‘Dulu practice lafaz akad nikah, main kahwin-kahwin dengan kawan.’ Rupanya itulah jodoh Allah tentukan.
Memang ramai di kalangan kita masa kecil dahulu, “main kahwin-kahwin’ bukan? Kadang-kadang siap berlakon olok-olok dengan kawan-kawan. Memang seronok bila dikenang balik.
Rata-ratanya pada saat itu hanya fikirkan rasa seronok di zaman kanak-kanak dan tak pernah terfikir akan berjodoh kelak dan bakal menjadi kenyataan. Namun situasi tersebut berbeza dengan pengguna TikTok ini, Uzair.
Sebelum ini, sekitar tahun 2011, dirinya pernah berlatih atau practice lafazkan akad nikah dan ketika itu dia menyebut nama gadis idamannya bersaksikan dua rakannya.
Suratan atau kebetulan, baru-baru ini impiannya untuk mengahwini gadis dambaannya dimakbulkan Tuhan. Dia dan isterinya yang dikenali dengan nama Eyka, selamat naik pelamin seterusnya bergelar raja sehari.
Menerusi kapsyennya, Uzair mengungkapkan rasa syukur yang tak terhingga. Katanya,
Ads
Main Kahwin-Kahwin Dengan Kawan
Alhamdulillah ️dipermudahkan segalanya. Tak disangka niat dari 2011 dan doa kini telah dimakbulkan Allah.
Menerusi perkongsian yang sama, sahabatnya yang pernah menjadi tok kadi olok-olok menerusi video rakaman lama turut menjelaskan hal sebenar di ruangan komen.
Katanya hubungan Uzair dan isterinya yang berlangsung selama 11 tahun bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai ujian dan rintangan telah Uzair tempuhi untuk sampai ke tahap ini.
Menurut sahabatnya, 11 tahun perkenalan pelbagai dugaan dia. Kadi dan saksi 2011 itu menjadi saksi. Alhamdulillah hari ini mereka benar-benar diijabkabulkan. Tahniah sahabat.
Komen Warganet:
Ads
Rata-rata warganet turut tumpang rasa bahagia dan mendoakan yang terbaik buat pasangan ini.
‘Kebersihan sebahagian daripada iman.’ Tiada larangan dalam islam menyapu sampah pada waktu malam seperti yang dimomokkan oleh kebanyakan orang.
Ramai yang percaya bahawa menyapu sampah pada waktu malam akan membawa kesusahan dan kesempitan dalam hidup. Ternyata ia hanya sekadar kepercayaan bukannya larangan dalam agama Islam.
Ikuti penerangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang isu menyapu sampah di malam hari akan membawa kepada kemiskinan.
Benarkah menyapu rumah pada malam hari membawa kepada kemiskinan? Sebabnya saya pada waktu siang, saya bekerja, jadinya waktu malam sahaja masa yang ada untuk mengemas rumah. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya tidak ada larangan dalam Islam untuk menyapu dan membersihkan rumah pada waktu malam.
Bahkan sebaliknya kita dituntut untuk menjaga kebersihan rumah dan tempat tinggal kita pada bila-bila masa.
Hal ini kerana Islam sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman.
Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Begitu juga terdapat hadith lain yang menggalakkan atau menggesa untuk membersihkan rumah-rumah, dan ia jelas disebut sebagai salah satu ciri orang Mukmin dan meninggalkannya pula adalah salah satu ciri orang Yahudi.
Terdapat riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu baik dan mencintai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan, mulia dan mencintai kemuliaan, pemurah dan menyukai kedermawanan. Oleh itu, bersihkanlah halaman rumahmu dan janganlah menyerupai orang Yahudi.”
Riwayat al-Tirmizi (2799) dan beliau menilainya sebagai gharib kerana di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dia dinilai sebagai dha’if.
Syu‘aib al-Arna’ut pula menyatakan dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (4/256), di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dinyatakan dalam al-Taqrib, matruk al-hadith (orang yang ditinggalkan hadithnya).
Bahkan Dr. Muhammad ‘Abd al-Sami‘, Mudir Idarah al-Furu‘ al-Fiqhiyyah dan Ahli Jawatankuasa Fatwa di Dar al-Ifta’ ketika ditanya mengenai adakah menyapu rumah pada waktu malam membawa kepada kefakiran?
Beliau menyebutkan bahawa dibolehkan untuk membersihkan rumah pada waktu malam dan tidak ada apa-apa akibat dalam melakukan hal tersebut, serta hukumnya tidak haram sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang.
Beliau menambah lagi dalam jawapannya itu, begitulah juga halnya membersihkan kawasan perniagaan pada waktu malam. Hal ini kerana tidak ada dalam agama apa-apa yang melarang daripada melakukannya dalam apa jua keadaan.
Kami berpendapat selama mana ia kotor dan ada kemampuan oleh tuan rumah atau amah, maka boleh dibersihkan siang ataupun malam.
Kami melihat Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dibersihkan siang dan malam begitu juga hotel-hotel. Tiada nas yang sahih lagi sarih yang melarang untuk menyapu rumah sama ada malam, siang, pagi dan petang.
Pepatah Arab menyebut:
النَّظَافَةُ مِنَ الَايْمَانِ
Maksudnya: “Kebersihan sebahagian daripada iman.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kashoorga: Umum mengetahui bahawa orang-orang tua dahulu banyak kiasan, jadi barangkali mungkin mereka hanya berpesan agar anak-anak mengemas rumah di siang hari melakukan pekerjaan lain.
Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Walau di gunung atau lautan, jika ia sudah tertulis di lukh mahfuz, pasti akan bertemu juga.
Begitulah digambarkan kisah percintaan pasangan ini yang menyaksikan hutan menjadi saksi cinta antara mereka.
Menulis perkongsian di laman sosial Facebook Aty Razali, kisah cinta pasangan ini yang sangat ‘sweet’ menjadi inspoirasi buat pasangan lain yang mencari cinta halal.
Ayuh, ikuti perkongsian ini
07.03.2020-First jumpa masa naik Gunung. 15.5.2020- Bawa kahwin 04.07.2020- Merisik 29.8.2020-Nikah PKP 29.9.2020-Genap sebulan nikah tapi punah harapan mahu jumpa sebab 29.9.2020 Start PKPDB
Di jadikan cerita bulan Feb saya open trip naik Gunung Minitinduk. So saya cari la team sapa-sapa yang mahu naik.Jadi dia ni ( suami ) orang paling last full trip kami 10 orang.
Mula-mula dia tidak mahu join sebab ada program lain.Tapi tingal beberapa hari saja lagi date mendaki dia Wasap untuk join.Oh ya dia ni kawan FB, tak tahu bila kami jadi friend FB.
7.3.2020 First jumpa masa register.masa tu semua ok cumanya biasa la kalau orang otai-otai hiking ni laju-laju. kami yang bilis-bilis je la ni paling belakang la so tak sempat kami jalan hiking sama-sama.
Ada la satu adegan ni kan,masa turun bukit saya nampak dia dari jauh perati ja saya masa turun tu. Hairan juga napa dia perati kan jadi lepas kahwin hari tu tanya la napa perati ja masa turun bukit hari tu? Guyss mau tau dia cakap apa? Dia bagitahu, kau pendek,gayat tapi mahu juga hiking-hiking. Dia hairan, macam mana saya boleh jadi ketua hiking.
Kami tak bercinta sebab singkat perkenalan ni. Musim PKP Mac-Mei tu kami selalu wasap pasal covid.(maklum la dia cikgu,duduk rumah sebab sekolah tutup, saya pula kerja hospital so sah-sah dia banyak tanya pasal perkembangan kerja masa covid ni menular. Banyak masa dia hadap handphone.
Hikmah juga Covit19 dan Pkp ni sebab jumpa jodoh
15.5.2020. Tidak tahu macam mana tiba-tiba saya boleh taip mesej, “jom kawin” dalam masa yang sama saya bercerita dengan kawan 1 kerja bab kawin.
Tiada angin tiada ribut tiba-tiba bawa kahwin tapi dia terima juga.Bulan 7 selepas merisik saya ada tanya la kenapa terus bagi jawapan terima untuk kawin. Kamu tahu dia jawab apa?
Dia cakap risau kalau dia yang dulu cakap kahwin tapi saya menolak.Tapi bila saya sudah buka mulut kahwin terus dia terima. So gaiss untuk sapa yang ada hati dengan orang itu, cakap ja.Terima tidak terima itu belakang kira. Mana tau orang yang kita suka itu pun ada hati perasaan dengan kita tapi malu je mahu cakap.
Niat saya dulu hiking bukan mahu mencari jodoh, tidak pernah terlintas mahu jumpa jodoh masa hiking sebab lebih ke arah ubah suasana hidup baru. Bosan dengan aktiviti harian. Balik kerja-rumah-kerja.Bosan tu Tuhan saja la yang tahu.
7 tahun kerja hari-hari hidup dengan suasana hospital. Jadi tahun 2019 mula join team hiking. Memang best bila sudah teroka alam ni. Berbaur perasaan.susah mahu cakap. Macam terbuka sikit minda tengok kehijauan.
Asal ada masa mesti masuk hutan.Tapi itu la perancangan Tuhan siapa yang tahu kan. So gud luck untuk sapa yang belum bertemu jodoh. Sangka baik dengan Tuhan.Kalau pun balik-balik kecewa putus hubungan di tengah jalan tapi jangan sampai sangka buruk dengan Tuhan, tidak baik itu.
So today 29.9.2020 happy1 month anivesari Aty & Junjun. Doakan kami bahagia kekal ke akhir hayat amin #Santaihiker #JodohHiking #JodohGunung #GunungMinitindukKotamarudusabah
Isteri suka maki suami, jangan sampai tak cium bau syurga. Sikap memaki hamun adalah perbuatan negatif yang tidak disukai Allah, apa lagi bila seorang isteri memaki hamun suaminya.
Sebaiknya dalam hubungan rumah tangga seharusnya saling menghormati dan terima baik serta buruk pasangan kerana kita juga tak sempurna.
Sebelum ini tular, anak pelakon senior, Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli memaki hamun suaminya gara-gara meremukkan keretanya. Kak KM marah kerana suaminya tidak meminta maaf sejurus kejadian itu berlaku.
Tindakan Kak KM mendapat pelbagai reaksi di kalangan warganet. Namun ramai yang tidak menyokong tindakannya yang dikatakan melampaui batas.
Sesungguhnya, isteri merupakan amanah dan cerminan bagi suami. Dalam Islam, setiap isteri wajib taat pada suaminya dengan baik dan setiap suami juga wajib melayani isteri dengan sebaiknya.
Islam mengajar supaya pasangan suami isteri hendaklah sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara keduanya supaya dapat melahirkan rasa cinta dan kasih dalam perkahwinan.
Umumnya, setiap orang yang berkeluarga pasti mengharapkan kebahagiaan dan keharmonian dalam rumah tangganya.
Tidak dinafikan cabaran hidup berumah tangga sangatlah kuat dan hebat. Setiap perkahwinan yang dibina pasti ada ujian yang mendatang.
Mungkin awal perkahwinan kaya, kini jadi miskin, mungkin dahulu isterinya cantik atau suaminya baik, tetapi sekarang semua sudah bertukar disebabkan faktor usia, kewangan dan lain-lain.
Dalam konteks ini, kita perlu melihat apa tujuan sebenar perkahwinan serta tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh suami dan isteri.
Suami ada peranannya sendiri sebagai ketua keluarga, manakala isteri juga ada peranannya buat suami dan anak-anak. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan dia akan diminta bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dan akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin.” [HR. Bukhari 5200]
Justeru itu, isteri hendaklah melakukan sesuatu yang yang baik serta menyenangkan hati suami. Apa sahaja perkara yang baik, semua akan dikira pahala. Jika menyakiti suami, dosa yang akan kita dapat.
Namun, sekiranya isteri melakukan perkara yang sebaliknya terhadap suami, bermakna isteri telah melakukan perbuatan nusyuz.
Perbuatan nusyuz seorang isteri adalah haram dan termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar, dan akan dikenakan hukuman bagi sesiapa yang melakukannya.
Firman Allah dalam surah an-nisa’ ayat 128 yang bermaksud: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya).”
Mentaati suami dalam semua urusan keluarga adalah kewajipan yang paling asas bagi seorang isteri kecuali pada perkara yang dilarang agama seperti melakukan zina dengan lelaki lain (pelacuran), meminum arak, mencuri dan sebagainya. Allah berfirman dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Isteri yang menyakiti dan mengabaikan suaminya boleh menyebabkan kesan yang buruk di dunia dan di akhirat kerana kunci untuk masuk ke syurga bagi seorang isteri terletak pada keredaan suaminya.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Jikalau memerintahkan seseorang untuk bersujud, pasti aku akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya”. [HR. Tirmizi 1159]
Hadis tersebut jelas menyatakan kedudukan suami dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh isteri kepada suaminya. Hadis itu memberi gambaran bahawa seorang isteri wajib taat, patuh dan hormat kepada seorang suami kecuali pada perkara yang mungkar seperti yang dijelaskan di atas.
Antara perkara yang menyakiti suami ialah:
1. Menghina dan mengumpat hal suami pada orang lain
2. Keluar rumah tanpa keizinan suami kecuali pada perkara yang hak pada isteri
3. Tidak melayan suami dan bergaul dengannya
4. Melakukan perbuatan curang terhadap suami
5. Mendoakan perkara yang buruk kepada suami
Dalam konteks ini, perkara tersebut dikaitkan dengan sabda Rasulullah tentang kaum wanita yang menjadi penghuni neraka akibat menyakiti suami. Sabdanya yang bermaksud:
“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?” Baginda menjawab: “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.” [HR. Bukhari 5197]
Oleh itu, beringatlah para isteri. Sentiasa muhasabah diri dan perhatikan adakah segala perbuatan kita itu menggembirakan suami atau sebaliknya.
Insafilah setiap kesilapan yang telah dilakukan terhadap suami dan mohon maaf pada suami sekiranya telah melakukan perbuatan yang salah.
Kashoorga: Sebelum bertindak, sayangilah dirinya sepenuh hati supaya hidup kita sebagai isteri selamat dunia dan akhirat serta diredhai Allah.
Lelaki buta dan hukum aurat wanita sering menjadi persoalan. Ketahui penjelasan hadis, pandangan ulama serta hukum sebenar menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.