‘Dulu bapa angkat, sekarang suami.’ jurang usia 21 tahun bukan penghalang. Begitulah kalau sudah jodoh, tak akan ke mana.
Sudah tertulis, dialah jodoh yang ditakdirkan maka bila tiba masanya berkahwinlah mereka. Jurang atau jarak usia 21 tahun tak menghalang gadis ini menerima suaminya.
Jurang usia 21 tahun bukan halangan untuk Nur Amira Hanim Hazreen Imran menerima Zaini Ramli yang dulu dianggap seperti bapa angkatnya sebagai suami.
Menariknya, Nur Amira Hanim, 25, yang terlebih dulu meluahkan perasaan terhadap Zaini, 46, kerana terpikat dengan keperibadian suaminya itu.
Berkongsi latar belakangnya, jelas Nur Amira Hanim, dia adalah ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun selepas berpisah dengan bekas suami pada 2020.
Sekarang Suami
Manakala, Zaini pula adalah duda anak enam dan hidup solo sejak 2012 sebelum berkahwin dengan Nur Amira Hanim pada 15 Ogos lalu.
“Kami berkenalan tahun lalu di tempat kerja iaitu dekat sebuah ladang kelapa sawit.
“Di situ (ladang), saya bekerja sebagai pengutip biji relai sawit manakala suami pemandu lori dan panggil dia (suami) abah saja kerana usianya lebih kurang sebaya dengan emak serta ayah.
“Kiranya, saya anggap suami macam ayah angkat saja namun lama kelamaan, timbul rasa suka jadi saya mulakan langkah dengan meluahkan perasaan terhadapnya,” katanya.
Menurut Nur Amira Hanim, suaminya terkejut pada awalnya namun tidak menolak ‘lamarannya’ itu.
“Dia soal saya adakah sudah buang tabiat namun saya beritahunya luahan perasaan itu bukan gurauan dan akhirnya dia terima saya.
“Jujurnya, saya sudah tertarik dengan suami ketika pertama kali melihatnya lagi kerana misainya mengingatkan saya kepada pelakon lama, Eman Manan.
Ads
“Lagipun, saya memang suka lelaki berumur 40 tahun ke atas kerana matang dan tidak pernah menutup pintu hati untuk berkahwin lagi selepas berpisah dengan bekas suami,” katanya.
21 Tahun
Tambah Nur Amira Hanim, dia bersyukur kerana niatnya untuk membina masjid tidak mendapat halangan keluarga.
“Selepas berterus terang dengan emak dan ayah, mereka terkejut sebab umur lebih kurang sebaya namun beri restu kerana melihat kesungguhan saya.
“Bagi saya, umur itu angka saja kerana yang penting adalah tanggungjawab suami untuk beri nafkah yang sepatutnya.
“Setakat ini, kami cuba cari keserasian dan syukurlah, suami banyak bertolak ansur.
“Kebetulan, kami berdua pernah gagal dalam perkahwinan sebelum ini jadi cuba belajar daripada pengalaman untuk jadi lebih baik,” katanya.
Bukan Penghalang
Berhubung kisahnya yang tular di laman sosial, Nur Amira Hanim tidak menyangka video dimuat naiknya di TikTok akan mendapat tontonan ramai.
“Saya muat naik video itu petang kelmarin dan terkejut apabila ia raih tontonan tinggi dalam masa singkat.
“Kebanyakan komen positif dan terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.
Sementara itu, suaminya tidak menyangka akan berkahwin lagi tetapi menerimanya sebagai ketentuan Ilahi.
“Ingatkan nak menduda saja tetapi ditakdirkan jodoh sampai jadi saya terima saja walaupun pada awalnya anggap isteri macam anak saja.
“Anak saya (hasil perkahwinan terdahulu) semuanya okay, tiada masalah dan saya sukakan isteri kerana dia berani berterus terang serta sanggup terima saya seadanya,” katanya.
Kashoorga : Benarlah usia bukanlah penghalang untuk bahagia, semoga pasangan ini bahagia hingga ke Jannah.
Mereka yang dikurniakan susu badan banyak seharusnya bersyukur dengan rezeki diberikan kerana ia pemakanan terbaik untuk bayi membesar dengan sihat. Tidak semua direzekikan memiliki susu badan yang banyak hingga bayi perlu dibantu dengan susu formula.
Di saat kita direzekikan susu badan yang banyak hingga boleh memberinya pada orang lain, seharusnya ia diberi perhatian kerana perlu menjaga nasab di masa depan. Ini kerana apabila menjadi anak susuan, bukan saja belah ibu tapi keturunan belah bapa juga diharamkan berkahwin.
Dalam pada itu, media melaporkan usahawan juga pelakon Syatilla Melvin yang juga isteri kepada Sam menzahirkan rasa syukurnya kerana susu badannya direzekikan banyak. Bahkan dirinya berniat untuk mendermakan susu badannya buat bayi memerlukan. Namun mereka yang berhajat perlu DM kepadanya untuk dirinya mengetahui latar belakang dan maklumat lengkap bayi berkenaan.
Untuk kita sama-sama memahami peranan ibu susuan, berikut adalah penjelasan dari Mufti Terengganu mengenai kedudukan ibu kepada ibu susuan, adakah ia dianggap mahram kepada anak susuan?
Jawapan:-
Penyusuan dari segi bahasa ialah perbuatan menghisap susu seseorang perempuan. Manakala, dari segi istilah syarak ialah perbuatan yang dilakukan untuk mendapatkan susu seseorang perempuan atau susu yang masuk ke dalam perut seorang kanak-kanak.
Hukum seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah harus mengikut syarak. Ini kerana perbuatan tersebut telah diamalkan sebelum dan selepas kedatangan Islam dan Islam memperakuinya bahkan tidak mengharamkannya. Terdapat kebaikan ketika seseorang perempuan menyusukan seorang anak yang bukan anaknya, contoh seorang ibu meninggal dunia dan tidak dapat menyusu anaknya. Oleh itu, keadaan ini memerlukan perempuan lain menyusukan anak tersebut bagi membolehkan anak tersebut meneruskan hidupnya.
Haruslah diingat bahawa terdapat kesan daripada penyusuan terhadap hubungan kekeluargaan kerana apabila seseorang perempuan menyusukan seorang anak yang bukan anaknya, anak itu akan menjadi anak susuannya dan suami perempuan tersebut turut menjadi bapa susuan kepada anak itu.
Justeru, anak yang disusukan tersebut haram berkahwin dengan ibu susuannya. Dia juga haram berkahwin dengan beberapa golongan daripada keturunan ibu susuannya.
Golongan tersebut termasuklah:
1. Adik-beradik perempuan ibu susuan kerana mereka adalah ibu saudara susuan.
2. Anak perempuan ibu susuan kerana mereka adalah adik-beradik susuan.
3. Cucu perempuan kepada ibu susuan (anak perempuan kepada anak lelaki ibu susuan, atau anak perempuan kepada anak perempuan ibu susuan) kerana mereka adalah anak perempuan adik- beradik lelaki susuan atau anak perempuan adik-beradik perempuan susuan.
4. Ibu kepada ibu susuan (nenek susuan).
Begitu juga dengan beberapa keturunan dari sebelah bapa susuan yang haram dikahwini adalah sama seperti golongan keturunan ibu susuan. Golongan tersebut ialah:
1. Adik-beradik perempuan bapa susuan kerana mereka adalah ibu saudara susuan.
2. Anak perempuan bapa susuan walaupun dengan isteri yang lain kerana mereka adalah adik-beradik perempuan susuan.
3. Cucu perempuan kepada bapa susuan (anak perempuan kepada anak lelaki bapa susuan, atau anak perempuan kepada anak perempuan bapa susuan) kerana mereka adalah anak perempuan adik-beradik lelaki susuan atau anak perempuan adik-beradik perempuan susuan.
4. Ibu kepada bapa susuan (nenek susuan).
Pengharaman tersebut adalah berpandukan al-Quran dan hadis sebagaimana Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 23:
وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِى أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَٰعَةِ
Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.”
Rasulullah ﷺ juga telah bersabda:
إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ
Maksudnya: “Penyusuan mengharamkan apa yang diharamkan disebabkan kelahiran (keturunan).”
(Hadis Riwayat Muslim & Bukhari).
Oleh itu, kedudukan ibu kepada ibu susuan adalah nenek susuan kepada anak susuan. Justeru, ia merupakan mahram kepada anak susuan sebagaimana penjelasan di atas.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Malam Nisfu Sya’ban adalah hari di mana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.
Nisfu bermaksud separuh (Nisf). Oleh itu Nisfu Sya’ban bermaksud separuh daripada bulan Sya’ban, iaitu pada malam ke-15. Malam Nisfu Sya’ban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Malam Nisfu Sya’ban tahun ini jatuh pada hari ini, 28 Mac membawa ke 29 Mac 2021.
Dalam pada itu tiada amalan khusus perlu dibuat di malam Nisfu Sya’ban sebagaimana yang tular dalam masyarakat tapi kita digalakkan berdoa, berzikir dan mengaji di malam Nisfu Sya’ban. Bahkan kita disunatkan berpuasa sunat Sya’ban pada esok harinya.
Dipetik dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan status hadis beberapa amalan yang perlu dibuat di malam Nisfu Sya’ban, ini panduan yang boleh kita fahami mengenainya.
Jawapan :-
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
يَنْزِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِكُلِّ نَفْسٍ إِلَّا إِنْسَانًا فِيْ قَلْبِهِ شَحْنَاء أَوِ المُشْرِكَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini.
Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibban bahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkansyawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun”. [Nuh:10]
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda: يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98] Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48] Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 185 bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Mati itu pasti.Tiada makhluk yang terlepas dari janji Allah tapi cuma masa dan corak kematian yang bagaimana.
Tapi tahukah, cara kematian kita di dunia adalah bergantung kepada cara kita mencorakkan kehidupan kita semasa ada hayat. Jika kita seorang yang teruk dan langsung tidak pernah bertaubat, begitulah cara kematian kita akan berakhir. Memang tiada pilihan.
Baca perkongsian dari seorang pengguna fb bernama Lela yang berkongsi ilmu ini.
Kita mahukan pengakhiran hidup kita dalam husnul khatimah, tetapi semua itu bergantung kepada bagaimana kita menjalani kehidupan di dunia. Kematian bila dan di mana tidak ada siapa pun yang tahu. Ada orang sakit 7 tahun kemudian mati. Ada orang matinya mudah tak ada sakit pun.
Ada orang matinya di rumah ada orang matinya di hospital. Cara kematian juga tidak kita ketahui dan tidak boleh dipilih. Hanya Allah SWT yang menentukan. Walau banyak mana duit yang dia ada , banyak mana Quran yang dia baca, berapa masyhur dia ketika di dunia dia tetap tidak boleh memilih cara kematian dia.
Jika matinya sedang membaca Quran atau matinya ketika sujud di tikar sembahyang maka ketahuilah Allah SWT yang memilih itu cara kematiannya. Dan sesiapa yang mati dalam keadaan mabuk, Nabi SAW menyebutkan dia bangun di akhirat kelak dengan botol arak masih tersandang di bahunya dan berjalan terhuyung-hayang dalam keadaan mabuk. Kerana setiap orang dibangkitkan kembali dengan apa cara kematiannya.
Hati-hati dengan penghidupan kita dan perkara apa yang kita suka lakukan. Biarlah apa yang kita suka lakukan itu adalah perkara-perkara kebaikan agar pengakhiran kita kelak adalah dengan cara kebaikan.
Berdoalah agar pengakhiran kematian kita dengan cara yang baik. ITU SANGAT PENTING. Mati kita biarlah dalam keadaan husnul khatimah. Dengan itu, jika seseorang ingin mati dalam keadaan baik dan diredhai Allah maka hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah dengan doa :
“Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah Kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.”
Jangan sesekali kita tinggalkan doa ini.
Beringatlah, jangan sampai tiba-tiba maut datang, segala-galanya sudah terlambat untuk menyesali apa yang telah kita kerjakan ketika hidup di dunia. Saidina Abu Bakar berkata ;
“Sesiapa masuk kubur tanpa bekalan, maka seperti mengharungi laut tanpa perahu!”
Solat Jamak Takdim: Ketahui hukum bercakap antara dua solat jamak takdim menurut Mazhab Syafie, syarat muwalah serta situasi yang boleh menyebabkan jamak tidak dapat diteruskan.