
Kejian boleh dibalas kejian tetapi ada syaratnya… Bila diri dikeji sudah tentu sukar untuk kita berdiam. Kebanyakan kita pasti akan marah dan tak mustahil mengeji semula.
Namun dalam Islam adakah perkara ini dibenarkan terutama jika apa yang diperkatakan itu adalah benar? Ikuti perkongsian Dr Syed Shahridzan Ben-Agil tentang perkara ini
Bolehkah kejian dibalas dengan kejian?
Menjelaskan tentang persoalan ini kata Dr Syed Shahridzan dalam bab hudud dan qisas fuqaha menjelaskan bahawa seseorang yang dihina atau dikeji oleh seseorang boleh membalas kembali kata kejian itu. Namun ia tertakluk dengan beberapa syarat tertentu.
Kejian itu mestilah setara dan tidak boleh melebihi daripada kadar hinaan yang dilemparkan. Sebagai contoh: seseorang dihina dengan ayat “kau bodoh”, kemudian dibalas dengan ayat “kau ni terlalu bodoh”, atau dengan bahasa kasar “kau ni bangang nak mampus”.
Tetapi ada syaratnya
Kejian itu tidak boleh berunsurkan penipuan, iaitu kejian itu dibalas dengan sesuatu yang tidak pernah wujud dalam diri pengkeji. Contohnya “Kau ni pekak tuli” sedangkan pengkeji seorang sempurna deria pendengarannya.
Manakala ayat “kau bodoh” tidak termasuk dalam kategori penipuan kerana setiap manusia tidak terlepas daripada kekurangan dan kelemahan, antaranya sifat bodoh.
Kejian yang dibalas juga tidak boleh dalam bentuk ‘qazf’, iaitu dengan ayat “kau seorang penzina”, “kau anak zina”, atau “kau bukan anak bapak kau”. Penghinaan seperti ini layak dijatuhkan hukuman hudud jika dia gagal mendatang 4 orang saksi yang adil.
Selain daripada kejian yang setara, ia juga boleh dibalas dengan perkataan yang semakna dengannya menurut uruf masyarakat. Sebagai contoh perkataan “dungu” boleh digantikan dengan perkataan “tolol”.
Namun memaafkan itu adalah lebih baik
Kejian juga tidak boleh melibatkan penghinaan terhadap individu lain seperti ibu, bapa dan adik beradik pengkeji. Sebagai contoh, jika seseorang dikeji dengan ayat “mak kau hijau”, maka si mangsa tidak dibenarkan menghina kembali ibu si pengkeji.
Peruntukan hukum ini berdasarkan hadis yang menceritakan perselisihan faham yang pernah berlaku di antara isteri-isteri Rasulullah saw, Sayyidah Zainab R.A dan Aisyah R.A.
Suatu hari Zainab telah melemparkan kata kejian kepada Aisyah, kemudian Baginda saw mengarahkan Aisyah membalasnya untuk memberi hak dan keadilan pada dirinya.

Walaubagaiaman pun, tidak dinafikan bahawa sikap pemaaf dan tidak membalas kejian itu adalah jalan yang terbaik dan sikap yang terpuji.
Baca Lagi : Tiada Hukum Karma Dalam Islam. ‘Setiap Perbuatan Baik Atau Buruk Hanya Dibalas Allah.’
Sumber : Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI