Suami lafaz talak namun dalam keadaan terpaksa, boleh jadi dipaksa oleh isteri sendiri mahu pun pihak yang lain. Dalam keadaan ini apa hukumnya?
Persoalan ini dijawab oleh mantan menteri agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam laman web Maktabah Al Bakri menerusi satu soalan yang ditanyakan oleh netizen;
Assalamualaikum. Adakah jatuh talak saya selepas saya dipaksa untuk menceraikannya. Untuk memuaskan hatinya, saya menyatakan untuk melepaskannya dan saya akan melepaskannya nanti dan memberitahu padanya supaya anggap saya dah lepaskannya sekiranya dia ingin ke mana-mana.
Jawapan
Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala.
Sabda Nabi Muhammad SAW :
أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ
Maksudnya: Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.” Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197)
Kayu ukur seseorang itu dalam keadaan terpaksa
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kayu ukur sekiranya seseorang itu betul-betul berada dalam paksaan :
- Orang yang memaksa mempunyai kekuatan dan mampu menguasai orang yang dipaksa
- Merasa terancam sekiranya permintaan tidak dipenuhi dan dalam masa yang sama tidak mampu untuk melawan atau melarikan diri.
- Memudaratkan orang yang dipaksa dengan ancaman bunuh, penderaan, merampas harta dan sebagainya.
Kami dapat menyatakan bahawa tidak jatuh talak sekiranya seseorang itu dipaksa sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT :
إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ
Maksudnya: “Kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.” (Surah al-Nahl: 106)
Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : “ayat ini menunjukkan bahawa perkataan yang diucapkan dengan terpaksa dalam talak tidak dikira dan tidak ada hukum syarak yang dikenakan kepada orang yang dipaksa. Jika seseorang tidak dihukum kerana perkataan kufur yang diucapkan dengan terpaksa, maka pada perkara yang lain juga tidak akan dikenakan hukuman”. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.450).
Ini juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengampuni kesalahan umatku: Kelupaan mereka dan perbuatan yang dilakukan kerana paksaan.” Riwayat Ibn Majah (2035)
Pandangan ini merupakan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Maliki, Syafi’e, dan Hanbali.
Al-Khatib Al-Syarbini menyatakan : tidak jatuh talak kerana dipaksa. Talak jika diucapkan beserta dengan niat dan pilihannya sendiri maka jatuhlah talak ke atasnya dan jika seseorang melafazkannya kerana terpaksa maka ia tidak dikira dan talak tersebut terbatal.(Lihat Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj, 4/470)
Perceraian terjadi dari setiap orang yang baligh, berakal dan kerana pilihan sendiri.Tidak terjadinya penceraian dari orang yang dipaksa, orang yang mabuk yang tidak menyadari apa yang dikatakannya, atau orang yang marah yang tidak tahu apa yang dikatakannya. Selain itu, Perceraian juga tidak terjadi dari orang yang salah, lalai, lupa, gila, dan sejenisnya.” (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyyah, 3/111)
Kami katakan dipaksa dibahagi kepada dua; pertama, ikrah mulji’ (الْإِكْرَاهُ الْمُلْجِئ) dan ikrah ghairu mulji’ (الْإِكْرَاهُ غَيْر الْمُلْجِئ). Jika sekiranya ikrah hanya biasa-biasa, maka tidak boleh dia menceraikan isteri. Tetapi jika ikrah membawa kepada ancaman nyawa dan badan, dan berat, maka itu baru dikira.
Bergantung kepada keadaan suami ketika lafaz talak
Dalam kes ini ia bergantung kepada keadaan suami. Sekiranya suami melafazkan dalam keadaan terancam yang membahayakan nyawa atau anggotanya dan dalam keadaan terpaksa, maka hukum talak tersebut tidak terjatuh dan sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat seorang itu dikira sebagai orang yang dipaksa maka ia berbalik kepada lafaz dan niat suami.
Dalam hal ini sebaiknya rujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Ini adalah satu usaha untuk membuktikan adakah telah jatuh talak ataupun tidak.
Sumber: Maktabah Al Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Beberapa hari lagi kita bakal menyambut bulan Ramadhan. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” (HR At-Thabrani)
Menjelangnya tibanya Ramadhan, perkara paling penting diselesaikan ialah menggantikan puasa selain membayar fidyah bagi yang tidak boleh menggantikan puasa ditinggalkan (menurut syarat dibenarkan).
Namun selain itu, ada beberapa persoalan-persoalan yang mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat berikutan penggunaan pelbagai alatan perubatan moden. Justeru itu Jabatan Mufti Negeri Perak berpandangan sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkenaan penggunaan alatan yang boleh dan tidak membatalkan puasa, seperti berikut:
Penggunaan Alatan Yang Boleh Membatalkan Puasa :-
- Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (athma) atau untuk penyakit paru-paru kronik.
- Memasukkan sebarang tiub kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita;
- Memasukkan sebarang tiub catheter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing (urethroscope), barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita (contohnya memasukkan ‘urinary catheter’ untuk rawatan sumbatan salur kencing).
- Penggunaan alat seperti enema, tiup suppository, teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan system penghadaman; dan
- Penggunaan bius menyeluruh yang melibatkan penggunaan gas.
Penggunaan Alatan Yang Tidak Membatalkan Puasa :-
- Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga);
- Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung;
- Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pemeriksaan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut;
- Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah;
- Pendermaan atau pemindahan darah;
- Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit;
- Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;
- Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah tujuan pemeriksaan untuk prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung;
- Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;
- Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air sampai ke tekak) dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan;
- Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yan diambil daripada hati atau organ-oran lain untuk tujuan analisa makmal;
- Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut;
- Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis;
- Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan semburan atau suntikan setempat;
- Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bila tular kafe atau kedai makanan yang sedap, ramai yang ingin mencuba. Termasuklah di kafe yang makanannya dimasak oleh bukan Islam malah ada yang menjual arak sekali.
Timbul persoalan adakah boleh kita makan di kedai tersebut atau bagaimana? Berikut adalah penjelasan yang dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan.
Tiada menjadi kesalahan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan muslim dari susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.
Telah berkata Qatadah Rahimahullah:
لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامٍ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain dari sembelihan. Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10155)
Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:
وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ
Maksudnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar selain dari sembelihan mereka.[1]
Kesimpulan
Dibolehkan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh non-muslim (bukan ahli kitab) seperti Hindu, Sikh, Budha dan selainnya selagi mana makanan itu adalah halal dan bukannya dari hasil sembelihan mereka.
Maka, tidak ada masalah buat seseorang muslim itu sekiranya diajak untuk bertandang ke rumah rakannya yang bukan non-muslim lalu dihidangkan makanan untuk dimakan selagi mana ianya halalan toyyiba.
Berkaitan membeli makanan yang ada menjual arak di premis mereka, ini penjelasannya?
Hukum asalnya adalah dibenarkan jika diyakini makanan berkenaan tidak bercampur dengan arak atau perkakasnya telah disucikan. Namun begitu bagi seorang Muslim adalah perlu baginya untuk menghindari sebaik mungkin kedai makanan yang bercampur antara halal dan haram.
Ini untuk mengelakkan fitnah. Kaedah yang masyhur mengatakan:
اِتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَم
Maksudnya: Takutilah kalian tempat-tempat yang boleh mendatangkan tohmahan orang.
Walaupun begitu, ini tidaklah menafikan keafdhalan bersikap warak dalam mengambil suatu makan. Adalah afdhal makanan kita itu diperolehi daripada orang yang bertaqwa dan disediakan juga dengan taqwa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda memberi peringatan kepada umatnya:
لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ
Maksudnya: Janganlah kamu berkawan melainkan orang yang beriman dan jangan biarkan makananmu dimakan melainkan orang bertaqwa. Riwayat Abu Daud (4832)
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hujan merupakan sebahagian dari rahmat Allah S.W.T yang diturunkan kepada para hamba-Nya. Terdapat beberapa petunjuk dari Rasulullah S.A.W yang diajarkan kepada umat baginda apabila turunnya hujan.
Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Umm Al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W apabila hujan turun baginda membaca :
اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَيِّبًا نَافِعًا
Maksudnya : Ya Allah, jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat. Riwayat Al-Nasa’ie (1523)
Manakala apabila hujan telah selesai turun, kita disunatkan untuk membaca :
مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ
Maksudnya : Kami telah diturunkan hujan dengan kelebihan dan rahmat dari Allah.
Bagaimana pula dengan doa tolak hujan?
Meski hujan adalah rahmat daripada Allah, namun sekiranya ia turun dengan lebat hingga memudaratkan maka kita dibolehkan untuk berdoa menolak hujan.
Ini mengambil kira jika hujan tersebut turun dalam keadaan lebat serta berterusan dalam tempoh masa yang panjang. Yang membawa kepada implikasi rosaknya tumbuh-tumbuhan dan tanaman, jalanan menjadi banjir, serta membawa kesulitan atau kemudharatan kepada orang ramai.
Bagaimanapun, upacara tolak hujan seperti dengan cara melakukan ritual tertentu antaranya dengan memacakkan penyapu dan menghalakan ia ke langit, atau mencampakkan pakaian pengantin ke atas atap, dan selainnya, maka kesemuanya ini adalah amalan khurafat yang HARAM hukumnya lagi bercanggahan dengan ajaran Islam. Justeru, perkara tersebut hendaklah dijauhi.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI