Salah satu menu makanan yang sangat menambat selera adalah ikan percik. Kalau boleh setiap hari mahu menyediakan hidangan ini untuk berbuka puasa.
Malah hidangan percik ini juga sangat popular untuk mereka yang tinggal di Pantai Timur dan wajib ada setiap kali berbuka.
Perkongsian dalam Facebook Afy Al Habibi memberitahu cara membuat ikan percik proses bermula dari perapan hinggalah kuahnya.
Cikgu pilih untuk berkongsi semula resepi ikan percik warisan keluarga cikgu. Cikgu rasa rugi pula kalau tak tunjuk langkah masak satu persatu. Sebab cikgu tengok bulan puasa kali ini makin ramai yang cari balik resepi cikgu sayang ni.
Cikgu buat ikan percik tu betul-betul duduk bersila berguru depan mak. Resepi yang sememangnya turun temurun dari emak. Tak ada rahsia yang disembunyikan. Cikgu belajar masa balik kampung dua tahun lepas. Haa. Dari proses perap ikan, buat kuah sehinggalah siap sepenuhnya.
Kalau nak buat ayam percik ada cara berbeza. Nanti cikgu kongsi lagi lain kali.
Yang pasti kawan yang sudah cuba resepi ini mereka suka sangat. Cikgu lebih suka percik warna merah dari putih. Bezanya satu sahaja. Boleh baca dekat gambar di bawah.
Musim bulan puasa bazar di Kelantan memang tersohorlah menu percik ni. Jadi puasa dalam tempoh pkp sekarang bolehlah kawan cikgu cuba buat sendiri.
Ikut sahaja semua langkah cikgu bagi.
Mesti menjadi dengan sedapnya. Boleh follow cikgu untuk resepi lengkap yang lain.
Terima kasih emak kongsi resepi paling enak!
Semoga bermanfaat.
Ini Cara Membuatnya:
Ikan Kembung 5 ekor ( basuh bersih dan kelar ikan)
– 2 batang serai – 5 ulas bawang putih – 1 inci halia – 1 1/2 inci kunyit hidup ( Semua bahan di hiris nipis)
Ads
Masukkan dalam tabung pengisar. Tambahkan 3/4 sudu besar garam dan 1 sudu kecil serbuk perasa Hilal atau jenama lain. Kisar hingga lumat.
Lumur rata bahan kisar pada ikan. Perap selama 20 minit.
Bahan untuk kuah percik
– 5 biji bawang merah saiz syiling 20 sen
– 2 ulas bawang putih
– 1/2 hiris nipis halia
– Secubit belacan
– 1/2 sudu besar serbuk ketumbar (disangai dan dikisar halus)
Ads
Kisar semua bahan hingga lumat.
Masukkan bahan kisar dalam periuk.
Tambahkan sekali 6 senduk santan segera.
( Beli dekat pasar. Pekat asli daripada buah kelapa)
Tambahkan 1 senduk air kosong.
Masukkan 1 1/2 sudu besar cili kisar ( kisar sendiri)
Guna cili kering saiz paling besar. Tak pedas. Warna pun merah cantik.
Ads
Nak buat warna percik putih maka tak perlulah letak cili kisar. Itu bezanya. Pada warna sahaja.
Letak periuk atas dapur. Buka api perlahan. Perahkan sehiris limau nipis.
Masukkan 2 1/2 sudu besar gula, 1/2 sudu besar garam dan secubit serbuk perasa Hilal atau jenama lain
* kuantiti rasa terpulang kepada citarasa sendiri/ masukkan sedikit demi sedikit untuk lebih selamat. Kacau kuah dengan api sederhana besar.
Tutup api setelah kuah berbuih mendidih. Siap untuk kuah percik lazat tak terkata.
Bakar ikan di atas bara api. Jangan bakar hingga kering garing supaya isinya kekal juicy.
Sendukkan kuah percik tadi dan ratakan atas badan ikan. Salutkan dua kali untuk hasil yang cantik.
Masa ni memang tak tahan bau kuah yang disalai sekaili atas bara api. Nikmat yang tak dapat diucapkan. Haa
Siap. Nampak sedap kan?
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Soalan: Apa hukum membasuh kain dengan menggunakan mesin basuh?
Jawapan:
Asal sesuatu pakaian yang bersih dimasukkan oleh seseorang ke dalam mesin basuh tidak dikira bernajis melainkan terbukti kenajisannya.
Pakaian dicuci dengan menggunakan air yang bersih dan bahan-bahan yang boleh membersihkan. Setelah sesuatu pakaian itu dicuci dengan satu proses penyucian sehingga tiada lagi kesan najis sama ada bau, rasa dan warna, maka dikira pakaian itu bersih. Tidak diperintahkan oleh syara’ untuk kita membebani diri meneliti sesuatu proses pembersihan jika sudah terbukti cucian yang berlaku menghilangkan segala kesan najis.
Jika terbukti masih terdapat kesan najis selepas proses pembersihan menggunakan mesin basuh maka pakaian terbabit dikira masih bernajis. Namun jika kesan itu terlalu sukar untuk dihilangkan dan hanya sedikit seperti kesan warna darah atau warna najis yang tidak dapat dihilangkan maka dimaafkan.
Bagi mengelakkan kesan najis di dalam penggunaan mesin basuh maka digalakkan seseorang memastikan pakaian yang dimasukkan itu dihilangkan najis yang jelas yang akan menyebabkan pakaian lain terkena najis tersebut dan memberi kesan kepada bau, warna dan rasa.
Mula dikenali sejak menyertai Imam Muda musim kedua, program realiti tersebut telah membawa banyak perubahan dalam diri Mohd Hassan Adli Yahaya atau Hassan Adli setelah dinobatkan sebagai juara.
Dikenali sebagai seorang insan yang murah dengan senyuman Hassan Adli punya aura yang tersendiri.
Dalam usia enam tahun, Hassan sudah mula berdikari. Demi kerana menuntut ilmu agama, Hassan yang berasal dari kampung Sungai Wangi, Ayer Tawar, Perak menaiki bas tambang seorang diri dari rumahnya di kampung Sungai Wangi ke stesen bas Sitiawan.
IBU BERATKAN SOAL PENDIDIKAN AGAMA
Ibunya, Arfah Md. Nor amat mementingkan soal pendidikan agama. Sebab itulah dia nekad untuk menghantar Hassan ke sekolah tadika Islam di Seri Manjung. Meskipun jarak tadika tersebut jauh dari rumah mereka. Namun ibunya percaya untuk menuntut ilmu, jarak bukanlah penghalang.
“Saya mahu Hassan mendalami ilmu agama. Meskipun tahu Hassan masih terlalu muda untuk berdikari tetapi saya selalu berdoa kepada Allah agar menjaga keselamatannya. Selalunya saya akan menghantar Hassan ke depan rumah kerana bas akan lalu di hadapan rumah kami.
“Saya naikkan Hassan hingga ke tangga bas dan berpesan kepada pemandu dan juga konduktor bas untuk melihat-lihatkan Hassan. Biasanya Hassan akan duduk di kerusi paling hadapan iaitu di belakang pemandu bas.
“Sampai sahaja di stesen bas Sitiawan, Hassan akan menunggu ustaz mengambilnya di situ untuk dibawa ke sekolah tadika di Seri Manjung. Selesai belajar di sekolah tadika, Hassan akan dihantar semula ke stesen bas Sitiawan. Hassan akan menaiki bas tambang untuk pulang ke rumah. Saya akan menunggu Hassan di tepi jalan kerana sudah tahu waktu Hassan akan sampai ke rumah. Begitulah rutin Hassan setiap hari,” cerita Arfah.
NAK TUNTUT ILMU PERLU ADA PENGORBANAN
Menurut Arfah untuk menuntut ilmu perlu ada pengorbanan. Dia amat bersyukur kerana pengorbanannya mendidik Hassan mendalami ilmu agama tidak sia-sia. Hassan meneruskan persekolahannya di Seri Manjung sehingga darjah tiga.
“Pernah juga terjadi ustaz yang sepatutnya mengambil Hassan di stesen bas Sitiawan terlupa mengambil Hassan. Saya sudah berpesan kepada Hassan jika ustaz terlupa mengambilnya, saya minta Hassan menghubungi saya menggunakan telefon awam. Dalam sebulan ada dua, tiga kali jugalah insiden ini berlaku.
“Kebiasaannya saya akan minta Hassan naik semula bas tambang untuk pulang ke rumah. Saya amat berterima kasih dengan pemandu dan konduktor bas kerana ‘menjaga’ Hassan sepanjang tempoh Hassan berulang-alik menaiki bas sewaktu dia belajar di Seri Manjung. Ketika darjah empat, Hassan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Wangi jadi tiada masalah kerana dekat dengan rumah kami,”tutur Arfah lagi.
Dilontarkan persoalan bagaimana Arfah begitu yakin melepaskan Hassan menaiki bas seorang diri, ini jawapan Arfah. Apabila kita berniat ke arah kebaikan nescaya Allah akan melancarkan segala urusan.
“Saya sentiasa tawakal dan berdoa kepada Allah moga-moga semua perkara dipermudahkan. Saya hanya fikirkan yang positif sahaja dan yakin Allah akan sentiasa akan membantu. Yang penting niat kita perlu betul.
“Sebagai ibu saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk membekalkan ilmu agama yang cukup kepada anak-anak. Saya mahu anak-anak saya terdidik dengan pendidikan agama kerana mahu melihat mereka berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat,”jelas Arfah.
Menurut Arfah sebelum Hassan menyertai program Imam Muda dia terlebih dahulu menyertai program realiti Akademi Al Quran musim ke empat yang disiarkan di TV9. Hassan ada meminta izin dan pendapat untuk menyertai pertandingan tersebut.
“Perkara yang baik tentulah saya menggalakkannya. Sebagai ibu, saya sentiasa memberi sokongan. Meskipun Hassan tersingkir awal daripada program Akademi Al Quran saya bersyukur kerana Hassan menjadi juara untuk program Imam Muda musim kedua. Pada saya jika sudah rezeki pasti tidak ke mana,”jelas Arfah penuh makna.
CUBA NASIB
Penyertaan Hassan Adli dalam program realiti Akademi Al Quran pada 2010 sekadar untuk mencuba nasib. Bukan kemenangan yang dihajatinya cuma ingin menimba pengalaman baru. Ketika itu Hassan baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ilmu Wahyu, pengkhususan Al Quran Sunnah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Ketika menyertai Akademi Al Quran, saya orang ketiga yang tersingkir daripada program realiti tersebut. Saya redha kerana percaya ada rezeki lain untuk saya. Lagi pun saya sekadar mencuba-cuba dan terfikir untuk menang. Pada masa yang sama juga program realiti Imam Muda musim pertama juga berjalan serentak.
“Atas nasihat kawan-kawan mereka telah menggalakkan saya untuk menyertai audition Imam Muda musim ke dua pada 2011. Ketika audition, saya demam. Saya menyertai audition yang terakhir di Kuala Lumpur. Pada hari terakhir audition, saya juga merupakan peserta terakhir.
“Saya tidak menjangka yang saya akan terpilih untuk ke peringkat seterusnya hinggalah ke peringkat akhir. Persaingan cukup sengit kerana peserta-peserta semua hebat-hebat belaka. Alhamdulillah kemenangan berpihak kepada saya.,”ungkap Hassan Adli.
Pernah menjangkakan yang dia akan tersingkir awal sama seperti program realiti Akademi Al Quran yang disertainya sebelum ini, nyata sangkaan anak muda ini meleset sama sekali. Akui Hassan menjadi juara Imam Muda musim kedua ibarat seperti mimpi.
“Sungguh saya tidak pernah menyangka untuk menjadi juara Imam Muda musim kedua. Saya anggapnya sebagai rezeki dari Allah. Bukan calang-calang peserta yang menyertai program ini. Ketika itu, hanya tinggal saya dan Nazrul Izwan Zolkiflee. Apabila nama saya disebutkan sebagai juara, saya tergamam namun dalam masa yang sama berasa amat gembira. Kejayaan saya adalah berkat sokongan ibu, keluarga dan rakan-rakan,”tutur Hassan Adli.
TAHAP KEYAKINAN LUAR BIASA
Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, sempat penulis bertanya tentang pengalamannya berulang-alik menaiki bas tambang seawal usia enam tahun. Luar biasa tahap keyakinan yang ada pada diri Hassan ketika anak-anak seusia dengannya mesti bertemankan ibu bapa jika hendak ke mana-mana.
“Ada juga perasaan takut dan berdebar-debar. Maklum sahajalah budak-budak. Ketika mula-mula menaiki bas, ibu akan menemankan saya hingga menaiki bas. Selepas saya sudah boleh membiasakan diri, ibu hanya hantar saya di tangga bas. Jika saya tertidur, pemandu bas akan kejutkan saya jika sudah sampai ke destinasi.
“Saya meneruskan pengajian di tingkatan satu di Maahad Ehyak Diniah Islamiah di Kampung Gajah selama setahun. Semasa di tingkatan dua hingga lima pula saya menyambung pengajiannya di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh. Selesai pengajian di sekolah menengah saya melanjutkan pengajian di peringkat tinggi di UIAM,”ujar Hassan Adli.
Berkongsi teknik didikan agama yang diamalkan oleh ibunya, akui Hassan Adli, ibunya ada membuat carta solat. Setiap kali selesai solat, tandakan pada kotak carta. Jika tidak solat, tulis tanda kosong sahaja.
Guru Al Quran saya adalah ibu saya sendiri. Membaca Al Quran memang menjadi amalan kami setiap kali selesai solat maghrib. Kadang-kadang ibu akan mengintai sama ada kami solat atau tidak. Masing-masing tidak boleh menipu.
Di rumah kami memang ada bilik solat. Bilik itu kekal hingga sekarang. Kata ibu saya, amat penting untuk menyediakan bilik solat. Baharulah selesa untuk beribadat.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Mengambil peluang boleh merentas negeri selepas diumumkan oleh pihak kerajaan, banyak pasangan pengantin mahu meraikan hari bahagia dengan keluarga tercinta dan sanak saudara yang tinggal jauh.
Sehingga kini, beberapa buah negeri sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Antaranya Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan mulai hari ini, dua lagi negeri mengekori rapat iaitu Johor dan Terengganu.
Manakala negeri-negeri yang berada di Fasa 3 ialah Perlis, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak sementara Fasa 1 dan 2 tiada yang tersenarai. Dalam pada itu, pasti ramai yang tertanya-tanya, berapa ramaikah tetamu yang boleh menghadiri majlis pernikahan memandangkan sudah boleh merentas negeri.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih mengekalkan SOP menghadkan enam orang tetamu termasuk bakal pengantin bagi majlis pernikahan yang sudah boleh dilakukan di masjid dan surau solat Jumaat berbanding dahulu hanya boleh diadakan di pejabat agama sahaja.
Menurut Bahagian Komunikasi Korporat JAIS, buat masa ini pengekalan SOP itu tidak berubah sekali pun negeri Selangor berada di Fasa 4 kala ini.
“Bagi pasangan yang ingin bernikah di pejabat agama islam, jumlah kehadiran dihadkan kepada tiga orang sahaja termasuk bakal pengantin dan wali.
“Sementara bagi masjid dan surau kehadiran tetamu ialah 6 orang sahaja (termasuk bakal pengantin dan wali) dan kehadiran jurugambar masih tidak dibenarkan sama sekali,” kata jurucakap JAIS ketika dihubungi.
JAIS sebelum ini melalui perkongsian dalam Facebook rasmi memaklumkan, majlis itu boleh dilangsungkan setiap hari tetapi kehadiran masih terhad kepada pasangan pengantin dan wali saja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.
“Bagi yang sudah lengkap vaksinasi berdasarkan kad atau sijil digital vaksinasi, mereka perlu memenuhi kriteria iaitu melepasi 14 hari dari tarikh suntikan kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca serta Sinovac, dan melepasi 28 hari bagi vaksin Johnson & Johnson serta CanSino.
“Bagi yang belum lengkap vaksinasi pula, ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) hanya wajib ke atas pengantin serta wali.
“Ujian saringan COVID-19 itu perlu dilakukan dalam tempoh 72 jam (tiga hari) dari waktu pelaksanaan majlis, dan keputusan ujian perlu dikemukakan kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?