‘Kedatangan Imam Mahadi.’ Boleh percaya, tapi Mufti Pulau Pinang minta jangan mudah terpengaruh. Tidak dinafikan tidak salah kita mempercayai kedatangan Imam Mahadi.
Namun janganlah keterlaluan kerana tiada sumber sahih setakat ini menyatakan bila munculnya Imam Mahadi.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam tidak memberi perhatian yang berlebihan mengenai isu kedatangan Imam Mahadi.
Katanya, ini berikutan banyak dakwaan mengenai kelahiran Imam Mahadi oleh pelbagai pihak akhir-akhir ini, dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat Islam, terutama mereka yang kurang dari segi pengetahuan agama.
Boleh Percaya
Jelasnya, umat Islam masih memiliki dua sumber sahih bagi dijadikan pedoman dan panduan kehidupan iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah, maka berpegang kepada kedua-duanya sudah cukup bagi membangun kehidupan yang baik, maju dan mulia.
“Lazimnya kedatangan Imam Mahadi dikaitkan dengan harapan bagi memenuhi muka bumi ini dengan keadilan setelah ia diselubungi kezaliman.
Ads
“Dalam kalangan masyarakat Islam termasuk di Malaysia, kepercayaan berhubung kelahiran Imam Mahadi ini bersumberkan puluhan hadis, antaranya ada yang sahih, namun kebanyakannya adalah daif,” katanya menerusi kenyataan, semalam.
Tapi Mufti Pulau Pinang
Menurut Wan Salim, dalil mengenai kelahiran Imam Mahadi yang dinanti itu sering dijadikan objek perbincangan dalam kalangan ulama, namun tiada dalil menunjukkan kepada kemustahilannya.
Katanya, kemunculan Imam Mahadi boleh dipercayai, namun sesiapa yang tidak percaya tidaklah jatuh kafir.
“Pada pandangan saya umat Islam tidak perlu memberi perhatian berlebihan berhubung isu ini dan mampu mengembalikan tamadun gemilang tanpa perlu menunggu kedatangan ‘Sang Penyelamat’ yang tidak diketahui secara pasti masa kemunculannya,” katanya.
Jelas Wan Salim berikutan laporan media susulan keputusan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad di Kampung Batu 8 Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Ads
Penutupan dibuat JMNS selepas menerima aduan tarekat itu melakukan perbuatan bercanggah dengan hukum syarak serta bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf direkodkan dalam daftar mengikut perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.
Menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, dakwaan Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini antara punca tarekat itu disiasat JMNS.
Dakwaan itu dimaklumkan oleh sebahagian pengikut tarekat berkenaan kepada JMNS selepas mereka mula menyedari pengamalan yang dilakukan Habib Shah Firdaus bertentangan dengan hukum syarak.
Gaduh sikit merajuk. Gaduh sikit minta pulangkan hadiah yang diberi minggu lepas.
Meminta semula hadiah yang sebelumnya diberikan penuh keikhlasan boleh diibaratkan buruk siku. Tindakan ini seperti tidak matang dan berdasarkan emosi.
Apapun juga, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada jawapannya.
Soalan Assalamualaikum w.b.t Datuk Mufti. Saya ada soalan berkenaan hadiah. Individu A memberikan hadiah kepada individu B. Kemudian, setelah 2 bulan, individu A meminta semula hadiah yang diberikannya kepada individu B.
Jawapan Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T: فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا Maksudnya: Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah al-Nisa’: 4)
Ayat ini menerangkan bahawa apabila seorang isteri memberikan sesuatu dari maharnya kepada suaminya selepas mahar tersebut diserahkan kepadanya (isteri), maka diharuskan bagi suami tersebut untuk menerimanya.
Dan ia adalah perkara yang baik selagimana dalam keredhaan. Justeru, jelas melalui ayat ini, Allah S.W.T telah mensyariatkan hibah dan menyatakan keharusannya.
Ini dikuatkan juga dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W: تهادُوْا تحابُّوا Maksudnya: “Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.
Riwayat al-Bukhari (594). (Lihat: al-Adab al-Mufrad; muka surat 306), Hadith Shohih, (Lihat juga Irwa’ al-Ghalil; 6/44)
Hadis ini merupakan galakan daripada Nabi Muhammad S.A.W buat umatnya. Maka, sudah jelas terang lagi bersuluh bahawa hibah merupakan sunnah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan juga ijma’ ulama’.
Sebelum diulas lanjut berkenaan hadiah, maka perlu kita bezakan terlebih dahulu pengertian hibah, hadiah dan juga sedekah.
Hibah ialah suatu akad yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.
Pada dasarnya, ia mempunyai persamaan dengan hadiah dan juga sedekah dari sudut pengertian, bahkan ia lebih umum berbanding keduanya. Namun, ia juga mempunyai perbezaan.
Sedekah pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang memerlukan, biasanya sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan beroleh pahala. Manakala hadiah pula pada zahirnya ialah pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi.
Biasanya ia membabitkan pemindahan barangan yang dihadiahkan kepada penerima. Justeru itu, ulama’ mengatakan setiap hadiah atau sedekah merupakan hibah, dan bukan semua hibah adalah hadiah ataupun sedekah. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 6/116)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, ia berkait rapat dengan rukun-rukun hibah. Rukun-rukun ini ialah:
Pada dasarnya, akad ini tidak sempurna hanya dengan sighah aqad iaitu lafaz ijab dan qabul. Bahkan perlunya kepada penerimaan barangan hibah atau hadiah tersebut.
Ini bermakna, jika seseorang mengucapkan lafaz ingin memberikan hadiah kepada seseorang namun barangan yang ingin dihadiahkannya itu belum lagi diserahkan kepada si penerima, maka pemberi hadiah ini berhak untuk menarik semula keinginannya itu.
Justeru, akad ini akan menjadi sempurna dan berkuatkuasa hanya setelah apabila hadiah tersebut diterima dan memenuhi syarat-syarat bagi hibah atau hadiah, maka sahlah pemilikannya (penerima) ke atas barangan hibah itu.
Asal bagi aqad hadiah mahupun hibah adalah kedua-duanya merupakan akad tabarru’at (kebajikan) dan bukannya akad mu’awadhat (pertukaran). Maka, dalam hal kebajikan, tidak berlakunya pertukaran barangan sepertimana urusan jual beli dan lain-lain.
Seperti yang dibincangkan dalam perihal di atas, asas aqad hibah atau hadiah ini ialah apabila sempurnanya rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hadiah/hibah tersebut, maka jelaslah ia merupakan hak milik si penerima, tanpa perlu kepada sebarang pertukaran sepertimana jual beli.
Sehubungan dengan itu, tidak dibenarkan atau tidaklah dibolehkan bagi si pemberi untuk meminta semula hadiah atau hibah yang telah diberikannya melainkan seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya atau sesorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran.
Maka, dalil bagi perbuatan ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W: «العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya:
“Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”.
Riwayat al-Bukhari (2621)
Atau dalam riwayat yang lain: «لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ» Maksudnya: “Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.” Riwayat al-Bukhari (2622)
Justeru itu, melalui kedua-dua hadith ini, jelas menunjukkan larangan dan juga betapa buruknya sikap mereka yang meminta semula pemberian itu.
Maka, Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata: فالرجوع في القيء حرام، فكذلك الرجوع في الهبة، وأن ذلك مثل السوء الذي يتنافى مع أخلاق المسلم Maksudnya: Maka menelan semula muntah adalah haram. Begitu juga meminta semula hibah atau hadiah yang telah diberikan. Dan sesungguhnya ia adalah perbuatan dan juga sikap yang buruk, lantas ia bukanlah akhlak seorang Muslim.
Penutup Kesimpulannya, hukum meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan tuntutan semula seorang ayah terhadap anaknya dan juga hibah yang diberikan berserta syarat pertukaran.
Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar menjauhkan diri dari bersikap dengan perbuatan ini iaitu meminta semula hadiah, kerana ia merupakan perbuatan yang buruk dan tidak sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Semoga Allah S.W.T meletakkan keikhlasan dalam diri kita dalam hal kebajikan, murahkan rezeki kita agar dapat perbanyakkan diri dengan amalan-amalan kebajikan.
Semoga Allah S.W.T memberkati segala amal kebajikan kita semua.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Bau busuk mulut orang berpuasa, lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi. Tidak dapat dielak, bau mulut kita akan bertambah kuat bila berpuasa.
Tetapi percayalah bau busuk orang berpuasa ini tidak sia-sia. Namun jika bau mulut seseorang itu keterlaluan, adakah dibenarkan untuk mereka bersugi di siang hari.
Ikuti penjelasan Jabatan Mufti Negeri Perlis ini dan hadam baik-baik apa yang disampaikan:
Soalan:
Bersugi itu sunat, tapi kenapa ketika berpuasa perkara sunat seperti itu tidak boleh kita buat. Bagaimana dengan mereka yang mulutnya berbau, tidakkah ini mengganggu orang lain ketika solat jemaah ataupun di pejabat?
Jawapan Dr MAZA:
1. Islam menggalakkan bersugi (berus gigi) kerana ia mengelakkan bau busuk mulut seseorang. Bahkan, kalaulah tidak menjadi beban kepada umat ini sudah pasti kita diwajibkan bersugi lima kali sehari.
“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku ataupun manusia nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
2. Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda:
“Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
3. Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Itu akan menyakiti orang lain.
Apatah lagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabit ramai orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan ataupun boleh menghilang gambaran keindahan Islam.
4. Maka pendapat yang menyuruh kita membiarkan bau busuk mulut semasa berpuasa tidak begitu kukuh dari segi sifat semulajadi ataupun neutrality agama ini.
Dengan menghormati perbezaan pendapat, namun realiti kehidupan yang mesra menolak pandangan tersebut.
5. Ini ditambah dengan hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat.
Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah.
Apatah lagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.
6. Maka galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih merupakan asas dalam amalan muslim.
Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut:
السِّوَاكُ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِ مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ
“Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).
7. Adapun dakwaan bahawa ubat gigi yang ada sekarang tidak boleh digunakan kerana ada rasa tertentu, ini tidak kukuh kerana kayu sugi zaman dahulu juga ada rasa yang tersendiri. Selagi mana ia tidak masuk ke dalam perut dengan sengaja maka ia tidak membatalkan puasa.
Assalamu’alaikum ustaz, adakah seorang ibu yang menyediakan juadah berbuka untuk keluarganya turut mendapat pahala memberi makan kepada orang berbuka puasa ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.
Riwayat Al-Tirmizi (807)
Bahkan Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa beliau berkata : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’.
Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
Maksudnya : Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Justeru, apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perkataan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa datang dalam bentuk yang umum. Dalam erti kata, ia meliputi perbuatan membelanja makan, memasakkan makanan lalu diberikan kepada orang yang berbuka puasa, juga turut meliputi perbuatan membantu penyediaan makanan serta mengagihkan makanan. Setiap individu yang terlibat dalam usaha memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, akan diganjarkan pahala dengan mengikut kadar usaha sama ada banyak ataupun sedikit.
Kerana itu dalam isu perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ sama ada makanan yang diberikan adalah makanan yang mengenyangkan atau apa sahaja makanan termasuk makanan yang ringan seperti buah tamar, segelas air, kuih muih, dan seumpamanya, kami berpendapat bahawa makanan yang afdhal adalah makanan yang mengenyangkan. Manakala seseorang yang memberi makanan seperti kurma dan segelas air, turut mendapat pahala perbuatan memberi makan tersebut.
Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya’’. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W : ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab : ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.
Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)
Maka pengajaran dari hadis di atas, pahala dan ganjaran itu diberikan mengikut kadar usaha masing-masing dalam memberikan makanan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini juga seperti yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Khalid Al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.
Riwayat Muslim (1895)
Imam Al-Nawawi dalam syarahan ke atas hadis ini beliau berkata :
Maksudnya : Pahala ini terhasil dengan setiap usaha sama ada sedikit mahupun banyak, serta (pahala ini turut diperolehi) setiap individu yang menjaga kebajikan keluarga mereka yang keluar berperang dari sudut menunaikan hajat mereka, bersedekah ke atas mereka, membantu mereka dalam urusan, dan ia (ganjaran pahala) berbeza mengikut kadar sama ada sedikit atau banyak. Pada hadis ini juga terdapat galakan untuk berbuat ihsan (kebajikan) kepada mereka yang berkerja untuk kemaslahatan umat Islam atau mengambil tempat mereka dalam menjaga tanggungjawab dan kepentingan mereka.
Rujuk Syarah Al Nawawi ‘ala Sahih Muslim (13/40)
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah menekuni beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa seseorang ibu yang menyediakan makanan dan hidangan berbuka kepada keluarganya yang berpuasa turut termasuk dalam perbuatan memberi makan kepada orang berbuka. Demikian juga semua ahli keluarga baik suami dan anak-anak yang turut membantu ke arah menyiapkan juadah berbuka turut memperoleh ganjaran seperti yang disebutkan di dalam hadis. Ganjaran ini pula mengikut kadar usaha yang dilakukan dalam erti kata, lebih besar usaha makanya lebih besarlah juga ganjaran pahala. Wallahu A’lam.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.