
Bersyukurlah sekiranya Ketika ini kita dipanjangkan usia memasuki umur 40 tahun. Ia menandakan seseorang itu telah mencapai peringkat usia dewasa yang sempurna dan matang.
Berdasarkan amalan salaf serta penjelasan para ulama tafsir, apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca doa yang warid dalam ayat 15 surah al-Ahqaf tersebut, sebagai tanda syukur, insaf dan pengharapan.
Doa yang dimaksudkan itu merupakan potongan daripada firman Allah SWT:
وَوَصَّيْنَا الإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاثُونَ شَهْراً حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, dia berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku termasuk golongan yang menyerah diri kepada-Mu)”.Surah al-Ahqaf (15)
Perbaharui taubat
Menurut Imam Ibn Kathir, pada asalnya ayat ini menyeru kepada mereka yang telah mencapai umur 40 tahun untuk memperbaharui taubat kepada Allah SWT.
Sebahagian ulama lain pula menyebut bahawa ayat ini dianjurkan untuk dibaca sebagai doa tatkala umur mencapai 40 tahun, dan amalan ini ada diriwayatkan daripada golongan salaf. Imam al-Razi menyebut:
وَيُرْوَى أَنَّ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ لَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ إِلَى تَمَامِ الدُّعَاءِ
Maksudnya: Diriwayatkan bahawa tatkala Umar bin ‘Abd al-‘Aziz mencapai umur 40 tahun, beliau berdoa: “اللَّهُمَّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ” hingga ke akhir ayat.[2]
Imam al-Syaukani pula berkata:
وَفِي هَذِهِ الْآيَةِ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ يَنْبَغِي لِمَنْ بَلَغَ عُمْرُهُ أَرْبَعِينَ سَنَةً أَنْ يَسْتَكْثِرَ مِنْ هَذِهِ الدَّعَوَاتِ
Maksudnya: Ayat ini menjadi dalil bahawa seseorang yang mencapai umur 40 tahun mestilah memperbanyakkan membaca doa-doa (yang disebut dalam ayat 15 Surah al-Ahqaf) ini.[3]

Kesimpulannya, berdasarkan amalan salaf serta penjelasan para ulama tafsir, apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca doa yang warid dalam ayat 15 surah al-Ahqaf tersebut.
Namun tidak semestinya kita perlu menunggu umur mencecah 40 tahun, bahkan doa tersebut wajar untuk sentiasa dilazimi dalam setiap keadaan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI