Jika digabungkan pemahaman Al-Quran dengan penerangan hadith Rasulullah s.a.w. tentang wanita terbaik atau khairun nisa ternyata wanita solehah yang menggembirakan suaminya. Wanita-wanita ini menggembirakan suami mereka melalui kebaikan dan keluhuran akhlak, kecerdasan dan kematangan yang menjadi perhiasan dan citra aslinya dan tidak dibuat-buat atau sebagai lakonan semata-mata.

Ciri kedua wanita solehah yang digariskan dalam ayat ke-34 Surah An-Nisa’ tersebut menyentuh perihal pemeliharaan kehormatan dan kesucian diri seorang wanita bergelar isteri semasa ketiadaan suaminya. Kesetiaan seorang wanita memelihara kehormatan diri mempunyai impak yang besar terhadap keluhuran nasab keturunan manusia yang menjadi salah satu perkara asas yang dilindungi oleh maqasid syariah selain agama, nyawa, akal dan harta. Ketiadaan suami itu bukanlah hanya semasa beliau berpergian keluar dari rumah untuk urusan kerja, perniagaan atau keluar menyertai misi peperangan atau pertempuran.

Dalam konteks semasa, di mana sebahagian besar isteri menjawat pekerjaan sepenuh masa di luar rumah, aspek penjagaan kesucian dan kehormatan itu melingkupi suasana dan masa yang dihabiskan di tempat kerja khususnya sekiranya suami tidak bekerja di tempat yang sama. Namun di akhir ayat yang menjelaskan ciri kesolehan seorang wanita tersebut, Allah SWT menekankan betapa keupayaan untuk seorang wanita mentaati Allah dan suami, serta memelihara kesuciannya adalah bergantung kepada pemeliharaan dan pertolongan Allah SWT semata-mata.

Sekali lagi menggabungkan pengertian ayat ini dengan hadith Rasulullah s.a.w. berkenaan gambaran wanita terbaik, yang dipelihara oleh wanita solehah bukanlah hanya kehormatan dan kesucian maruah diri malahan juga harta benda suami yang menjadi amanah. Wajarlah setiap wanita yang mahu bergelar seorang solehah untuk memohon sepanjang masa, agar Allah SWT memelihara setiap langkah yang diambil dan membantunya melaksanakan tanggungjawab dan peranannya.

IKLAN

Dalam ayat yang sama, selepas diperjelaskan perihal ciri kesolehan seorang wanita, Allah SWT menyentuh pula tentang satu lagi ciri wanita bergelar isteri yang berlawanan dengan sifat baik seorang solehah, yang perlu dikendalikan dan ditangani oleh para suami sebijak mungkin dengan langkah-langkah yang digaris oleh Allah SWT. Mafhum sebahagian lagi ayat ke 34, Surah An-Nisa’ :

`…Wanita yang kamu khuatiri akan `nusyuz’, hendaklah kamu berikan nasihat kepadanya, tinggalkan mereka di tempat tidur dan (jika perlu) pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak memudaratkan atas tujuan mendidik). Tetapi jika mereka mentaati, maka janganlah kamu mencari-cari alasan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, Maha Besar.’

Semua wanita yang mahu mendapatkan gelaran solehah perlu juga mengetahui apakah pula yang dimaksudkan Allah SWT mengenai ciri-ciri ke`nusyuz’an seorang wanita sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat ini. Sekali lagi merujuk kepada kitab Fi Zilalil Quran karangan Syd Qutb, perkataan `nusyuz’ dikatakan berasal dari kata akar `nasyazat’ yang bermakna `berdiri di tempat yang tinggi’.

IKLAN

Bolehlah disimpulkan wanita yang nusyuz adalah mereka yang bersifat degil, meninggikan diri, sombong, bongkak dan bertindak merendah-rendahkan usaha orang lain khususnya suaminya. Sifat ini jelas bertentangan dengan ciri-ciri solehah yang lebih menekankan tentang `kepatuhan’ atau `ketundukan’ yang sengaja rela diberikan tanpa paksaan dan kekerasan.

IKLAN

Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna kejadiannya. Sebagai seorang insan biasa kita tidak terkecuali daripada membuat kesilapan. Mungkin kita bukan yang terbaik tetapi kita boleh membentuk diri kita menjadi yang lebih baik. Bersamalah kita bergerak ke arah itu.

Sumber: Dr Harlina Haji Siraj

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI