
Keikhlasan yang terpancar dalam setiap alunan ayat suci akhirnya membuahkan hasil buat anak muda kelahiran Aceh, Indonesia, Fadhel Joeniasyah, 28, apabila dinobatkan sebagai Juara Miskul Kalam 2.0 Piala Sharifah Khasif yang berlangsung penuh meriah, baru-baru ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan Fadhel berjaya menewaskan empat lagi finalis hebat dari Malaysia dan Brunei Darussalam, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, trofi serta cenderahati.
Datang Jauh Demi Mendalami Ilmu Tarannum
Menariknya, penyertaan Fadhel ke Malaysia bukanlah semata-mata untuk mengejar gelaran juara, sebaliknya didorong oleh semangat menuntut ilmu. Menurutnya, terdapat perbezaan menarik dari sudut teknik bacaan di Malaysia dan Indonesia yang membuatkan dia terpanggil untuk hadir ke sini.
“Sambutan dan pendekatan tarannum di Indonesia dan Malaysia ada sedikit perbezaan.
Di Indonesia, kami biasanya menggunakan maqam yang terdahulu, manakala di Malaysia ada tangga nada khusus yang perlu diikuti.
Jadi, saya datang jauh dari Indonesia semata-mata mahu belajar dan mendalami maqam-maqam ini,” kongsinya ketika ditemui selepas majlis berakhir.
Tambahnya lagi, persekitaran di Aceh yang kaya dengan penerapan syariat Islam dan pembentukan akhlak berasaskan Al-Quran sejak kecil banyak membentuk jati dirinya.
BACA JUGA: Pendermaan Organ & Tulang Arwah Aidil Bantu Puluhan Pesakit, Ini Perkongsian Sebak Dr. Syahr Musafir
Malah, dia turut menjadikan qari tersohor yang juga juara qari di Turki, Ustaz Takdir Feriza Hasan, sebagai idola dan sumber inspirasi dalam memperelokkan bacaan.
Rahsia Tawaduk, “Niat Saya Cuma Mahu Hiburkan Jemaah Dengan Kalamullah”
Walaupun pada awalnya hadir tanpa sokongan yang ramai dari tanah air sendiri, Fadhel membuktikan kesungguhan berlatih tanpa mengira waktu dan tempat baik di waktu subuh, tengah malam mahupun ketika dalam perjalanan, mampu membuahkan hasil luar biasa.
Namun, apabila ditanya mengenai rahsia ketenangannya di atas pentas, jawapan anak muda ini cukup merendah diri.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berpuas hati dengan penilaian juri hari ini. Rahsianya cuma berserah diri kepada Allah SWT.
Sejujurnya, penampilan saya hari ini bukanlah untuk mengejar gelaran juara, tetapi sekadar mahu penonton dan jemaah yang hadir berasa senang dan terhibur mendengar alunan Al-Quran.
Sekurang-kurangnya, mereka dapat kenal dan faham cara bacaan yang betul,” ujarnya penuh tawaduk.
Kemenangan Untuk Orang Tua & Anak Muda Aceh
Di sebalik kejayaan manis ini, terselit satu perancangan murni yang cukup menyentuh hati. Fadhel memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang perancangan mewah selepas ini, selain ingin segera pulang ke kampung halaman demi berbakti kepada kedua ibu bapanya.
“Perancangan saya selepas ini adalah untuk kembali ke Aceh dan merawat orang tua yang sedang sakit.
Tiada perancangan khusus lain, hanya mahu istiqamah menjaga ibu bapa di rumah,” katanya.
Dalam masa sama, Fadhel yang turut membuka kelas pengajian di Aceh menyatakan kemenangan di Malaysia ini adalah kemenangan di sebuah negara yang sangat memuliakan Al-Quran.
Hal ini turut membuktikan bahawa pemuda dari Aceh juga mampu membuka mata masyarakat di kampung halaman untuk melakar kejayaan di negara orang.
Buat generasi muda, Fadhel menitipkan pesanan ringkas namun mendalam, “Hiduplah bersama Al-Quran, kerana Al-Quran itu akan membawa kita ke seluruh dunia,”.
Sekilas Tentang Miskul Kalam 2.0
Terdahulu, program Miskul Kalam 2.0 Piala Sharifah Khasif telah berlangsung pada 22 November 2026 bertempat di The Gabion Garden Hall, Taman Danau Kota, Setapak.
Dianjurkan oleh Persatuan Seni Qalam Malaysia dengan kerjasama Sharifah Khasif Academy (serta sokongan strategik YaPEIM dan PEKEMA), program ini bukan sekadar pertandingan tilawah, tetapi merupakan satu gerakan masyarakat yang diterajui oleh Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah bt Syed Mohd Badiuzzaman.
Ia bertujuan mengangkat martabat Al-Quran sebagai teras pembentukan akhlak, integriti dalam keluarga, masyarakat serta pembinaan negara.
Edisi kali ini turut mencuri tumpuan dengan penyertaan antarabangsa melibatkan 80 peserta dari lima negara (Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Sri Lanka) sebelum disaring kepada lima finalis terbaik.
Selain pentas akhir tilawah, majlis yang menyasarkan kehadiran 1,000 pengunjung ini turut diserikan dengan segmen “Jasamu Dikenang” yang mengiktiraf Hajjah Rahmas Abdullah sebagai Tokoh Legenda Al-Quran serta podcast santai “Borak Berkat” bersama Abeer Widad (Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Sekolah-Sekolah MQSS 2025).
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

