
Pernahkah anda pulang ke rumah selepas seharian bekerja dalam keadaan terlalu letih, lalu terus merebahkan diri ke katil selepas waktu Asar?
Niat asal hanya mahu berehat sebentar, tetapi apabila tersedar, kepala terasa berat, badan lemah, mimpi pula terasa melampau.
Ada juga yang bangun dalam keadaan mamai sehingga keliru, tidak pasti sama ada hari sudah malam atau masih petang.
Sebab itulah orang-orang tua dahulu sering berpesan supaya kita tidak membiasakan diri tidur selepas Asar.
Walaupun secara hukumnya tiada hadis sahih yang melarang secara khusus perbuatan tidur pada waktu ini, namun berdasarkan tajribah atau pengalaman orang terdahulu, amalan ini sebaiknya dielakkan jika ia boleh memberi kesan tidak baik kepada kecergasan akal, emosi dan kesihatan tubuh badan.
Dari sudut sains pula, keadaan mamai, pening kepala atau rasa terhuyung-hayang selepas bangun tidur dikenali sebagai sleep inertia. Ia berlaku apabila otak terpaksa “beroperasi” semula secara mengejut, sedangkan tubuh sedang berada dalam fasa tidur yang lebih dalam.
Akibatnya, sistem saraf seolah-olah belum bersedia sepenuhnya untuk aktif. Inilah yang menyebabkan seseorang berasa berat kepala, lesu dan kadangkala mengambil masa agak lama untuk benar-benar sedar.
BACA JUGA: Buy Now Pay Later (BNPL), Adakah Konsep Ini Benar-benar Patuh Syariah?
Keadaan ini menunjukkan bahawa tidur pada waktu petang, khususnya selepas Asar, bukanlah cara terbaik untuk menggantikan tenaga yang hilang selepas bekerja.
Jika terlalu letih, lebih baik berehat seketika dengan mengambil power nap atau tidur selama 15 minit, bukannya tidur berlebihan yang menyebabkan kelesuan otak.
Dalam Islam, tidur merupakan salah satu nikmat dan tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat.”
Surah al-Naba’: 9
Ayat ini mengingatkan kita bahawa tidur adalah keperluan tubuh, namun ia tetap perlu diurus dengan baik.
Tidur yang berkualiti pada waktu malam lebih membantu tubuh memulihkan tenaga, menenangkan fikiran dan menstabilkan emosi untuk menjalani kehidupan keesokan harinya.
Oleh itu, apabila pulang dari kerja dalam keadaan letih, elakkan terus ke katil. Sebaiknya mandi terlebih dahulu, segarkan badan, makan malam dan berehat seketika. Selepas itu, barulah dapatkan tidur yang berkualiti pada waktu malam.
Menjaga waktu tidur bukan sekadar untuk kesihatan fizikal, tetapi juga penting untuk ketenangan jiwa, kecergasan akal dan kestabilan emosi.
Jika tidur selepas Asar membuatkan tubuh rasa tidak selesa, kepala pening dan fikiran terganggu, maka meninggalkannya adalah pilihan yang lebih baik.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







