Memuatnaik gambar tidak menutup aurat sempena #10yearschallenge seakan menjadi ikutan ramai. Isu yang penting untuk diperhatikan adalah sama ada gambar dahulu tersebut adalah ketika mumayyiz ataupun belum mumayyiz. Sekiranya belum mumayyiz, kami cenderung untuk menyatakan hukumnya adalah harus selagimana tidak membawa fitnah.
Bagi yang sudah mumayyiz, hukumnya adalah haram. Ini kerana memuatnaik gambar yang tidak menutup aurat sempena fenomena cabaran #10yearschallenge yang tular kini, bukanlah satu keperluan yang penting dan hanya sekadar suka-suka sahaja.
Sikap berhati-hati hendaklah diutamakan. Potensi untuk gambar dahulu yang tidak menutup aurat (walaupun sekarang menutup aurat) untuk menjadi fitnah adalah amat tinggi. Maka di sinilah asas pengharamannya berdasarkan kaedah sadd al-zari’ah iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram.
Ini juga juga berdasarkan kaedah fiqh lain yang berbunyi:
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Ads
Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.
Ini juga berdasarkan satu kaedah:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Ads
Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar r.a:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Ads
Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Pun begitu, sebarang bentuk gambar yang boleh dimanipulasi untuk tujuan yang tidak baik, hendaklah dipertimbangkan sebaik-baiknya sebelum dimuatnaik. Apatah lagi dalam suasana zaman sekarang yang terdedah kepada bahaya, termasuk isu-isu melibatkan child predator dan pedofil.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Siapa tidak gembira apabila dapat mendirikan masjid dengan insan tersayang yang menjadi pilihan hati selama ini.
Pastinya tanggungjawab akan berubah dari kehidupan seorang yang single kepada cara hidup berdua dan kemudiannya berkeluarga. Sebaik sah ijab kabul, seorang isteri itu perlu patuh pada arahan insan bergelar suami.
Malah dikatakan juga syurga itu di bawa telapak kaki suami. Lantas menjadi tanggungjawab seorang isteri itu untuk berusaha menjadi seorang kekasih hati yang baik dan solehah.
Namun ketika ini, ungkapan itu mula dimainkan oleh orang sekeliling. Walaupun ia sekadar ungkapan untuk mengingatkan diri bahawa kita tidak lagi hidup sebagai orang bujang tetapi tanggungjawab yang sudah semakin besar sebaik bergelar isteri.
Ketahuilah sebenarnya ungkapan ‘syurga di bawah tapak kaki suami’ itu mempunyai maksud yang tersendiri.
Ia seperti mana yang dijelaskan oleh pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.
Para suami tidak boleh menggunakan kenyataan di atas untuk memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Kenyataan di atas bukan hadis sebagaimana dinyatakan oleh seorang alim besar Syria Syeikh Doktor Ahmad Al Hajji Al Kurdiy.
Benar, salah satu kunci syurga isteri ialah taat pada suami. Hadis sohih riwayat Ibnu Hibban.
Maksud :”Jika seorang wanita solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), jaga maruah dan taat suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga melalui mana-mana pintu yang dia mahu”.
Satu lagi hadis sohih menunjukkan besarnya hak suami ke atas isteri.
Maksudnya :“Jika aku boleh perintahkan seseorang untuk sujud kepada seseorang, maka aku perintahkan isteri untuk sujud pada suaminya”.
Hadis ini disohihkan oleh Imam Tirmizi dan Al Hakim dan dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi.
Tapi taat isteri pada suami, bersyarat. Isteri bukan hamba suami. Mereka ialah rakan kongsi pejalanan hidup. Suami bukan raja yang pegang kuasa veto. Bahkan suami bertanggungjawab melorongkan syurga isteri.
Ketaatan seorang isteri, mesti dibayar dengan tanggungjawab yang sangat besar daripada seorang suami.
Suami memang tak wajib taat kepada isteri. Tapi suami wajib taat kepada Allah dalam urusan isteri. Bukan perkara memain beb.
Dalam hal ini baik suami atau isteri perlu tahu tanggungjawan sebenar yang dipikul di bahu masing-masing. Perlulah hidup dalam suasana yang harmoni, berkasih sayang dan saling bantu membantu sama lain agar rumahtangga dibina kekal hingga ke jannah.
Fitrah wanita yang gemarkan kecantikan terutama dalam soal penampilan diri. Bersolek adalah salah satu cara untuk wanita tampil lebih yakin. Walau bagaimanapun dalam berhias jangan sampai melanggar batas-batas syariat.
Tapi apakah hukum bersolek sebenarnya? Apa pula pandangan Islam terhadap wanita yang gemar bersolek. Amat berat sebenarnya isu solekan dan perhiasan wanita ini.
Bukan wanita tidak boleh bersolek langsung tetapi bersoleklah secara sederhana, tidak berlebih-lebihan sehingga menaikkan rasa nafsu bagi kaum lelaki yang memandang sehingga ia boleh mendatangkan fitnah.
TIGA TIP UNTUK MUSLIMAH BERSOLEK:
1. Gunakan warna-warna yang natural
Elakkan lipstik yang berwarna garang dan kelihatan terlalu menarik perhatian seperti warna merah, purple, pink terang, maroon gelap dan sebagainya. Pilih warna-warna yang SESUAI dengan warna kulit dan HAMPIR dengan warna semulajadi bibir kita. Elakkan warna-warna yang terang seperti eye shadow hijau, biru, ungu dan sebagainya. Jika perlu, pilih yang berwarna natural seperti coklat dan perang (bronze). Konsep mekap hanyalah untuk menyerikan dan meningkatkan keterampilan bukannya sehingga menjadi topeng di muka.
2. Jangan gunakan bulu mata palsu
Bulu mata palsu adalah sama hukumnya seperti menyambung rambut dan ianya adalah HARAM. Jika mahu, boleh gunakan sedikit maskara. Pastikan dibersihkan sempurna jika mahu ambil wuduk. Kedua-dua pihak yang terlibat dalam memakai dan memakaikan bulu mata palsu mendapat dosa.
3. Kening tidak dicukur/ dicabut
Antara perkara yang menjadi kelaziman adalah mencukur kening. Tahukah anda bahawa ianya adalah HARAM dan BERDOSA?
“Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (Al Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah”
(Riwayat (Al Bukhari, Muslim, Abu Daud)
Dalam Surah An-Nur; Ayat 31 menerangkan dengan terperinci tentang batas aurat dan penampilan wanita. Ayat ini memang panjang tetapi teramat penting untuk kita benar-benar baca dan faham,
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Di dalam Islam, solekan atau memperlihatkan perhiasan berlebihan itu digelar Tabarruj.
Tabarruj menurut bahasa adalah wanita yang mempamerkan keindahan dan perhiasannya berlebihan kepada lelaki bukan mahram (tafsiran Ibnu Manzhur di Lisanul Arab).
Tabarrajatil mar’ah maksudnya wanita yang menampakkan kecantikannya, lehernya, dan wajahnya. Ada yang mengatakan, maksudnya adalah wanita yang menampakkan perhiasannya, wajahnya, kecantikannya kepada lelaki bukan mahram dengan niat untuk membangkitkan nafsu syahwatnya.
Dan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda,
“Aku telah melihat di dalam neraka, aku melihat kebanyakan penghuninya wanita. Sebabnya mereka sedikit yang patuh pada Islam dan Rasulnya, kurang taat kepada suaminya dan kuat bersolek.”
Tanya diri, apabila kita berniat bersolek untuk cantik, maka untuk siapakah kecantikan kita itu ditunjukkan? Bagi wanita yang sudah berkahwin, solekan itu buat si suami, mungkin dengan solekan nipis pada wajah, dapat membuatkan pandangan orang lain terhadap suami itu lebih baik.
Jadi cukuplah jika seorang wanita itu berhias secara sederhana demi menjaga nama suami, keluarga dan anak-anak. Kecantikan sebenar seorang wanita itu adalah pada akhlaknya. Jadi bersederhanalah dalam berhias.
Sumber kredit: Elle Zada
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah para tetamu Allah. Apabila sampai seruan untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci sama ada bagi mengerjakan umrah atau haji, tunaikanlah tuntutan itu kerana Insya Allah dengan izin-Nya, semua urusan serta perancangan berjalan lancar.
Namun apabila sudah kembali menunaikan umrah apabila seseorang itu masih ditakuk lama umpama tiada ‘terkesan’ menjadi tetamu Allah maka adalah komen-komen “dah pergi umrah tapi takde beza pun”. Alangkah sedihnya jika hal ini terjadi pada diri sendiri!
MULANYA BUNTU DAN SESAT
Pertama kali pergi umrah, biasanya kita sampai di tanah suci seperti seseorang yang buntu dan sesat. Memang kita rajin ke masjid, meraih pahala dan kelebihan beribadah, tetapi selepas beberapa hari, mungkin kita sendiri mula berasa ‘bosan’ kerana aktiviti yang dilakukan sama sahaja setiap hari.
Apa yang jadi? Dah berbelanja ribuan ringgit untuk sampai ke sana, tetapi sayangnya jiwatidak disediakan sebelum berangkat. Apabila mendapat peluang mengerjakan umrah, perlu ada sesuatu target yang ingin dicapai di dalam diri sendiri. Sama seperti pada bulan Ramadan, jika boleh, sebaiknya kita ingin perubahan yang kekal selepas pulang dari umrah.
Begitu ramai yang rajin bangun tahajjud setiap malam, membaca al-Quran pada setiap masa, solat berjemaah di masjid setiap waktu tetapi pulang dan kembali kepada diri asal mereka: subuh gajah, al-Quran sekadar hiasan, dan masjid di kawasan rumah sendiri pun tidak dijejaki.
Alangkah ruginya kita jika umrah kita tidak meninggalkan kesan ‘lifelong-lasting-effect’ kepada kita.
1) Pilih beberapa surah pilihan yang ingin dibaca setiap hari. Ramai yang pergi umrah dan mula membaca dari surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah.
Pada bulan Ramadan begitu juga, akhirnya kita bermula dari Al-Fatihah dan Al-Baqarah tetapi tidak juga menghabiskan bacaan al-Quran dalam tempoh masa sepuluh hari semasa mengerjakan umrah.
Kita tahu bahawa amat sukar untuk kita khatam Al-Quran semasa mengerjakan umrah. Jadi satu cara lain adalah untuk memilih satu atau dua surah pilihan yang kita wajibkan atas diri kita untuk jadikan surah amalan dan baca setiap hari ketika di sana, seperti surah al-Mulk atau surah al-Waqiah. Apabila pulang ke tanah air, kita teruskan sahaja rutin baru yang dimulakan dari tanah suci ini.
2) Kadangkala, kita duduk di masjid dan mula berzikir. Astaghfirullah 100 kali.
Alhamdulillah 100 kali.
Allahu akbar 100 kali.
Laa ilaha illallah 1000 kali.
Jika ini diteruskan juga apabila kita pulang ke tanah air, ini bermaksud kita telah berjaya membuat satu perubahan dalam rutin harian kita.
Tetapi ramai juga yang berzikir hanya di tanah suci, dan tidak pula berzikir apabila pulang ke tanah air. Ataupun, mereka cuma berzikir perkara yang sama tanpa menghayati zikir tersebut. Pandangan saya, gunalah peluang di tanah suci untuk mempelajari zikir baru.
Contohnya dengan mengamalkan al-Mathurat yang menjadi pendinding diri kita dari amalan sihir. InsyaAllah, pasang niat dalam hati untuk mengamalkan zikir-zikir tersebut saat kita pulang ke tanah air juga.
3. Dari segi pemakaian, ketika di tanah suci kita sering memakai telekung ke mana sahaja kita ingin pergi. Berjalan di shopping complex dan ke pasar kurma pun kita selesa memakai telekung kerana senang untuk pulang ke masjid untuk solat berjemaah. Hal ini mungkin membuat kita terlepas pandang untuk juga menjaga aurat kita ketika kita kembali ke tanah air.
Jika di Mekah dan Madinah kita tidak segan memakai telekung pada setiap masa, tetapi di Malaysia kita segan melabuhkan tudung menutupi dada, apatah lagi memakai handsock atau stokin.
Sayang, sungguh sayang, kerana Allah Taala telah pun menunjukkan bahawa diri kita ada potensi untuk menutup aurat dengan baik ketika berada di tanah suci. Jadi mengapa kita tidak teruskan apabila pulang ke tanah air?
PASANG NIAT DAN TARGET
Saat menerima jemputan dari Allah Taala ke tanah suci, pasanglah niat dan target, apa yang kita hendak capai ketika berada di sana. Antara kebaikan utama mengerjakan umrah adalah kita dipisahkan dari rutin harian dan fikiran tidak serabut dengan tugasan di pejabat dan di rumah. Inilah masanya untuk mengubah sesuatu dalam diri kita dan menambahkan amalan harian kita ketika kita pulang ke tanah air, meskipun sedikit.
Sesungguhnya, Allah Taala menyukai perubahan yang kecil tetapi konsisten. Janganlah terlampau mengejar bacaan al-Quran dan khatam dalam masa 10 hari, sedangkan kita jarang sekali membaca walau satu ayat pada baki 356 hari yang ada.
Janganlah terlampau mengejar jumlah zikir, sedangkan fikiran dan hati berada di tempat lain tanpa menghayati maksud zikir tersebut.
Janganlah menutup aurat ketika berada di tanah suci dan ketika solat sahaja dan membuka aurat di tempat lain, kerana menutupi aurat adalah kewajiban dan ‘uniform’ seseorang yang bergelar Muslim dan Muslimah.
Janganlah tunggu umrah atau Ramadan sahaja untuk berubah: mari kita berubah hari ini, walaupun kecil, walaupun sedikit, kerana ianya amat besar di mata Allah SWT. InsyaAllah. Jom istiqamah sampai layak ke syurga!
Sumber: AdamHawa
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hadir ke masjid pada saat-saat akhir dan terlepas khutbah Jumaat menyebabkan kita rugi ganjaran besar yang dijanjikan. Ketahui kepentingan hadir awal, adab mendengar khutbah, dan mengapa solat Jumaat bukan sekadar mengejar dua rakaat semata-mata.