Zakat  dari segi syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/630)

Huraian Tentang Golongan Penerima Zakat

(Berdasarkan huraian kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/41-44) dan juga rujukan-rujukan yang lain)

 Pertama: Golongan Fakir

Fakir ialah orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya. Sebagai contoh, dia hanya mendapat tiga Lira sehari daripada sepuluh Lira yang diperlukannya.

 Kedua: Golongan Miskin

Miskin ialah orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya. Sebagai contoh, dia memerlukan sepuluh Lira sehari, tetapi pendapatannya hanya lapan Lira sahaja.

Menurut pendapat yang sahih, kedua-dua golongan tersebut diberikan zakat yang mencukupi keperluan seumur hidup mereka mengikut jangka hayat yang biasa.

Juga diberi perhatian, keinginan berkahwin adalah termasuk dalam perkara yang diambil kira ketika menilai keadaan dan keperluan hidup mereka.

Menurut al-Qaradawi, objektif utama daripada kewajipan zakat ialah untuk memenuhi keperluan fakir dan miskin seterusnya menghapuskan kemiskinan itu sendiri.

Dalam isu fakir dan miskin ini, beliau menyimpulkan dua dasar sebagai berikut:

  • Jika si fakir dan miskin tersebut mampu untuk bekerja atau mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu tetapi dia tidak mempunyai kemampuan dari sudut modal atau peralatan untuk melakukan pekerjaan yang diceburinya, maka dasar kifayah al-‘umr perlu dilaksanakan.
  • Jika mereka terdiri daripada golongan yang lemah serta tidak mampu bekerja kerana sakit, tua, cacat, kanak-kanak, janda dan sebagainya, maka mereka diberikan keperluan mengikut tahun (kifayah al-sanah). Namun demikian, boleh juga diberi secara bulanan jika dibimbangi berlakunya pemborosan terhadap pemberian tersebut. (Lihat Fiqh al-Zakah, hlm. 571)

 Ketiga: `Amil

`Amil ialah pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat. Mereka ini diberikan ganjaran yang setimpal dengan tugas yang dilakukan dan tidak harus memberi mereka nisbah tertentu daripada jumlah pungutan mereka. Ini kerana tidak terdapat dalil yang mensyariatkan sedemikian.

 Keempat: Muallaf

IKLAN

Muallaf ialah mereka yang baru memeluk agama Islam. Diharap dengan pemberian zakat, akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka. Mudah-mudahan zakat yang diberikan, dapat menarik minat golongan mereka kepada Islam.

Seterusnya, orang Islam yang berada di tempat yang berbahaya untuk melindungi orang lain daripada serangan orang kafir dan keganasan puak pelampau atau yang bertugas memungut zakat daripada penduduk yang tidak dapat dihantarkan `amil kepada mereka. Mereka semua diberikan bahagian zakat sekiranya orang Islam memerlukan mereka. Jika tidak, mereka tidak perlu diberikan apa-apa pun.

Kelima: Hamba

Hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya. Hamba ini diberikan zakat untuk menampung kekurangan yang tidak mampu disediakannya.

Keenam: Orang yang Berhutang

Orang yang berhutang bermaksud mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya. Mereka diberikan zakat yang mencukupi untuk melunaskan hutang dan menampung keperluan makan minum, pakaian dan tempat kediaman dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal. Termasuk dalam golongan ini ialah orang yang berhutang untuk menyelesaikan angkara yang timbul antara dua pihak bersengketa. Justeru, hutangnya untuk tujuan ini, bolehlah dilunaskan dengan hasil zakat, sekalipun dia seorang yang kaya dan mampu melunaskannya sendiri.

Orang yang berhutang untuk kepentingan masyarakat juga termasuk dalam maksud ini. Antaranya ialah mereka yang berhutang kerana menjalankan tanggungjawab sosial seperti membina yayasan anak-anak yatim, hospital khusus untuk orang-orang miskin, masjid, sekolah dan sebagainya. Mereka ini layak untuk menerima zakat di bawah peruntukan al-gharim sekalipun mereka terdiri daripada orang-orang kaya. (Lihat Fiqh al-Zakah, hlm. 630-631)

Ketujuh: Untuk Jalan Allah SWT

Jalan Allah bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. Mereka dan tanggungannya layak diberikan zakat yang mencukupi selama ketiadaannya sehingga mereka kembali ke pangkuan keluarga, sekalipun mereka kaya. Begitu juga, perlu diberikan kemudahan pengangkutan untuk membawa barang-barang dan peralatan perang dan lain-lain bagi membantu mereka berjihad.

IKLAN

Imam al-Razi dalam tafsirnya, menyatakan bahawa zahir lafaz pada perkataan fisabilillah dalam ayat 60 surah al-Taubah itu tidak wajar dikhususkan kepada maksud orang yang berperang semata-mata. Beliau kemudian memetik bahawa al-Qaffal dalam tafsir beliau telah menyebut pandangan beberapa fuqaha’ bahawa zakat boleh dibelanjakan untuk apa sahaja tujuan kebaikan, termasuk menyempurnakan jenazah, membina benteng atau kubu pertahanan dan membina masjid.

Al-Qaradhawi menyebut bahawa pengertian fisabilillah dalam ayat pengagihan zakat ialah jihad sepertimana pendapat jumhur. Beliau bagaimanapun tidak mengehadkan jihad dengan makna peperangan semata-mata. Bahkan memperluaskan jihad dalam bentuk pemikiran, pendidikan, penulisan, perekonomian, politik, kemasyarakatan dan sebagainya. Apa yang penting adalah untuk meninggikan kalimah Allah dan mempertahankan Islam. Antaranya mendirikan pusat dakwah yang memberi kefahaman Islam yang betul dan menyampaikan ajaran Islam kepada bukan Islam, mendirikan pusat-pusat pendidikan, menubuhkan kilang-kilang percetakan untuk menerbitkan serta menyebarkan risalah-risalah dan buku-buku Islam.

Kelapan: Musafir

Musafir ialah orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong. Dia layak diberikan harta zakat yang mencukupi untuk perjalanan pergi dan balik. Begitu juga perbelanjaan, kenderaan dan binatang tunggangan untuk membawa barang-barangnya sekiranya dia tidak mampu membawanya sendiri. Namun, jika bermusafir dengan tujuan maksiat, maka zakat tidak boleh diberikan kepadanya melainkan setelah dia bertaubat.

Demikianlah lapan golongan yang berhak menerima zakat. Pemberian zakat terbatas kepada mereka sahaja dan tidak boleh diagihkan kepada yang lain.

Berdasarkan nas dan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa zakat dibahagi kepada golongan yang lapan tadi sahajakerana lam (ل) bersifat li al-tamlik yakni khas untuk mereka sahaja.

Derma dalam Konteks Sirah Nabawiyyah

Sejarah menunjukkan tatkala Rasulullah SAW mahu menyertai Peperangan Tabuk sedangkan keadaan kewangan amat kritikal ketika itu untuk menyediakan kelengkapan perang dan juga segala bentuk keperluan ketenteraan. Baginda SAW telah melancarkan derma jihad. Justeru, para sahabat berganding bahu menyumbang dermaan masing-masing mengikut kadar kemampuan dan keikhlasan mereka. Mereka tidak menggunakan daripada wang zakat.

IKLAN

Langkah kerajaan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia adalah langkah yang sesuai dalam menguruskan sumbangan-sumbangan rakyat kepada kerajaan.

Pencerahan dan Salah Faham

Antaranya:

  • Boleh jadi ada yang berpendapat tidak sesuai Tabung Harapan Malaysia kerana berdasarkan sejarah Raja Zahir Bebras yang ingin rakyatnya menyumbang dalam menyiapkan peperangan. Ia tidak bersifat paksaan tetapi di sini bersifat sukarela.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menzahirkan beberapa kenyataan kami bagi sama-sama kita menekuni untuk kesejahteraan ekonomi Malaysia yang boleh membawa kepada penyelesaian hutang. Antaranya:

  • Penubuhan Tabung Harapan Malaysia adalah diharuskan.
  • Zakat tidak boleh disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia mengikut pendapat muktamad.
  • Kerajaan perlu mengutamakan sumber-sumber yang lain terlebih dahulu dalam menguruskan pembayaran hutang negara.
  • Dasar penjimatan dalam mengurus tadbir ekonomi dan perbelanjaan di samping mengelakkan sebarang bentuk pembaziran adalah menjadi keutamaan dan kemestian.
  • Amalan rasuah menyebabkan peningkatan kos sebarang bentuk projek atau selenggara wajib diperangi habis-habisan. Justeru memperkasakan SPRM dan diberi kuasa seluas-luasnya dalam melaksanakan tugas amat dialu-alukan.
  • Menilai semula sebarang bentuk pelaksanaan projek mengikut keutamaan (fiqh awlawiyyat) dan mengelakkan daripada menambahkan lagi hutang yang sedia ada.
  • Polisi yang diperkenalkan kerajaan dengan cara pemotongan gaji menteri sebanyak 10%, penangguhan dan pembatalan beberapa projek besar adalah satu sikap yang terpuji dan menunjukkan kepedulian dan kecaknaan kerajaan untuk merasai denyut nadi rakyat dalam suasana seperti sekarang.
  • Mereka yang menyumbang ke Tabung Harapan Malaysia adalah rakyat yang cintakan negara dan adanya sifat patriotik. Akan tetapi, rakyat yang tidak mampu menderma atau kerana keadaan kehidupan yang tidak memungkinkan menderma juga dianggap patriotik dan perlu diehsani kepada mereka.
  • Penubuhan jawatankuasa pakar bagi mengkaji projek yang bersaiz mega dan mempunyai high impact adalah amat dialu-alukan. Ini sudah barang tentu menzahirkan ketelusan dan juga penasihatan yang betul dan tepat daripada badan yang tepat seperti penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan.

Antara cara yang terbaik maka hendaklah masyarakat dan umat Islam di Malaysia beriman dan bertakwa kepada Allah kerana natijahnya akan datanglah bantuan Allah dan keberkatan serta hasil mahsul dari langit dan bumi seperti yang dijanjikan oleh Allah. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

MaksudnyaDan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.

(Surah al-A’raf: 96)

Syeikh al-Sobuni dalam Sofwah al-Tafasir (1/428) berkata: “Nescaya kami luaskan ke atas mereka kebaikan dari setiap sudut. Ada pendapat mengatakan berkat langit dengan turunnya hujan yang menyuburkan tanah dan melegakan kehidupan untuk minum dan berkat bumi pula dengan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan.”

Al-Suddi berpendapat, kami berkatkan ke atas mereka dengan membuka pintu langit dan bumi dengan kurniaan rezeki.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 4/348)

Saya berdoa kepada Allah semoga Allah kurniakan kepada negara kita keamanan dan kemakmuran dan akhirnya dapat melangsaikan segala hutang dengan jayanya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI