
Ketika ini mungkin ada yang berkira-kira untuk melakukan ibadah korban sempena Aidiladha bulan hadapan.
Namun yang menjadi persoalan, jika belum melaksanakan aqiqah untuk diri sendiri atau anak, bolehkah dilaksanakan ibadah korban.
Mana harus didulukan antara aqiqah dengan diri sendiri atau korban. Jadi elok fahami fakta ringkas dan mudah berkaitan kedua-dua ibadah ini.
Untuk pengetahuan kedua ibadah ini adalah sunat muakkad atau sunat yang sangat dituntut.
Umum tahu ibadah korban hanya boleh dilakukan pada 10,11,12, dan 13 Zulhijjah. Ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah, menghayati semangat pengorbanan agung Nabi Ibrahim ketika Allah menguji Baginda supaya menyembelih anaknya.
Perlu diketahui juga umur binatang yang sah dijadikan korban adalah unta (5 tahun), lembu (2 tahun), kerbau dan kambing (2 tahun) dan biri-biri setahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan.
Bagaimanapun, kambing tidak boleh dikongsi kerana ia untuk seorang sahaja, manakala unta, kerbau dan lembu boleh dikongsi 7 orang walaupun berlainan niat.
Bagi ibadah aqiqah pula, ia boleh dilakukan bermula setelah kesemua tubuh bayi itu keluar daripada perut ibunya sehingga baligh, sekali gus bermaksud aqiqah dilakukan tanda rasa gembira ibu bapa yang dikurniakan anak.
Setelah baligh, dia sendiri boleh melakukan aqiqah ke atas dirinya kerana aqiqah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Mengikut syariat, aqiqah dilakukan baik anak lelaki atau perempuan, cuma bezanya anak lelaki lebih afdal dengan dua ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing.
Rasulullah SAW sendiri melaksanakan aqiqah untuk cucu Baginda dengan seekor kambing sahaja.
Jika tidak dapat melaksanakan aqiqah pada hari ke-tujuh kelahiran, maka boleh dilaksanakan pada hari ke-14 atau 21 atau jika masih tidak dilakukan maka sunat dilakukan sehingga anak itu dewasa atau akil baligh.
Setelah akil baligh dan masih belum melaksanakan aqiqah, terserah kepada si anak atau ibu bapa untuk menunaikan ibadah aqiqah.
Namun, sangat dianjurkan untuk si anak menunaikan ibadah aqiqah untuk dirinya sendiri yang masih belum terlaksana untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan membantu ibu bapanya melaksanakan hak aqiqah ke atas dirinya.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Maksud hadith riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Jadi, berbalik kepada persoalan antara aqiqah dan korban yang mana perlu didahulukan, terdapat dua situasi untuk difahami.
Jika dilihat dari sudut tuntutan, semestinya ibadah aqiqah yang perlu diutamakan.
Bagaimanapun dari segi waktu pula, apabila menjelang bulan Zulhijjah dan telah hampir kepada waktu korban, maka lebih utama melaksanakan ibadah korban terlebih dahulu kerana waktu pelaksanaannya pada 10 hingga 13 Zulhijjah sahaja setiap tahun. Manakala aqiqah pula boleh dilaksanakan pada bila-bila masa.
Namun, ada juga yang berkemampuan dan melaksanakan kedua-dua ibadah ini sekali.
Sesungguhnya mendalami ilmu itu sesuatu yang dituntun dalam Islam kerana ia akan memudahkan urusan kehidupan harian dan amalan untuk akhirat.
SUMBER: MSTAR
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Cipta Lesung Pipit Buatan, Mufti Perjelas Hukum Wanita Kena Tahu Sebelum Buat Pembedahan Ini

Ramai ingin kelihatan cantik sehinggakan tidak sedar perbuatan itu haram hukumnya. Bahkan di media sosial banyak teknik pembedahan dilakukan tanpa sedar ia menyalahi hukum agama.
Bagi yang ingin tahu apakah hukumnya cipta lesung pipit buatan, baca pencerahan dari Mufti Wilayah Persekutuan mengenainya.
Ringkasan Jawapan :-
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum lesung pipit buatan melalui proses tindikan mahupun pembedahan adalah haram. Lesung pipit yang dibuat semata-mata bertujuan kecantikan (tahsiniyyah) adalah dilarang kerana ia mengubah ciptaan Allah yang jelas bukan pada situasi keperluan (hajiyyah).
Huraian Jawapan :-
Lesung pipit ialah lekukan kecil semulajadi dalam daging pada bahagian tubuh manusia, terutama di pipi atau dagu. Lesung pipit di pipi akan kelihatan ketika seseorang membuat ekspresi wajah seperti tersenyum. Sementara lesung dagu adalah garis kecil di dagu (lekuk) yang tetap tanpa perlu membuat ekspresi wajah tertentu. Lesung pipit terjadi disebabkan oleh variasi struktur otot muka yang dikenali sebagai zygomaticus major terbelah dua [1]
Menurut kajian, mereka yang memiliki lesung pipit dikatakan mempunyai kecacatan otot yang sangat menawan selain menjadi tarikan penyeri wajah ketika tersenyum. [2] Namun tidak semua manusia mempunyai lesung pipit, maka terdapat mereka yang sanggup melakukan prosedur yang menyakitkan melalui cara pembedahan (dimpleplasty) ataupun tindik untuk mencipta lekukan lesung pipit untuk kekal dalam tempoh masa tertentu. Menurut kajian, risiko pembedahan (dimpleplasty) ialah pada kecederaan cabang saraf wajah namun ia jarang berlaku[3]. Walaubagaimanpun pembedahan tersebut tetap terdedah risiko yang tidak diketahui tanpa sebarang jaminan.
Pada asalnya, pembedahan kosmetik dan sebarang prosedur yang yang membawa kepada perubahan anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak.Ini berdasarkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya : Allah melaknat orang yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur alis (bulu kening) dan orang yang meminta mencukur kening dan orang yang mengasah gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah SWT”.Riwayat Muslim 2125.
Ancaman laknat “ لَعَنَ” dalam hadis menunjukkan pengharaman mengubah ciptaan Allah sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya ( Lihat Fath al-Bari 10/377) . Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan لِلْحُسْنِ lil husn bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut ialah

وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لطلب الحسن أما لو احتاجت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فلابأس والله أعلم
Perbuatan menjarangkan gigi untuk kecantikan “lil husn” memberi makna perbuatan hanya untuk kecantikan dan ianya sebagai isyarat kepada pengharaman. Hal Ini kerana orang yang meminta untuk melakukan hal tersebut khusus menzahirkan kecantikan semata-mata. Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib pada gigi maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih mengetahui (Rujuk al-Minhaj fi Syah Sahih Muslim,14/107). Oleh itu, hadis tersebut sebagai hujah larangan terhadap segala perbuatan mengubahsuaian ciptaan-Nya yang semata-mata bertujuan kecantikan tanpa keperluan yang mendesak.
Konklusinya, berdasarkan nas yang dibentangkan, kami menyatakan bahawa mencipta lesung pipit melalui kaedah pembedahan mahupun bertindik bagi tujuan kecantikan adalah haram. Pembedahan yang menghasilkan kesan lekukan di pipi dilarang kerana mengubahsuai ciptaanNya serta terdapat unsur penipuan terhadap kecantikan wajah yang bukan asli. Bahkan, pembedahan lesung pipit (dimpleplasty) melibatkan kos yang tinggi serta terdapat implikasi bahaya seperti merosakkan otot pipi. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaanNya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah).
Akhir kalam,marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta redha dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hamba-Nya
[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Dimple
[2] https://www.researchgate.net/publication/228105937_Anatomical_basis_of_dimple_creation_-_A_new_technique_Our_experience_of_100_cases
[3]https://www.researchgate.net/publication/232923524_Complication_of_dimple_creation/fulltext/57ebd43008ae93b7fa9570da/Complication-of-dimple-creation.pdf
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Gabungkan Niat Puasa Enam & Qada Serentak, Mufti Jelaskan Mana Satu Lebih Afdal

Hari ini hari ke tiga umat Islam meraikan Syawal dan ketika ini ada yang sudah memulakan puasa enam di bulan Syawal. Dalam menjalani ibadah ini kerap kali ditanya bolehkah digabungkan niat puasa enam digabungkan sekali dengan puasa qada. Semoga penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan ini menjawab persoalan ramai.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
- Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil. Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
- Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadhan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja.
Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)

Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Gaduh Sikit Sikit Lepas Itu Minta Pulangkan Hadiah. Boleh Ke?

Isi Kandungan
ToggleGaduh sikit merajuk. Gaduh sikit minta pulangkan hadiah yang diberi minggu lepas.
Meminta semula hadiah yang sebelumnya diberikan penuh keikhlasan boleh diibaratkan buruk siku. Tindakan ini seperti tidak matang dan berdasarkan emosi.
Apapun juga, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan berkenaan hadiah. Individu A memberikan hadiah kepada individu B. Kemudian, setelah 2 bulan, individu A meminta semula hadiah yang diberikannya kepada individu B.
Soalan saya adakah boleh perbuatan itu? Apakah hukumnya? Mohon pencerahan Datuk. Terima kasih.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:
فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا
Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
(Surah al-Nisa’: 4)
Ayat ini menerangkan bahawa apabila seorang isteri memberikan sesuatu dari maharnya kepada suaminya selepas mahar tersebut diserahkan kepadanya (isteri), maka diharuskan bagi suami tersebut untuk menerimanya.
Dan ia adalah perkara yang baik selagimana dalam keredhaan. Justeru, jelas melalui ayat ini, Allah S.W.T telah mensyariatkan hibah dan menyatakan keharusannya.
Ini dikuatkan juga dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W: تهادُوْا تحابُّوا
Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.
Riwayat al-Bukhari (594). (Lihat: al-Adab al-Mufrad; muka surat 306), Hadith Shohih, (Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44)
Hadis ini merupakan galakan daripada Nabi Muhammad S.A.W buat umatnya. Maka, sudah jelas terang lagi bersuluh bahawa hibah merupakan sunnah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan juga ijma’ ulama’.
Sebelum diulas lanjut berkenaan hadiah, maka perlu kita bezakan terlebih dahulu pengertian hibah, hadiah dan juga sedekah.
Hibah ialah suatu akad yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.
Pada dasarnya, ia mempunyai persamaan dengan hadiah dan juga sedekah dari sudut pengertian, bahkan ia lebih umum berbanding keduanya. Namun, ia juga mempunyai perbezaan.
Sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala. Manakala hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi.
Biasanya ia membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima. Justeru itu, ulama’ mengatakan setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah, dan bukan semua hibah adalah hadiah ataupun sedekah. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/116)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, ia berkait rapat dengan rukun-rukun hibah. Rukun-rukun ini ialah:
Pemberi dan penerima
Sighah Aqad (Ijab dan Qabul)
Barangan yang dihibahkan atau dihadiahkan
Penerimaan Hibah
Pada dasarnya, akad ini tidak sempurna hanya dengan sighah aqad iaitu lafaz ijab dan qabul. Bahkan perlunya kepada penerimaan barangan hibah atau hadiah tersebut.
Ini bermakna, jika seseorang mengucapkan lafaz ingin memberikan hadiah kepada seseorang namun barangan yang ingin dihadiahkannya itu belum lagi diserahkan kepada si penerima, maka pemberi hadiah ini berhak untuk menarik semula keinginannya itu.
Justeru, akad ini akan menjadi sempurna dan berkuatkuasa hanya setelah apabila hadiah tersebut diterima dan memenuhi syarat-syarat bagi hibah atau hadiah, maka sahlah pemilikannya (penerima) ke atas barangan hibah itu.
Meminta Semula Hadiah/Hibah
Asal bagi aqad hadiah mahupun hibah adalah kedua-duanya merupakan akad tabarru’at (kebajikan) dan bukannya akad mu’awadhat (pertukaran). Maka, dalam hal kebajikan, tidak berlakunya pertukaran barangan sepertimana urusan jual beli dan lain-lain.
Seperti yang dibincangkan dalam perihal di atas, asas aqad hibah atau hadiah ini ialah apabila sempurnanya rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hadiah/hibah tersebut, maka jelaslah ia merupakan hak milik si penerima, tanpa perlu kepada sebarang pertukaran sepertimana jual beli.

Sehubungan dengan itu, tidak dibenarkan atau tidaklah dibolehkan bagi si pemberi untuk meminta semula hadiah atau hibah yang telah diberikannya melainkan seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau sesorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran.
Artikel lain berkaitan: Allah Hadiahkan Kubur Indah & Liang Lahad Cantik. Lantainya Sejuk Macam Marmar Perjalanan Terakhir Ustazah Shadiya Abbas
Maka, dalil bagi perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W:
«العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ»
Maksudnya:
“Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”.
Riwayat al-Bukhari (2621)
Atau dalam riwayat yang lain:
«لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ»
Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” Riwayat al-Bukhari (2622)
Justeru itu, melalui kedua-dua hadith ini, jelas menunjukkan larangan dan juga betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian itu.
Maka, Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata:
فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة، وأن ذلك مثل السوء الذي يتنافى مع أخلاق المسلم
Maksudnya: Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah atau hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.
Artikel lain berkaitan: Niat Tak Mahu Bebankan Suami, Wanita Ini Hanya Minta Selipar Jepun Segelas Air Untuk Mahar Kahwin
Penutup
Kesimpulannya, hukum meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan tuntutan semula seorang ayah terhadap anaknya dan juga hibah yang diberikan berserta syarat pertukaran.
Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari bersikap dengan perbuatan ini iaitu meminta semula hadiah, kerana ia merupakan perbuatan yang buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Semoga Allah S.W.T meletakkan keikhlasan dalam diri kita dalam hal kebajikan, murahkan rezeki kita agar dapat perbanyakkan diri dengan amalan-amalan kebajikan.
Semoga Allah S.W.T memberkati segala amal kebajikan kita semua.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI