‘Dulu dah puas bergaya.’ Sudah tiba masanya berhijrah, jadi hamba Allah yang lebih baik. Benarlah dalam hidup kita, sampai satu masa kita akan rasa puas dan cukuplah apa yang telah berlalu.
Kini biarlah segalanya menjadi lebih baik, seperti mana yang dilalui oleh pelakon ini dalam mengenakan hijab.
Jika nak diikutkan sudah lama pelakon, Datin Almy Nadia, 36, berhasrat untuk berhijab seperti yang dituntut agama Islam.
Namun, hatinya berbelah bahagi kerana bimbang jika sudah berhijab, suaminya berpaling kepada wanita lain.
Bagaimanapun, kata Almy, selepas berbincang dengan suami yang juga pelakon, Datuk Fizz Fairuz, 43, dia nekad berhijab kerana Allah SWT pada Jun tahun lalu.
Sudah Tiba Masanya Berhijrah
“Saya mula berubah secara perlahan-lahan bermula dari segi pakaian.
“Selain memakai baju yang longgar, saya juga mula memakai selendang untuk menutup rambut ketika di luar rumah.
Ads
“Saya juga mula berhijab sepenuhnya ketika mengambil anak di sekolah yang berhampiran Masjid Wilayah dan seterusnya ketika terbabit dalam program Majalah Keluarga di Legoland pada tahun lalu,” katanya.
Jadi Hamba Allah
Mengenai penerimaan suaminya pula, kata Almy, Fizz tidak menghalang hasratnya untuk berhijab itu.
“Fizz cuma bertanya adakah saya benar-benar sudah bersedia berhijab dan dia juga meminta saya betulkan niat berhijrah kerana Allah dan bukan paksaan darinya atau ahli keluarga.
“Ahli keluarga saya dan mentua semuanya berhijab dan mereka juga sangat menyokong penghijrahan ini.
“Terus terang saya juga sudah puas bergaya dengan pelbagai fesyen baju dan rambut ketika zaman anak dara dan bentuk badan langsing dulu dan kini sampai masanya untuk saya berhijrah menjadi isteri, ibu dan hamba Allah yang lebih baik,” katanya.
Yang Lebih Baik
Berkongsi aktivitinya pada bulan Ramadan, kata Almy, masanya banyak dihabiskan untuk menguruskan empat anaknya yang masih kecil di rumah.
“Saya sibuk menguruskan anak-anak di rumah kerana anak yang bongsu, Nur Afrina Aishah masih menyusu badan.
Ads
“Saya juga mewajibkan dua anak, Nur Afrina Ariana, 8 dan Nur Afrina Aurora, 7 untuk berpuasa penuh.
“Cuma Nur Afrina Ayra, 5, yang belajar berpuasa pada Sabtu dan Ahad kerana dia belajar di sekolah cina,” katanya.
Galak Anak Berpuasa
Pada masa sama, kata Almy, dia juga bagi hadiah untuk menggalakkan anak-anaknya berpuasa penuh, contohnya hadiah mainan pada Ramadan tahun lalu.
“Sebelum ini kami bawa anak-anak menunaikan solat Tarawih berjemaah di masjid, tetapi bila ada anak kecil yang masih menyusu badan, kami hanya buat ibadah di rumah,” katanya.
Syukur Suami Family Man
Sementara itu, kata Almy, Fizz juga memperlahankan aktiviti seninya pada bulan Ramadan kerana mahu menjalani ibadah puasa bersama anak-anak.
“Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang ‘family man’ seperti Fizz. Dia lebih suka berbuka dan bersahur dari air tangan isterinya di rumah.
Ads
“Saya juga akan memasak juadah berbuka mengikut permintaan suami dan anak-anak,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Fizz pada 26 April 2014.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat anak perempuan iaitu Nur Afrina Ariana, 8, Nur Afrina Aurora 7, Nur Afrina Ayra, 5, Nur Afrina Aishah, satu tahun empat bulan dan anak angkat Nur Afrina Darwisyah, 14.
Baru-baru ini ramai menzahirkan rasa terkejut isu pergaulan bebas melibatkan lelaki dan perempuan semasa perasmian Riyadh Season 2021 yang menyaksikan ratusan ribu warga Arab Saudi bergembiran menikmati muzik rancak sempena pembukaan festival tersebut.
Ramai menzahirkan rasa terperanjat kerana bumi Arab dikenali sebagai bumi baroqah di mana adanya Masjidharam yang menjadi kiblat umat Islam. Begitu juga Masjid Nabawi yang menempatkan makam Rasulullah SAW tapi acara hiburan berkenaan menyaksikan iman itu tidak dapat diwarisi.
Tidak habis dengan isu Riyadh Season, nampaknya apabila berbicara soal hiburan dan keseronokan, ramai yang “hanyut” dengan petanda akhir zaman ini. Antara tanda akhir zaman berlaku sebelum kiamat ialah muzik bermaharajalela.
“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka.”Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah, bilakah hal ini terjadi?” Baginda menjawab; “Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” – Ibnu Majah.
Tak hairanlah setiap kali acara hiburan dan keseronokan diadakan, ramai yang akan berkumpul sekaligus menyaksikan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan terjadi.
Baru-baru ini timbul isu pergaulan bebas di sebuah taman tema air yang menyaksikan puluhan warga kota yang sudah lama terkurung menari keseronokan tanpa mengikut SOP ditetapkan oleh kerajaan.
Ia mendapat perhatian dari PU Amin menerusi akaun Tik Toknya, @ustazamirulamin yang secara sinis berkata, ia satu bencana untuk generasi muda kita.
Menerusi kata-katanya (berbaur sinis), PU Amin berkata, “mantap anak muda, berjoget-joget. Bersuka ria. Bagai Covid itu sudah tiada. Itu yang pertama.
“Yang kedua, bagaikan Tuhan itu tiada mata, bagaikan seksadan azab neraka itu tidak wujud selamanya. Syabas anak muda. Orang Melayu, Islam kita, hahaha.
“Esok kalau berlaku lagi, masalah-masalah yang Tuhan turunkan kepada kita, itu sebab kita punya dosa la tu. Seronok oo berjoget-joget. Suka tu.
“Ya Allah, itulah. Pihak berkuasa tolonglah ambil tindakan segera. SOP pun tak patuh, ko berjoget dalam tu ramai-ramai, main air gedebam gedebum. Ini mazhab mana nie, Ya Allah (tepuk dahi).
“Takkan tak sekolah dekat setengah tahun perangai teruk macam tu. Ini apa cerita,” katanya lagi.
Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Siapa tidak geram melihat kecomelan kanak-kanak ini. Ketika dia masih bayi, Dhuhaa Sophea Stumbry, 3 tahun, pernah dikatakan bayi paling comel di dunia.
Si comel ini lahir dari perkongsian kisah cinta antara dua benua. Ibunya Siti Safuraa Hamzah, 35 tahun, yang berasal dari Besut, Terengganu, manakala bapanya pula Asadullah Stumbrys, 35 tahun pula merupakan warga negara Russia.
Walaupun kini berada jauh di Sweden, namun Dhuhaa Sophea menjadi tular dek kerana wajah comelnya. Kini bukan sahaja dia yang jadi viral, Dhuhaa juga sudah mempunyai seorang adik perempuan, Amiraa Al Imaan yang dilahirkan awal tahun lalu.
Seperti kakaknya, Amiraa juga cukup popular di laman sosial Instagram milik ibunya, @ctsafuraa. Setiap kali muat naik foto atau video terbaru, pasti mendapat ribuan butang ‘like’.
Ternyata kecomelan dua beradik ini mengundang pertanyaan daripada warga net yang mahu tahu apa rahsia diamalkan ibunya sewaktu mengandung.
Menurut Siti Safuraa soalan ‘hot’ itu memang sering ditanya padanya oleh para ibu yang banyak DM padanya bertanyakan amalan yang dilakukan sewaktu mengandung sehingga melahirkan anak yang comel.
“Memang ramai yang tanya soalan ini, sama ada mesej saya secara peribadi di ruangan komen termasuk ketika buat live“.
“Sebenarnya saya tak amalkan apa-apa pemakanan khusus waktu mengandung dulu. Mungkin ini rezeki kurniaan Tuhan buat saya dan suami,” ujarnya ketika dihubungi secara alam maya.
Namun menurutnya dia memperbanyakkan amalan yang mulia untuk ibu hamil menurut Islam, antaranya dengan membaca al-Quran.
“Cuma masa hamil dulu saya suka baca dan dengar ayat suci al-Quran. Surah yang paling saya gemari adalah surah Ar-Rahman.
“Waktu itu saya sangat sensitif, mudah menangis dan bila dengar surah itu saya rasa kuat dan sangat terkesan sampai ke jiwa.
“Selebihnya saya banyakkan zikir dan berdoa pada Allah sentiasa lindungi saya dan kandungan,” ujarnya yang kini menetap di Sweden selepas mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta.