
Menjadi pemandangan biasa pada hari Jumaat apabila masjid dan surau kelihatan lengang pada awalnya, namun tiba-tiba dipenuhi kereta serta motosikal sebaik sahaja waktu solat semakin hampir.
Ketika khatib sedang menyampaikan khutbah, masih terdapat banyak ruang kosong di dalam masjid. Namun, apabila iqamah dilaungkan, barulah ramai jemaah mula masuk untuk menunaikan solat Jumaat. Selesai dua rakaat, mereka terus beredar dan pulang.
Ada yang menganggap kewajipan solat Jumaat sekadar memastikan dua rakaat solat itu sempat ditunaikan. Hakikatnya, kelebihan dan ganjaran hari Jumaat bermula lebih awal, termasuk ketika seseorang bersiap, melangkah ke masjid dan memberikan perhatian kepada khutbah yang disampaikan.
Khutbah merupakan salah satu perkara penting dalam pelaksanaan solat Jumaat. Ia bukan sekadar ucapan pembukaan sebelum solat, sebaliknya mengandungi peringatan, nasihat agama, panduan kehidupan serta isu semasa yang berkaitan dengan umat Islam.
Oleh itu, jemaah sewajarnya hadir lebih awal dan mendengar khutbah dengan penuh perhatian. Jangan menjadikan waktu khutbah sebagai ruang untuk tidur, berbual di luar masjid, bermain telefon atau melakukan perkara yang boleh menghilangkan tumpuan.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi junub, kemudian pergi ke masjid pada waktu pertama, seolah-olah dia berkorban seekor unta… Apabila imam keluar untuk berkhutbah, para malaikat hadir untuk mendengar peringatan dan menutup buku catatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan besarnya ganjaran bagi mereka yang hadir awal ke masjid. Apabila khatib mula berkhutbah, para malaikat yang mencatat kehadiran jemaah juga menutup catatan mereka untuk memberikan perhatian kepada khutbah.
Selain itu, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Jumu‘ah, ayat 9 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah urusan berjual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.”
Ayat ini mengajar umat Islam supaya meninggalkan urusan dunia dan segera menuju ke masjid apabila masuk waktu solat Jumaat.
BACA JUGA: Wanita Boleh Solat Jumaat Ketika Musafir, Ini Hukumnya Yang Ramai Tak Tahu
Bekerja, berniaga atau menguruskan hal lain bukan alasan untuk sengaja melengah-lengahkan kehadiran sehingga khutbah hampir selesai. Sebagai seorang Muslim, kita perlu merancang waktu dengan baik agar urusan kerja dapat diselesaikan sebelum masuk waktu Jumaat dan disambung semula selepas solat.
Ketika khatib sedang menyampaikan khutbah, jemaah dituntut untuk diam serta memberikan perhatian sepenuhnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat, ‘Diamlah,’ ketika imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah melakukan perkara yang sia-sia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Walaupun niat seseorang adalah untuk menegur rakannya supaya diam, perbuatan bercakap ketika khutbah tetap boleh menyebabkan pahala Jumaatnya berkurang. Apatah lagi jika seseorang sengaja berbual, bergurau atau bermain telefon ketika khutbah sedang berlangsung.
Sekiranya mahu menegur jemaah lain, gunakan isyarat yang sesuai tanpa mengeluarkan suara dan mengganggu tumpuan orang lain.
Antara faktor seseorang sering terlepas khutbah ialah kesibukan bekerja, sikap suka menangguhkan masa dan mengambil mudah tentang solat Jumaat.
Ada yang beranggapan, asalkan sempat menunaikan dua rakaat bersama imam, maka tanggungjawabnya telah selesai. Sikap sebegini perlu diperbetulkan kerana solat Jumaat bukan sekadar hadir pada saat akhir dan pulang sebaik sahaja salam diberikan.
Tetapkan dalam fikiran bahawa waktu Jumaat adalah waktu yang sangat berharga. Ia merupakan peluang untuk berhenti seketika daripada kesibukan dunia dan menumpukan hati kepada Allah SWT.
Usahakan untuk mandi sunat Jumaat, memakai pakaian yang bersih, menggunakan wangian dan keluar lebih awal menuju ke masjid. Duduklah di saf hadapan sekiranya masih ada ruang serta manfaatkan waktu menunggu dengan berzikir, membaca al-Quran atau berselawat.
Jumaat merupakan penghulu segala hari. Amat rugi sekiranya peluang yang hadir setiap minggu ini hanya dilalui dengan tergesa-gesa, tanpa persediaan dan tanpa mengambil manfaat daripada khutbah.
Jangan sekadarsolatnjumaat mengejar dua rakaat solat Jumaat. Datanglah lebih awal, dengarkan khutbah dengan hati yang terbuka dan rebutlah sebanyak mungkin ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







