Sujud merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat. Boleh terjadi ketika solat kita melakukannya dengan cara tidak sempurna lantas bertindak mengulang sujud menjadikan jumlah sujud sebanyak tiga kali. Dalam hal ini apakah hukumnya dan adakah ia dibolehkan?
Dalam penjelasan yang diberi, sekiranya seseorang melakukan sujud secara tidak sah, maka kesannya solat yang dikerjakan itu juga dikira sebagai tidak sah.
Hal ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Terjemahan: “…Kemudian sujudlah sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud (ṭama’nīnah), kemudian bangunlah duduk dalam keadaan tegak dan tenang (ṭama’nīnah), kemudian sujudlah (sekali lagi) sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud (ṭama’nīnah)…”. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Syarat Minimum Sah Sujud
Sujud yang dilakukan oleh seseorang dikira sebagai sah dan diterima sekiranya dia melakukan sujud sekurang-kurangnya menepati kadar minimum syarat sujud yang telah ditetapkan.
Yakni dengan memastikan sekurang-kurangnya sebahagian dahi bersentuhan dengan tempat sujud, dan begitu juga anggota-anggota sujud yang lain seperti dua tapak tangan, dua lutut, dan dua bahagian dalam jari kaki.
Hukum-Hukum Berkaitan Sujud Yang Tidak Sempurna
Apabila seseorang itu meyakini bahawa sujud yang dilakukan itu tidak sah, maka dia perlulah mengulanginya semula. Misalnya seseorang yang dalam keadaan sujudnya dengan tidak sengaja telah melakukan sujud di atas pakaiannya sendiri, maka dia wajib mengulangi semula sujud tersebut.
Ads
Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang itu dengan sengaja melakukan sujud tersebut secara tidak sempurna, maka solatnya dikira terbatal.
Imam al-Khaṭīb al-Shirbīniy menghuraikan permasalahan ini seperti berikut:[4]
Terjemahan: “Sekiranya dia sengaja dan mengetahui (tentang perbuatan sujud yang tidak sah) maka solatnya terbatal. Jika dalam keadaan terlupa atau tidak tahu, maka tidak batal dan dia mestilah mengulangi solat”.
Perbuatan seseorang yang mengulangi sujud tersebut tidaklah dianggap sebagai menambahkan rukun dalam solat ataupun melakukan sujud 3 kali. Ini kerana walaupun secara zahirnya nampak seperti melakukan 3 kali sujud, namun hakikatnya dia hanya melakukan 2 kali sujud sahaja kerana salah satu sujud tidak dikira sah, sebagai contoh sujud yang tiada tomakninah.
Justeru, sesiapa yang tidak sengaja melakukan perkara-perkara yang menyebabkan sujudnya itu tidak sah, maka dia mestilah mengulangi semula sujud tersebut. Ini kerana sujud merupakan salah satu daripada rukun solat dan mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Walau bagaimana pun, sekiranya seseorang hanya syak sahaja bahawa sujud yang dilakukannya itu tidak sah, maka dia hendaklah meneruskan sahaja solat tanpa diulangi semula perbuatan sujud tersebut.
Saya ada mendengar seorang sahabat bagi tahu jika berlaku perceraian sebelum lagi suami isteri duduk bersama maka suami akan mendapat semula mas kahwin yang telah diberikan kepada isteri. Betul atau tidak?
JAWAPAN :
Jika pasangan suami isteri bercerai sebelum berlaku persetubuhan dalam pernikahan tersebut dan telah ditetapkan jumlah mas kahwinnya maka suami mendapat kembali separuh dari maskawin yang telah diberikan dan separuh lagi milik isterinya.
Ertinya : “Dan jika kamu sekelian menceraikan isteri-isteri sebelum dari bahawa kamu menyentuh akan mereka dan kamu sekelian telah menetapkan maskawin bagi mereka maka hendaklah kamu bayar separuh dari maskawin yang telah kamu tetapkan itu.” (Al-Baqarah : 237)
Berkata Imam Ibnu Kathir :
عن ابن عباس أنه قال في الرجل يتزوج المرأة، فيخلو بها، ولا يمسها، ثم يطلقها ليس لها إلا نصف الصداق لأن الله يقول { وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ } قال الشافعي بهذا أقول، وهو ظاهر الكتاب.
Ertinya : “Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. sungguhnya beliau telah berkata pada masalah seorang lelaki yang menikahi seorang wanita dan tidak duduk bersamanya dan tidak menyentuhnya kemudian dia menceraikannya maka tiada bagi wanita itu melainkan separuh dari maskawinnya dari kerana sungguhnya Allah telah berfirman : Dan jika kamu sekelian menceraikan isteri-isteri sebelum dari bahawa kamu menyentuh akan mereka dan kamu sekelian telah menetapkan maskawin bagi mereka maka hendaklah kamu bayar separuh dari maskawin yang telah kamu tetapkan itu.”
Berkata Imam Syafie : Dengan inilah aku berkata dan ialah yang zahir dari Al-Quran.” (Tafsir Ibnu Kathir)
والمراد بالمس المذكور في الآية : الجماع واختلف أهل العلم فيما لو خلا الرجل بامرأته ثم طلقها قبل أن يدخل بها فذهب قوم إلى أنه لا يجب لها إلا نصف الصداق ولا عدة عليها لأن الله تعالى أوجب بالطلاق قبل المسيس نصف المهر ولم يوجب العدة وهو قول ابن عباس رضي الله عنه وابن مسعود وبه قال الشافعي رحمه الله
Ertinya : “Dan yang dikehendaki dengan menyentuh pada ayat ini ialah bersetubuh. Dan bersalahan ulamak pada masalah jikalau suami tidak bersama dengan isterinya kemudian diceraikannya sebelum dari bersetubuh dengannya maka telah berjalan oleh satu golongan kepada bahawa tidak wajib bagi perempuan tersebut melainkan separuh sahaja dari maskawinnya dan tidak ada bagi perempuan itu eddah kerana sungguhnya Allah telah mewajibkan dengan talak sebelum bersetubuh itu separuh maskawin dan tidak mewajibkan eddah. Dan ialah pendapat Ibnu Abbas r.a. dan Ibnu Mas’ud r.a. dan dengannyalah berpendapat oleh Imam Syafie r.a.’ (Kitab Ma’alim At-Tanzil)
Kesimpulannya suami yang belum bersetubuh sekurangnya sekali dengan isteri yang dinikahinya apabila berlaku perceraiannya hanya wajib membayar separuh dari nilai mas kahwin yang telah ditetapkan.
Puasa hari putih atau puasa ayyamul bidh bermaksud berpuasa pada hari bulan mengambang iaitu pada setiap hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan bulan Islam. H Ini kerana pada waktu ini cahaya bulan sangat terang-benderang.
Dalam satu hadith dari Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu (RA), berkata:
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.”Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721).
Berdasarkan hadith di atas kita digalakkan berpuasa selama tiga hari dalam satu-satunya bulan Islam. Namun, lebih afdal sekiranya kita dapat melakukannya pada hari ke-13, 14 dan 15 dalam bulan Islam.
Hal ini merujuk kepada hadis yang berikut.
Daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, berpuasalah pada 13, 14, dan 15 hari bulan.”Riwayat al-Tirmizi (761).
Bagaimana lafaz niat puasa hari putih?
Niat Puasa Hari Putih Bacaan rumi:
Nawaitu sauma ayyamal bidh sunnatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah taala
APAKAH BENTUK PUASA UMAT ZAMAN SILAM SEBELUM KEDATANGAN NABI MUHAMMAD?
Sebelum kita melakukan puasa sunat hari putih, ini sejarah mengenai puasa ini seperti dikongsikan oleh Mufti Negeri Terengganu,Sahibus Samahah Prof. Madya Dr. Haji Mohamad Sabri bin Haron berdasarkan soalan, apakah bentuk puasa umat-umat zaman silam sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW?
Jawapan:-
Allah berfirman yang ertinya:-
“Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan juga kepada orang-orang yang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa”. (al-Baqarah: 183)
Walaupun dalam al-Quran atau hadith tidak dijelaskan bagaimana bentuk puasa generasi terdahulu, tetapi ada petunjuk-petunjuk bahawa agama-agama yang dibawa oleh para rasul terdahulu itu adalah agama monotheisme yang mengajarkan kepercayaan pada keesaan Allah.
Ahli sejarah Islam, Ibnu Kathir mengatakan bahawa ibadat puasa sudah ada sejak zaman Nabi Adam a.s dan Hawa a.s. Menurutnya, Adam berpuasa selama tiga hari setiap bulan sepanjang tahun.
Diriwayatkan bahawa Nabi Adam a.s apabila sampainya di bumi setelah diturunkan dari syurga akibat kesalahan yang dilakukan, baginda bertaubat kepada Allah s.w.t dan baginda berpuasa selama tiga hari setiap bulan. Itulah yang kemudian dikenal dengan puasa hari-hari putih iaitu pada setiap tanggal 13, 14 dan 15 setiap bulan di mana ia juga sunnah untuk dikerjakan oleh umat Nabi Muhammad SAW.
Ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa Nabi Adam a.s berpuasa pada 10 Muharam sebagai rasa syukur kerana bertemu dengan isterinya, Hawa, di Arafah. Ada juga yang lain berpendapat, Nabi Adam berpuasa sehari semalam pada waktu dia diturunkan dari syurga oleh Allah.
Ada juga yang mengatakan Adam berpuasa 40 hari 40 malam setiap tahun. Ada pendapat yang mengatakan Adam berpuasa dalam rangka mendoakan putera-puterinya supaya berada dalam kebaikan.
Selain itu, ada yang mengatakan, Adam berpuasa pada hari Jumaat untuk mengenang peristiwa penting iaitu baginda dijadikan oleh Allah dan diturunkan ke bumi olehNya dan diterima taubatnya pada hari Jumaat. Dalam hadith disebutkan:
''Sesungguhnya Allah menjadikan Adam pada hari Jumaat, diturunkannya ke bumi pada hari Jumaat, baginda bertaubat kepada Allah atas kesalahannya memakan buah larangan pada hari Jumaat dan baginda wafat pun pada hari Jumaat.'' (Riwayat Bukhari).
Diriwayatkan bahawa Nabi Nuh a.s juga berpuasa selama tiga hari setiap bulan sepanjang tahun, seperti puasanya Nabi Adam. Baginda Nabi Nuh juga memerintahkan kaumnya untuk menyembah Allah dan berpuasa ketika mereka berbulan-bulan hidup terapung-apung di dalam perahu besar di tengah banjir yang luas dan memerintahkan mereka terus menerus bertaubat kepada Allah.
Nabi Dawud a.s juga melaksanakan puasa, bahkan baginda berpuasa dalam waktu yang cukup lama iaitu setengah tahun, di mana baginda berpuasa satu hari dan berbuka satu hari sepanjang tahun.
Nabi Ibrahim a.s juga terkenal dengan kegemarannya berpuasa, terutama pada saat hendak menerima wahyu dari Allah, yang kemudian dijadikan suhufnya yang rasmi. Ajaran Nabi Ibrahim tentang puasa ini turut dilaksanakan oleh anaknya Nabi Ismail a.s yang terkenal taat beribadat dan ia diikuti juga oleh Nabi Ishaq a.s iaitu anak Ibrahim dari isterinya Sarah.Anak Ishaq iaitu Nabi Ya'kub a.s yang juga seorang Rasul di mana baginda gemar berpuasa terutama ketika mendoakan keselamatan putera-puteranya.
Imam Al-Qurthubi dalam kitabnya al-Jami’ li Ahkamil Qur’an (2/274) menyebutkan bahawa Allah telah mewajibkan ibadat puasa kepada bangsa Yahudi (umat Nabi Musa a.s) selama 40 hari, kemudian kepada umat Nabi Isa a.s selama 50 hari. Tetapi kemudian mereka merubah waktunya sesuai nafsu mereka iaitu jika bertepatan dengan musim panas mereka menundanya hingga datang musim bunga. Hal itu mereka lakukan demi mencari kemudahan dalam beribadat. Hal itu jelas bercanggah dengan ajaran asal agama mereka.
Hal ini juga menggambarkan betapa umat Yahudi dan Kristian sesat kerana selalu menghindarkan diri untuk melaksanakan ibadat dengan sempurna sesuai dengan aturan Tuhan. Mereka mahu puasa dilaksanakan pada musim dingin atau musim bunga yang siangnya lebih pendek dari malam, berbeza dengan puasa pada musim panas, di samping suhu yang panas, siangnya juga lebih panjang dari malam hari. Itulah kesesatan umat Yahudi dan Kristian.
Umat Islam hari tidak pernah melakukan perubahan begitu kerana itu adalah bercanggah dengan keputusan Allah dan RasulNya. Di samping itu, mereka juga sedar tentang hikmah Allah memerintahkan puasa berdasarkan perjalanan bulan bukan matahari agar puasa dirasakan pada semua musim dan semua cuaca. Sebab, jika puasa berdasarkan perjalanan matahari, maka ibadat puasa akan selau berada dalam satu keadaan.
Jika tahun ini, puasa di mulai pada musim panas, maka selamanya puasa akan berada pada musim panas. Berbeza dengan perjalanan bulan yang selalu berubah, di mana jika tahun ini, puasa dilaksanakan pada musim panas, maka tahun depan atau beberapa tahun kemudian puasa akan dilaksanakan pada musim dingin dan seterusnya.
Umat Yahudi berpuasa pada 10 Muharram
Dalam satu riwayat disebutkan bahawa umat Yahudi berpuasa setiap tahun pada tanggal sepuluh Muharram, sebagai syukur atas keselamatan Nabi Musa a.s dari pemburuan Firaun. Maka Nabi Muhammad s.a.w juga memerintahkan umatnya untuk berpuasa pada tanggal sepuluh Muharram yang dikenal dengan puasa hari ‘Asyura.
Umat Yahudi juga diperintahkan berpuasa satu hari pada hari ke sepuluh bulan ke tujuh dalam hitungan bulan mereka. Puasa itu selama sehari semalam.
Diriwayatkan bahawa Nabi Yusuf a.s pula berpuasa ketika berada dalam penjara bersama para pesalah lainnya. Kebiasaan berpuasa ini juga baginda terapkan ketika menjadi pemerintah Mesir atau ketika menjawat sebagai menteri ekonomi negeri Mesir. Baginda Nabi Yusuf a.s pernah bersabda tentang kekerapan puasa yang dilakukannya: ''Aku khuatir apabila aku kenyang, nanti aku akan melupakan perut fakir miskin.''
Nabi Yunus a.s pula berpuasa dari makan dan minum ketika berada dalam perut ikan besar selama beberapa hari, kemudian berbuka puasa setelah dimuntahkan kembali dari perut ikan itu. Untuk berbuka, diceritakan baginda memakan buah labu yang tumbuh di tepi pantai.
Baginda Nabi Ayub a.s pula berpuasa pada waktu serba kekurangan dan menderita penyakit selama bertahun-tahun, sampai akhirnya baginda sihat seperti sediakala.
Baginda Nabi Syuaib a.s yang terkenal kesolehannya juga banyak melakukan puasa dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah.
Mengetahui sejarah puasa umat terdahulu adalah penting agar umat Islam hari ini jangan mencontohi puasa umat yang menyeleweng seperti umat Yahudi yang memilih waktu puasa yang bukan menurut aturan Allah. Sebab itu, ibadat yang lakukan adalah rugi dan tidak diterima oleh Allah.
Tujuan puasa adalah untuk perubahan ke arah yang lebih baik. Puasa akan menjadikan manusia berubah dari tingkat mukmin biasa menjadi golongan mutaqqin atau orang yang bertakwa.
Sebenarnya untuk berubah ke arah dan bentuk yang lebih baik, bukan hanya manusia yang berpuasa, akan tetapi sebahagian binatang ketika bermetamorfosa (berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain) juga berpuasa. Ini seperti kupu-kupu yang berpuasa ketika mula berubah dari ulat yang bentuk dan rupanya hodoh untuk menjadi seekor kupu-kupu yang bersayap, cantik dan berawan indah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
‘Berbuka ikut azan tv atau masjid?’ Jangan sambil lewa, berbuka awal perlu qada atau ganti puasa selepas bulan Ramadan nanti.
Selalunya bagi mereka yang gemar berbuka puasa di rumah, radio dan televisyen menjadi medium utama untuk kita mengetahui sama ada sudah masuk waktu Maghrib atau belum.
Namun, kita kena ingat. Azan itu menandakan waktu Maghrib di Kuala Lumpur yang tidak semestinya sama di sesetengah kawasan. Kebiasaannya bila waktu berbuka, anda ikut azan tv atau masjid?
Ikuti perkongsian Ustaz Akhil Hayy dalam Tazkirah Kashoorga berkaitan isu ini:
Soalan:
Sebaiknya adalah lebih afdal kita berbuka bila kita dengar azan di tv atau pun dari masjid. Sebenarnya mana lebih baik?
Jawapan:
Sebenarnya soalan sebegini agak subjektif. Suka saya kongsikan kisah yang berlaku di Sabah iaitu di Tawau jika tak silap saya terjadi beberapa tahun yang lalu dan telah menjadi viral mengenai radio yang telah terpasang azan empat minit lebih awal daripada waktu iftar.
Jadi apabila perkara ini dikemukakan kepada Jabatan Mufti, mufti menjelaskan bahawa puasa umat Islam yang mendengar atau berbuka mengikut azan radio tersebut terbatal dan perlu qada balik selepas sambutan hari raya.
Bermakna setiap orang yang ditugaskan untuk melaungkan azan atau memutarkan azan seperti muazzin atau bilal mahupun deejay radio merupakan orang paling penting atau paling glamor di bulan Ramadan di media eletronik atau media sosial.
Ketika bulan Ramadan bila orang hendak berbuka, rata-ratanya akan memberi perhatian kepada laungan azan Maghrib sebab nak makan tak kiralah daripada mana-mana sumber sama ada tv, waima masjid berdekatan tempat kediaman.
Oleh itu, orang yang bertanggungjawab untuk melaungkan azan atau memutarkan laungan azan haruslah mengetahui waktu yang tepat dan pastikan waktu atau jam konsisten agar tidak timbulkan masalah di kemudian hari.
Bagi Ustaz Akhil Hayy, jika amanah diberikan kepada anda dijalankan dengan baik, maka tidak akan timbul masalah yang berlaku beberapa tahun lalu itu dulu.
Sebagai contoh apabila kita duduk satu qariah dan rumah Kita berhampiran dengan masjid, jadi apa salahnya kita dengar saja azan dari masjid sebelum iftar.
Sebenarnya tidak timbul isu ikut azan mana, jika masing-masing menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab tidak akan berlaku khilaf. Lagi satu kena ingat, keyakinan nenolak was-was.
Sebenarnya bila kita ikut takwim yang telah ditetapkan, insyallah waktu berbuka kita akan tepat dan mengikut waktu sepatutnya bagi sepanjang bulan Ramadan.
Hukum ubat kuat menurut Ustaz Azhar Idrus adalah harus jika digunakan untuk tujuan kesihatan dan nafkah batin, dengan syarat produk halal, selamat serta tidak memudaratkan pengguna.