
Isi Kandungan
ToggleLelaki bujang mengaku bujang, memang tidak menjadi isu. Tetapi apabila suami mengaku bujang, ia akan menjadi isu besar. Ini kerana ada isteri yang berasa bimbang takut-takut kata-kata suami itu telah jatuh talak.
Perkara ini ditanyakan oleh seorang isteri kepada Mufti Wilayah Persekutuan.
Saya ingin bertanya soalan, seorang rakan memberitahu ketika suami menghantarnya pulang ke kampung suami telah memakai pakaian yang cantik. Bila ditanya si suami membalas dengan berkata. “Nak keluar lah sekejap lagi, kan bujang hari ini”. Tapi hakikatnya hanyalah dengan niat gurauan tanpa ada maksud begitu.
Adakah kata-katanya itu sebenarnya telah terjatuh talak kepada isteri kerana ada rakan isterinya memberitahu walaupun dengan gurauan, talak boleh jatuh. Sangat berharap tuan mufti boleh memberi penjelasan tentang perkara ini.
JAWAPAN:
Satu rukun daripada rukun-rukun talak ialah sighah, yakni bentuk ucapan talak itu. Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah suatu talak. Sighah itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Sighah Sarih
Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan talak, cerai, berpisah. Kalimah-kalimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talak. Sekalipun jika seseorang menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak.” Maka tetap tidak diterima penafian itu.
Kedua: Sighah Kinayah
Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki banyak maksud dalam suatu masa. Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu dilafazkan perkataan kinayah itu.
Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya seperti si suami berkata kepada isterinya: “Engkau telah kosong,” “Engkau bebas,” “Baliklah ke rumah ibu bapamu,” dan “Engkau telah halal.”
Dalam kes di atas tentang sahabat yang mengaku bujang kami berpendapat tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekalipun termasuk dalam lafaz kinayah yang sangat lemah.
Ini kerana perkataan bujang membawa banyak maksudnya:
• Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
• Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
• Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin, kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
• Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.
Begitulah seterusnya.
Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak.
Jika termasuk sekalipun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda.
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripada sebarang kekeliruan.
Wallahua’lam.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Suami Hilang 6 Bulan, Isteri Kahwin Lain. Apa Hukum & Status Perkahwinan Isteri?

Isi Kandungan
ToggleSuami telah hilang selama 6 bulan, si isteri berkahwin dengan lelaki lain dalam tempoh tersebut. Pada satu hari, suami yang hilang muncul kembali dan mengetahui isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain yang juga sahabat baiknya. Apakah hukum perkahwinan tersebut?
Demikian salah satu soalan yang diajukan dalam siri soal jawab dalam portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Ia boleh jadi jalan cerita dalam satu drama namun mungkin saja berlaku dalam masyarakat hari ini. Berikut adalah pencerahan panjang lebar tentang hukum perkahwinan sebegini.
Definisi Mafqud (Orang Yang Hilang)
Perkataan al-mafqud berasal dari bahasa Arab dari kata dasar fa qa da yang bermaksud tiada, hilang, dan lenyap[1]
Imam al-Syafie mendefinisikan mafqud sebagai: “Sesiapa yang tidak didengari khabar tentangnya”[2] Imam al-Nawawi menyatakan mafqud sebagai: “Orang yang terputus khabar berita dan tidak diketahui keadaannya semasa permusafiran atau keberadaannya dalam peperangan atau pada ketika kapal karam atau selainnya.[3]
Para ulama’ mazhab Syafie kontemporari menyatakan mafqud adalah: “Orang yang hilang dari tempat asalnya dalam tempoh yang lama sehingga terputus berita mengenainya dan tidak diketahui juga sama ada dia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.” [4]
Tempoh Mafqud Dalam Mazhab
Tidak terdapat nas yang jelas daripada dalil-dalil Quran dan Sunnah berkenaan penetapan tempoh-tempoh tertentu secara tetap bagi tempoh mafqud sebelum diputuskan status kematiannya.
Kebanyakan pendapat yang dinukilkan adalah bersumberkan kepada pendapat-pendapat para sahabat dan pendapat-pendapat tersebut bukan dalam bentuk kesepakatan yang boleh dinilai sebagai hujah ijmak, kerana wujud perselisihan dalam kalangan sahabat dan tabi’en. Namun keperluan kepada tempoh pencarian bagi mafqud adalah disepakati oleh para ulama’.
Nabi SAW memberikan panduan umum dalan isu ini dengan sabdanya:
امْرَأَةُ الْمَفْقُودِ امْرَأَتُهُ حَتَّى يَأْتِيَهَا الْبَيَانُ
“Isteri orang yang hilang, masih dianggap isterinya sehingga datang bukti yang nyata.”
(Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, no. 15565)
Sebelum menghuraikan tempoh mafqud di sisi mazhab Syafie dan mazhab-mazhab lain serta perundangan Malaysia, ingin kami jelaskan bahawa:
Suami yang hilang tetapi keadaannya diketahui dan boleh dihubungi. Dalam situasi ini, si isteri tidak berhak untuk berkahwin lain berdasarkan kepada ijmak para ulama. Namun, sekiranyanya suami gagal untuk memberi nafkah harta kepada isterinya, maka isteri berhak untuk menuntut fasakh melalui qadhi.
Suami yang hilang dalam keadaan terputus khabar berita dan tidak diketahui lokasi keberadaannya. Dalam keadaan ini, para fuqaha berselisih pendapat kepada beberapa pandangan seperti berikut:
Pertama: Mazhab Syafie
Menurut qaul jadid (pandangan baru) Imam al-Syafie, tempoh menunggu bagi isteri agar dia boleh menikahi lelaki lain adalah sehingga ada kepastian suaminya telah meninggal dunia atau mentalak isterinya. Manakala menurut qaul qadim (pandangan lama) Imam al-Syafie, tempoh menunggu adalah 4 tahun dengan tambahan masa ‘iddah 4 bulan 10 hari.[5] Pendapat ini juga dipegang oleh Umar bin Al-Khattab, ‘Uthman bin ‘Affan, Ibn ‘Abbas, Ibnu ‘Umar, Malik bin Anas, dan Ahmad.
Pandangan yang sahih lagi masyhur di kalangan ulama Syafie ialah ia terserah kepada ijtihad para hakim dalam menentukannya. Namun begitu, terdapat juga pandangan-pandangan yang mengatakan ia ditentukan selepas 68 tahun, 70 tahun, 80 tahun, 100 tahun dan 120 tahun.[6]
Kedua: Mazhab Hanafi
Dalam mazhab Hanafi, orang yang hilang dihukumkan sebagai mati apabila tiada seorang pun orang sezamannya yang masih lagi hidup di tempatnya tinggalnya. Namun begitu, ulama Hanafi tidak sependapat dalam menentukan umur seseorang yang boleh disabitkan telah meninggal dunia.
Bagi Imam Abu Hanifah, beliau mensabitkan orang yang hilang itu telah meninggal dunia apabila mencapai usia 120 tahun dan pendapat ini disokong oleh al-Qadwari. Abu Yusuf mengatakan apabila berusia 100 tahun, dan terdapat sebahagian mereka yang mengatakan semua itu tertakluk kepada ijtihad hakim dengan mengambil kira keadaan orang yang hilang dan bukti-bukti yang dikemukakan.[7]
Ketiga: Mazhab Maliki
Dalam mazhab Maliki, seseorang yang hilang di negara Islam boleh disabitkan telah meninggal dunia apabila mencapai tempoh menunggu selama 4 tahun. Selain itu, selepas tempoh ini juga, isterinya hendaklah melalui tempoh ‘iddah selama 4 bulan 10 hari bagi menghormati kematian suaminya dan kemudiannya dia boleh berkahwin dengan lelaki lain.
Jika sekiranya dia hilang di negara bukan Islam, maka dia tidak boleh disabitkan meninggal dunia melainkan dikemukakan bukti-bukti yang sahih atau umurnya telah mencapai satu usia yang mustahil terdapat orang yang masih hidup pada usia sedemikian. Bagi Imam Malik dan Ibn Qasim, usia tersebut lingkungan dalam 80 tahun. Ibn Arafah pula berpandangan, usia 75 tahun yang dikira. Terdapat juga sebahagian ulama’ mazhab Maliki yang berpendapat, ia sama seperti kes orang hilang di negara Islam.
Sekiranya seseorang itu hilang di dalam peperangan bersama orang kafir, Imam Malik dan Abu Qasim berpandangan bahawa isterinya hendaklah menunggunya selama 1 tahun dan kemudian menjalani ‘iddah. Terdapat juga pandangan dalam mazhab Maliki yang mengatakan hukumnya adalah sama seperti kes orang hilang di negara Islam.
Sekiranya seseorang itu hilang dalam peperangan sesama orang Islam, maka terdapat pelbagai pendapat dalam mazhab ini, antaranya ada yang mengatakan hendaklah isterinya menunggu selama setahun kemudian menjalani ‘iddah, dan juga terserah kepada ijtihad para pemerintah.[8]
Keempat: Mazhab Hanbali
Bagi ulama Hanbali pula, terdapat dua pendapat bagi seseorang hilang yang secara zahirnya pemergian itu adalah selamat:
Tidak akan terputus ikatan perkahwinan selagimana tidak disabitkan kematian suaminya. Isteri itu hendaklah menunggu sehingga suaminya berusia 90 tahun dan ada juga riwayat yang mengatakan tempoh itu ditentukan oleh pemerintah atau mufti. Inilah pandangan yang sahih dalam mazhab Hanbali.
Bagi orang yang hilang yang secara zahirnya pemergian itu adalah membawa bahaya kepada si suami, maka isterinya hendaklah menunggu selama 4 tahun kemudian dia menjalani ‘iddah bagi kematian suaminya.[9]
Bagi menentukan masa yang dapat dijadikan dasar untuk menilai mafqud telah meninggal dunia, ia hendaklah diserahkan pada pertimbangan hakim iaitu apabila dia hilang dalam waktu yang sekian lama sehingga sudah tidak ada lagi orang yang seusia dengannya di daerahnya yang mungkin masih lagi hidup.[10]
Tempoh Mafqud Berdasarkan Undang-Undang Syariah di Malaysia
Seksyen 806 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 561) memperuntukkan:
Apabila soalnya ialah sama ada seseorang itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa khabar telah didengar mengenainya selama empat tahun oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, maka beban membuktikan yang dia masih hidup beralih kepada orang yang menegaskannya.
Peruntukan ini diperkukuh dengan seksyen 53(1), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) yang menyebut bahawa:
“Jika suami mana-mana perempuan telah mati, atau dipercayai telah mati, atau telah tidak didengar perkhabaran mengenainya bagi suatu tempoh empat tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Hukum Syara’ sebagai telah mati, maka Mahkamah boleh, di atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa siasatan yang wajar, mengeluarkan dalam bentuk yang ditetapkan suatu perakuan menganggap kematian suami itu dan Mahkamah boleh di atas permohonan perempuan itu membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 52.”
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah dibincangkan pendapat para ulama’ di atas, pendapat yang terpilih di sisi kami dalam isu tempoh mafqud adalah ianya bergantung kepada keputusan dan pertimbangan hakim. Ini selari dengan pandangan masyhur Syafi’iyyah dalam isu ini. Di samping itu, hendaklah meraikan akta yang ditetapkan di Malaysia melalui Mahkamah Syariah.
Ini bermakna, jika penentuan hakim sehingga mengambil masa 4 tahun dan lebih, maka si isteri perlu menunggu dan dibenarkan berkahwin lain selepas ‘iddah. Manakala jika selepas 6 bulan – sebagai contoh – sudah dapat disahkan dengan bukti bahawa suaminya meninggal dunia, maka si isteri boleh terus berkahwin lain setelah tamat ‘iddah.
Sekiranya si suami yang hilang kembali semula setelah tamat tempoh mafqud, beliau berhak memilih untuk menikahi isterinya kembali, atau menerima pemulangan mahar (merelakannya dengan suami baru). Ini berdasarkan kenyataan Saidina Umar dan Saidina Uthman:
إِنْ جَاءَ زَوْجُهَا خُيِّرَ بَيْنَ امْرَأَتِهِ وَبَيْنَ الصَّدَاقِ الْأَوَّلِ
“Apabila suaminya kembali (setelah tamat tempoh mafqud), maka si suami diberi pilihan antara kembali memperisterikannya atau menerima pengembalian mahar isterinya tersebut” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, no. 16723)
Maka, kami berpandangan bahawa:
Pernikahan si isteri dengan suami baru adalah tidak sah kerana tempoh mafqud yang dinyatakan adalah 6 bulan sahaja tanpa ada babak yang menunjukkan si isteri mendapat keputusan daripada mahkamah syariah berkenaan status perkahwinannya dengan suami yang hilang.
Isteri yang pertama masih dikira isteri yang sah bagi suami yang hilang kerana tempohnya tidak mencapai had tempoh mafqud. Anak yang dikandung si isteri hasil hubungannya dengan suami kedua adalah anak syubhah yang lahir daripada persetubuhan syubhah dan dinasabkan kepada ayahnya serta berlaku hukum waris antara si ayah dan anak tersebut.
Ulama juga sepakat wajibnya ‘iddah dan sahnya nasab dari hasil pernikahan yang disepakati batalnya seperti menikahi isteri orang lain, jika di sana ada syubhah yang menyebabkan gugurnya hukuman zina, iaitu dia tidak mengetahui haramnya pernikahan tersebut. Oleh itu, pernikahan (yang batal) yang tidak dikira zina, maka anak itu dinisbahkan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.[11]
Si isteri tidak boleh meminta fasakh kerana fasakh hanya boleh diminta kepada mahkamah jika suami hilang lebih daripada setahun sedangkan dalam drama berkenaan, suami baru hilang 6 bulan. Rujuk Seksyen 52 Perintah untuk Membubarkan Perkahwinan Atau Untuk Fasakh Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kejian Boleh Dibalas Kejian Tetapi Ada Syaratnya, Namun Memaafkan Lebih Dituntut Dalam Agama

Isi Kandungan
ToggleKejian boleh dibalas kejian tetapi ada syaratnya, namun memaafkan lebih dituntut dalam agama. Walaupun bukan sesuatu yang mudah tetapi perkara itulah yang dituntut dalam agama.
Umpama membalas dendam, bila orang mengeji kita pastinya kita secara automatic akan mengeji semula. Namun adakah perkara ini dibenarkan?
Jika dibenarkan pula apakah batasan-batasan yang perlu diketahui dalam membalas dendam? Ikuti perkongsian Dr Syed Shahridzan Ben-Agil dan hadam penjelasannya baik-baik.
Artikel Berkaitan:
5 Cara Hilangkan Rasa Dendam Dan Sakit Hati
Bolehkah kejian dibalas dengan kejian?
Dalam bab hudud dan qisas fuqaha menjelaskan bahawa seseorang yang dihina atau dikeji oleh seseorang boleh membalas kembali kata kejian itu. Namun ia tertaluk dengan beberapa syarat tertentu.
Kejian itu mestilah setara dan tidak boleh melebihi daripada kadar hinaan yang dilemparkan. Sebagai contoh: seseorang dihina dengan ayat “kau bodoh”, kemudian dibalas dengan ayat “kau ni terlalu bodoh”, atau dengan bahasa kasar “kau ni bangang nak mampus”.

Tetapi Ada Syaratnya
Kejian itu tidak boleh berunsurkan penipuan, iaitu kejian itu dibalas dengan sesuatu yang tidak pernah wujud dalam diri pengkeji. Contohnya “Kau ni pekak tuli” sedangkan pengkeji seorang sempurna deria pendengarannya.
Manakala ayat “kau bodoh” tidak termasuk dalam kategori penipuan kerana setiap manusia tidak terlepas daripada kekurangan dan kelemahan, antaranya sifat bodoh.
Kejian yang dibalas juga tidak boleh dalam bentuk ‘qazf’, iaitu dengan ayat “kau seorang penzina”, “kau anak zina”, atau “kau bukan anak bapak kau”. Penghinaan seperti ini layak dijatuhkan hukuman hudud jika dia gagal mendatang 4 orang saksi yang adil.
Selain daripada kejian yang setara, ia juga boleh dibalas dengan perkataan yang semakna dengannya menurut uruf masyarakat. Sebagai contoh perkataan “dungu” boleh digantikan dengan perkataan “tolol”.

Namun Memaafkan
Kejian juga tidak boleh melibatkan penghinaan terhadap individu lain seperti ibu, bapa dan adik beradik pengkeji. Sebagai contoh, jika seseorang dikeji dengan ayat “mak kau hijau”, maka si mangsa tidak dibenarkan menghina kembali ibu si pengkeji.
Peruntukan hukum ini berdasarkan hadis yang menceritakan perselisihan faham yang pernah berlaku di antara isteri-isteri Rasulullah saw, Sayyidah Zainab R.A dan Aisyah R.A.
Suatu hari Zainab telah melemparkan kata kejian kepada Aisyah, kemudian Baginda saw mengarahkan Aisyah membalasnya untuk memberi hak dan keadilan pada dirinya.
Lebih Dituntut Dalam Agama
Walaubagaiaman pun, tidak dinafikan bahawa sikap pemaaf dan tidak membalas kejian itu adalah jalan yang terbaik dan sikap yang terpuji.
Baca Di Sini:
Tiada Hukum Karma Dalam Islam. ‘Setiap Perbuatan Baik Atau Buruk Hanya Dibalas Allah.’
Anak Zina Melahirkan Cucu Zina, Sengaja Balas Dendam Perbuatan Silam Ibu Ayah
Kashoorga: Dalam zaman digital dan media sosial, bila tak puas hati terus block saja. Lebih mudah dan tak sakitkan hati dua-dua pihak.
Sumber : Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Dianggap Putuskan Saf & Kurangkan Pahala Jemaah.’ Begini Kedudukan Kanak-Kanak Lelaki Dalam Saf Solat Berjemaah

Isi Kandungan
Toggle‘Dianggap putuskan saf dan kurangkan pahala jemaah.’ Begini kedudukan kanak-kanak lelaki dalam saf solat berjemaah.
Menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, kanak-kanak sedari kecil dibawa ke masjid untuk menyemai dalam diri mereka rasa cintakan masjid dan solat berjemaah selain mengimarahkan masjid.
Tetapi timbul beberapa persoalan dan tanggapan bahawa kanak-kanak yang berada dalam saf orang dewasa ketika solat jemaah dianggap telah memutuskan saf dan mengurangkan pahala jemaah.
Artikel Berkaitan:
Masjid Dikunci Selepas Waktu Solat, Susahkan Orang Musafir Singgah Sembahyang
Dianggap Putuskan Saf
Sebenarnya bagaimana kedudukan terbaik bagi kanak-kanak lelaki ketika solat berjemaah. Ikuti perkongsian Dr Syed Shahridzan Ben-Agil ini baik-baik iya.
Soalan:
Saya ada kemusykilan tentang perincian saf kanak-kanak bersama orang dewasa. Semua sedia maklum dalam Mazhab Syafie, bila kanak-kanak mendahului orang dewasa di saf hadapan, orang dewasa tidak boleh tarik keluar kanak-kanak dari saf.
Soalan saya apakah yang dimaksudkan kanak-kanak dalam isu ini menurut Mazhab Syafie? Adakah semua peringkat kanak-kanak walaupun belum mumayyiz?

Kurangkan Pahala Jemaah
Jawapan:
Memang benar di sisi mazhab Syafie, kanak-kanak yang mendahului golongan dewasa yang lewat memenuhi ruang saf di hadapan tidak boleh dikeluarkan daripada saf dan dipindahkan ke saf yang belakang.
Perkara ini dinyatakan di dalam kitab Mughni al-Muhtaj:
لو سبق الصبيان بالحضور لم يؤخروا للرجال اللاحقين كما لو سبقوا إلى الصف الأول فإنهم أحق به على الصحيحء.
Maksudnya:
“Jika kanak-kanak lelaki hadir dahulu, maka kanak-kanak tersebut tidak diundurkan ke belakang untuk (memberi laluan) lelaki-lelaki baligh, sepertimana jika kanak-kanak lelaki mendahului pada saf yang pertama maka mereka berhak (untuk tetap pada saf tersebut) menurut pandangan yang sahih”.
Begini Kedudukan
Namun begitu, seorang kanak-kanak yang mendahului orang dewasa disunatkan beri keutamaan kepada golongan dewasa untuk mengisi ruang saf hadapan.
Ini dijelaskan di dalam rujukan yang sama:
)ويقف) إذا اجتمع الرجال وغيرهم (خلفه الرجال) أي خلف الإمام لفضلهم (ثم الصبيان) لأنهم من جنس الرجال.
Maksudnya:
“Apabila bertembung antara golongan lelaki dewasa dengan selain mereka(seperti kanak²), hendaklah lelaki dewasa berdiri di belakangnya, iaitu imam kerana kelebihan mereka, kemudian disusuli oleh kanak² kerana mereka termasuk dalam golongan lelaki.”
Kanak-Kanak Lelaki
Menurut kitab Bushra al-Karim, disunatkan mengikut susunan tertib yang telah dinyatakan oleh Rasulullah ﷺ, iaitu di belakang imam ialah golongan dewasa kemudian disusuli dengan kanak-kanak jika golongan dewasa tidak lewat.
Namun jika tidak selari dengan susunan ini maka hukumnya makruh yang boleh meluputkan sebahagian fadilat berjemaah:
وذلك لخبر مسلم: “ليليني منكم أولو الأحلام والنهي” أي: البالغون العاقلون، ثم الذين يلونهم ثلاثا، ومتى خولف الترتيب المذكور كره، وكذا كل مندوب يتعلق بالموقف وتفوت به فضيلة الجماعة.
Maksudnya:
“Ini(susunan saf) berdasarkan hadis riwayat Muslim: “Orang yang dewasa dan berakal dalam kalangan kamu hendaklah berada berhampiran di belakangku”, iaitu orang yang sudah baligh dan berakal “kemudian barisan saf yang berikutnya”, Baginda ﷺ menyebutnya sebanyak 3 kali.”
Apabila susunan yang dinyatakan ini diselisihi (daripada susunan yang sebenar) maka hukumnya makruh, begitu juga setiap perkara sunat yang berkaitan dengan kedudukan saf dan fadilat berjemaah luput disebabkannya(perbuatan makruh).”
Dalam Saf
Berbalik kepada soalan di atas, kanak-kanak yang layak mengisi ruang saf sebaris dengan dewasa di sisi ulama Syafi’iyyah ialah kanak-kanak yang sudah mencapai peringkat mumaiyiz.
Ini kerana menurut fuqaha kanak-kanak yang belum mumaiyiz makruh dibawa masuk ke dalam masjid. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari di dalam kitab Asna al-Matolib:
والقول بكراهة دخول الصبيان المسجد ليس على إطلاقه بل يختص بمن لا تمييز له وبحاله لا طاعة فيها ولا حاجة إليها
Maksudnya:
“Kenyataan yang menyebut makruh membawa masuk kanak-kanak di dalam masjid bukanlah secara mutlak, bahkan khusus kanak-kanak yang belum mumaiyiz dengan keadaannya yang tidak sah ketaatan (ibadatnya) serta tiada keperluan(hajat).”
Kitab al-Nukat ‘ala al-Mukhtasarat al-Thalath karya Sheikh al-Iraqi menjelaskan kedudukan lagi bahawa haram membawa masuk kanak-kanak yang menanggung najis yang dikhuatiri mengotori masjid.
Namun jika tidak dikhuatiri mencemarkan masjid hukumnya makruh (ويؤيده أن إدخال الصبيان المسجد حرام مع غلبة التنجيس، ومكروه مع عدمها).
Solat Berjemaah
Kesimpulan, kanak-kanak mumaiyiz disunatkan beri keutamaan kepada orang dewasa untuk mengisi ruang saf di hadapan. Jika ada kekosongan di ruang hadapan maka kanak-kanak mumaiyiz berhak mengisinya sebaris dengan golongan dewasa.
Selain itu jika golongan dewasa lewat, maka kanak-kanak dibolehkan mengisi ruang kekosongan di saf hadapan dan orang dewasa tidak berhak menarik mereka keluar ke saf belakang. Makruh membawa masuk kanak-kanak yang belum mumaiyiz ke dalam masjid.
Baca Di Sini:
‘Bacaan Suami Salah Ketika Solat Jemaah, Isteri Tak Boleh Tegur Direct.’ Begini Cara Yang Betul
Kashoorga: Keutamaan saf hadapan tetap kepada lelaki dewasa, tetapi andaian bahawa kanak-kanak memutuskan saf dan mengurangkan pahala jemaah adalah tidak benar.
Sumber: Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI