![azmi](https://cdn.kashoorga.com/2020/03/azmi-13_28_697848-696x365.jpg)
Siapa yang tidak mengenali vokalis kumpulan Caliph Busker, Azmi Saat, 33 tahun yang memegang status Orang Kelainan Upaya.
Biarpun OKU, namun Azmi diberi anugerah luar biasa apabila dikurniakan suara yang sangat sedap di halwa telinga.
Malah status OKU ini tidak pernah menghalang dia untuk maju kehadapan, sebaliknya terus berusaha untuk berjaya seperti insan normal lain.
Menurut Azmi dalam artikel di Sinar Harian, sejak bergelar artis dia nyata dapat mengembangkan bakat nyanyian dan muzik pada ruang lebih besar.
“Kalau dulu, saya hanya menyanyi di jalanan dengan kelompok peminat yang kecil. Malah saya hanya melakukan rutin yang sama kerana keterbatasan diri.
“Bila masuk industri, kehidupan berubah 360 darjah. Banyak peluang orang bagi untuk saya bawa bakat sejauh mana yang mampu tanpa sebarang prejudis,” ujarnya.
Berjaya beli rumah sendiri
Malah dengan usaha dan kesungguhan tanpa jemu ini, Azmi mampu tersenyum dan bersaing secara terbuka dengan rakan lain.
Banyak perubahan telah berlaku dan katanya jika dulu pendapatan hanya cukup makan tetapi kini dia mampu membeli rumah sendiri yang bakal siap tidak lama lagi.
“Sekarang, alhamdulillah saya berjaya membeli rumah sendiri dan bakal siap untuk diduduki tidak lama lagi. Dalam masa yang sama, saya juga dalam proses mengumpul barang-barang muzik untuk keperluan studio milik saya sendiri nanti.
“Kalau tak berada di sini hari ini, mungkin impian untuk buka studio tidak akan terlaksana,” luah Azmi yang pernah mencari rezeki menerusi kerja mengurut.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM AZMI
Artikel Berkaitan: Berkat Sayang Isteri , Rezeki Azmi Caliph Buskers Terus Murah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Lepas Solat, Duduk Jangan Bergerak & Bacalah Surah Al-Fatihah 41 Kali. InsyaAllah Dimakbulkan Doanya!
![Lepas Solat, Duduk Jangan Bergerak & Bacalah Surah Al-Fatihah 41 Kali. InsyaAllah Dimakbulkan Doanya!](https://cdn.kashoorga.com/2020/06/195712-09_57_985459.jpeg)
Surah Al-Fatihah adalah surah yang wajib dibaca ketika solat dan diketahui memang mempunyai banyak kelebihan.
Surah ini disebut Al-Fatihah (Pembukaan), kerana dengan surah inilah dibuka dan dimulainya Al-Quran.
Dinamakan Ummul Qur’an atau Ummul Kitab kerana dia merupakan induk dari semua isi Al-Quran. Dinamakan pula As Sab’ul matsaany (tujuh yang berulang-ulang) kerana jumlah ayatnya yang tujuh dan dibaca berulang-ulang dalam solat.
Dikatakan juga jika mengamalkan bacaan Surah Al-Fatihah 41 kali, dan mohonlah hajat kepada Allah, InsyaAllah akan dikabulkan apa yang dihajati. Namun ada cara yang boleh dilakukan ketika membaca surah permulaan solat ini.
Baca Surah Al Fatihah 41 Kali Untuk Memohon Hajat
Cara Membaca Al Fatihah Untuk Memohon Hajat. Sheikh Mahayuddin bin Al Arabi Khadas-Allah Serah berkata;
Sesiapa yang ada hajat, hendaklah ia membaca surah al Fatihah sebanyak 41 kali, selepas sembahyang Maghrib. Jangan bergerak dari tempat duduknya hingga selesai membaca al Fatihah 41 kali yang disebutkan di atas. Setelah itu berdoalah kepada Allah akan hajat yang dikehendaki. Iaitu hajat yang baik-baik. Insyaa Allah dikabulkan doanya. Amalan ini terbukti kemujarabannya, dengan izin Allah jua.
![Lepas Solat, Duduk Jangan Bergerak & Bacalah Surah Al-Fatihah 41 Kali. InsyaAllah Dimakbulkan Doanya!](https://cdn.kashoorga.com/2020/06/195711-09_55_714745.jpeg)
Fadhilat membaca surah al Fatihah, antaranya:
1. Siapa saja yang membaca surat Al Fatihah dalam keadaan berwudhu sebanyak 70 kali setiap hari dan selama tujuh hari kemudian ditiupkan pada air suci mensucikan lalu diminum. Ia akan memperoleh ilmu serta hatinya akan dibersihkan dari fikiran yang rosak.
2. Siapa saja yang mempunyai nazar (keinginan) dan memohon kepada Allah SWT, dan membaca surat Al Fatihah sebanyak 41 kali diantara shalat sunat Subuh dan Shalat fardhu Subuh sampai 40 hari lamanya, kemudian memohon kepada Allah. Insya Allah akan dikabulkan oleh Allah SWT.
3. Siapa saja yang membaca surat Al-Fatihah, Al Ikhlas sebanyak 3 kali serta “Mu’awwidzatain” Insya Allah ia akan selamat dari segala hal selain sudah sampai diajalnya (meninggal dunia).
4. Siapa saja yang mengamalkan surat Al-Fatihah bersama Bismillah diantara Shalat sunnah subuh dan Shalat fardhu Subuh dalam keadaan istiqamah, Insya Allah akan doanya akan dikabulkan, jika ia mempunyai hutang mampu membayarnya, jika ia sakit maka akan sembuh, jika ia punya anak maka jadi anak yang saleh dan salehah dengan izin Allah SWT.
5. Siapa saja yang mengamalkan Al-Fatihah sebanyak 20 kali seusai shalat Fardhu 5 waktu. Insya Allah akan diluaskan rezekinya, dimudahkan urusan dunianya, diberikan kebahagian untuk dirinya serta keluarganya, diberikan akhlak yang baik dan lain-lain oleh Allah SWT.
6. Barangsiapa mengamalkan bacaan Al-Fatihah di waktu sahur (tengah malam) sebanyak 41 kali maka Allah swt bukakan pintu rezekinya dan Dia mudahkan urusannya tanpa kepayahan dan kesulitan.
Selesai membaca Al Fatihah bacalah doa ini: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu dengan kebenaran surah Al-Fatihah dan rahasianya, sehingga Engkau bukakan bagiku pintu-pintu rahmat, karunia-Mu dan rezeki-Mu. Dan Engkau mudahkan setiap urusanku, murahkanlah bagiku rezekiMu yang banyak berkah tanpa kekurangan dan tanpa susah payah, sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu. Aku mohon kepada-Mu dengan kebenaran surah Al-Fatihah dan rahasianya, berikan apa yang kuhajati”
Artikel Berkaitan: Baca Surah Al-Ikhlas Terutama Lepas Solat, Manfaatnya Sangat Menakjubkan. Insya-Allah Selamat Dunia Akhirat!
P/S: Sesuatu yang menarik menanti anda di sini
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Ibu, Ayah Nasihat Tunai Tanggungjawab.’ Pelajar Tingkatan 2 Bayar Zakat Perniagaan RM 10K
![‘Ibu, Ayah Nasihat Tunai Tanggungjawab.’ Pelajar Tingkatan 2 Bayar Zakat Perniagaan RM 10K](https://cdn.kashoorga.com/2023/03/511979.jpeg)
‘Ibu, ayah nasihat tunai tanggungjawab.’ Pelajar tingkatan 2 bayar zakat perniagaan RM 10K. Kecil-kecil dah kaya, murah betul rezekinya.
Alhamdullah, dia tidak lupa menunaikan tanggungjawab apabila gadis ini mengambil inisiatif membayar zakat biarpun masih muda dan bersekolah.
Artikel Berkaitan:
Perniagaan Rugi, Perlukah Bayar Zakat Juga? Kena Tahu Supaya Bisnes Berkat
Ibu, Ayah Nasihat
Seorang pelajar berusia 14 tahun tampil membayar zakat perniagaan berjumlah RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) minggu lalu.
Bayaran zakat perniagaan bagi tahun 2022 itu dibuat oleh Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustamaman pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.
Tunai Tanggungjawab
Menurut, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya yang merupakan pengasas produk pemakanan Bebycurf, dia terkejut mampu mencapai jualan sebanyak RM400,000 sejak berada di pasaran pada September tahun lalu.
“Sepanjang empat bulan, produk saya sudah mencecah jualan sebanyak itu (RM400,000),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Pelajar Tingkatan 2
Di samping itu, jelas Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya, melihat kepada nilai jualan, ibunya, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin dan ayahnya, Mustaman Che Yusof memberi nasihat supaya menunaikan tanggungjawab dengan mengeluarkan zakat.
Ujarnya, tanpa berlengah dia terus berbuat demikian dengan melaksanakan salah satu Rukun Islam iaitu berzakat dengan MAIK.
“Alhamdulillah, saya lega dapat berbuat demikian dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Bayar Zakat Perniagaan RM 10K
Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya memberitahu, dia tidak menyangka perniagaan yang bermula di TikTok itu mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.
Dia berterima kasih kepada pelanggan yang memberikan sokongan penuh kepada produk keluarannya itu.
Sementara itu, Bibi Hasnalinda berkata, dia terharu dengan usaha yang ditunjukkan oleh anaknya itu untuk berzakat.
Dalam masa yang sama, dia berharap usaha tersebut dapat menjadi contoh kepada usahawan dan ahli perniagaan lain untuk sama-sama berzakat.
Baca Di Sini:
Kasihan Ibu Tua, Bantuan Zakat Lesap Dicuri Anak Dalam Diam- Amil Zakat
Kashoorga: Semoga Allah menggandakan rezeki Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya. Terbaik!
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Baca Al-Quran Dalam Telefon Bimbit Tanpa Berwuduk
![Hukum Baca Al-Quran Dalam Telefon Bimbit Tanpa Berwuduk](https://cdn.kashoorga.com/2020/10/297414-30_17_164759.jpeg)
Kepesatan teknologi digital menyaksikan wujudnya budaya membaca al-Quran di dalam telefon bimbit. Hari ini begitu banyak aplikasi al-Quran yang boleh dimuatnaik dalam telefon bimbit bagi memudahkan kita membaca al-Quran di mana sahaja dan bila-bila masa.
Namun dalam konsep al-Quran on the go ini, ada sedikit kemusykilan timbul samada dibolehkan atau tidak membaca al-Quran di dalam telefon bimbit tanpa berwuduk. Kita ikuti penjelasan SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel berkaitan: Serba Salah Untuk Cas Telefon Di Pejabat, Mufti Wilayah Ada Jawapannya
Artikel berkaitan :Bolehkah Baca Al-Quran Dengan Suara Kuat?
Soalan
Assalamualaikum. Saya seorang pegawai perubatan yang menjaga kaunter di bahagian hadapan. Bagi mengelak terkena jangkitan Covid-19, kami disuruh untuk yang memakai pakaian PPE.
Persoalan saya sewaktu menunggu di kaunter itu saya membaca al-Quran menggunakan telefon bimbit saya dan bolehkah saya memegang handphone itu sekiranya tidak mempunyai wuduk. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad bi Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata,
Sabda Nabi SAW:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan. (Riwayat al-Tirmizi, 2910)
Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya. (Riwayat Muslim ,804)
Membaca al-Quran Tanpa Wuduk
Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, dalam hal membaca al-Quran terdapat adab-adab yang disarankan oleh para fuqaha’ di antaranya adalah membersihkan mulut dengan bersiwak atau selainnya.
Begitu juga disunatkan bagi seseorang yang hendak membaca al-Quran itu menyucikan dirinya
Imam Nawawi menyebut, disunatkan membaca al-Quran ketika ia dalam keadaan suci dan sesiapa yang membaca al-Quran dalam keadaan ianya berhadas maka diharuskan, dan ini merupakan ijma’ para ulama.
Imam Nawawi menukilkan pandangan Imam Haramain menyebut bahawa membaca al-Quran ketika berhadas bukan perkara yang makruh akan tetapi ia meninggalkan perkara yang afdhal. Imam Nawawi menyebut lagi, dan bagi orang yang berjunub (berhadas besar) dan haid maka haram bagi mereka membaca al-Quran.
Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA menyebut:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا
Sesungguhnya Rasulullah SAW membacakan kepada kami al-Quran dalam setiap keadaan, melainkan dalam keadaan berjunub (Riwayat al-Tirmizi, 146)
Hukum Menyentuh al-Quran Ketika Berhadas
Dalam membincangkan perihal menyentuh al-Quran tanpa bersuci, sebahagian para ulama bersepakat bahawa menyentuh al-Quran atau mushaf adalah haram melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar.
Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:
لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;(Surah al-Waqiah, 79)
Imam Qurtubi menyebut di dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Amru bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Saidina Ali RA, Ibnu Masud, Saad bin Abi Waqaz, Said bin Zaid, Ata’, al-Nakhai serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi’e.
Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan, diharamkan seseorang yang berhadas menyentuh mushaf dan membawanya sama ada membawanya secara tidak langsung atau secara langsung.
Imam al-Nawawi menyebutnya lagi, sekiranya ditulis al-Quran pada kayu maka hukumnya adalah seperti hukum mushaf sama ada tulisan itu sedikit atau banyak, sehingga sekiranya sebahagian ayat ditulis untuk belajar maka haram menyentuh kayu atau lembaran yang ditulis tersebut.
Apakan yang dimaksudkan dengan mushaf
Bagi menentukan apakah menyentuh al-Quran yang terdapat di dalam aplikasi telefon bimbit diwajibkan untuk berwuduk atau tidak, maka sebaiknya diperhalusi adakah ia juga dikategorikan sebagai Mushaf atau tidak.
Oleh itu, dalam memahami maksud mushaf Syeikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani menyebut, dimaksudkan dengan Mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding
Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut al-Mushaf adalah nama yang ditulis padanya kalam Allah SWT di antara dua kulit. Dan mushaf adalah apa yang terkandung di dalamnya keseluruhan ayat al-Quran atau apa yang disebut sebagai mushaf secara uruf atau ditulis padanya sedikit ayat al-Quran seperti hizib.
Ini jelas, sifat mushaf itu adalah sesuatu yang ditulis di atasnya ayat al-Quran. Justeru, bagi memahami apa yang dimaksudkan dengan tulisan, Syeikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi menyebut di dalam Hasyiahnya, bahawa tulisan (كِتَابَةً) bemaksud yang tertulis di atasnya.
Apa yang terdapat padanya tulisan, seperti lembaran dan kain sama ada ditulis padanya dengan menggunakan dakwat atau selainnya, dan begitu juga ukiran berbentuk huruf pada batu, kayu atau pada tanah dipermukaan bumi. Jika sekiranya melukis bentuk huruf di udara atau air maka ia bukanlah sebagai tulisan mengikut pandangan mazhab seperti yang disebut al-Ziadi.
Justeru, dapat difahami bahawa al-Quran yang dibuka di dalam telefon pintar tidak termasuk di dalam kategori mushaf seperti mana yang ditakrifkan oleh ulama.
Begitu juga sepertimana yang disebut oleh Syeikh Ali Jumaah mantan mufti Mesir yang lalu, menyatakan bahawa menyentuh telefon bimbit bertujuan untuk membaca al-Quran tanpa berwuduk adalah diharuskan.
Ini kerana ia bukan mushaf seperti yang disebut oleh para ulama, dan tidak diharuskan menyentuh mushaf yang hakiki melainkan dalam keadaan suci.
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan di atas dan penelitian perbahasan yang diberikan, dapat kami simpulkan bahawa harus membaca al-Quran melalui telefon bimbit tanpa berwuduk.
Ini kerana aplikasi al-Quran tidak boleh dihukum sebagai mushaf al-Quran kerana ia hanya tulisan yang dipapar melalui skrin dan kemudiannya hilang.
Tambahan pula, ia tidak kekal, berbeza seperti yang ditakrifkan oleh para ulama dengan mushaf al-Quran yang hakiki.
Namun, sebaiknya disunatkan untuk berwuduk ketika membaca al-Quran serta menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran sepertimana yang digariskan oleh para ulama seperti menutup aurat, mengadap kiblat dan membersihkan mulut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI