Iblis telah melakukan berbagai-bagai tipu daya terhadap anak cucu nabi Adam a.s tanpa mengira kedudukan mereka, baik yang bergelar ulama, ahli ibadah, mahupun orang-orang awam biasa.

Maka sudah menjadi kewajipan kepada umat Islam memperlengkapkan diri mereka dengan benteng dan perisai yang benar-benar kukuh, agar mereka tidak mudah menjadi mangsa kepada tipu daya dan talbis Iblis (putar belit dan penyamaran Iblis) dan juga bala tenteranya.

Penyediaan perisai dan benteng tersebut perlu dilakukan setiap masa dan ketika dan diiltizam dengan penuh istiqamah kerana talbis Iblis dan bala tenteranya juga berlaku setiap saat dan ketika dan dilakukan pula oleh mereka dengan penuh istiqamah. Bahkan perisai tersebut perlu dilakukan sehingga seseorang menghembuskan nafas yang terakhir di muka bumi ini. Apalagi Iblis pernah berjanji untuk melakukan talbis terhadap anak cucu nabi Asam a.s semenjak dahulu lagi. Al-Quran menceritakan hal ini.

Maksudnya: Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya” ( Sad 38: 82).

Perisai dan benteng yang boleh digunakan untuk berdepan dengan talbis begitu banyak sekali dan telah digunakan oleh para ulama dan umat Islam zaman berzaman. Ia melibatkan pesanan-pesanan manusia yang paling pakar tentang karenah dan talbis iblis terhadap generasi manusia dan mereka yang menggunakannya benar-benar berjaya mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam perangkap talbis iblis dan segala jaring yang berkaitan dengannya. Antaranya ialah:

a. Menuntut ilmu-ilmu agama dan mengamalkannya

Ilmu agama merupakan ilmu penawar dalam hidup setiap manusia. Tanpa ilmu ini manusia amat sukar untuk merawat penyakit yang dialami terutama penyakit-penyakit batin, yang menjadi pemusnah dalaman nombor satu dalam hidup manusia itu sendiri. Rasulullah s.a.w menyifatkan menuntut dan mendalami ilmu agama sebagai kebaikan yang tidak ada tolok bandingnya yang diinginkan Allah SWT kepada seseorang manusia. Sabda baginda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari menerusi Mu’awiyah r.a:

Maksudnya: Sesiapa yang diinginkan Allah dengan kebaikan, diperdalamkan orang itu dengan ilmu agama.     ( al-Bukhari, al-Sahih, Kifab al-Ilmi, Bab Man Yuridillahu Bihi Khayran Yufaqqihhu fi al-Din, hadis no:69).

Ilmu agama yang terdiri daripada ilmu-ilmu tentang akidah, ibadah dan juga akhlak, sebenarnya adalah imam kepada amalan. Ia merupakan kayu pengukur yang mampu membezakan di antara kebenaran dengan kepalsuan. Dengan memiliki dan mengamalkannya seseorang dapat membezakan di antara yang benar dengan yang batil. Ia juga dapat membezakan apa yang terlintas dalam hati, sama ada bertepatan dengan agama ataupun bercanggah dengannya. Ia juga dapat membezakan sama ada yang terlintas dalam hati itu merupakan ilham daripada malaikat ataupun was-was syaitan. Ia merupakan formula agung yang mana sesiapa berpegang teguh dengannya, tidak akan sesat selama-lamanya, kerana ia melibatkan ilmu-ilmu yang digali dan disimpulkan oleh ulama daripada al-Kitab dan juga al-Sunnah. Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’:

Maksudnya: Aku tinggalkan kepada anda semua dua perkara dan anda semua tidak akan sesat selama-lamanya jika anda semua berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnah nabiNya.          ( Malik, al-Muwatta’, Kitab al-Jami’, Bab al-nahyi Ani al-Qawli Bi al-Qadar, hadis no;3338. Hadis di atas dinilai sebagai hasan oleh al-Albani dalam Misykah al-Masabih, hadis no:186)

Semakin kuat kefahaman dan amalan seseorang terhadap ilmu-ilmu agama, akan menyebabkan semakin sukar kepada syaitan untuk memperdayakannya. Sebaliknya semakin jahil seseorang itu terhadap ilmu-ilmu agama, semakin mudah dia menjadi bahan permainan Iblis dan talbisnya yang tidak berkesudahan.

Mukjizat al-Quran sebenarnya adalah mukjizat ilmu dan mukjizat ini kekal abadi sehingga ke hari kiamat. Ia telah membawa pembaharuan dan perubahan yang begitu ketara dalam hidup orang-orang Arab Badawi, sehingga mereka menjadi pejuang-pejuang Islam yang tulen yang membawa obor-obor kebenaran ke seluruh pelosok dunia.

b. Memperkukuhkan akidah Islam dalam diri

Akidah Islamiyah merupakan tonggak yang penting dalam kehidupan setiap orang Islam. Tanpanya kehidupan orang-orang Islam menjadi tidak bermakna, kerana mengheret mereka kepada kekufuran, sedangkan kekufuran membuatkan seseorang tidak ada nilai sedikitpun amalan kebaikan yang dilakukannya di dunia. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia[896], maka hapuslah amalan- amalan mereka dan kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat. ( al-Kahfi 18: 103-105)

Pemantapan akidah berteraskan kepada al-Quran dan al-sunnah, mampu mengelakkan seseorang daripada terperangkap dengan talbis Iblis dan kuncu-kuncunya. Jika terperangkap sekalipun mereka mudah menyedari di mana kesilapan mereka dan seterusnya bertaubat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. Al-A’raf 7: 201).

Berdasarkan kepada akidah Islam, iblis dan kuncu-kuncunya tidak dapat mengapa-apakan manusia apalagi orang-orang yang beriman. Mereka hanya mampu menabur janji-janji manis sahaja kepada manusia, terutama kepada orang-orang yang menjadi para pengikutnya, namun mereka sama sekali tidak mampu memudaratkan mahupun memanfaatkan manusia. Yang mampu memudaratkan dan memanfaatkan manusia hanyalah Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih. ( Ibrahim 14: 22)

IKLAN

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Ibrahim berkata: Maka Mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepada kamu?” Ah (celakalah) kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka Apakah kamu tidak memahami? ( al-Anbiya’ 21: 66-67).

c. Sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan semua amalan kebaikan dan kebajikan

Ikhlas merupakan senjata dalaman yang paling kuat dan paling ampuh bagi setiap orang Islam. Meskipun ia merupakan sesuatu yang pahit untuk ditelan pada peringkat awal namun pada akhirnya sesuatu yang sangat manis dan membuahkan kejayaan yang ditunggu-tunggu. Meskipun kadang-kadang orang-orang yang ikhlas itu menjadi bahan permainan sesetengah orang, namun pada akhirnya ia berjaya dalam hidup. Iblis sendiri sudah membuat perakuan yang dia tidak dapat memperdayakan orang-orang yang benar-benar ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT: Firman Allah SWT:

Maksudnya; Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka. (Sad 38: 82-83).

Kekuatan keikhlasan dalam perjuangan menegakkan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah berjaya mewujudkan sebuah negara Islam yang kuat yang disegani oleh kawan mahupun lawan, meskipun Rasulullah s.a.w dan para sahabat, hidup dalam serba sederhana. Pada zaman Khulafak al-Rasyidun, kekuatan keikhlasan dalam menegakkan Islam dan menyebarkan dakwah telah berjaya menarik penduduk semenanjung tanah Arab dan di luarnya untuk menerima Islam sebagai manhaj hidup mereka, bahkan kekuatan keikhlasan yang dimiliki oleh para mujahidin Islam zaman Khulafak al-rasyidun itu jugalah yang telah berjaya menumbangkan dua kuasa besar dunia pada masa itu iaitu kuasa Rom dan juga Parsi.

d. Selalu bergaul dengan para ulama Rabbani

Para ulama yang benar-benar menuntut ilmu, mengamal, dan mengajarkannya kepada masyarakat adalah merupakan ulama rabbani dan juga merupakan ulama pewaris nabi s.a.w. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, Hikmah dan kenabian, lalu Dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.” akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. ( Ali Imran 3: 79)

Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi menerusi Qais bin kathir r.a:

Maksudnya: Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi s.a.w . Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang Dinar mahupun Dirham, sebaliknya mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya bererti telah mengambil bahagian yang banyak. ( al-Tirmidhi, al-Sunan, Kitab al-Ilmi An Rasulillah s.a.w , Bab Ma Ja’a Fi Fadli al-Fiqh ‘Ala al-‘Ibadah, hadis no; 2606. Hadis di atas dinilai sebagai sahih oleh al-Albani dalam sahih al-Jami’, hadis no:6297)

Ulama sebegini menghabiskan hidupnya dalam membimbing manusia dengan ajaran-ajaran yang terdapat dalam kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w dan memberi amaran kepada mereka tentang berbagai-bagai tipu daya dan talbis baik yang dilakukan oleh syaitan manusia mahupun syaitan jin, yang boleh memesongkan mereka daripada tugas mereka yang sebenar sebagai khalifah di muka bumi.

IKLAN

Dengan itu bergaul dengan mereka, dapat menyelamatkan seseorang daripada menjadi mangsa talbis Iblis. Kerana itu para ulama rabbani sama sekali tidak boleh dipandang hina dan dipinggirkan dalam kehidupan kerana peranan mereka begitu besar dalam membimbing manusia dan menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa Iblis dan bala tenteranya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad menerusi ‘Ubadah bin al-Samit r.a:

Maksudnya: Bukan termasuk ke dalam erti kata umatku, orang yang tidak tahu menghormati orang tua kita, tidak menunjukkan belas kasihan kepada kanak-kanak kita dan tidak mengenali hak orang alim kita. (Ahmad, al-Musnad, Kitab Baqi Musnad al-Ansar, Bab hadis Ubadah bin al-Samit r.a, hadis no; 21693. Hadis di atas dinilai oleh al-Albani sebagai hasan dalam Sahih al-Jami’, hadis no: 9574)

e. Sentiasa berlindung diri dengan Allah SWT:

Memohon perlindungan kepada Allah dilakukan antaranya untuk mengelakkan daripada gangguan syaitan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya; Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam. ( al-Nahli 16: 98 ).

Firman Allah SWT: Maksudnya; Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan”Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”). ( al-Mukminun 23: 97-98 ).

Memohon perlindungan juga dilakukan kepada Allah, bagi mengelakkan kejahatan nafsu dan amalan. Rasulullah s.a.w bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan menerusi ibn Mas’ud RA:

Maksudnya; Segala puji bagi Allah. Kita memohon pertolongan dan keampunan daripadaNya. Kita berlindung dengan Allah daripada kejahatan nafsu kita. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, tidak akan ada yang menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan Allah, tidak ada siapa yang mampu memberi petunjuk kepadanya. Saya naik saksi tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan saya naik saksi bahawasanya Muhammad adalah hamba dan pesuruhnya yang Allah utuskan untuk membawa kebenaran dan juga membawa berita gembira dan menakutkan pada saat hampir berlaku kiamat. Sesiapa yang taat kepada Allah dan rasulnya, sesungguhnya telah mendapat petunjuk dan sesiapa yang derhaka kepada keduanya, tidak dapat memudaratkan melainkan dirinya sendiri dan sekali-kali tidak memudaratkan Allah. (Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Bab, al-Rajulu Yakhtubu Ala Qawsin, hadis nombor 925. Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Bab Khutbah al-Nikah, hadis nombor 1023. Hadis ini adalah sebuah hadis Sahih).

Nafsu yang tidak terkawal atau nafsu Lawwamah atau Ammarah, menjadi penghalang seseorang di dalam perjalanannya menuju kepada keredaan Allah. Seseorang tidak mungkin dapat menuju kepada keredaan Allah melainkan setelah membersihkan nafsu dan meninggalkan segala kebiasaan yang dikehendaki oleh nafsu tersebut. Allah SWT memuji orang yang membersihkan nafsunya.

FirmanNya.

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).            ( al-Syamsi 91: 9-10 ).

IKLAN

Dalam kehidupan ini, manusia sebenarnya terdiri daripada dua golongan sahaja iaitu yang berjaya membersihkan dan mengontrol nafsunya di mana nafsunya tunduk kepada landasan syarak dan yang dikawal dan dikontrol oleh nafsunya, di mana segala perlakuan dan tutur kata menurut runtunan nafsu sepenuhnya. Allah SWT memuji golongan manusia yang berjaya mengawal dan mengekang hawa nafsunya supaya berjalan selaras dengan tuntutan syarak. Firman Allah SWT:

Maksudnya; Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), -Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, -Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, -Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.(Al-Nazi’at 79: 37-41).

Secara tidak langsung, melakukan isti’azah bererti memantapkan tauhid, pergantungan dan tawakal seseorang kepada Allah dan membuatkan seseorang sentiasa berada di dalam perlindungan Allah dari segala gangguan syaitan, jin, manusia, nafsu, hutang, dosa, azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan sebagainya.

f. Selalu melakukan muhasabah diri

Setiap orang Islam perlu mempunyai masa bagi bermuhasabah dan mencela dirinya bagi mengelakkan kejahatan dan mengawal hala tuju dirinya itu sendiri. Banyak dalil-dalil daripada al-Kitab dan al-Sunnah dan juga amalan salafus salih berkaitan dengan muhasabah ini. Antaranya firman Allah SWT;

Maksudnya; Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan. (al-Hasyr 59: 18)

Tentang ayat di atas ibn Kathir menyatakan ia menjelaskan tentang keperluan melakukan muhasabah sebelum seseorang dihisab di hadapan Allah SWT pada hari kiamat kelak. Ia juga menjelaskan tentang keperluan menyimpan amalan salih untuk hari kebangkitan dan pembentangan amalan di hadapan Allah SWT ( Ibn Kathir, Tafsir ibn Kathir, jil. 4, hlm. 365-366).

Firman Allah SWT;

Maksudnya; Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri. Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).( al-Qiyamah 75: 14-15).

Manusia dapat melihat kelemahan-kelemahan dirinya sendiri. Jika dia berdebat bagi mempertahankan kelemahan-kelemahan dirinya sendiri, itu sedikitpun tidak mendatangkan manfaat kepadanya pada hari kiamat kelak. Ini merujuk kepada kepentingan melakukan muhasabah jiwa dan membongkar kelemahan-kelemahannya sebelum luput masa untuk berbuat demikian. ( Ahmad Farid, Manhaj al-Islam Fi Mazkiyyah al-Nafs, jil. 1, hlm. 338).

Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Yu’la Syaddad bin Aws, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda;

Maksudnya; Orang yang pintar itu adalah orang yang sentiasa memuhasabah diri dan beramal untuk menghadapi kematian, manakala orang-orang yang lemah adalah orang-orang yang memaksa dirinya mengikut hawa nafsu dan bercita-cita untuk mendapatkan balasan yang besar dari sisi Allah SWT( al-Tirmizi, Bab Minhu hadis no: 2383 dan hadis ini dinilai sebagai hasan oleh al-Tirmizi )

Kata Hasan al-Basri; Jangan anda bertemu dengan orang mukmin kecuali yang mencela dirinya sendiri; Apakah yang saya inginkan daripada ucapan saya?. Apakah saya inginkan daripada makanan saya? Apakah yang saya inginkan daripada minuman saya?. Orang yang lemah adalah orang berjalan dalam keadaan tidak mencela dirinya sendiri. ( Ibn al-Qayyim, Ighathah al-Lahafan, jil. 1, hlm. 78).

Hasan al-Basri juga mengatakan; Seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan baik selagi mana dia mempunyai penasihat kepada dirinya dan muhasabah pula sentiasa berada dalam himmahnya. ( Ibid).

Cara-cara muhasabah diri bermula dengan:

Memuhasabah amalan-amalan fardu. Jika dilihat terdapat kekurangan, hendaklah ditampung kekurangan itu dengan segera sama ada dengan cara mengqadaknya semula atau memperbaiki kekurangan yang berlaku.
Bermuhasabah diri terhadap perkara-perkara yang dilarang. Jika diketahui seseorang itu ada melakukan perkara-perkara yang dilarang, hendaklah mengatasinya dengan cara bertaubat, beristighfar dan melakukan kebaikan-kebaikan yang boleh menghapuskan keburukan yang dilakukannya.
Bermuhasabah diri di atas kelalaian. Jika seseorang mendapati dirinya lalai dari melaksanakan matlamat dia diciptakan di muka bumi, hendaklah ditampung kelalaian itu dengan zikir dan menumpukan perhatian kepada Allah SWT dalam setiap perkara.
Bermuhasabah setiap percakapan yang dikeluarkan, setiap langkah yang dilangkahi oleh kaki, setiap huluran yang dihulurkan oleh tangan dan setiap pendengaran yang didengari oleh telinga. Apakah saya inginkan dengan melakukan ini? Untuk siapa saya melakukan demikian? Apakah bentuk yang sepatutnya saya lakukan?. Seseorang perlu menyedari setiap pergerakan dan ungkapan yang dikeluarkan akan dibentangkan dua dewan iaitu untuk siapa anda lakukan perkara itu? Bagaimana anda melakukan perkara itu? Soalan yang pertama adalah soalan tentang keikhlasan, manakala soalan yang kedua ialah soalan yang berkaitan dengan ikutan terhadap sunnah Rasulullah s.a.w. (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahafan Min Masayid al-Syaitan, jil. 1, hlm. 83).

Kesimpulan

Oleh kerana serangan dan perdayaan Iblis berlaku setiap masa dan ketika, setiap orang Islam juga dikehendaki membentengi diri mereka setiap masa dan juga ketika. Antara benteng yang paling berkesan ialah mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama dan mengamalkannya, memperkukuhkan akidah, sentiasa mengikhlaskan diri dalam melakukan amalan kebaikan dan kebajikan, sentiasa berlindung diri dengan Allah SWT, sentiasa melakukan muhasabah diri dan lain-lain.

Artikel ini diadaptasi daripada beberapa tajuk yang terdapat dalam buku penulis iaitu Terpedaya Dan Cara-Cara Rawatannya, Pembersihan Jiwa Menurut Al-Qur’an Al-Sunnah Dan Amalan Salafus Salih Dan Segera Beribadah Sebelum Terlambat.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI