
Gaya rambut rambut panjang dengan mengikatnya merupakan trend yang cukup popular di kalangan lelaki di negara kita. Lelaki berambut panjang semakin ramai menggayakan trend ‘man bun’ yang telah beberapa tahun menjadiikutan di seluruh dunia.
Pada zaman sekarang memang cukup ramai lelaki berambut panjang. Tapi ada pula muncul yang menganggap bahawa jika lelaki mengikat rambut maka ia adalah haram.
Sejauh manakah kebenarannya ini? KASHOORGA tertarik dengan perkongsian ilmiah daripada pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau juga dikenali sebagai Pencutus Ummah (PU) Salman.
Ikuti perkongsian ilmiah beliau di bawah. Semoga ia boleh memberi pencerahan kepada lelaki di luar sana.
——————————————————
Ada terbaca satu artikel fb yg mengatakan haram lelaki mengikat rambut dan membuat tocang. Ini adalah salah faham terhadap hadis yg melarangnya Ketika solat tetapi harus diluar solat.
MAKRUH KETIKA SOLAT
Imam Nawawi Ulama mazhab Syafie menyatakan:
اتفق العلماء على النهي في الصلاة ورأسه معقوص أو مردود شعره تحت عماته
Ulama bersepakat(4 mazhab) mengatakan makruh dalam solat mengikat , membuat tocang atau meletakkan rambutnya yang Panjang dibawah serbannya.(syarah sahih Muslim)
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما أَنَّهُ رَأَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ الْحَارِثِ يُصَلِّي وَرَأْسُهُ مَعْقُوصٌ مِنْ وَرَائِهِ ، فَقَامَ فَجَعَلَ يَحُلُّهُ ، فَلَمَّا انْصَرَفَ أَقْبَلَ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَقَالَ : مَا لَكَ وَرَأْسِي ؟! فَقَالَ : إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : (إِنَّمَا مَثَلُ هَذَا مَثَلُ الَّذِي يُصَلِّي وَهُوَ مَكْتُوفٌ) رواه مسلم
Ibnu Abbas melihat Abdullah bin Harith solat rambutnya disimpulkan rambutnya di belakang. Ibnu Abbas bangun dan merungkaikan rambutnya. Setelah selesai dia pergi bertanya ibnu Abbas “Mengapa dengan rambutku?” Ibnu Abbas menjawab “ Sesungguhnya ini dalam solat seumpama kedua tangannya terikat dibahunya.” Hadis sahih Muslim.
HARUS IKAT , SIMPUL DAN TOCANG RAMBUT BAGI LELAKI DILUAR SOLAT
Ini berdasarkan hadis:
دخلَ رسولُ اللهِ صلَّى الله عليْهِ وسلَّمَ مَكَّةَ ولَهُ أربعُ غدائرَ تعني ضفائر
Rasulullah saw masuk Mekkah dengan 4 simpulan rambut yg diikat. (Hr Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Imam Bajuri berkata:
حل ضفر الشعر حتى للرجال ولا يختص بالنساء وان اعتيد في أكثر البلاد في هذه الأزمنة اختصاصهن به لأنه لا اعتبار له
Harus mengikat rambut bagi lelaki dan ianya tidak khusus bagi perempuan sekalipun kebanyakan negara di zaman ini ianya khusus bagi wanita. Kerana ianya tidak dikira. (Mawahib Laduniah syarah Syamail Muhammadiah)
Kredit: Pu Salman
‘Ramai Terkorban Gempa Bumi Turkiye.’ Orang Meninggal Dalam Bencana, Adakah Dikira Mati Syahid?

‘Ramai terkorban dalam gempa bumi Turkiye.’ Orang meninggal dalam bencana, adakah dikira mati syahid?
Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fisabilillah atau mati syahid.
Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam. Bagaimana pula mereka yang terkorban dalam bencana alam seperti gempa bumi yang berlaku di Turkiye sebelum ini.
Ikuti penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.
Artikel Berkaitan:
Ramai Terkorban
Soalan:
Berkenaan isu gempa bumi yang melanda Negara Turki dan Syria baru-baru ini, jumlah kematian yang melibatkan orang Islam sangat ramai.
Jadi, apakah status orang islam yang mati akibat gempa bumi dan adakah mereka dikira mati syahid? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.
Jawapan
Golongan yang meninggal dunia akibat runtuhan bangunan atau gempa bumi merupakan mereka yang tergolong dalam kategori orang yang mati syahid akhirat dan jenazahnya perlu diuruskan seperti jenazah-jenazah yang lain mengikut syariat islam.
Orang Meninggal
Orang yang mati syahid mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصِّدِّيقُونَ ۖ وَٱلشُّهَدَآءُ عِندَ رَبِّهِمْ لَهُمْ أَجْرُهُمْ وَنُورُهُمْ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ
Maksudnya:
“Orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya) seperti orang “Siddiqin” dan orang yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya. Dan (sebaliknya) orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.”
Surah al-Hadid (19)
Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam tafsirnya berkenaan orang-orang yang mati syahid di jalan Allah SWT akan memperoleh pahala yang besar di sisi-Nya dan cahaya yang terang benderang di hadapan mereka.
Dalam Bencana
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang mati di jalan Allah SWT dalam apa jua jenis keadaan, maka dia dikira sebagai syahid. Ulama berpandangan mati syahid merupakan rahmat Allah SWT kepada mereka sebagai satu kelebihan atas kesakitan dan keperitan yang dialami saat kematiannya.
Terdapat beberapa hadis yang menceritakan berkenaan hal ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dalam Sahih Muslim dan Sahih Bukhari, sabda Nabi SAW:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ .
Maksudnya:
Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas,orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Adakah Dikira Mati Syahid?
Secara ringkasnya, Imam Syihabuddin al-Ramli berpandangan bahawa orang yang mati dalam keadaan syahid boleh dikategorikan kepada tiga golongan iaitu:
Syahid di dunia dan akhirat iaitu orang yang gugur terbunuh dalam medan peperangan di jalan Allah SWT kerana menentang golongan kafir dan berniat ikhlas untuk meninggikan kalimah Allah SWT. Golongan ini baginya pahala di dunia dan akhirat.
Syahid di akhirat sahaja iaitu orang yang terbunuh dalam keadaan dizalimi tetapi bukan gugur terbunuh di medan peperangan. Mereka ini tergolong dalam hadis yang disebutkan di atas seperti orang yang mati kerana lemas, orang mati dalam runtuhan, orang yang mati kerana penyakit perut dan orang yang mati dalam kebakaran.
Syahid di dunia sahaja iaitu orang yang berperang di jalan Allah SWT tetapi berniat semata-semata untuk mendapatkan harta rampasan perang, terbunuh ketika sedang cuba melarikan diri daripada medan peperangan, berperang hanya kerana riya dan lain-lain lagi.
Miliki Perbezaan Setiap Satunya
Terdapat perbezaan berkenaan kaedah pengurusan jenazah bagi ketiga-tiga golongan ini. Golongan syahid dunia dan akhirat tidak perlu dimandikan jenazahnya, tidak perlu dikafankan bahkan hanya memadai memakai pakaiannya ketika mati dan tidak perlu disolatkan.
Jenazah mereka boleh terus ditanam dan dikebumikan. Adapun golongan syahid akhirat maka akan mendapat pahala syahid di akhirat dan wajib ke atas jenazahnya untuk diuruskan seperti dimandikan, dikafankan dan disolatkan seperti biasa.
Manakala bagi golongan syahid dunia, maka jenazahnya tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disolatkan. Golongan ini tidak mendapat pahala syahid yang sempurna di akhirat kerana secara zahirnya mereka itu mati berperang di jalan Allah SWT namun persoalan pahala dan dosa itu terserah kepada Allah SWT.
Baca Di Sini:
Saat Diuji Gempa Bumi, Rasulullah Ajar Bacakan Doa Ini Untuk Keselamatan Diri
Syahid Akhirat
Berdasarkan kepada persoalan di atas, orang islam yang mati akibat berlakunya gempa bumi termasuk dalam kategori kumpulan kedua iaitu golongan yang syahid akhirat sahaja.
Ini kerana, mereka juga mengalami situasi yang sama iaitu mati dalam keadaan ditimpa runtuhan bangunan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:
وَصَاحِبُ الْهَدْمِ من يموت تحته
Maksudnya:
“Orang yang ditimpa runtuhan adalah mereka yang mati di bawah runtuhan tersebut.”
Tuntasnya, mereka yang mati akibat berlakunya gempa bumi dan ditimpa runtuhan bangunan termasuk dalam golongan mereka yang mati syahid akhirat sahaja seperti mana jelas dinyatakan dalam hadis tersebut.
Mereka tetap mendapat pahala akhirat seperti mana janji Allah SWT ke atas mereka dan jenazah tersebut juga perlu dikendalikan seperti jenazah-jenazah yang lain mengikut syariat islam.
Kashoorga: Semoga kita semua meninggal dalam keadaan husnul khotimah. Amin.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Pelihara Anjing Sebagai “Teman” Bermanja Hukumnya Haram, Melainkan Atas Keperluan Tertentu Yang Dibenarkan

Pelihara anjing sebagai “teman” bermanja hukumnya haram, melainkan atas keperluan tertentu yang dibenarkan seperti untuk berburu atau menjaga keselamatan.
Zaman sekarang menjadi trend anak remaja yang menyentuh atau membelai anjing sesuka hati kerana beranggapan sama-sama kering tidak mendatangkan masalah.
Padahal menyentuh anjing tanpa tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan. Ikuti penjelasan Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang berkaitan isu ini.
Artikel Berkaitan:
Ini Hukumnya Pegang Anjing Dalam Lakonan & Untuk Tujuan Peliharaan
Pelihara Anjing Sebagai “Teman”
Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang memutuskan bahawa hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan peliharaan (pet) adalah haram melainkan untuk tujuan muktabar yang termasuk dalam keperluan dan kemaslahatan.
Antaranya adalah untuk tujuan:
1. Perburuan yakni anjing yang digunakan bukanlah anjing “comel” dijadikan “teman” untuk bermanja, tetapi anjing yang garang atau tahan lasak dan sesuai dijadikan untuk berburu.
Walau bagaimanapun, Islam hanya membenarkan perburuan adalah untuk mendapatkan makanan, bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka.
Bermanja Hukumnya Haram
2. Anjing pemandu jalan
Anjing yang dipelihara dengan tujuan untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu.
3. Keselamatan
Anjing dibela untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti polis dan kastam serta juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah.
4. Membantu penternakan haiwan.
Seterusnya, perbuatan memegang anjing secara sengaja, tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ianya bercanggah dengan pegangan mazhab dan uruf di Malaysia.
Melainkan Atas Keperluan
Menurut mazhab syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.
Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.
Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.
Tertentu Yang Dibenarkan
Perbuatan mana-mana orang Islam yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) akan disalah tafsir dan dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam.
Oleh yang demikian, mereka perlu segera meninggalkan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada Allah.
Justeru, umat Islam dinasihatkan agar tidak menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.
Baca Di Sini:
Kashoorga: Tak boleh ya sentuh anjing suka-suka dan tanpa sebab.
Sumber: Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Haram Lakukan Hubungan Intim Selepas Lafaz Cerai, Walaupun Belum Disahkan Di Mahkamah!

Ini kes yang amat berat. Setiap pasangan perlu berhati-hati apabila lafaz cerai atau talak diucapkan. Salah seorang perlu keluar dari rumah serta merta kerana mereka bukan lagi berstatus suami isteri.
Selepas lafaz cerai, pasangan boleh rujuk semula dalam tempoh iddah iaitu tiga kali bekas isteri suci daripada haid. Tiada lagi dibolehkan tinggal sebumbung apatah lagi berbantal kan lengan pasangan.
Tiada istilah lafaz tak sengaja, bergurau atau tak ada niat nak cerai kerana hal talak tidak boleh dibuat main. Kita ikuti penjelasan lanjut oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini kerana ramai juga yang keliru.
Artikel berkaitan:Jika Perceraian Jalan Terbaik, Lepaskanlah. Jangan Seksa Isteri Gantung Tak Bertali”- Peguam
Artikel berkaitan:Hak Isteri Selepas Bercerai, Suami Jangan Ingat Boleh Lepas Tangan
Soalan
Assalamualaikum. Saya dalam proses mendapatkan surat cerai setelah menceraikan isteri saya. Namun dengan nama Allah, hakim atau pendaftar di mahkamah syariah negeri Selangor terbabit menyatakan saya masih boleh bersetubuh dengan bekas isteri saya jika penceraian tidak mendapat pengesahan mahkamah.
Adakah kuasa mahkamah syariah menafikan hukum syarak sedia ada? Adakah jika saya melakukan persetubuhan ia tidak dihukumkan sebagai zina oleh Allah?
Jawapan
Waalaikumussalam. Semoga Allah permudahkan urusan rumah tangga kalian.
Apabila berlaku penceraian, setiap pasangan perlu mengambil berat soal hak dan tanggungjawab serta perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan agar tidak terjerumus melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Syarak.
Antara perkara penting yang wajib diketahui ialah berkaitan hukum talak dan rujuk beserta prosedurnya mengikut ketetapan daripada Mahkamah Syariah.
Dalam perkahwinan yang sah, seorang suami mempunyai hak untuk menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Penceraian pertama dan kedua masih boleh dirujuk selagi mana masih dalam tempoh ʿiddah.
Sekiranya tempohʿiddah sudah tamat, suami tidak boleh rujuk isterinya kembali melainkan perlu mengulang semula akad nikah berserta maharnya sekali seperti perkahwinan pertama kali.
Dari segi hukum syarak, sejurus sahaja talak diucapkan maka talak satu akan jatuh serta-merta tidak kira sama ada lafaz talak diucapkan di mahkamah ataupun luar mahkamah.
Kesannya, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam satu rumah apatah lagi melakukan persetubuhan, sama ada talak rajʿī [1]atau talak bain[2]. Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ʿajnabi (asing) kepada bekas suami.
Kekeliruan timbul apabila ada pihak mengatakan talak hanya jatuh apabila dilafazkan di depan hakim di mahkamah tidak di luar. Menjawab kekeliruan ini, persoalan di atas boleh dijawab berdasarkan pembahagian wajib.
Ulama’ membahaskan wajib ada tiga jenis; wajib dari segi Syarak (Diyānah), wajib dari segi Undang-undang (Qaḍa’) dan wajib dari segi Syarak dan Undang-undang. Pengertiannya:
- Wajib Diyānah ialah kewajipan yang dilaksanakan semata-mata atas suruhan Allah. Kewajipan yang perlu dilaksanakan walaupun tiada bukti yang boleh digunakan untuk membuktikan kewajipan tersebut, khususnya apabila didakwa dan dibicarakan di mahkamah.
Contohnya, suami mentalakkan isteri tanpa saksi. Apabila isteri ingin mengangkat kes talak ini ke mahkamah bagi menuntut hak-hak berkaitan sedangkan suami tidak mahu mengaku sudah melafazkan talak.
Keadaan ini menyebabkan hakim memutuskan perempuan itu masih isteri yang sah atas faktor tidak mempunyai saksi dan pengakuan, si suami tetap tidak boleh menafikan fakta yang dia sudah menceraikan isterinya.
Keputusan hakim berdasarkan apa yang terzahir sahaja, sedangkan Allah Maha Mengetahui segalanya. Mengikut ketetapan Syarak, talak tetap jatuh dan suami wajib melaksanakan segala suruhan dan larangan berkaitan talak dan rujuk walaupun hakim memutuskan sebaliknya.
- Wajib Qada’ ialah kewajipan yang perlu dilaksanakan mengikut kepada ketetapan undang-undang semata-mata. Kewajipan ini boleh dibuktikan dan dituntut di mahkamah mengikut akta dan enakmen yang diperuntukan.
Contohnya boleh didapati daripada soalan di atas, undang-undang mewajibkan setiap penceraian mestilah didaftarkan dan disahkan di mahkamah.
Sekiranya penceraian tersebut masih belum mendapat pengesahan mahkamah, kesannya mereka berdua masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang.
Namun perlu diingatkan, status suami isteri tersebut hanya sah di sisi undang-undang sahaja, tidak di sisi syarak. Hal ini berlaku kerana syarak menetapkan talak tetap jatuh apabila syarat-syaratnya dipenuhi tidak kira mahkamah sudah mengesahkannya atau belum.
- Wajib Diyānah dan Qada’ ialah kewajipan yang syarak dan undang-undang tetapkan dalam masa yang sama. Jadi, apabila suami menceraikan isterinya melalui prosedur mahkamah syariah dan mahkamah mengesahkannya, maka penceraian itu sah di sisi syarak dan undang-undang.
Pembahagian wajib di atas menunjukkan bahawa penceraian yang berlaku di luar mahkamah tetap dianggap sah di sisi agama walaupun mahkamah masih belum mengesahkannya.
Walaupun begitu, dinasihatkan kepada semua pasangan untuk mendaftarkan sebarang penceraian dan rujuk yang berlaku di Mahkamah Syariah. Dalam masa yang sama, mematuhi hukum-hakam berkaitan talak dan rujuk. Pengamalan ini lebih baik dan sempurna.
Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri, lafaz talak perlulah dilakukan di dalam mahkamah sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi tujuan rekod dan memudahkan urusan tuntutan jika terdapat sebarang permasalahan.
Sekiranya lafaz talak tersebut dibuat di luar mahkamah, pihak suami atau isteri hendaklah segera membuat pengesahan di Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari bagi mengelakkan didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Akta ini diwujudkan demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Menyembunyikan lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah boleh menyebabkan ketiadaan rekod di Pejabat Agama. Akibatnya, akan menyukarkan pihak-pihak berkaitan untuk mengingat kembali butir kejadian sekiranya perkara yang sama berulang kembali di masa hadapan.
Sekiranya lafaz telah berlaku secara kerap pula boleh menyebabkan berlakunya talak tiga tanpa disedari dan menyebabkan suami isteri tidak boleh berkahwin semula.
Lebih dahsyat apabila kedua-dua pasangan sudah melakukan persetubuhan sedangkan proses rujuk tidak dibuat di dalam tempoh ʿiddah sehingga memberi kesan kepada nasab anak yang lahir. Jika berlaku, suami dan isteri terlibat wajib bertaubat kepada Allah kerana terlibat dengan dosa zina.
Berdasarkan keterangan di atas, boleh disimpulkan bahawa haram bagi suami untuk bersetubuh dengan isterinya sepanjang tempoh penceraian walaupun belum mendapat pengesahan mahkamah.
Kuasa mahkamah syariah berperanan sebagai institusi kehakiman dalam melaksanakan dan memelihara hukum syarak sedia ada demi memelihara kebaikan dan kepentingan anggota masyarakat.
Persetubuhan yang terjadi sebelum proses rujuk boleh dianggap sebagai zina. Suami dan isteri yang terlibat wajib bertaubat kepada Allah atas keterlanjuran yang dilakukan.
Akhirnya, apabila suami melafazkan kata-kata yang meragukan segeralah merujuk ke Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk penerangan lanjut. Sikap berdiam diri boleh membawa padah di kemudian hari.
[1] Talak rajʿī: Talak yang boleh dirujuk dengan syarat berlaku pada kali pertama dan kedua serta masih dalam tempoh ʿiddah
[2] Talak bain: Talak yang tidak boleh dirujuk disebabkan tamat tempoh ʿiddah (ketika talak pertama atau kedua) atau talak berlaku kali ketiga
Kashoorga : Semoga yang tak sedar sudah sedar dan perbetulkan semula keadaan. Ramai juga yang masih tinggal sebumbung kerana keiru dengan status masih suami isteri yang dinyatakan pihak mahkamah. Tetapi di sisi Allah, hubungan mereka bukan lagi suami isteri sah.