementar.
Ketika anak akan berjuang menjawab soalan peperiksaan dalam tempoh beberapa minggu ini sebagai ibu bapa sebaiknya meluangkan masa melakukan beberapa amalan agar anak-anak dipermudahkan untuk menjawab soalan dengan betul dan lancar.
Berikut adalah perkongsian doa yang boleh dibaca oleh ibu bapa untuk anak yang berdepan peperiksaan dari Ustazah Asma’ Harun.
Doa ibu bapa ketika anak hadapi peperiksaan
Bacalah…
Allahumma Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Memiliki Ilmu, Maha Bijaksana dan Maha Cerdas,
Kurniakanlah kepada anak kami keberkatan dan kefahaman terhadap ilmu yang mereka pelajari, kebijaksanaan dalam menjawab setiap soalan dengan betul dan kecerdasan dalam menyelesaikan kertas peperiksaan mengikut waktu yang ditetapkan.
Allahumma Ya Baasit Yang Maha Melapangkan, lapangkan dada anak-anak kami Ya ALLAH agar mereka tenang ketika di dewan peperiksaan dan jelas ketika melihat soalan.
Allahumma Ya Salam Ya Mu’min, Yang Maha memberi keamanan dan kesejahteraan, berikanlah kesihatan yang sempurna dan keamanan sepanjang tempoh ini.
Allahumma Ya Mani’ (Yang Maha Mencegah), cegahlah mereka daripada penyakit lupa, lalai, cuai, was-was, resah gelisah, lemah semangat dan ketakutan yang berlebihan.
Allahumma Ya Aziz Ya Qowiy Ya Matin,
Ya ALLAH Yang Maha Perkasa, Maha Kuat dan Maha Teguh. Kurniakan kekuatan kepada jiwa, minda, mata telinga dan seluruh jasad mereka dalam mengharungi ujian dan cabaran peperiksaan ini.
Allahumma Ya Quddus Ya Jalil, Yang Maha Suci dan Maha Jernih, bersihkan dan jernihkan hati dan fikiran mereka daripada bisikan syaitan dan nafsu yang melemahkan semangat mereka.
DOA RASULULLAH SAW KEPADA IBNU ABBAS RA
Daripada Ibnu Abbas r.a., beliau berkata:
فَقَالَ: اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Maksudnya: Rasulullah SAW mendoakan Ibnu Abbas dengan doa yang masyhur. “Ya ALLAH! Berikanlah kepadanya (Ibnu Abbas) kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.” (HR Ahmad, hadis sahih)
DOA AGAR DIBERI KECERDASAN BERFIKIR
Doa daripada Nabi SAW, menjadi amalan saya sendiri daripada zaman belajar, ibu ayah boleh ajarkan anak-anak doa ini:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْني رُشْدِي ، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي
“Ya ALLAH, berilah ilham kepadaku berupa petunjuk yang jelas dan lindungilah aku dari keburukan diriku.” (HR Tirmizi, hadis hasan)
Ya Rahman Ya Rahim Ya Ro’uf Ya Karim, jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk mereka dan kami menjadi hamba-MU dan khalifah-MU di bumi, semoga dengan kecemerlangan peperiksaan ini membawa mereka dan kami lebih hampir kepadaMu.
Ameen Ya Mujib (Yang Maha Memakbulkan)
Bacalah zikir asmaul husna
Dalam pada itu ketika anak sedang menjawab soalan peperiksaan ibu dan ayah disarankan untuk membaca zikir asmaul husna. Zikir ini antara yang mudah dan disarankan oleh Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa.
“Ulangilah zikir ini sepanjang anak menghadapi peperiksaan. Bayangkan anak-anak sedang menjawab dengan betul dan senyum.
Allahumma Ya Alim Ya Hakim Ya Roshid (40 kali)
Bicara hati: Ya ALLAH Alirkan kebijaksanaan ke dalam minda anakku agar dia dapat menjawab dengan baik.
Allahumma Ya zohir (40 kali)
Bicara hati: Ya ALLAH Engkau nampakkan jawapan yang betul dalam minda anakku kerana Engkau Maha Menampakkan
Allahumma Ya Fatah (40 kali)
Bicara hati: Ya ALLAH bukakanlah minda anakku seluas langit dan bumi agar dia nampak segala jawapan yang betul.
Allahumma Ya Baari’ (40 kali)
Bicara hati: Ya ALLAH aku serah seluruh jiwa raga anakku hanya kepada-MU Engkau uruskan sebaik-baiknya sepanjang dia exam ini Ya Allah. Kau aturlah otak dan minda juga jari-jemarinya untuk menjawab dengan pimpinanmu Ya Hadi.
Aku yakin hanya kuasa-MU sahaja Ya ALLAH, aku tiada daya (sekali).
“Pastikan anak-anak dalam keadaan berwuduk semasa nak pergi sekolah. Kalau batal tak mengapa. Mak ayah kena perbanyakkan istighfar sepanjang exam ini juga ya,” kongsi Ustazah
Solat sunat hajat
Selain itu ibu bapa juga bolehlah melakukan solat sunat hajat memohon dipermudahkan anak menjawab soalan peperiksaan dengan betul dan lancar.
Solat sunat hajat dilakukan dengan pelbagai cara dan ia boleh didirikan sehingga 12 rakaat dan paling minima adalah 2 rakaat.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.”
(Riwayat At-Tarmizi)
Setiap tahun apabila ‘datangnya’ bulan Ramadan, umat Islam akan berlumba-lumba melakukan ibadat solat sunat Tarawih. Dek kerana ramainya jemaah yang ingin menunaikan ibadah solat sunat Tarawih masalah meletakkan kenderaan antara yang sering berlaku setiap tahun.
Ruang tempat letak kereta yang terhad dalam perkarangan sesetengah masjid memaksa ramai jemaah yang ingin menunaikan solat tarawih meletakkan kenderaan secara ‘double park.’ Tidak dapat dinafikan ia pastinya akan menyusahkan jemaah lain.
Atas alasan itu, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memberikan idea bijak bagi mengurangkan kesesakan dan masalah double park dalam kalangan jemaah. Meskipun ada banyak ruang parkir yang luas namun pihak pengurusan mewujudkan satu sistem untuk keselesaan para jemaah.
Berikut perkongsian Ikar atau Zulfikar Hazri di Twitternya.
Pihak pengurusan masjid telah membahagikan dua kategori letak kereta iaitu Team 20 Rakaat dan Team 8 Rakaat dan jemaah boleh meletakkan kenderaan mereka mengikut jumlah rakaat solat yang akan dilakukan.
Pembahagian itu mendapat pujian masyarakat yang berpendapat pengasingan mengikut rakaat itu sangat bijak dalam memastikan kelancaran trafik.
Bayangkan bagaimana jemaah yang hanya buat Tarawih lapan rakaat tetapi kereta mereka dihalang oleh orang lain yang masih belum selesai?
Pengasingan ini sebenarnya tindakan bijak dalam mengawal kesesakan selain mengelakkan masalah di antara jemaah. Diharapkan agar majsjid-masjid lain juga akan mengguna pakai sistem ini untuk keselesaan menunaikan ibadah.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Mungkin ramai yang tertanya-tanya sama ada suara seorang wanita itu aurat ketika solat atau sebaliknya. Bagaimana pula jika mengaminkan bacaan al-Fatihah dengan mengeluarkan suara sepert kaum lelaki lakukan? Entri ini mungkin boleh membantu kemusykilan anda selama ini.
Pada solat jemaah jahriyah (subuh, magrib dan isyak) harus bagi wanita untuk menjaharkan (melantangkan) suara ketika solat bersama mahram mereka. Namun ketika mana mereka solat bersama bukan mahram maka ia hendakhlah dilakukan secara sirr (diam).
Ibnu Qudamah menjelaskan “Seorang wanita melantangkan suaranya ketika solat jahriah. Jika ada lelaki-lelaki asing (bukan mahramnya ) maka dia tidak boleh melantangkan suaranya. Adapun jika yang mendengar adalah lelaki daripada kalangan mahramnya maka dia boleh melantangkan suaranya.” (al-Mughni: 2/202)
Dalam kitab al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah pada bab bacaan jahar dan sir dalam solat wanita telah dinukilkan bahawa Imam Nawawi berkata :
“Ada pun wanita maka berkata kebanyakan ulama Shafieyah – apabila dia solat bersendirian tanpa ada orang lain atau bersamanya kaum wanita atau lelaki mahramnya, hendaklah dia melantangkan suara (jahar), sama ada bersendirian atau berjemaah sesama kaum wanita. Ada pun jika solat bersama lelaki ajnabi (bukan mahramnya) maka hendaklah mendiamkan bacaan (sirr)”. (al-Mufassal Fi Ahkam Al-Mar’ah: 1/255, Dr Abd. Karim Zaidan)
Maka dapat difahami bahawa wanita tidak boleh melantangkan bacaan ketika solat bersama bukan mahram sama ada ketika dia menjadi imam, makmum atau bersendirian.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Batalkan solat kerana anak menangis. Situasi ini mungkin pernah berlaku kalangan ibu yang mempunyai anak kecil.Tapi perlu diketahui bahawa adalah haram membatalkan solat fardu...