Assalamu’alaikum ustaz, adakah seorang ibu yang menyediakan juadah berbuka untuk keluarganya turut mendapat pahala memberi makan kepada orang berbuka puasa ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa beliau berkata : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’.
Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ads
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
Maksudnya : Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Justeru, apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perkataan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa datang dalam bentuk yang umum. Dalam erti kata, ia meliputi perbuatan membelanja makan, memasakkan makanan lalu diberikan kepada orang yang berbuka puasa, juga turut meliputi perbuatan membantu penyediaan makanan serta mengagihkan makanan. Setiap individu yang terlibat dalam usaha memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, akan diganjarkan pahala dengan mengikut kadar usaha sama ada banyak ataupun sedikit.
Kerana itu dalam isu perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ sama ada makanan yang diberikan adalah makanan yang mengenyangkan atau apa sahaja makanan termasuk makanan yang ringan seperti buah tamar, segelas air, kuih muih, dan seumpamanya, kami berpendapat bahawa makanan yang afdhal adalah makanan yang mengenyangkan. Manakala seseorang yang memberi makanan seperti kurma dan segelas air, turut mendapat pahala perbuatan memberi makan tersebut.
Ads
Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya’’. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W : ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab : ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.
Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)
Maka pengajaran dari hadis di atas, pahala dan ganjaran itu diberikan mengikut kadar usaha masing-masing dalam memberikan makanan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini juga seperti yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Khalid Al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.
Riwayat Muslim (1895)
Imam Al-Nawawi dalam syarahan ke atas hadis ini beliau berkata :
Maksudnya : Pahala ini terhasil dengan setiap usaha sama ada sedikit mahupun banyak, serta (pahala ini turut diperolehi) setiap individu yang menjaga kebajikan keluarga mereka yang keluar berperang dari sudut menunaikan hajat mereka, bersedekah ke atas mereka, membantu mereka dalam urusan, dan ia (ganjaran pahala) berbeza mengikut kadar sama ada sedikit atau banyak. Pada hadis ini juga terdapat galakan untuk berbuat ihsan (kebajikan) kepada mereka yang berkerja untuk kemaslahatan umat Islam atau mengambil tempat mereka dalam menjaga tanggungjawab dan kepentingan mereka.
Rujuk Syarah Al Nawawi ‘ala Sahih Muslim (13/40)
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah menekuni beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa seseorang ibu yang menyediakan makanan dan hidangan berbuka kepada keluarganya yang berpuasa turut termasuk dalam perbuatan memberi makan kepada orang berbuka. Demikian juga semua ahli keluarga baik suami dan anak-anak yang turut membantu ke arah menyiapkan juadah berbuka turut memperoleh ganjaran seperti yang disebutkan di dalam hadis. Ganjaran ini pula mengikut kadar usaha yang dilakukan dalam erti kata, lebih besar usaha makanya lebih besarlah juga ganjaran pahala. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Landasan Kashoorga: Tazkirah On The Go, raikan anak yatim & sampaikan ilmu dalam medium berbeza. Ramadan adalah bulan barakah yang Allah berikan kepada hambanya. Seluruh umat Islam berpeluang mendapatkan kebaikan-kebaikan yang dijanjikan Allah sepanjang bulan ini.
Hikmah pada bulan Ramadan sangat besar kerana ianya bulan yang sering ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam untuk meningkatkan ibadah kepada Allah Taala.
Meneruskan kesinambungan segmen Tazkirah Ramadan Kashoorga yang telah diadakan setiap tahun selama empat tahun, Landasan Kashoorga memilih konsep ‘Event On Ground’ bagi tahun 2023. Soal jawab agama berkaitan bulan Ramadan antara topik yang diketengahkan.
Landasan Kashoorga: Tazkirah On The Go yang dibawakan oleh portal Islamik Kashoorga dari Nu Ideaktiv Sdn Bhd dengan Kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Landasan Kashoorga: Tazkirah On The Go
Jika kebiasaan tazkirah diadakan di masjid dan surau tapi kali ini kami bawakan ke Stesen Sentral Kuala Lumpur sebagai kelainan demi memberi pengisian bermanfaat buat orang ramai walaupun dalam kesibukan mengejar masa dalam perjalanan.
Selain itu, program Landasan Kashoorga juga adalah salah satu aktiviti Kashoorga untuk mengimarahkan bulan Ramadan dengan perkongsian ilmu yang harapnya dapat memberi manfaat buat semua.
Raikan Anak Yatim
Majlis diserikan dengan dua slot tazkirah. Tazkirah pertama bertajuk Meraih Pahala Ramadan: Ibadah On The Go akan disampaikan oleh Ustaz Rahim Azhari yang merupakan pendakwah bebas dan juga speaker motivasi yang aktif berkongsi ilmunya baik di platform media sosial dan juga majlis sekitar Lembah Klang.
Manakala untuk slot tazkirah kedua, ‘Keberkatan Ramadan’ disampaikan oleh Ustaz Adnin Roslan. Ustaz ini mungkin tidak asing lagi bagi yang biasa melayari TikTok.
Sampaikan Ilmu Dalam Medium Berbeza
Beliau yang juga penulis buku Tarbiah Sentap ini selalu berkongsi video menjawab pelbagai kemusykilan agama dengan cara yang santai namun menusuk ke jiwa.
Dalam majlis yang sama, Kashoorga turut meraikan anak-anak yatim sementara menunggu waktu berbuka. Encik Syamil dari Ideaktiv dan Encik Mohd Taha dari KTMB mengambil kesempatan menyantuni anak-anak dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih dengan penyerahan duit raya dan cenderahati untuk mereka.
Tetamu kehormat juga turut meluangkan masa bergerak ke platform EtS untuk acara agihan cenderati kepada pengujung di sekitar platform dan juga di dalam train.
Terima kasih juga kepada penaja-penaja lain seperti Muas Mo Event Stylist, Kedai Ayamas, McDonalds, Pusat Pakaian Hari-Hari, Gula Cakery, Ryns Avenue, Icahfa, Yeo’s serta My Kitchen Partners kerana kesudian berkongsi masa, tenaga dan rezeki untuk memeriahkan majlis kali ini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Walaupun tahun ini kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menghantar jemaah haji ke tanah suci kerana masalah wabak COVID-19, namun tidak mematahkan semangat untuk setiap dari kita menanam niat pergi ke sana.
Berkongsi pengalaman jemaah haji yang pernah mengerjakan Rukun Islam kelima ini juga menjadi satu pengalaman terindah untuk kita jadikan panduan satu hari nanti.
Semoga dengan perkongsian jemaah haji ini dapat memberi info berguna dan jadi pengajaran sekiranya dijemput menjadi tetamuNya nanti, InsyaAllah.
Gambar sekadar hiasan.
Menurut Puan Nurul Ashikin, peluang dapat menunaikan haji dalam usia sangat muda memberi pengalaman cukup berguna padanya.
Dia dan suaminya dapat tawaran menunaikan Haji melalui surat pada bulan November 2017. Kemudian, surat rayuan dibuat dan dihantar terus ke Tabung Haji Jalan Tun Razak. Alhamdulillah beliau turut mendapat tawaran pada bulan Februari 2018.
Ayuh Ikuti perkongsiannya…
Alhamdulillah selesai sudah 6 hari perjalanan ibadah haji kami berdua. Memang rasa adventure sangat! Best experience selama saya hidup 29 tahun ini. Post ini tentang pengalaman haji kami, yang pasti akan berbeza dengan pengalaman jemaah haji yang lain.
Saya cuba untuk menceritakan secara ringkas pengalaman dan perjalanan kami menerusi gambar dari hari pertama sehingga ke hari keenam. Harap boleh memberi gambaran suasana sebenar masyair kepada bakal jemaah haji.
Boleh share post ini. Post ini bukan untuk dijadikan sebagai panduan, tetapi boleh diambil sebagai manfaat dan pengajaran kepada bakal jemaah haji nanti. InsyaAllah.
#shhajj1439
Hari pertama. 8 Zulhijjah; Ahad. Semua jemaah haji Malaysia akan ke Arafah sehari sebelum wuquf iaitu pada 9 Zulhijjah. Jemaah haji di tingkat 1 akan berkumpul terlebih dahulu di lobby pada 6.30am. Sahabat maktab diberi tugas untuk mengawal dan membantu jemaah haji di setiap tingkat. Saya dan suami membantu jemaah haji di tingkat 4 dan bas no 21.
Sebelum menaiki bas, semua jemaah haji yang membuat haji tamattuk akan berniat haji di lobby hotel.
Bas datang lewat 2 jam. 830pagi baru bas pertama sampai. Walaupun lewat, tapi bas tak henti datang dan dalam masa sejam je, jemaah dari tingkat 1 hingga 4 dah bertolak ke Arafah.
Ni bas kami, boleh muat sampai 62 orang. Yang muda muda memang kena berdiri. Beg kena letak atas peha masing masing. Sebab tu Tabung Haji dah nasihat awal awal jangan bawa beg banyak dan besar. Ada juga jemaah yang bawa beg tarik besar. Akan makan space dan menyusahkan jemaah lain. Bawa sahaja beg tarik Tabung Haji 5kg. Saya dan suami backpack je. Bawa 1-2 set pakaian dah cukup.
Ujian kami, bas sesat. Sepatutnya perjalanan setengah jam tapi jadi sampai 1jam 40min. Alhamdulillah semasa ziarah seminggu ke Masyair, saya dah save location Arafah maktab 84. Cuma banyak jalan di tutup. Jadi bas kami terpaksa u-turn banyak kali dan cari jalan lain.
Blok P Maktab 84. Dari awal kena susun kedudukan mengikut arah kiblat. Saya mintak semua jemaah keluarkan tikar Tabung Haji dan susun rapat2. Beg pun saya mintak letak atas tikar, bukan luar tikar sebab taknak makan ruang jemaah lain. Ada 315 jemaah perempuan, lega sangat banyak kakak kakak jemaah yang tolong membantu susun atur kedudukan jemaah. Thank you semua! Hehe
Untuk tahun 2018, pertama kali pihak muassasah sediakan blower/aircond. Tapi bila dah ramai memang tak rasa sejuk. Ramai mengadu kat saya yang mereka panas dan mengadu jemaah di depan conquer blower. Kesian yang duduk di tengah2. Bersabarlah. Saya sendiri keluarkan kipas bateri RM10. Tidur pun mengadap kipas kecik saya.
Malam tu kami diuji dengan ribut petir. Bergoyang goyang khemah. Blackout dan gelap khemah masa kami solat maghrib. Kami berzikir, bertalbiah. Ramai berteriak Allahuakbar. Saya mengaku memang saya takut. Kami berdoa beramai ramai. Alhamdulillah jam 9malam ribut berhenti dan kami semua selamat.
Waktu pagi di Arafah. Beratur untuk ambil air panas. Sepatutnya ada partition zink antara tandas dan dapur, tapi dah hilang ditiup angin masa ribut malam arafah.
Teringat saya jam 3 pagi saya beratur selama sejam untuk ke tandas. Memang dah pesan awal awal; “Semua Hajah tolong jangan mandi yer. Nak masuk subuh dah. Buang air jer sekarang. Nak mandi selepas subuh yer”.
Breakfast kami dengan maggi. Bila kat Arafah, jadi sedap pula maggi cup ni. — with Hazlee Abu Bakar.
Makcik makcik duduk di belakang saya. Memang peramah sangat. Hari pertama di Arafah saya tak sempat lunch, mereka ni lah yang bagi saya buah, roti buat alas perut. Terharu
9 Zulhijjah; Isnin. Hari Arafah ini saya boleh bahagikan kepada 3 fasa. Fasa pertama adalah khutbah sebelum waktu zuhur. Waktu ni memang ngantuk sangat. Jadi better tidur sekejap diantara jam 9-10pagi. 11 pagi dah siap2 untuk khutbah dan solat zohor.
Fasa kedua di mana selepas zohor. Cop awal2 tempat di luar khemah untuk berdoa. Kalau suami isteri tu lebih baik doa bersama2. Saya keluarkan buku doa kiriman kawan dan doa hajat saya. Semangat nak berdoa. Ada 5 jam masa berdoa sebelum masuk waktu maghrib. 5 jam inilah Allah dan para malaikat paling dekat dengan kita. Langit terbuka luas. Jangan sia siakan waktu ini.
Cuaca memang panas. Rasa haba jer. Saya dan suami berdoa sambil ais letak di kepala. Cepat jer ais cair. Ada masa saya ambil air mineral sejuk terus tuang atas kepala. Basah telekung tapi sekejap je dah kering.
Time ni memang banyakkan minum air. Walaupun tak haus, saya keep minum supaya badan sentiasa sejuk.
Fasa ketiga dimana sejam sebelum Maghrib. Ujian kat sini kita akan rasa lapar. Jangan di layan sangat perut yang lapar. Continue berdoa dan ulang2 doa kita. Menangis dan merayu2 pada Allah. Menangis dan mengaku atas kesalahan dan dosa kita selama ini. Time ni semua orang tak malu menangis mengadap ke langit. Memang takkan lupa saat wukuf di Arafah.
Masuk je waktu Maghrib, semua jemaah dah kena ready ke Muzdalifah.
Jam 8malam bas no 21 dah tiba di Muzdalifah. Padat. Siap ada yang tidur berhampiran dengan tandas. Nak baring pun susah. Sempit. Saya tidur2 ayam jer. Duduk pun rasa panas pasir. Sakit juga belakang sebab banyak batu batu. Walaupun malam, memang saya berpeluh. Rasa udara dan haba panas. Kipas bateri memang penyelamat.
Jam dah 2 pagi, masih bas no 10. Saya dan suami dah rasa cacing kepanasan sebab bas 21 kami tak sampai lagi. Ada juga kami berfikir macam nak berjalan kaki ke Kompleks Jamrah terus. Sabar shikin sabar. Sekejap je lagi tu.
Terfikir saya macam mana agaknya keadaan kita semua di masyar, menanti untuk dihisab. Muhasabah diri saya ketika itu. Allahuakbar.
Akhirnya bas 21 tiba selepas subuh. 9jam kami di Muzdalifah.
Pakcik ni bas no 42. Masa bas no 21 beratur jam 5pagi untuk ke Mina, pakcik ni sorang2 je duduk. Saya minta pakcik baring berehat.
“Pakcik baring la, jangan duduk sangat. Sakit badan. Bas pakcik lambat lagi ni”.
Pakcik angguk jer dan terus baring. Sedih jer time ni. Pakcik tak merungut pun. Kesabaran pakcik tinggi sungguh. Semoga Allah membalas kesabaran pakcik dengan haji mabrur.
Ujian kepada kami apabila bas no21 kami berhenti selama sejam kerana jalan ditutup untuk diberi ruang kepada penjalan kaki ke Kompleks jamrah. Allahuakbar. Dah jam 6 pagi, sedangkan baru sahaja 2km bergerak.
Suami terus decide “sayang jom jalan kaki ke Kompleks Jamrah”.
Mengikut nasihat Tabung Haji, jemaah Malaysia akan melontar jamrah Kubra pada sebelah malam selepas Maghrib. Waktu afdhal iaitu waktu dhuha terlalu ramai orang dan sesak di kompleks. Saya dan suami dah target dari Malaysia untuk melontar semasa waktu afdhal dan Tabung Haji dah pesan boleh pergi tapi atas tanggungan sendiri. Dari Malaysia lagi kami tak henti henti berdoa supaya Allah memberi laluan dan lorongan kepada kami.
Dari tempat bas berhenti, kami berdua berjalan kaki ke kompleks jamrah sejauh 5km. Ikut laluan jemaah dari Nigeria. Saya dah pesan kepada jemaah haji bas no 21 mintak bersabar dan bas akan terus membawa mereka ke Kem Maktab 84
Rehat sekejap. Walaupun dari Malaysia saya dan suami dah praktis jogging sebulan sebelum ke Mekah. Tapi memang letih bila berada di sini. Basah jubah dengan peluh. Tak cukup tidur dan rehat sejak dari Arafah. Bertabah la shikin.
Kami ikut pesanan Ustaz Rahman untuk melontar ke level 3. Ramai tapi tak padat. Berdebar pulak rasa sebab pertama kali melontar. Alhamdulillah kami dapat melontar pada waktu afdhal. BismillahiAllahuakbar.
Ni Jamrah Sughra. Pada 10 Zulhijjah jemaah hanya melontar di jamrah Kubra sahaja. Askar ada juga mengepung jamrah Sughra dan Wusta supaya jemaah haji tak tersilap melontar pada 10zulhijjah.
Alhamdulillah selesai lontaran Jamrah Kubra kami. Kami bertahalul awal dan bebas daripada 10 daripada 13 larangan ihram. Comot betul sebab tak mandi selama 3 hari.
Kami diberitahu bas terakhir no 49 jemaah haji maktab 84 sampai di Mina pada jam 10pagi. Dan keadaan dalam khemah Mina sangat2 padat. Jadi saya dan suami decide untuk kembali ke Mekah supaya jemaah di khemah Mina ada ruang sedikit untuk berehat. Kami akan kembali semula ke Mina untuk bermabit pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. — with Hazlee Abu Bakar.
Ni perjalanan dari Mekah ke Mina. Ramai orang berjalan kaki ke Kompleks Jamrah untuk bermabit. Saya dan suami ambil teksi dari hotel dan driver teksi hanya hantar kami separuh perjalanan sahaja. Jadi kami terpaksa berjalan kaki bersama jemaah lain.
Paling best abang spray air. Ramai je abang2 yang spray air di kepala dan muka kita. Setiap kali ada abang ni, saya dan suami sua muka dan kepala. Sejuk je badan.
Kami perlu bermabit di Mina lebih daripada separuh malam. Lebih 5 jam. Kami bentang tikar duduk di tepi jalan berhampiran kompleks. Selepas 10min ada je askar akan halau kami dan jemaah lain. Lepas tu kami cari ‘port’ baru dan akan dihalau lagi. Begitu la seterusnya sehingga 6jam. Tabah betul.
Ada masa kami berjalan jalan ke kem vvip yang sangat berhampiran dengan kompleks. Memang mewah sangat. Beruntung sangat jemaah yang dapat kem vvip ini. Sedap kan hati, saya tak dapat keselesaan macam ni di dunia, mengharapkan Allah bagi saya rasa di akhirat nanti.
Pandangan dari tingkat 4 kompleks jamrah. Ramai jemaah yang berehat dan bermabit di tepi jalan. Tapi askar arab memang betul2 tegas. Siap ada bawa kereta polis menghalau jemaah haji untuk kosongkan kawasan.
Sebelum kami ke Mina untuk bermabit pada 12 zulhijjah, saya dan suami tawaf haji dan saie untuk menjalankan rukun haji kami. Dataran tak ramai tapi disebabkan cuaca sangat panas, kami tawaf di level 2.
Kami saie dari safa ke marwah di level 2. Level 1 penuh dengan jemaah haji. Selesai ibadah tawaf haji dan saie, kami bebas daripada 13 larangan ihram dan bertahalul thani. Alhamdulillah.
Perjalanan bermabit kami pada 12 zulhijjah diteruskan. Seperti biasa, teksi akan menghentikan separuh sahaja perjalanan dan kami berjalan kaki 4km ke kompleks jamrah.
Kali ni kami dapat ‘port’ best. Kawasan ni askar arab tak halau dan saya siap boleh tidur 2jam. Memang ramai orang, tapi berangin. Jemaah haji lain siap sedekahkan kami makanan Al-baik (macam kfc). Mulia yer hati. Sejak kami sampai Mekah memang saya dan suami kuat makan. Semua benda nampak sedap. Risau juga nak timbang berat lepas balik malaysia nanti.
Tiba untuk melontar hari pertama tasyrik 11 zulhijjah. Masa ni rasa semangat sangat dan masa melontar pun rasa geram dengan syaitan. Hehe. Ibadah melontar ni ibarat simbolik kepada kisah nabi ibrahim yang melontar batu kepada syaitan.
Tips untuk jemaah haji; sebelum melontar susun 7 anak batu di corridor depan jamrah. Senang nanti nak melontar. Susun elok elok. Jangan risau tentang ramai orang. Sebab jemaah haji lain sekejap sahaja melontar dan keadaan akan lengang kembali. Setiap kali melontar saya dan suami melontar di hadapan sekali.
Hari terakhir bermabit di Mina. Allah sangat permudahkan perjalanan kami. Dari hotel di Mekah kami dapat driver teksi yang baik hati hantar kami betul betul berdekatan dengan Jamrah. Tak perlu berjalan banyak Saya dan suami bermabit di Level 4 kompleks jamrah dan askar pun tiba2 baik hati bagi kami duduk betul betul berhadapan Jamrah Sughra. Tak kena halau dah. Mungkin disebabkan ramai jemaah yang buat nafar awal, jadi jemaah di Mina semakin berkurangan.
Sebaik subuh pagi ini kami membuat ibadah lontaran dan ibadah terakhir haji kami pada 13 zulhijjah. Syukur ke hadrat Ilahi kami diberi kesihatan yang baik sepanjang tempoh ibadah haji ini. Memang tak dinafikan ada ujian dan kesusahan sepanjang 6 hari ini, bersyukur kami tempuh semua dengan baik. Memang benar ujian paling penting adalah kesabaran yang sangat tinggi di sini. Kunci mulut dan berkatalah dengan yang baik baik.
“Bukan lah dinamakan Haji jika tiada ujian dan kesusahan”
Kepada bakal haji, buatlah persediaan sebaik mungkin. Perjalanan haji saya berulang alik dan setiap hari perjalanan saya lebih 10km, jadi tidak dinasihatkan kepada bakal jemaah haji yang uzur dan tidak yakin untuk berulang alik Mina Mekah. Follow saja apa yang telah ditetapkan oleh Tabung Haji.
Once dah cukup RM9980 di dalam akaun Tabung Haji, cepat2 lah buatlah rayuan kepada Tabung Haji setiap tahun dan berdoa, insyaAllah dijemput menjadi tetamu istimewa Allah. Jika ada duit lebih, tak salah investkan sikit duit ambil pakej private haji yang ada di Malaysia. Tapi bagi saya, pakej Muasassah yang disediakan oleh Tabung Haji sudah terbaik.
Segala persoalan boleh PM atau bertanya di ruang comment. InsyaAllah saya dan suami akan menjawab soalan anda. Terima kasih — with Hazlee Abu Bakar.
Kumpulan Media Karangkraf dipilih sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 pada majlis kemuncak sambutan Hawana di sini semalam.
Berdiri megah sebagai syarikat penerbitan sejak 40 tahun lalu menyaksikan Kumpulan Media Karangkraf dipilih sekaligus membawa pulang trofi, sijil sera wang tunai RM10,000 pada kemuncak sambutan Hawana di Banda Hilir, Melaka.
Penyampaian anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan anugerah kepada Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub. Foto:- Bernama
Dalam ucapan selepas menerima pengiktirafan ini, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, anugerah itu merupakan penghargaan bagaimana wartawan, akhbar dan organisasi media tersebut boleh memberi impak kepada masyarakat.
Menurutnya, ini termasuk beberapa siri program dan kempen yang diperkenalkan serta dilaksanakan seperti Rumah Ngaji, kempen World #QuranHour dan #RasuahBusters.
Katanya, pengiktirafan itu juga menunjukkan bahawa apa yang diusahakan selama ini bukan setakat menyampaikan berita, namun dapat menukarkan budaya dan juga mengembalikan integriti yang telah hilang kepada masyarakat.
“Di mana nilai moral dan karakter bangsa yang telah runtuh sebelum ini dapat dipulihkan melalui usaha-usaha yang telah dibuat oleh wartawan.
“Syukur Alhamdulillah, Karangkraf diiktiraf pada hari ini dan di Karangkraf kita berpadu tenaga,” katanya.
Tambahnya, kejayaan sedemikian juga tidak akan dicapai tanpa sokongan media-media lain untuk memulakan kempen-kempen tersebut.
Hari Wartawan Nasional merupakan satu pengiktirafan kepada golongan wartawan yang merupakan “insan di sebalik tabir” melaporkan peristiwa penting berlaku di seluruh dunia.
Selepas dua tahun tidak diadakan kerana Covid-19, Hawana 2022 diadakan sekaligus mengiktiraf Kumpulan Media Karangkraf sebagai media terbaik.
Antara kriteria untuk dipilih sebagai penerima anugerah itu adalah berdaftar dan menunjukkan hasil kerja cemerlang, kupasan isu yang mendalam, berkualiti serta berimpak pada tahun yang dinilai.
Selain berdaftar, ia juga mengamalkan tatakelola serta nilai kewartawanan yang baik, selain menyumbang kepada pembangunan industri kewartawanan dan media di negara ini, manakala hasil karya terlibat harus menyumbang kepada pembangunan insan, keamanan dan kesejahteraan sejagat.
Kompleks bangunan Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 Shah Alam diberi nafas baru dengan lukisan mural yang menarik dan berwarna warni dan ia dalam proses pembikinan.
Mengimbau penubuhan Kumpulan Media Karangkraf, gergasi media ini membuat kemunculan pertama pada 1978 dengan Mingguan Kanak-kanak dan pada 1990, organisasi itu kemudiannya melebarkan skop perniagaan dengan penerbitan beberapa genre buku menerusi Alaf 21 dan Karya Bestari.
Pada 2006, kumpulan itu melahirkan akhbar kompak wilayah, Sinar Harian yang kemudiannya mencatat sejarah sebagai akhbar paling cepat berkembang di Malaysia.
Kini kumpulan media itu berdiri gah dalam industri dengan 13 keluaran majalah, penerbitan novel, percetakan, saluran media Internet dan pemberitaan akhbar.
Hargai peranan wartawan
Pada 2015, kumpulan itu memperkenalkan program Malaysia Ngaji disusuli Kempen World #QuranHour pada 2016 serta beberapa siri rantaian seperti Malaysia #QuranHour, Merdeka #QuranHour dan World #QuranConvention yang secara kumulatifnya merekodkan 2.475 bilion penyertaan.
Pada Februari 2021, inisiatif agresif membanteras rasuah diperkenalkan kumpulan itu menerusi #RasuahBusters membabitkan gabungan media, individu, pertubuhan serta syarikat swasta dengan kolaborasinya kini melibatkan 550 rakan strategik.
Anugerah Hawana 2022 bertujuan mengiktiraf dan sebagai penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.
Kali pertama Hawana diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.
Pada 30 November 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – Sumber / Foto :-Sinar Harian / Bernama
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Batalkan solat kerana anak menangis. Situasi ini mungkin pernah berlaku kalangan ibu yang mempunyai anak kecil.Tapi perlu diketahui bahawa adalah haram membatalkan solat fardu...