
Kebanyakan di rumah-rumah orang Islam masih terdapat di dinding-dinding rumah mereka tergantung gambar-gambar manusia samaada tuan rumah sendiri atau ahli keluarganya. Atau pun gambar-gambar binatang menghiasi dinding rumah mereka sebagai perhiasan. Tidak kurang juga kita dapati ada sebahagian mereka yang menjadikan patung-patung binatang sebagai koleksi perhiasan yang diletakkan dialmari perhiasan sebagai hobi tuan rumah.
Adakah amalan seperti ini dilarang atau dibenarkan? Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada:
Pertama : Gambar
Kedua : Patung
Ketiga : Anjing
Keempat : Orang yang junub.

GAMBAR MAKHLUK BERNYAWA
Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah malaikat rahmat. Manakala yang dimaksudkan dengan gambar pula ialah gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan binatang.
Haram bagi orang yang meletakkan gambar yang bernyawa di rumah-rumah mereka, seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut.
Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk bunga, pohon pokok, kapal, rumah, ayat Al-Quran, kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling mendapat seksa pada hari kiamat adalah para pembuat gambar (pelukis/pengukir).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Pakaian (al-Libas), 5959. Muslim dalam bab yang sama, 2109)
Dalam hadis Nabi SAW yang lain bermaksud: Dari ‘Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang.
Berkata ‘Aisyah: “Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku?
Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu?”
Jawab ‘Aisyah, “Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar.”
PELUKIS GAMBAR AKAN DISEKSA DI HARI KHIAMAT
Sabda Rasulullah SAW: “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”
Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.”
(Hadis Riwayat Muslim).
Daripada Ibnu ‘Abbas, “Aku mendengar Muhammad berkata, ‘Barang siapa membuat gambar di dunia ini, dia akan dipersoalkan serta diminta supaya memberikan nyawa kepada apa yang dilukiskannya pada hari kiamat nanti, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab Pakaian (7/72), no. 846)
Sumber kredit: Ustaz Abu Basyer
Hukum Dirikan Solat Jumaat Secara Live Streaming

Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Artikel berkaitan: Bertuahnya Pemuda Ini, Dijemput Allah Ketika Laung Azan Kedua Solat Jumaat
Artikel berkaitan:Erdogan Alun Bacaan Al-Fatihah Di Masjid Hagia Sophia, Lakukan Solat Jumaat Pertama Lepas 86 Tahun Jadi Muzum

Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
يُشْتَرَطُ لِصِحَّةِ الِاقْتِدَاءِ عِلْمُ الْمَأْمُومِ بِانْتِقَالَاتِ الْإِمَامِ سَوَاءٌ صَلَّيَا فِي الْمَسْجِدِ أَوْ فِي غَيْرِهِ أَوْ أَحَدُهُمَا فِيهِ وَالْآخَرُ فِي غَيْرِهِ وَهَذَا مُجْمَعٌ عَلَيْهِ قَالَ أَصْحَابُنَا وَيَحْصُلُ لَهُ الْعِلْمُ بِذَلِكَ بِسَمَاعِ الْإِمَامِ أَوْ مَنْ خَلْفَهُ أَوْ مُشَاهَدَةِ فِعْلِهِ أَوْ فِعْلِ مَنْ خَلْفَهُ وَنَقَلُوا الْإِجْمَاعَ فِي جَوَازِ اعْتِمَادِ كُلِّ وَاحِدٍ مِنْ هَذِهِ الْأُمُورِ
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
- Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
- Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
- Jarak antara kedua-duanya (imam dan makmum) tidak melebihi 300 hasta.
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Dahsyatnya Tiupan Sangkakala Di Hari Kiamat, Keadaan Manusia Ketika Itu Wanita Hamil Gugur Kandungan Sebelum Melahirkan!

Mukadimah
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pada kali ini, sekali lagi kami ditanya berkenaan dengan isu tiupan sangkakala. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami tajukkan dengan Tiupan Sangkakala Pada Hari Kiamat. Semoga ia menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah dan hari Akhirat yang menatijahkan ketakwaan dan amalan soleh untuk kita lakukan sebagai persediaan hamba kepada Tuan-nya.
Beriman kepada Hari Kiamat
Beriman kepada hari Akhirat merupakan salah satu rukun dari rukun iman, dan salah satu ‘aqidah dari ‘aqidah Islam yang asas. Ini kerana masalah kebangkitan pada hari akhirat merupakan landasan berdirinya ‘aqidah setelah permasalahan keesaan Allah SWT.
Beriman kepada terhadap segala perkara yang berlaku pada hari Akhirat dan tanda-tandanya merupakan keimanan terhadap perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal, dan tidak ada jalan untuk mengetahuinya kecuali melalui nas Ilahi atau Nabawi.
Betapa pentingnya hari yang agung ini, kita dapati (di dalam al-Quran) bahawa Allah SWT kerap kali menghubungkan iman kepada-Nya dengan beriman kepada hari Akhirat. (Lihat Asyrat al-Sa’ah (terj.), oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 17-19)
Beriman kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun Iman serta dituntut oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Maksudnya: Bukanlah perkara kebaikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat.”
Surah al-Baqarah (177)
Maka, hari kiamat itu akan terjadi setelah kesemua tanda-tandanya muncul dan apabila Allah SWT menitahkan malaikat-Nya untuk meniupkan sangkakala yang akan mematikan seluruh makhluknya.
Peristiwa Tiupan Sangkakala
Tiupan sangkakala ini telah dinyatakan di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:
وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۚ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ
Maksudnya: Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.
Surah al-Naml (87)
Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul, ingatkanlah kepada mereka keadaan yang amat mengerikan ketika sangkakala ditiup. Saat itu, semua makhluk yang ada di langit dan di bumi berada dalam ketakutan melihat hari kebangkitan dan hari dikumpulkan seluruh makhluk kecuali orang yang mempunyai hati yang teguh terhadap Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/5085)
Perkataan الصُّور yang disebutkan di dalam ayat ini telah dijelaskan maknanya melalui hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ R.Anhuma:
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ “ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ”
Maksudnya: “Telah datang seorang Badwi kepada Nabi SAW, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.”
Riwayat al-Tirmizi (2430)

Sebahagian ulama’ menafsirkan tanduk dengan terompet. Para ulama’ berpendapat, alat tiupan tersebut ditaklifkan kepada malaikat Israfil untuk meniupkannya tanpa diketahui kadar besarnya alatan tersebut. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 78)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan tiupan sangkakala ini akan ditiupkan oleh malaikat yang bernama Israfil dan hampir keseluruhan ulama’ tidak menolak bahawa malaikat Israfil yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk meniupkan sangkakala. (Lihat Fath al-Bari, 11/368)
Malaikat Israfil sentiasa bersedia menanti arahan daripada Allah SWT sejak detik penciptaan lagi. Hal ini telah dinukilkan oleh Syeikh al-Hulaimi secara ijma’. Begitu juga berdasarkan hadith Wahab bin Munabbih yang menyebut secara nyata. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 79)
Kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat mengikut pendapat kebanyakan ulama’, iaitu:
- Pertama, tiupan sangkakala akan menggegarkan hingga mematikan seluruh makhluk melainkan yang termaktub dalam kalangan mereka yang terkecuali.
- Kedua, sesuai dengan kehendak Yang Maha Esa, ditiupkan sekali lagi oleh Malaikat Israfil dengan tiupan yang membangkitkan manusia. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitabnya:
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ
Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).
Surah al-Zumar (68)
Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat di atas berkata: Ibn Abbas R.Anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama ialah ketikamana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/27)
Kemudian, perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ ”. قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ ” ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً. فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 tahun? “Aku enggan menjawab” Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah SWT menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)
Imam al-Nawawi mengatakan sebab Abu Hurairah RA mengulangi pendirian enggan menjawab soalan yang ditanyakan itu, kerana 40 itu hanyalah sebagai ringkasan kepada pengkhabaran. (Lihat al-Minhaj, 18/91)
Baginda Nabi SAW turut mengkhabarkan bahawa Baginda adalah orang pertama yang akan dibangkitkan pada tiupan yang kedua, seperti yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنِّي أَوَّلُ مَنْ يَرْفَعُ رَأْسَهُ بَعْدَ النَّفْخَةِ الآخِرَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku adalah orang yang terawal yang mendongak kepalaku setelah tiupan yang terakhir”
Riwayat al-Bukhari (337)
Al-Qastalani menyebut: Hadis di mana Rasulullah SAW mendapati Nabi Musa sedang bergantung di Arasy maka sabda Nabi, aku tidak ketahui adakah keadaan itu berlaku sebelum dia mati ketika tiupan pertama atau dia masih hidup selepas tiupan kedua sebelumku. Inilah yang dinyatakan oleh al-Karmani. Al-Dawudi berkata sebagaimana dihikayatkan daripada al-Safaqisi ucapannya, adakah demikian itu hingga akhir adalah waham. Ini kerana Nabi Musa telah dikuburkan dan akan dibangkitkan selepas tiupan. Maka bagaimana mungkin berlaku sebelumnya. Lantas dijawab bahawa hadis Abi Hurairah yang terdahulu berkenaan beberapa orang, maka manusia semua mati pada hari Kiamat dan aku juga mati bersama mereka kecuali akulah orang yang pertama bangkit. Maka didapati Musa memegang di tepi Arasy. Aku tidak ketahui sama ada dia juga mati dan bangkit sebelumku atau termasuk di kalangan yang dikecualikan oleh Allah. Perkataan sa’iqdimaksudkan dengan pengsan tatkala mendengar suara atau melihat sesuatu yang menggerunkan. Dan inilah yang berlaku dengan jelas berdasarkan riwayat ini berkaitan jaga atau sedar selepas tiupan kedua. (Lihat Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/30)
Sebahagian ulama’ berpendapat, tiupan sangkakala sebanyak tiga kali. Antaranya Ibn al-‘Arabi dan Ibn Kathir. Mereka menghujahkan nas:
وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikekhendaki Allah.”
Surah al-Naml (87)
Ayat ini menunjukkan tiga tiupan:
- Tiupan al-faza’
- Tiupan al-sa’iq
- Tiupan al-ba’s
Akan tetapi, hadis-hadis menunjukkan secara nyata bahawa ia dikira dengan dua tiupan sahaja iaitu tiupan al-Sa’iq(tiupan mematikan) dan keduanya tiupan al-Ba’s (tiupan membangkitkan manusia) daripada kubur. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 80)
Siapakah yang Dikecualikan oleh Allah Daripada Menerima Kematian Ketika Tiupan Sangkakala?
Para ulama’ telah khilaf, siapakah yang dikecualikan oleh Allah kepada beberapa pendapat:
- Imam Ahmad berpendapat, mereka yang di dalam syurga dari kalangan bidadari dan al-wildan. Sebahagian muridnya menambah, penjaga syurga iaitu Ridhwan dan penjaga neraka, iaitu Malik.
- Muqatil dan sebahagian ulama’ berpendapat, mereka adalah Jibril, Mika’il, Israfil dan Malakul Maut. Sebahagian mereka menambah, malaikat yang menanggung Arasy.
- Abu al-Abbas al-Qurtubi memberi pendapat yang berlainan dengan katanya: Dikehendaki (dengan yang dikecualikan ialah) semua orang yang telah mati kerana mereka tiada kesan dan rasa. Justeru, mereka tidaklah ada lagi kematian ketika itu.
Tarjih: Imam al-Qurtubi berpendapat dengan menukilkan pandangan gurunya Abu al-Abbas, bahawa yang sahih adalah tiada sebarang nas yang sahih yang menentukan mereka yang terselamat daripada tiupan sangkakala dengan kebinasaan. Semua nas menunjukkan sifat muhtamal (andaian). (Lihat al-Tazkirah oleh Imam al-Qurtubi, hlm. 167)
Bagaimana Keadaan Manusia Ketika Tiupan Sangkakala?
Hal ini telah diterangkan dalam al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ﴿١﴾ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ
Maksudnya: “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
Surah al-Hajj (1-2)
Ibn Kathir berkata: Ditiupkan dengan tiupan yang menakutkan sedangkan manusia berada di pasar-pasar mereka dengan kehidupan harian mereka, saling bertengkar dan bergaduh sepertimana adat mereka. Tiba-tiba Allah SWT memerintahkan Israfil untuk meniupkan sangkakala dengan panjangnya. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali mendengar suara tempikan yang kuat sehingga kepala mereka terdongak ke atas langit. Kemudian semua manusia dipandu ke mahsyar dengan api yang mengelilingi mereka dari segenap penjuru. Firman Allah SWT:
فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya) dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.
Surah Yasin (50)
Kemudian ditiupkan sangkakala kedua yang mematikan semua yang hidup kecuali tinggallah Allah, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Kemudian, ditiup dengan tiupan kebangkitan setelah itu. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 3/165)
Al-Maraghi berkata: “Wahai sekalian manusia, takutlah kepada seksaan Allah SWT, taatlah dan janganlah kamu menderhakai-Nya, kerjakan segala kewajipan yang diperintahkan kepada kamu dan tinggalkan segala perkara haram yang dilarang melakukannya. Khitab ayat ini ditujukan kepada mukallaf yang ada pada ketika ia diturunkan, juga kepada generasi mukallaf yang akan lahir selepas mereka sehingga ke hari kiamat. Kemudian Allah SWT mengemukakan beberapa faktor mengapa mereka diperintah untuk takut kepada seksaan-Nya.
Akibat goncangan yang terjadi ketika berlakunya hari kiamat, sebelum manusia dibangkitkan dari kuburnya. Maka ia dianggap kejadian yang amat dahsyat dan bahaya yang begitu besar; tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah berlakunya kiamat, kecuali Tuhan yang mengadakannya. Jika goncangan itu tidak dapat ditanggung oleh manusia, lantas apa yang terjadi pada mereka saat itu, seperti manusia dihimpunkan pada hari pembalasan dan hari penghisaban untuk menghitung segala amalan oleh Allah Yang Maha Tahu segala isi bumi dan langit, walaupun sebesar zarah. Kemudian Allah menghuraikan beberapa pemandangan yang menakutkan pada hari itu.
Kemudian digambarkan pada hari kiamat itu tentang manusia yang berada dalam kegoncangan, kebingungan dan kelalaian yang telah mencapai ke puncaknya. Sehinggakan ibu yang sedang menyusukan anaknya lalai terhadap anak yang sedang disusunya, padahal anak itu merupakan sesuatu yang merupakan paling berharga kepadanya. Bayangkan bagaimana seorang ibu lalai terhadap anaknya?
Manakala setiap wanita yang hamil akan mengalami keguguran iaitu janin yang di dalam rahimnya gugur sebelum tibanya waktu bersalin kerana takut terhadap hari kiamat. Al-Hasan ada mengatakan bahawa wanita yang menyusukan anaknya leka hingga berhenti daripada menyusui anaknya, manakala wanita hamil pula telah gugur kandungannya sebelum tiba waktunya melahirkan.
Pada hari itu, kamu dapat melihat manusia seolah-olah mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk. Tetapi keadaan itu berlaku kerana azab yang amat dahsyat sehingga akan mereka menjadi tidak sedar dan tidak mampu membezakan di antara yang batil dengan yang benar. Kelalaian ibu yang sedang menyusui dan keguguran kandungan wanita yang sedang hamil boleh jadi dimaksudkan sebagai perumpamaan untuk menunjukkan dahsyatnya apa yang berlaku pada hari itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4516-1518)
Sayyid Qutb berkata: Demikianlah dimulakan surah ini dengan ancaman dan penerangan secara umum yang membayangkan suasana dahsyat yang tidak dapat diungkapkan. Ia hanya mengatakan satu kejadian gempa dan kejadian gempa itu adalah suatu peristiwa yang amat besar tanpa memberi sesuatu penentuan dan sesuatu takrif.
Kemudian barulah dijelaskan dan ternyata bahawa kejadian itu lebih menakutkan dan mengerikan dari semata-mata ancaman. Ia menayangkan satu pemandangan yang melibatkan setiap ibu penyusu yang lupa anak susuannya. Dia melihat tetapi tidak Nampak dan dia bergerak tetapi tidak sedar, juga melibatkan setiap ibu hamil yang keguguran anak kandungannya kerana terlalu ngeri dan takut, dan seterusnya ia melibatkan seluruh manusia yang kelihatan dalam keadaan mabuk, tetapi mereka sebenarnya tidak mabuk. Keadaan mabuk mereka dapat dilihat dengan jelas pada pandangan-pandangan mata mereka yang terpinga-pinga dan pada langkah-langkah mereka yang terhuyung-hayang. Ia merupakan satu pandangan yang penuh sesak dengan perhimpunan manusia yang berasak-asak, yang hampir-hampir ternampak kepada pandangan mata di saat membaca ayat ini. Dan dapat dihayati sepenuhnya oleh daya khayal.
Kedahsyatan peristiwa itu menyebabkan seseorang itu menjadi lupa, kebingungan dan tidak sampai ke mana-mana. Ia merupakan satu peristiwa dahsyat yang tidak dapat diukur dengan saiz besarnya, tetapi dapat diukur dari kesan-kesannya yang dahsyat pada jiwa manusia iaitu pada hati ibu-ibu penyusu yang lupakan anak-anak susuan mereka, sedangkan seseorang ibu penyusu tidak lupakan anak susuannya yang sedang menyusu melainkan apabila dia berada dalam keadaan terlalu takut, yang menghapuskan segala saki-baki kesedarannya. Kesan-kesannya yang dahsyat itu juga dapat dilihat pada hati ibu-ibu hamil yang keguguran anak-anak kandung mereka dan pada hati manusia yang kelihatan mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/127-128)
Penutup
Berdasarkan apa yang kami yang telah kami huraikan di atas, hendaklah setiap dari seorang muslim itu beriman dan percaya bahawa akan berlakunya tiupan sangkakala ini seperti yang telah tsabit di dalam al-Quran dan hadith.
Beriman dengan hari kiamat ini hendaklah disertakan bersama dengan amalan-amalan soleh untuk kita menghadapinya.
Semoga kisah-kisah berkaitan dengan hari kiamat ini akan menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Amin.
SUMBER: LAMAN WEB Mufti Wilayah Persekutuan
“Buat Masa Ni Kota Makkah Belum Dibuka Pada Orang Luar” – Wanita Menetap Di Makkah Kongsi ‘Lockdown’ Di Tanah Suci

Penularan wabak COVID-19 ini menyebabkan banyak negara melakukan lockdown bagi memutuskan jaringan rantaian virus sangat merbahaya ini, termasuklah negara kita Malaysia.
Bukan itu sahaja, malah paling menyedihkan apabila Masjid Haram juga tidak terkecuali ditutup kepada semua jemaah untuk satu jangka masa yang tidak diketahui.
Melalui satu perkongsian di laman sosial Facebook, wanita ini Masnira Ramli yang menetap di sana menceritakan pengalamannya menjalani perintah lockdown di Tanah Suci Mekah.
Menurutnya sebelum ini dia boleh pergi ke kedai yang dibuka 24 jam berdekatan untuk membeli barangan keperluan. Malah pekerja di kedai berkenaan juga sudah mengenali keluarganya.
Sebutlah apa sahaja buahan yang manis boleh dibeli di kedai berkenaan, begitu juga suasananya jika di bulan puasa dapat merasai air yang menjadi kegemaran masyarakat setempat dan antara kebaikannya untuk menguatkan antibodi.
Tetapi kini, keadaannya berbeza apabila kerajaan mengenakan perintah kawalan dan hanya membenarkan waktu tertentu sahaja untuk membeli barangan keperluan harian.
Namun sebagai penduduk yang bermastautin di sini, dia turut menjelaskan bahawa Kota Mekah masih belum dibuka kepada orang luar.
Malah mereka yang tinggal berdekatan juga tidak dibenarkan untuk masuk ke Masjidil Haram. Dia juga tidak pasti bila larangan itu akan berakhir.
Sekitar 5 tahun lepas, ketika pertama kali abah datang ke Makkah, ini lah kedai runcit yang abah pergi sendiri ketika balik dari solat jemaah di masjid kecil berdekatan rumahku.
Kedai ini juga sangat dekat dengan rumah. Berjalan kaki sahaja.
“Angah, telur ayam tak ada. Hanya ada telur itik sahaja.” Kata abah ketika saya minta abah singgah kedai untuk membeli telur.
Saya ketawa kecil.
“Telur ayam kat sini memang warna putih lah abah. Bukan telur itik tu.”
Terkebil-kebil abah seolah tidak percaya. Barangkali sedang memikirkan ayam baka apakah ini yang mengeluarkan telur bewarna putih seperti telur itik.
Kedai runcit ini yang menjadi tempat tumpuan kami untuk membeli barang keperluan yang tiba-tiba tidak cukup atau habis. Lebih lagi apabila masa-masa kecemasan. Sarung sahaja abaya dan terus ke kedai.
Cuma kalau belacan dan rempah kari adabi yang sudah habis, jangan lah cari di sini..
Dibuka pula 24jam! Sangat membantu.
Sayur-sayuran dan buah-buahan nya segar. Di musim panas lebih kurang bulan Jun, akan ada buah kurma segar yang masih bertangkai di jual di sini. Rasanya manis kelat-kelat sedikit. Rangup sekali. Ah, tidak sabar rasanya untuk menunggu musim itu.
Pekerja kedai sudah mengenali kami. Jika suami ke kedai, ketika memilih buahan pasti orang kedai tidak lokek memberitahu buahan mana yang manis, yang baru sampai atau dari mana buah itu datang. Mangga yang sedap dari Yemen. Sizenya kecil dan rasanya manis sekali.
Begitu juga dengan buah delima. Dari Yemen juga yang sedap! Warnanya tidak terlalu kemerahan. Size besar, rasa manis dan sangat kecil biji nya berbanding dengan delima dari tempat lain.
Setiap pagi ada pastry segar dibuat dan dibakar di sini. Panas-panas. Bau roti yang sedang dibakar menusuk ke rongga hidung membantu membangkitkan selera. Pasti cepat sahaja habis roti-rotinya. Kadangkala sebelum ke sekolah anak-anak gemar membeli roti sosej dan roti pizza kegemaran mereka.
Ada juga dijual buah zaitun yang diperam sendiri di dalam air cuka. Sedap bagi penggemarnya.
Di bulan puasa, air laban (yougurt) cepat sahaja habis. Perisa mango pilihan kami pasti laris. Jika lepas asar baru mahu membeli, kebarangkalian untuk dapat adalah sangat rendah. Itu lah air minuman kegemaran orang tempatan. Untuk menyejukkan badan, menguatkan perut serta meningkatkan antibodi tubuh.
Kini, ketika sedang dalam serangan wabak, kerajaan menasihatkan penduduk untuk membeli barang keperluan di kedai runcit sahaja. Melainkan jika mahu membeli dalam jumlah yang banyak baru lah ke supermarket.
Ketika saya ke kedai pagi tadi, barangan banyak di tambah setiap hari.. sayur sayuran dan buahan sentiasa ada walaupun boleh beroperasi dari jam 6 pagi sehingga ke 3 petang sahaja..
Ada banyak mesej yang saya terima hari ini berkenaan dengan ‘adakah kota Makkah sudah dibuka untuk jemaah. Khabarnya ada video jemaah tawaf sedang tular.’
Buat masa ini kota Makkah masih belum dibuka kepada orang luar. Hatta kami di sini juga belum boleh ke Masjidilharam.. Tidak pasti sehingga bila..