Ulamak berbeza pendapat dalam memberikan hukum terhadap sambutan tahun baru masihi. Secara ringkasnya, ianya terbahagi kepada dua pendapat:
Pertama:Pendapat yang mengatakan haram bagi menyambut tahun baru masihi. Dalil yang digunakan adalah berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, dari Ibn ‘Umar R.Anhuma:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”. Riwayat Abu Daud (4031)
Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka.
Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat.
Kebiasaan sambutan tahun baru ini dimonopoli oleh golongan bukan Islam yang mana kita ketahui di dalam sambutan tersebut berlakunya perkara-perkara mungkar seperti pembaziran, meminum arak, ikhtilat, konsert nyanyian dan sebagainya. Ianya menjadi adat kebiasaan bagi golongan ini dan setiap hadirnya tahun baru, maka perkara-perkara mungkar ini akan berulang.
Berdasarkan hadis inilah, sebahagian ulamak mengharamkan umat Islam dari menyambut dan juga menyertai majlis-majlis sambutan tahun baru yang mana pertamanya adalah meniru golongan kuffar dan yang keduanya dengan melihat perkara-perkara mungkar yang terdapat pada sambutan tersebut.
Ads
Kedua:Pendapat yang mengatakan harus bagi menyambut tahun baru. Ianya berdasarkan bahawa kalendar Gregorian yang digunakan pada masa kini, meskipun bukan ciptaan Islam, penerimaan terhadap kalendar moden ini tiada bersangkut paut dengan agama malah masyarakat awam tidak lagi mengetahui dan mengambil endah tentang asal-usulnya dan kaitannya dengan mana-mana agama. Oleh itu, penggunaan kalendar moden ini lebih kepada adat dan kebiasaan yang berlaku.
Ianya juga melihat kepada Islam yang menerima sesuatu adat setempat yang mana jika tidak bercanggah dengan syara’, maka ianya boleh diterima dan dijadikan sebagai satu hukum. Kaedah fiqhiyyah ini disebutkan sebagai:
العَادَةُ مُحَكّمَةٌ
Maksudnya: Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan.
Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:
Maksudnya: Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.
Sambutan ini, meskipun hukumnya diharuskan, namun perlulah diberikan garis panduan yang sewajarnya agar tidak berlaku perkara-perkara kemungkaran. Antara yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:
Sambutan Tahun Baru mestilah disambut dengan asas ianya adalah uruf dan adat kebiasaan dan bukannya dianggap sebagai upacara keagamaan. Tidak berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan. Tidak dihidangkan arak dalam majlis sambutan tersebut. Tidak diadakan program-program yang melalaikan dan sebagai satu inisiatif yang lain, pihak penganjur perlulah memikirkan program-program yang baik dan dapat mendidik jiwa masyarakat yang menyertai sambutan tersebut. Tidak berlakunya pembaziran.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah melihat hujahan dari kedua-dua belah pihak dan pendapat mereka, kami lebih cenderung kepada keharusan untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.
Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:
“Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Tidak. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian.
Ads
Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”
Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik.
Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak.
Maksudnya: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Al-Syu’ara’: 88-89)
Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tahun baru ini dapat memberikan sinar bahagia dan menghilangkan kabus kesusahan dalam kehidupan kita dan seterusnya kita sentiasa berada rahmat, taufik, hidayah dan inayahNya.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Terdapat banyak dalil yang memberi amaran keras kepada mereka yang sewenang-wenangnya berbuka puasa tanpa uzur syar’ie seperti sakit dan musafir. Terdapat beberapa nas berkenaan hal tersebut antaranya:
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
عُرَى الإِسلامِ وَقَوَاعِدُ الدِّين ثلاثةٌ: عَلَيهِنَّ أُسِّسَ الإِسلامُ مَن تَرَكَ وَاحِدَةً مِنْهُنَّ فَهُوَ بِهَا كَافِرٌ حَلالُ الدَّمِ شَهَادَةُ أن لا إلهَ إلاَّ الله والصلاةُ المَكْتُوبَةُ وَصَومُ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadan.”
(Riwayat Abu Ya’la dan al-Dailami)
Imam al-Haitami menukilkan di dalam Majma’ al-Zawaid (1/47-48): Hadis ini dirwayatkan oleh Abu Ya’la secara sempurna dan al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir. Akan tetapi ia hanya menyebut tiga sahaja dan tidak menyebut riwayat Ibn Abbas di atas. Sanad hadis ini hasan. Al-Munziri di dalam al-Targhib wa al-Tahrib (1/382) berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad hasan.
Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَفْطَرَ يَوماً مِنْ رَمَضَانَ في غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخَّصَهَا الله لَهُ ، لمَ ْيَقْضٍ عَنْهُ صِيَامُ الدَّهْرِ
كُلُّهُ وَإِنْ صَامَهُ
Maksudnya: “ Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”
(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Tarmizi)
Berdasarkan dua hadis di atas, jelas menunjukkan betapa Islam memandang prihatin berhubung perlaksanaan ibadat puasa Ramadan, bahkan ia dianggap salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam.
Imam al-Zahabi berkata: “Di sisi semua orang Islam telah mengakui dan mengiakan bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan pada siang harinya tanpa sebarang keuzuran sebenarnya orang tersebut lebih jahat daripada penzina dan peminum arak, bahkan mereka mengesyaki keislaman orang yang tidak berpuasa dan menyangka dengan kafir zindiq, dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.”
Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan betapa meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat diganti dengan qada’ dari sudut nilainya.
Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Puasa Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam dan perkara fardhu dalam agama yang mesti diketahui. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari kewajipan, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad. Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat, dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama.
Sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya, dia menjadi fasiq. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalang daripada makan dan minum pada waktu siang supaya dia berpuasa, sekalipun secara zahirnya sahaja.
Justeru sewajarnya umat Islam tidak memandang ringan dalam masalah puasa Ramadan, tetapi hendaklah bertekad dan berazam untuk menunaikannya sebaik mungkin.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sungguh tak disangka apabila serangga yang dianggap selama ini sebagai ‘musuh’ telah menjadi antara ‘ikon’ utama dalam kitab suci Al-Quran! Mengapa agaknya semut (An-Naml) diangkat menjadi nama surah sedangkan kisahnya hanya setakat dua-tiga ayat sahaja?
Bukankah ada banyak lagi pilihan yang lebih menarik untuk ditonjolkan seperti surah AlBalkis, Al-Ifrit, atau untuk lebih anggun, ambil sahaja nama Nabinya, Surah Sulaiman? Nampaknya, itulah antara rahsia tersembunyi yang ingin Allah jelaskan kepada kita. Meskipun perkataan ‘Naml’ hanya sekali sahaja diulang dalam surah ini, namun banyak sekali budaya serta nilai-nilai kehidupan positif yang boleh kita pelajari dari dunia semut.
Ia merupakan serangga ber’otak’ kecil tetapi memiliki keupayaan berfikir dan bertindak yang begitu luar biasa. Seekor semut mungkin sahaja dilihat memiliki keupayaan terhad, paling hebat pun setakat mengangkat sebutir nasi sahaja, tetapi satu koloni semut boleh menghasilkan pelbagai kejutan yang tidak dapat dibayangkan. Rumah banglo agam boleh sahaja reput jika tidak berhati-hati dengan kuasa luar biasa ‘tentera semut’ ini.
Melihat kepada semua kelebihan di atas, apakah nilai positif terunggul yang boleh kita contohi dari koloni semut?
SEMUT MENGAJAR BUDAYA MEMENTINGKAN PERADABAN HIDUP
Busut kecil semut yang ‘tersergam’ di tepi pagar rumah pasti membuktikan betapa sistematik dan ‘canggih’nya dunia mereka. Komuniti semut memiliki segala ‘sistem’ yang kita miliki, bermula dari pembangunan gudang makanan, pengklasifikasian tentera, sistem aliran trafik keluar masuk canggih higga tidak memerlukan sebarang ‘traffic light’, sistem aliran alternatif kawalan banjir hinggalah sistem udara berpusat ala ‘penghawa dingin raksasa’ dalam sarang mereka.
Jika semut, haiwan yang sering kita remehkan begitu sistematik hidupnya serta amat menitikberatkan teknologi tinggi, apakah alasannya untuk kita, golongan bergelar ‘sebaik umat’ tetapi masih terpesong prioriti, saling bergaduh dan bersikap acuh tak acuh hingga membiarkan golongan bukan islam lebih terkehadapan dalam keteraturan hidup dan penguasaan teknologi?
SEMUT MENGAJAR KITA SIKAP POSITIF DALAM HIDUP YANG SEBENAR
Ayat 18 memaparkan saat genting koloni semut ketika berhadapan dengan tentera Nabi Sulaiman. Komander semut, yang walaupun sedang berada di ambang malapetaka, ia masih sempat untuk kekal tenang serta bersikap positif ketika menghadapi kesulitan. Arahan yang dikeluarkan bukanlah arahan kelam-kabut tetapi lebih kepada pertimbangan rasional. ‘Hai semut-semut, masuklah kedalam sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari’ (Naml, 18)
Betapa positifnya komander semut itu. Ia tidak kabur dalam memberikan arahan walaupun nyawanya saling tak ubah seperti ‘telur di hujung tanduk’ dari diinjak-injak tentera Sulaiman. Daya kepimpinannya yang begitu terserlah di saat krisis melalui arahan tepat itulah yang membuatkan Sulaiman memujinya. Contoh kecil ini amat indah untuk kita pelajari dari semut tentang maksud positif dalam hidup.
SEMUT MENGAJAR KITA BETAPA PENTINGNYA HUSNUZON
Husnuzon atau memandang baik sesuatu perkara amat penting untuk dijadikan antara ‘tiang seri utama’ cara kita berfikir dan bertindak. Dan komander semut tersebut telah menunjukkan teknik terbaik mengaplikasikannya melalui kata-kata akhirnya ‘sedangkan mereka tidak mengetahui’ (Naml 18).
Jika nak diikutkan, komander semut boleh sahaja berprasangka buruk dengan Sulaiman. Yelah, takkan nabi yang menguasai teknologi tercanggih ‘mengangkat bangunan beribu tan sekelip mata’ pun tidak tahu laluan tenteranya tepat menuju ke koloni semut? Sedangkan rahsia Ratu Balkis yang beribu kilometer jauhnya itupun dibongkar oleh ‘agen dan perisik’ baginda, inikan pula kedudukan komuniti semut yang berada dalam jajahan takluknya?
Cara fikir ‘suuk zonn’ sebegitu mungkin ada bagi mereka yang suka berfikiran negatif, tetapi tidak pada pandangan komander semut. Ia sangat tahu yang Nabi Sulaiman tidak mungkin sengaja menzalimi mereka, dan ia amat pasti jika itu yang Baginda putuskan (berjalan melewati koloni semut), tentu ada hikmah tersirat yang ingin Sulaiman ajarkan kepada mereka.
Sumber: Zahirahhafizan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Kebanyakan di rumah-rumah orang Islam masih terdapat di dinding-dinding rumah mereka tergantung gambar-gambar manusia samaada tuan rumah sendiri atau ahli keluarganya. Atau pun gambar-gambar binatang menghiasi dinding rumah mereka sebagai perhiasan. Tidak kurang juga kita dapati ada sebahagian mereka yang menjadikan patung-patung binatang sebagai koleksi perhiasan yang diletakkan dialmari perhiasan sebagai hobi tuan rumah.
Adakah amalan seperti ini dilarang atau dibenarkan? Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada:
Pertama : Gambar
Kedua : Patung
Ketiga : Anjing
Keempat : Orang yang junub.
Gambar sekadar hiasan.
GAMBAR MAKHLUK BERNYAWA
Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah malaikat rahmat. Manakala yang dimaksudkan dengan gambar pula ialah gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan binatang.
Haram bagi orang yang meletakkan gambar yang bernyawa di rumah-rumah mereka, seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut.
Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk bunga, pohon pokok, kapal, rumah, ayat Al-Quran, kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling mendapat seksa pada hari kiamat adalah para pembuat gambar (pelukis/pengukir).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Pakaian (al-Libas), 5959. Muslim dalam bab yang sama, 2109)
Dalam hadis Nabi SAW yang lain bermaksud: Dari ‘Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang.
Berkata ‘Aisyah: “Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku?
Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu?”
Jawab ‘Aisyah, “Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar.”
PELUKIS GAMBAR AKAN DISEKSA DI HARI KHIAMAT
Sabda Rasulullah SAW: “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”
Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.”
(Hadis Riwayat Muslim).
Daripada Ibnu ‘Abbas, “Aku mendengar Muhammad berkata, ‘Barang siapa membuat gambar di dunia ini, dia akan dipersoalkan serta diminta supaya memberikan nyawa kepada apa yang dilukiskannya pada hari kiamat nanti, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab Pakaian (7/72), no. 846)
Sumber kredit: Ustaz Abu Basyer
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?