Untitled design (13)

Hidup sebagai pasangan suami isteri, memang perlu saling hormat menghormati supaya rumah tangga dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.

Namun ada juga segelintir para suami yang tidak hormatkan isteri. Sanggup lakukan isteri seperti orang gaji padahal insan ini perlu dimuliakan sebaik mungkin.

Menyedari perkara ini menjadi amalan normal dalam masayarakat kita, pemilik akaun Facebook Akhtar Syamir menyatakan 20 ciri suami yang tidak menghormati isteri untuk
dijadikan panduan agar perkara seumpama ini tidak terus berlaku.

Apa guna jika hidup bertahun lamanya tetapi sebenarnya batin isteri tersiksa diperlakukan seperti hamba oleh suami sendiri.

Ayuh kita selidiki ciri-ciri suami yang tidak hormatkan isteri untuk dijadikan panduan.

Ini 20 Ciri-Ciri Lelaki Yang Tak Hormat Isteri, Salah Satunya Layan ‘Orang Rumah’ Macam Orang Gaji
Gambar sekadar hiasan.

Ciri-Ciri Suami Yang Tidak Menghormati Isteri. Jadikan sempadan.

1. Tidak memberi kuasa kepada isteri di depan anak.
– Ramai yang buat perkara ini tanpa sedar. Bila kita membangkang keputusan yang dibuat si ibu di hadapan anak, secara automatiknya anak akan menjadi kurang hormat kepada isteri.

2. Tidak jujur dan berterus-terang.
– Isteri berhak tahu kebenaran tentang semua perkara dari suami. Menyembunyikan sesuatu perkara boleh dikategorikan sebagai penipuan terutamanya jika ia melibatkan isteri dan perhubungan.

3. Tidak mendengar dan mempedulikan pendapat.
– Saya, saya, saya. Pendapat isteri diperlekehkan dan dipandang rendah.

4. Suka mengkritik berbanding menasihati dan cuba memperbaiki.
– Masakan u tak sedap, u tak cantik, u tak pandai.

5. Sentiasa membandingkan isteri dengan wanita lain.
– Antara perbuatan yang paling memberi kesan yang mendalam.

6. Sentiasa membandingkan diri dengan isteri.
– Membandingkan sumbangan kepada keluarga, membandingkan gaji, membandingkan kerja, tahap pendidikan dan sebagainya.

7. Memaksa isteri untuk berubah mengikut standard suami.
– Tidak semua perkara boleh jadi apa yang kita mahukan. Sebagai contoh, tidak semua isteri pandai memasak, tidak semua isteri suka aktiviti luar, tak semua isteri suka main game, tak semua isteri mampu menjadi jelita seperti artis. Ini standard yang kadang-kala tidak mampu dicapai tetapi tetap dipaksa.

8. Tidak mengutamakan isteri.
– Kawan lebih penting, adik beradik lebih penting. Mungkin anak-anak lebih penting. Isteri jatuh nombor 4 atau 5 dalam senarai keutamaan.

9. Tidak rasa keperluan untuk membela dan melindungi isteri.
– Isteri mengadu diganggu, biarkan. Isteri kena raba, biarkan. Isteri takut, dibiarkan.

10. Keperluan isteri tidak terjaga.
– Keperluan asas contohnya pencuci muka, syampu, sabun, alat solek biasa tidak diambil peduli. Keperluan masa isteri dengan suami pun tidak diendahkan.

11. Melayan isteri seperti orang gaji. Suka mengarah.
– Perkataan “tolong” paling susah untuk disebut. Semuanya ke arah arahan jelas. Buat itu, buat ini.

12. Tidak mahu membantu.
– Semua kerja di rumah dilepaskan kepada isteri. Tidak memainkan peranan membantu mana yang patut.

13. Menganggap keluarga isteri tidak penting.
– Menganggap apabila isteri sudah berkahwin, keluarga isteri tidak perlu penting. Hubungan antara isteri dan keluarganya sendiri dijauhkan.

14. Tidak peduli jika isteri tiada mood atau terlalu penat untuk hubungan seks.
– Apa salahnya jika bertanya dahulu supaya kedua-duanya akan boleh menikmatinya bersama? Perhubungan ini bukan 1 hala sahaja.

15. Memburukkan dan memalukan isteri di hadapan orang lain.
– Ini sangat mengecewakan isteri. Jangan anggap apabila ianya disertai dengan gelak tawa, isteri tidak ambil hati. Mereka malu dan kecewa sebenarnya.

16. Tidak mengambil tahu masa rehat isteri.
– Hanya fokus pada diri sendiri. Tidak fikir sama ada isteri penat atau tidak. Perkara ini asas sahaja sebenarnya. Manusia ada tahap tenaga dan kemampuannya.

17. Selalu mengingatkan yang tiada orang lain yang mahukan isteri selain dia.
– Ego dan “gaslight”. Selalu cuba meyakinkan yang isteri itu tidak berguna tanpa dia.

18. Membuat keputusan tanpa persetujuan atau pandangan isteri.
– Tidak kira dari segi pelaburan, pembelian dan apa juga keputusan yang melibatkan isteri, keluarga dan masa depan, perlu dapatkan pandangan isteri juga.

19. Suka marah isteri di hadapan orang lain.
– Sangat menyedihkan apabila isteri dimarahi di hadapan orang lain. Malu, kecewa, marah, semua ada. Suami perlu jaga aib isteri.

20. Sentiasa memuji wanita lain di hadapan isteri.
– Memuji wanita lain di hadapan isteri umpama merendah-rendahkan isteri. Ada yang boleh terima, tetapi ada yang sengaja berbuat demikian untuk membuat isteri terasa. Namun ada juga yang tidak rasa perbuatan itu memberi kesan kepada isteri.

Ambil positif ciri-ciri ini. Jauhkan diri dari melakukan perbuatan yang menjadikan anda tidak hormat kepada isteri. Mereka layak dihormati seperti mana anda sebagai suami layak dihormati isteri.

Saya akan tulis mengenai ciri-ciri isteri yang tidak menghormati suami pula selepas ini supaya sama-sama kita boleh ambil iktibar dan berusaha ke arah suasana hubungan dan keluarga yang bahagia. In Shaa Allah.

Kongsikan penulisan ini untuk manfaat semua. Jadilah sebahagian dari punca sesuatu keluarga menjadi bahagia.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI