
Isi Kandungan
ToggleHujung Mac lalu kerajaan ada mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN iaitu bantuan secara ‘one-off’ kepada penerima yang layak.
Bukan itu saja, Kementerian Kewangan juga telah mengumumkan beberapa informasi berkaitan Bantuan Prihatin Nasional dan siapa yang layak memohonnya.
Pembayaran BPN ini akan dibuat secara 2 fasa iaitu pada akhir bulan April dan Mei 2020 dan tertakluk pada kelayakan ini.
Dan bagi mereka yang belum mendaftar, permohonan baru boleh dibuat mulai 1 April 2020 menerusi laman web rasmi LHDN pada klik pautannya. Untuk makluman semua permohonan boleh dibuat secara online sahaja.
Kaedah Pembayaran:
Kaedah bayaran Bantuan Prihatin Nasional B40 adalah seperti berikut:
Pembayaran sekiranya:
- Ada maklumat akaun – bayaran adalah secara kredit ke akaun; atau
- Jika status bayaran adalah gagal kredit – bayaran adalah secara tunai di Bank Simpanan Nasional
- Tiada akaun – bayaran adalah secara tunai di Bank Simpanan Nasional (BSN)
Kaedah Bayaran Bantuan Prihatin Nasional M40 adalah seperti berikut:

- Bayaran akan dibuat melalui akaun bank yang dinyatakan di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) terkini yang telah dikemukakan.
- Bayaran akan dikreditkan ke akaun bank ketua isi rumah.
- Jika taksiran bersama telah dipilih semasa mengemukakan BNCP, bayaran akan dikreditkan ke akaun bank atas nama pembayar cukai yang ditaksir.
Tempoh Membuat Semakan:
Penerima yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional B40 & M40 boleh membuat semakan status mulai 1 April 2020. Pangkalan data BPN adalah berdasarkan:
- Untuk B40, senarai penerima BSH yang diluluskan, dan
- Untuk M40, senarai pembayar cukai pendapatan yang memenuhi kriteria pendapatan BPN yang ditetapkan
Semakan Status Boleh Dibuat Di Portal Rasmi Berikut:
- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, http://www.hasil.gov.my
- Bantuan Sara Hidup (BSH), https://bsh.hasil.gov.my
- Kementerian Kewangan Malaysia, https://www.treasury.gov.my
KENYATAAN RASMI MOF:
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi pihak Kementerian atau LHDNM melalui nombor-nombor telefon ini:
03-8882 9089 / 03-8882 9087 / 1-800 882 747 / 03-8911 1000
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tak Perlu Belanja Mahal-mahal, Beli Jajan Pun Dah Cukup ‘TOP Up’ Cinta Isteri

Kehidupan berumah tangga memang tidak dapat dinafikan ada pasang surutnya. Maka sebab itulah suami isteri itu perlu bijak mengatur ‘rentak’ dalam mengemudikan sesebuah rumah tangga terutama suami. Ini kerana suamilah yang menjadi nakhoda yang menentukan hala tuju sesebuah rumah tangga.
Usah jadikan kesibukan sebagai halangan untuk memupuk kasih sayang. Tidak berbaloi mengejar harta dunia tetapi kasih sayang semakin pudar ‘warnanya.’
Moga perkongsian Akhtar Syamir dapat dijadikan panduan kepada pasangan suami isteri.
Beberapa hari yang lalu, isteri saya seperti tidak mahu melepaskan saya pergi kerja. Semasa bersalam, tangan saya dipegang kuat. Selalunya saya akan mengambil masa tidak kurang dari 10 saat untuk memeluknya sebelum keluar ke mana-mana.
Tetapi kali ini pelukannya menjadi semakin erat dan kemas. Tiba-tiba terasa sedikit sejuk di bahu saya. Rupanya dia sedang mengalirkan air mata. Saya tanya kenapa, “tau tak orang rindu? Janganlah pergi kerja” jawabnya sambil menundukkan muka dan air matanya berlinangan di pipi.
Begitulah isteri saya apabila bersedih, akan menundukkan mukanya dengan pipinya ke bawah seperti mencebik. Memang seperti keanak-anakan sedikit tetapi itulah manja dia pada saya.
KERJA TIDAK TENTU MASA
Saya sedar dalam beberapa hari ini saya selalu kerja tidak tentu masa. Memang masa di rumah sedikit kurang. Saya sentiasa cuba untuk menghabiskan masa dengannya, tetapi masa itu sendiri kadang-kala tidak mencukupi. Kalaulah mata ini tak perlu mengantuk, alangkah bagusnya. Saya akan selalu habiskan masa berjaga dengan dia.
Dengan lembut saya pegang kiri dan kanan lengan dia sambil berkata “sabarlah, I kena cari rezeki untuk keluarga kita, kita perlukan duit, nak beli barang dapur, nak bayar rumah, kereta, bil semua, nak beli baju untuk sayang dan anak-anak. Faham kan?” tanya saya.
Dia mengangguk sambil mencebik. Sekali lagi saya memeluk dia sambil menyedut kuat bau wangi rambutnya.
PERLUKAN MASA PERIBADI
Isteri ini bukan tak faham, walaupun hampir 9 tahun berkahwin, dia masih dambakan masa peribadi bersama suami. Tidak seperti masa dengan keluarga bersama anak-anak, masa dengan suami itu lain.
Ini antara sebab kenapa saya tidak melibatkan diri dengan apa-apa hobi yang memerlukan saya keluar dari rumah tanpa keluarga. Rasa sangat tidak berbaloi berseronok tanpa dia. Saya tak pasti orang lain, tapi mungkin ini memang normal buat keluarga yang hanya seorang sahaja bekerja menampung keluarga.
Suami menjadi sumber pendapatan dan sumber cinta buat keluarga. Manakala isteri suri rumah akan menjadi pelengkap kepada segala-galanya. Itulah sebab saya dilayan seperti seorang Raja. Kerana saya melayannya seperti seorang Permaisuri. Akan saya ceritakan apakah layanan diRaja yang saya terima dari isteri saya di penulisan akan datang.
Sebelum ke tempat kerja, saya singgah ke kedai. Kemudian, saya kembali semula ke rumah dengan jajan dan air untuk dia layan Netflix sementara saya pergi kerja. Tersenyum manis dia dapat jajan. Senyum tu pun dah cukup bagi saya untuk merasakan semua ini berbaloi.

TABUNG CINTA
Dengan jajan je saya dapat isi tabung cinta isteri. Tak susah mana pun, tapi usaha kita tu yang buat isteri hargai apa yang kita buat untuk dia.
Kadang-kala dalam kesibukan kita menunaikan tanggungjawab sebagai suami, kita terlupa mengisi tabung cinta isteri kita. Cubalah isinya dengan masa dan usaha kecil kita. Cari apa yang boleh membuatkan dia tersenyum.
Sekadar perkongsian rawak hari ini. Ambillah mana yang boleh memberi manfaat. Kongsikan jika sudi. Mana tau dengan perkongsian itu anda akan mendetikkan idea ke dalam kepada pasangan anda dan pasangan lain juga.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bawa Isteri Pergi Salon Pun Kira Tunaikan Nafkah Batin Buat Isteri

Menikahi seseorang wanita bermakna tanggungjawab seorang lelaki sebagai suami dalam menyediakan segala keperluan asas yang wajib ke atas isterinya. Selain tempat tinggal, pakaian, makanan dan keperluan, suami juga ‘wajib’ menggembirakan hati isteri.
Sebenarnya tak susahkan hendak senangkan hati isteri. Kadang-kadang perkara yang ‘simple’ pun boleh memberikan kesan yang sangat baik pada kerukunan rumah tangga. Sesungguhnya menggembirakan hati isteri itu memurahkan lagi rezeki si suami.
Seperti perkongsian Akhtar Syamir ini. Mungkin nampak remeh sahaja bukan? Tapi natijahnya, si isteri akan tersenyum bahagia.
Menunaikan nafkah batin buat isteri. Lagi 45 minit untuk pergi kerja dan saya masih di sini. Di dalam kereta bersama Akbar dan Daisy. Akbar duduk di belakang, bermain dan Daisy yang tadinya tidur, sudah mula tersengih-sengih. Isteri saya Nora Azni sedang berada di dalam Salun sambil ditemani anak sulung kami, Jasmine.
“Nafkah batin apa kau merepek ni?”. Soalan yang bakal terpancar di benak hati lelaki berstatus suami yang hanya ingat nafkah batin itu hanyalah seks semata-mata.
Definisi Batin : 1. (dlm) hati, perasaan dlm hati ( http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=batin ).
Menunaikan, memberi, merealisasikan, melayan apa yang tersimpan di dalam hati isteri boleh dikatakan amat tepat untuk menghuraikan maksud menunaikan nafkah batin.
KESILAPAN YANG PERLU DIPERBETULKAN
Itu je? Seksnya mana? Seks hanya salah satu dari perasaan di dalam hati isteri. Jangan angkat dia sebagai yang paling utama sedangkan di dalam hati dan perasaan isteri ini ada banyak lagi. Inilah kesilapan yang kita perlu sedar dan betulkan.
Kenapa ke Salun ini menjadi nafkah batin? Kerana sebagai suami, kita harus mendengar hati kecil isteri. Bangun dari tidur tadi isteri saya cakap dia nak gunting rambut. Saya bertanyakan kepastian dia dan dia cakap betul, dia nak gunting rambut. Saya terus setuju dan dalam 30 minit, kami sudah dalam kereta menuju ke Salun.
Kenapa saya tak fikir panjang? Sebab dia dah bagitau banyak kali dah secara tidak langsung. Dari menunjukkan rambut yang gugur, hujung rambut yang rosak dan lain-lain cara lagi. Bermakna, benda ni telah lama bermain di fikirannya. Kita hanya perlu buka mata dan dengar.
Mula-mula dia hanya nak potong dan cuci. Saya minta dia buat treatment sekali. Kena ingat ya, rambut wanita ini terutamanya yang panjang, kena buat treatment. Penjagaan dia tak sama macam rambut lelaki yang pendek. Jadi saya berharap sangat jangan ada orang pandang remeh bab ni.
Tak sempat kot katanya nak buat treatment sekali. Takpelah kalau macam tu. Kami bertiga pun tunggu dalam kereta sambil layan Cocomelon di Youtube. Hampir sejam berlalu, saya pasti yang dia dapat buat treatment sekali. Seketika kemudian, mereka berdua pun keluar dari Salun dengan penuh senyuman.
SENYUM MANIS TANDA ISTERI GEMBIRA

Itu sudah cukup buat saya rasa berbaloi menunaikan nafkah batin buat si dia. Isteri yang senyum manis adalah isteri yang gembira. Dan isteri yang gembira bakal membuatkan keluarga yang gembira. Kena percaya ayat ini.
Alhamdulillah, semasa dalam perjalanan pulang, hampir kesemua lampu isyarat lampunya hijau dan saya pun tidak lewat ke tempat kerja. Sangat dipermudahkan.
Jadi, adakah membawa isteri ke Salun termasuk dalam memberi atau menunaikan nafkah batin buat isteri? Sudah semestinya ya.
Tak sampai seratus pun. Setahun sekali pun takpe. Boleh buat kat Salun mesra Muslimah macam ni. Siap ada bilik yang bertutup khas, buat yang bertudung.
Semoga dapat mendetikkan niat dan memberi manfaat. Silalah berkongsi penulisan ini supaya lebih ramai yang sedar bahawa nafkah batin itu bukan hanya seks semata-mata.
Soalan buat si isteri, bila kali terakhir anda buat treatment? Jika ada, boleh kongsi buat kat mana?
Buat si suami, jika tak pernah dengar pasal treatment rambut, bawa isteri anda ke Salun terus. Mereka amat memerlukannya.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ada Yang Pertikai Lafaz Akad Nikah Hanya Sebut ‘Aku Terima’, Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Isi Kandungan
ToggleRentetan berita dan video pernikahan artis veteran terkenal baru-baru ini ada yang mempersoalkan lafaz akad nikah yang ringkas diucapkan oleh pengantin lelaki. Lafaz hanya ‘Aku Terima’ dilihat terlalu ringkas malah dipertikaikan sama ada sah atau tidak akad nikah tersebut.
Persoalan tersebut dijawab panjang lebar oleh Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Zulkifli Mohd Al-Bakri.
Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)
Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)
Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا
Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)
Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.
Dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha menyatakan bahawa suatu pernikahan itu termeterai melalui lafaz ijab dan qabul dengan sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas). Hal ini seperti perkataan seorang wali kepada bakal suami (pengantin lelaki): “زَوَّجْتُكَ ابْنَتِي” (Aku kahwinkan engkau dengan anak perempuanku) atau “أَنَكَحْتُكَ” (Aku nikahkan engkau).
Kemudian pengantin lelaki itu menjawab: “ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيْتُ” (Aku redha) kerana sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas) itu lebih menunjukkan kepada penyabitan dan penegasan, berbeza halnya dengan sighah mustaqbal (kata masa akan datang).
Melainkan di sisi ulama al-Syafi‘iyyah, mereka berpendapat bahawa tidak cukup pengantin lelaki itu hanya mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) sahaja atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja.
Bahkan pengantin lelaki mesti mengucapkan: “قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيتُ نِكَاحَهَا” (Aku redha nikahnya). Sekiranya dia tidak menyebutkan sedemikian, maka tidak sah nikahnya menurut mazhab (pendapat muktamad al-Syafi‘i).
Manakala di sisi jumhur fuqaha’ — al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan satu pendapat al-Syafi‘iyyah — bahawa memadai/cukup pengantin lelaki mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja dan sah pernikahan tersebut dengan sedemikian. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/238).
Menurut al-Buhuti, ucapan pengantin lelaki, “Aku terima” memadai kerana perkara itu adalah jelas sebagai jawapan. Maka, sah perkahwinan dengannya seperti mana jual beli. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 11/235).
Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan, ucapan pengantin lelaki sekadar, “Aku terima,” adalah tidak sah menurut mazhab Syafi‘i (pendapat muktamad) kerana tidak terdapat padanya secara jelas perkataan perkahwinan atau pernikahan, dan niatnya sendiri tidak mencukupi.
Manakala menurut satu pendapat lagi yang menyatakan perkahwinan dengan sedemikian itu adalah sah kerana ia kembali kepada apa yang diwajibkan (diucapkan) oleh wali seperti yang dijanjikan secara lafaz (sarih) sebagaimana pendapat yang paling sahih dalam bandingannya iaitu akad jual beli.
Akan tetapi menurutnya lagi, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, di mana ia dianggap sebagai kinayah dan akad pernikahan tidak sah dengan kinayah berbeza halnya dengan akad jual beli.
Namun, ada pendapat menyatakan bahawa perkahwinan tidak boleh terjadi melalui cara ini sama sekali, dan ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah sah secara mutlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/230).
Sesungguhnya, wacana ilmiah di kalangan para ulama dan cendikiawan Islam adalah amat baik serta membina makrifah serta kefahaman yang lebih mendalam dan meluas. Kami bersetuju bahawa pandangan yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita keluasan fiqh itu sendiri. Inilah yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:
مَا أَحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَخْتَلِفُونَ، لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا لَكَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، فَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ سِعَةً
Maksudnya: “Aku tidak suka bila sahabat Rasulullah SAW tidak berbeza pandangan, sebab kalaulah ia cuma satu pandangan, maka orang ramai akan berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah pemimpin yang menjadi ikutan. Kalaulah seseorang mengambil pandangan salah seorang dari mereka (kerana ada khilaf berlaku), dia akan berada dalam keluasan.” (Lihat al-I‘tisam oleh al-Syatibi, 2/577).

Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki, “Aku terima” atau “Aku redha,” sahaja sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah.
Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali/merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.
Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya” atau “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna.
Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan penganut-penganut beragama Islam berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Sumber: maktabahalbakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI