Apa hukum menggantung gambar keluarga/gambar kahwin/gambar konvokesyen/gambar anak anak dan cucu? di dinding rumah. Betulkah haram dan rumah tidak dimasukki malaikat rahmat
Jawapan
Hukum menggantung gambar keluarga adalah harus. Tetapi jika niatnya untuk pemujaan, mendedahkan aurat, mengagungkan gambar tersebut, hukumnya menjadi haram.
Ia bersesuaian dengan pendapat Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam buku Seni Dalam Islam: “Hukum gambar-gambar fotografik pada asalnya harus selagi mana gambar tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti mengagungkan gambar seseorang yang mempunyai kemuliaan dalam agama ataupun disebabkan kedudukan dan pangkat yang dimilikinya, apatah lagi sekiranya orang yang diagung-agungkan terdiri daripada orang kafir, fasiq dan penyembah berhala”.
Nabi SAW melarang umatnya meletakkan gambar bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak masuk ke dalam rumah untuk memberikan rahmat.
Ads
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya; Maksudnya : “Dia membeli bantal-bantal kecil yang bergambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang.
Berkata Aisyah ”Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan RasulNya. Apakah kesalahanku? Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu? : Jawab Aisyah, “Aku membelinya untuk kamu sebagai tempat duduk atau tempat bersandar.”
Ads
Sabda Rasulullah SAW : “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka. Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”.
Ads
Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.”
(Riwayat Muslim)
Haram bagi orang yang meletakkan gambar lukisan atau patung yang bernyawa di rumah-rumah mereka, sama ada separuh atau sempurna fizikalnya. Hal ini berbeza dengan gambar-gambar fotografik yang dihasilkan oleh kamera dan video.
‘Dia kerja, tak perlulah aku bagi duit.’ Nafkah isteri mesti suami tunaikan walau pendapatan dia lebih tinggi suami. Nafkah memang menjadi tanggungjawab suami, jadi jangan lari dari tanggungjawab.
Isteri bekerja kerana ingin kurangkan beban suami dan membantu apa yang patut. Jadi janganlah mengambil kesempatan.
Masa kini ramai isteri bekerja dengan niat ringankan beban suami. Pun begitu keperluan memberi nafkah tetap menjadi tanggungjawab suami. Masa nikah memang digalakkan dipermudahkan. Tapi itu bukan maksudnya soal nafkah pun kita nak pandang enteng jugak.
Kita tak boleh kata, “Owh isteri aku ada kerja. So, tak perlu lah aku bagi duit bulan-bulan. You, you dan I, I”
Nafkah mereka sebagai isteri mesti ditunaikan walau pendapatan mereka lebih tinggi dari kita.
Ada isteri yang tidak diberi nafkah langsung oleh suami disebabkan:
1) suami beranggapan tidak perlu bagi nafkah kerana isterinya berkerja dan punyai wang sendiri.
2) suami beranggapan tidak perlu bagi nafkah kerana isterinya bergaji lebih besar.
3) suami perlu tanggung keluarganya sendiri (ibu bapa, adik beradik), jadi wang gajinya tidak cukup untuk diberikan kepada isteri.
4) tidak ada ilmu tentang rumah tangga dan tidak mahu belajar tentangnya. Take for granted.
Ini silap besar sahabatku.
Wahai para suami, bacakan ini. Ada 7 jenis nafkah yang wajib kita beri kepada isteri iaitu:
1. Menyediakan rumah dan keperluan rumah.
Tak kira lah rumah sewa atau beli sendiri, asalkan mengikut kemampuan suami. Kalau suami mampu beli rumah teres sahaja untuk isteri, ia jauh lebih baik dari rumah banglo atas bukit yang dibeli isteri.
2. Makan Minum
Ramai isteri yang berkerja membeli barang makanan minuman dengan duit gajinya sendiri. Puan, gunakan duit belanja dapur yang diberikan suami.
Jika tak cukup, barulah top up dengan duit gaji puan. Jangan ambil hak suami iaitu hak untuk dia bagi nafkah makan minum.
Kalau suami puan mampu beli kangkung dan ikan kembung, makanlah itu. Berkat insyaAllah.
Suami beri nafkah wang walaupun sedikit untuk makan minum isteri, anak setiap bulan. Kalau mampu RM100 pun, itulah yang perlu diberikan.
Beritahu pada isteri, “Ini yang abang mampu, kalau ada rezeki lebih, abang akan tambah.” Isteri, hargailah keikhlasan suamimu itu.
3. Pakaian
Wajib beli 2 persalinan setiap tahun. Belilah jubah longgar dan pakaian menutup aurat kepada isteri. Kita dapat pahala sebab sediakan pakaian ikut syariat. Isteri pun dapat kebaikan sebab jaga aurat ikut syariat.
Suami dipertanggungjawabkan atas dosa yang mereka lakukan di dunia ini. Isteri, kena faham dan tahu. Kami bukan hanya pikul tanggungjawab nafkah zahir tapi dosa kamu juga kami pikul.
Ini perkara paling sweet yang banyak isteri lupa.
Justeru, tanam azam dalam diri untuk ikut suruhan dan tinggalkan perkara dilarang oleh baginda Rasulullah saw. Bukan pasal ikhlas atau tak ikhlas.
Masa dicabut nyawa tak ada tanya ikhlas tak nak mati. Hehe!
4. Perubatan
Kalau isteri sakit, suami perlu bawa isteri jumpa doktor dan biayai perbelanjaan ini. Kalau zaman sekarang, takaful untuk isteri dan anak-anak perlu disediakan oleh suami.
5. Perhiasan
Wanita memang tidak asing dengan perhiasan. Suami perlu menyediakan perhiasan untuk isteri.
Encik A selalu beli perhiasan untuk isterinya. Dia belikan mengikut taste nya.
Katanya, “Isteri ini adalah perhiasan untuk suami. Mestilah saya beli perhiasan mengikut taste saya supaya menyejukkan mata dan hati saya. Barulah isteri saya dapat pahala, saya pun dapat pahala.”
Isteri pula, kalau suami mampu beli Zhulian, pakailah. Jangan minta diluar kemampuan suami pula.
6. Pembantu
Kalau isteri biasa ada pembantu rumah sebelum berkahwin, suami mesti menyediakan pembantu untuknya selepas berkahwin.
Zaman sekarang ini kalau suami tak mampu, cukuplah sediakan wang untuk penjagaan anak dan paling penting sekali pembantu semasa isteri berpantang selepas melahirkan anak.
7. Peralatan mandian
Jangan gelak! Iya, sabun mandi dan syampu rambut itu termasuk dalam nafkah ye. Jangan ambil ringan!
Wahai suami isteri sekalian, suami wajib bagi nafkah pada isteri dan anak anak. Ini adalah ajaran Islam dan kita patut mengikutnya. Sebab apa?
Supaya ada keberkatan dalam rumah tangga. Bila ada keberkatan, harmoni dan sejahteralah rumah tangga itu. Begitulah.
Ilmu agama dan dunia juga sebenarnya tanggungjawab suami. Ramai terlepas pandang.
Kalau isteri nak belajar mengaji al-Quran, belajar memasak jangan dihalang. Kita sokong dan belikan buku untuk mereka.
Saya doakan agar diri saya dapat memenuhi keperluan keluarga dan anda yang membacanya sehingga ke ayat ini beroleh kebaikan yang sama. Aamin!
Tindik hidung antara trend yang diikuti ramai tak kira umur dan jantina. Ia dibuat demi menonjolkan identiti, gaya diri atau sekadar mengikuti tren.
Semua tahu bahawa tindik hidung ini bukan dari agama Islam. Ia berasal dari budaya di India, Afrika, masyarakat asli Amerika dan Australia untuk menunjukkan status perkahwinan seseorang, menghormati dewi, menunjukkan kekayaan dan kedewasaan.
Malangnya ramai kalangan yang beragama Islam turut mengikuti trend ini tanpa mengambil kira tentang hukum.
Menurut fuqaha mazhab Syafi’i hukum menindik hidung adalah haram sama ada lelaki mahupun perempuan, begitu egitu juga haram ke atas kanak-kanak
Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa menebuk lubang hidung bagi memasukkan cincin emas mahupun perak adalah haram. Hal ini kerana, menindik hidung untuk meletakkan barang kemas bukan satu bentuk perhiasan yang menjadi kebiasaan (urf) masyarakat setempat.
Seterusnya, perbuatan menindik hidung juga merupakan adat tradisi golongan bukan Islam yang mempunyai unsur keagamaan. Celaan yang dahsyat terhadap penyerupaan agama lain bersandarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” Riwayat Abu Daud (4031)
Al-San’ani mensyarahkan hadis di atas bahawa larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang meniru orang kafir dari segi pemakaian mahupun penampilan.[6]
Kesimpulannya, hukum menindik (piercing) mana-mana bahagian hidung untuk memakai cincin daripada emas, perak atau menindik hidung dengan batu berlian adalah haram sama ada lelaki dan wanita dewasa mahupun untuk kanak-kanak.
Sebagai hamba Allah yang tak sempurna, kita tak lari dari sifat lupa termasuklah dalam urusan ibadah seperti solat.
Seringkali juga terjadi kita terlupa melakukan perkara yang disunat dalam solat antaranya membaca doa iftitah. Walau ia adalah amalan biasa tapi adakala kita boleh lupa gara-gara tidak khusyuk
Dalam hal ini adakah dibolehkan untuk kita membaca doa iftitah ini selepas bacaan surah al-Fatihah untuk terus meraih pahala amalan sunat.
Pejabat Mufti Wilayah dalam Al-Kafi siri 1959: Hukum Membaca Doa Iftitah Selepas Membaca al-Fatihah ada memberikan penjelasan tentang persoalan ini.
Hukum membaca doa iftitah dalam solat ialah sunat menurut mazhab Syafi‘e. Menurut pandangan Imam Syihabuddin al-Ramli:
Maksudnya: Hukum sunat membaca doa iftitah itu dikira luput jika dia membaca isti‘azah, meskipun dia membacanya secara tidak sengaja.
Sekiranya dia telah membaca isti‘azah atau telah pun membaca Surah al-Fatihah, maka dia tidak disunatkan lagi untuk membaca doa iftitah, kerana tempoh untuk membacanya (iaitu selepas takbiratul ihram) telah berlalu.
Begitu juga dengan penerangan yang diberikan oleh Syeikh Mahfuz al-Tarmasi:
أَنَّ دُعَاءَ الافتِتاحِ إِنَّمَا يُسَنُّ بِشُروطٍ خَمْسة …… وَأَنْ لَا يَشْرع المصلي مُطْلَقًا في التعوذ أو القراءة
Maksudnya: Sesungguhnya doa iftitah itu hanya disunatkan jika ia menepati lima syarat …. (Salah satunya adalah) hendaklah orang yang solat itu belum mula membaca isti‘azah atau membaca Surah al-Fatihah.[4]
Namun jika seseorang itu tetap membacanya, sama ada dalam rakaat yang sama, atau pada rakaat yang berikutnya, maka solatnya tetap sah kerana doa iftitah itu merupakan zikir.
Bahkan solat tetap sah jika dia memberhentikan bacaan al-Fatihah secara sengaja untuk membaca doa iftitah, kerana perbuatan tersebut tidak merosakkan bentuk zahir solatnya.