Dalam konteks kehidupan wanita hari ini, kegilaan mengejar kecantikan penampilan luaran, kesenangan material dan ketinggian status disogokkan setiap masa dan ketika. Nilaian tentang wanita yang berjaya dalam hidup hari ini, diketengahkan dalam `pakej’ merangkumi keupayaannya menjawat jawatan tinggi di luar rumah, berpenampilan seksi bergaya, paras rupa yang menawan, disaluti perhiasan dan aksesori berjenama mahal, didampingi oleh jejaka kacak dan bergelar jutawan. Keupayaan intelektual dan kecerdasan minda menjadi suatu yang ektra, `bonus’ atau ciri tambahan.

Pendek kata sekalipun seorang wanita itu pintar, cerdas dan tinggi keupayaan kognitifnya namun tidak mempunyai `pekej’ sebagaimana yang dinyatakan, individu ini masih belum dikatakan mencapai kemuncak potensinya.

Malang sekali minda wanita dijajah dengan persepsi bahawa harga diri dan maruah mereka bergantung kepada penilaian yang ditentukan oleh manusia lain khususnya kaum lelaki. Dengan mudah wanita diperdaya untuk terus dijadikan objek seks yang melariskan jualan sesuatu produk dagangan.

Maruah dan harga diri

Persoalan utama yang mesti diajukan di sini adalah: Tidak bolehkah wanita menjadi siapa mereka yang sebenarnya? Tentu sekali boleh! Setiap wanita mempunyai maruah dan harga diri yang tidak seharusnya digadai atau dijual semata-mata mahu mengejar kedudukan, kemewahan dan kenikmatan ibarat fatamorgana di tengah gurun yang gersang.

IKLAN

Konsep kecantikan yang sentiasa berubah menyebabkan hampir mustahil wanita mahu memilikinya, ibarat gawang gol yang sentiasa beralih hingga menyebabkan sukar untuk menyumbat gol dalam sebuah permainan bola sepak. Apabila wanita gagal mengejar semua ini, kekecewaan akan mendominasi emosi yang berkesudahan dengan kemurungan atau depresi. Kemurungan sememangnya menjadi beban penyakit yang paling utama di kalangan wanita di dunia hari ini.

Alangkah malangnya sekiranya wanita tidak segera tersedar daripada tidur yang lena dan bangkit mempertahankan maruah dan harga dirinya sendiri. Sekalipun penghambaan sesama manusia (slavery) sudah lama dihapuskan namun tanpa disedari, sebenarnya manusia hari ini masih terbelenggu dalam penghambaan bentuk baharu yang begitu halus dan tidak nampak oleh mata kasar manusia. Hakikatnya wanita masih terbelenggu dengan cara pemikiran `hamba’ yang meletakkan nilaian maruah dan harga dirinya pada neraca timbang penilaian manusia yang lain.

IKLAN

Mulia dan hina seseorang manusia disandarkan kepada tahap kepatuhan dan ketakwaan seorang hamba kepada Tuhan yang menciptakannya dan bukan diukur dari kaca mata manusia biasa yang sama hina dan rendah kedudukannya. Bagi manusia yang sengaja memilih untuk ingkar kepada Allah SWT dan sebaliknya akur tunduk menuruti telunjuk manusia yang dianggapnya jauh lebih berkuasa , sebenarnya menjerumuskan dirinya ke lembah kehinaan. Mafhum firman Allah SWT dalam Surah At-Tiin, ayat 4 -6 :

“Sungguh Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat serendah-rendahnya, kecuali orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan; maka mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus.”

IKLAN

Bebaskan diri

Melalui ajaran dan syariat Nur Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. manusia dibebaskan dari belenggu kehinaan yang rendah kepada penerokaan kehebatan dirinya yang mulia. Paradoks yang menyelubungi hubung kait ini seolah-olah sebuah misteri yang hanya mampu dirungkai oleh mereka yang telah dikurniakan hidayah petunjuk dari Allah. Hanya dengan memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah, baharulah manusia itu mampu membebaskan keseluruhan jiwa dan raganya dari rantai belenggu penindasan sesama manusia. Tiada cara lain yang mampu memerdekakan manusia selain dari cara yang dinyatakan ini. Dengan hanya takut dan harap kepada Allah, lenyaplah segala bentuk ketakutan dan kebimbangan terhadap makhluk yang lain. Allah SWT menukilkan dalam Surah Al-Maidah, ayat ke-44 yang mafhumnya:

“…..Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi takutlah kepada-Ku!…. “

Ayuh wanita cerdik dan solehah, bebaskanlah segera dirimu daripada belenggu dan cengkaman materialisme yang menjerusmuskan kita ke lembah hina dina yang tiada tepinya. Patuhilah segala suruhan Allah SWT dan jauhilah segala laranganNya. Pelajarilah Al-Quranul karim untuk mendidik diri menjadi insan bertaqwa yang sentiasa takut kemurkaan Allah SWT namun dalam masa yang sama, tidak jemu mengharap keredhaan-Nya. Ini bukan sekadar angan kosong yang tiada penghujung. Sesungguhnya kita hanyalah milik Allah SWT sepenuhnya.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI