Seekor ular memasuki gudang tempat kerja seorang tukang kayu di malam hari. Kebiasaan si tukang kayu adalah membiarkan sebahagian peralatan kerjanya berselerakan dan tidak merapikannya.
Ketika seekor ular itu masuk ke gudang si tukang kayu, secara kebetulan ia merayap di atas gergaji. Tajamnya gergaji menyebabkan perut ular terluka. Ular beranggapan gergaji itu menyerangnya, ular itu pun membalas dengan mematuk gergaji itu berkali-kali.
Serangan yang bertubi-tubi menyebabkan luka parah di bahagian mulutnya, marah dan putus asa, ular berusaha mengerahkan kemampuan terakhirnya untuk mengalahkan musuhnya.
Ular pun lalu membelit kuat gergaji itu, belitan yang menyebabkan tubuhnya terluka parah akhirnya membuatkan si ular itu mati binasa. Di pagi hari si tukang kayu menemukan bangkai ular tersebut di sebelah gergaji kesayangannya.
Ads
Sahabat…
Kadangkala di saat marah, kita ingin melukai orang lain tetapi setelah semua berlalu, kita baru menyadari bahawa yang terluka sebenarnya adalah diri kita sendiri.
Ads
Banyak perkataan yang terucap dan tindakan yang dilakukan saat amarah menguasai, sebanyak itu pula kita melukai diri kita sendiri.
Ads
Ketahuilah dendam benci, curiga, fikiran negatif dan apapun itu sebenarnya bagaikan ular yang membelit gergaji. Telah ribuan kali muncul dalam fikiran kita yang menusuk dan membakar hati kita sendiri.
Latihlah setiap saat untuk mengampuni, memaafkan dengan tulus, mampu dengan cepat melepaskan dan membuang sampah pengotor hati dan fikiran kita sendiri.
Sumber: Ustaz Dato’Dr.Mohd Izhar Ariff
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Setiap kali solat tak pernah lupa untuk berdoa, tapi dek kerana mengejar waktu doa dibuat dalam tergesa-gesa. Hanya lafaz di mulut tapi tidak menghayatinya.
Mungkin juga kerana perkara ini doa kita belum makbul. Hakikatnya ketika berdoa itu ada adabnya.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa daripada hati yang lalai.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Berikut adalah adab-adab yang perlu dititik beratkan ketika berdoa, moga doa kita dimakbulkan satu hari nanti.
Antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah SWT dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah al-Anbiya’: 90)
Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub AS berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan.
Nabi Yunus AS berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria AS juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak.
Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.
Riwayat al-Tirmizi (3479)
Antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah SWT sebelum meminta sebarang hajat. Sebagai contoh mudah adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-fatihah yang dibacakan oleh seseorang.
Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah SWT membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.
Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah SWT. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Maksudnya: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. (Surah al-Fatihah: 6)
Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim A.S, baginda memulakan dengan katanya:
Maksudnya: Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat. (Surah al-Syu’ara: 78 – 82)
Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim AS tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah SWT melalui firman-Nya:
Maksudnya: Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan. Surah al-Syu’ara’ (83-87)
Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah SWT.
Sebagai tambahan, cukuplah kami nyatakan di sini dua hadis untuk melengkapkan jawapan di atas.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.” Riwayat al-Tirmizi (3382) dan Abu Ya’la
Daripada Abi Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam hal keadaan kamu yakin dengan penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak menerima doa daripada hati orang yang lalai.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Perbezaan yang ketara antara puasa umat Islam dengan umat-umat yang terdahulu ialah dapat dilihat pada amalan bersahur.
Daripada Amru bin al-Ash bahawa bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan Ahli Kitab ialah makan sahur. (Riwayat Muslim).
Umat-umat terdahulu berpuasa tanpa bersahur. Sedangkan umat Islam disunatkan bersahur. sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. bahawa mereka yang bersahur akan mendapat pahala dan dijanjikan dengan keberkatan.
SOALAN:
Saya tinggal serumah dengan beberapa orang kawan. Ada kalangan kami yang berpuasa tetapi selalu tidak bangun sahur. Katanya ‘dia tahan’ walaupun tak bersahur. Ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Saya cuba berikan nasihat kepada kawan-kawan sekadar yang saya faham. Bolehkah berikan panduan apa yang terbaik kepada kami?
JAWAPAN:
Selamat menyambut Ramadan semoga kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah, saudara dan sahabat-sahabat saudara berpuasa. Ini menandakan tanggungjawab sebagai Muslim masih lagi kuat dalam jiwa saudara-saudara sekelian. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan. Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya. Saudara pula merupakan sahabat yang baik, yang mempunyai kesedaran bagi diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk mengamalkan amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w. Semoga Allah membanyakkan pemuda seperti saudara dan diberikan pahala yang besar.
Ada pun persoalan saudara tentang sahur itu, maka saya jawab berdasarkan beberapa perkara berikut;
1. Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur Muslim dan sahur Yahudi.
“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).
Maka kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.
2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur.
Sabda Nabi s.a.w :
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.
3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal.
Sabda Nabi s.a.w:
تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةٍ من ماء
“Bersahurlah walaupun seteguk air” (Riwayat Ibn Hibban, hadis hasan)
4. Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar.
Nabi s.a.w bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ
“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).
Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan. Pada tamar ada kelebihan yang memberikan kekuatan untuk seseorang berpuasa.
5. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam.
Ini seperti firman Allah:
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
(maksudnya) “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
6. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid.
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.
7. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:
(Maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.
“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
8. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.
9. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.
10. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.
Wajah yang kelihatan awet muda sememangnya menjadi impian ramai orang. Kecantikan bukan hanya boleh dipelihara melalui teknologi kecantikan sahaja. Melalui amalan harian yang dianjurkan oleh Islam juga, kita mampu menjadikan wajah kelihatan awet muda.
Gabungan penjagaan wajah serta amalan yang dianjurkan dalam agama Islam menjadikan rutin penjagaan kecantikan jadi sempurna. Berikut amalan-amalan yang membantu wajah kelihatan awet muda.
Petua 1 : Sebelum mandi dan memberus gigi, amalkan petua ini. Urut wajah dengan air dari bawah dagu hingga ke atas dahi diiringi selawat Nabi tiga kali. Amalkan setiap hari urutan ini.
Petua 2 : Amalkan memotong kuku atau rambut pada hari-hari yang baik iaitu Isnin, Khamis dan Jumaat. Selain itu amalkan menanam kuku/rambut yang dipotong atau gugur.
Petua 3 : Semasa berdandan di waktu pagi, baca selawat Nabi di kedua tapak tangan dan raupkan ke bahagian wajah berserta niat dalam hati supaya di indahkan wajah seperti Nabi Yusuf. Amalkan setiap pagi.
Petua 4 : Agar wajah tampak muda daripada usia yang sebenar, amalkanlah petua ini dengan jujur dan ikhlas. Setiap kali selepas solat subuh, bacalah surah Yusuff, kemudian minum air suam sebanyak tiga teguk sahaja.
Petua 5 : Hafal ayat 35-38 surah Al-Waqiah. Bacalah dalam hati setiap kali mandi untuk curahan pertama, mulakan dari kepala.
Melalui amalan-amalan ini In Shaa Allah, aura wajah akan terserlah. Perlu diingatkan juga bahawa kecantikan bukan sahaja tertumpu pada segi luaran sahaja tetapi juga dalaman. Hati yang bersih dan ikhlas akan memancarkan seri wajah seseorang secara semula jadi.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Solat Jamak Takdim: Ketahui hukum bercakap antara dua solat jamak takdim menurut Mazhab Syafie, syarat muwalah serta situasi yang boleh menyebabkan jamak tidak dapat diteruskan.