Mufti Perjelas Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak. Kanak-kanak antara yang paling riang menyambut lebaran. Bahkan rezeki mereka juga cukup murah kerana tradisi pemberian duit raya membolehkan kanak-kanak mendapat sejumlah duit raya.
Masa yang sama, ibu bapa mungkin barang kali antara yang terkesan kerana sudah terlalu banyak mengeluarkan belanja untuk menyambut raya selain mempunyai hutang yang tinggi.
Mufti Perjelas
Persoalannya, adakah boleh ibu bapa ambil duit raya anak atau meminta seketika sebelum memulangkannya semula? Berikut hukum ibu bapa kena tahu.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untuk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:-
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291).
Hukum Ibu Bapa
Ustaz Azhar Idrus (UAI) juga pernah menjawab isu yang sama dalam ceramahnya.
“Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli sport rim, spoiler dan lain-lain. Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri.
Guna Duit Raya Anak
Namun boleh gunakan duit raya anak-anak sekiranya dalam keadaan terdesak seperti bekalan elektrik hendak dipotong sebab tak bayar.
Yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak.
Jadi boleh gunakan duit raya anak-anak untuk membayar bil elektrik. Walau bagaimanapun ia perlu dibayar segera.” katanya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Setiap daripada kita tidak lari daripada melakukan dosa. Hidup tidak akan tenang apatah lagi ia melibatkan harta atau pendapatan haram yang menjadi darah daging dan diguna pakai pula untuk mencari rezeki keluarga.
Perolehan daripada pendapatan haram adalah dosa besar yang perlu dicuci bersih, agar ibadat kita yang lain diterima Allah. Tetapai bagaimana? Kita baca penjelasan lanjut ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil tentang masalah serius ini.
Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Maaf saya ada kemusykilan nak bertanya. Ada orang ini dia pernah menang nombor ekor dan dia sudah beli motor bayar cash dengan duit nombor ekor itu.
Sekarang dia dah bertaubat, macamana dengan motor yang dia beli dari hasil yang haram? Boleh digunakan lagi selepas dia bertaubat?
Judi adalah salah satu daripada perbuatan dosa besar yang wajib dijauhi oleh setiap hamba Allah. Sesungguhnya dosa-dosa besar tidak terhapus dengan sendirinya melalui amal-amal soleh seperti dosa-dosa kecil.
Ia hanya terhapus dengan taubat nasuha yang mana si pelakunya wajib beristighfar pada Allah dan berjanji akan meninggalkan serta tidak akan kembali kepada tabiat buruk dan terkutuk ini.
Manakala harta daripada hasil judi jelas haram dan seseorang yang mendapat pendapatan daripada hasil judi wajib melepaskan diri daripada pendapatan yang tidak diredhai oleh Allah.
Transaksi mualamat melalui jalan judi adalah batil, maka wajib dia melepaskan tanggungjawabnya (Dzimmah) daripada pemilikan harta yang tidak sah dan haram.
Kitab “Mausuah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah” menukilkan fatwa Imam al-Ghazali mengenai cara melepaskan diri daripada harta yang terhasil daripada judi:
“Hasil yang didapati oleh orang yang berjudi ialah pendapatan yang buruk iaitu harta yang haram seperti pendapatan orang yang menipu dan berjudi. Wajib berlepas tanggungjawab daripada pendapatan yang buruk dengan mengembalikan ia kepada tuan-tuannya jika mereka ketahui (pemilik asalnya), jika tidak (disedekahkan) pada fakir miskin”
Berdasarkan kenyataan Imam Ghazali, hasil keuntungan judi itu wajib dikembalikan kepada pemilik-pemilik asalnya.
Contoh seseorang berjudi bermodalkan RM100, lalu dengan modal itu dia untung dengan hasil judi sebanyak seribu ringgit. Maka RM1000.00 itu wajib dipulang kepada tuan asalnya manakala modal adalah miliknya.
Jika tidak diketahui pemilik asal wang haram itu atau pemiliknya sukar untuk ditemui, maka wang daripada hasil judi itu wajib disedekahkan kepada fakir miskin atau diserahkan kepada baitulmal untuk kegunaan maslahat umum masyarakat seperti membina jalanraya dan tandas awam.
Persoalan yang timbul boleh atau tidak dia menggunakan motor hasil judi itu?
Dia ada beberapa pilihan untuk melepaskan diri daripada harta yang haram ini.
Pertama; menjual motor itu kemudian hasilnya dipulangkan kembali pada tuan asal. Jika sukar ia disedekahkan kepada fakir miskin.
Kedua; tidak menjual motor itu tetapi menggantikan dengan nilai duit yang sama harga semasa ketika dia membeli motor itu kemudian dipulangkan jika mampu atau disedekahkan kepada fakir miskin atau diserahkan kepada baitulmal.
Bagaimana saat bertaubat, dia tidak memiliki wang untuk dipulangkan atau disedekahkan dan dalam masa yang sama dia amat memerlukan motor itu untuk kegunaan hariannya?
Bagi menjawab persoalan ini saya nukilkan fatwa Imam Nawawi dari karya beliau “al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab”:
Maksudnya: “Maka sifat(ciri-ciri asnaf) wujud pada mereka (iaitu ahli keluarga orang dapat hasil yang haram) bahkan mereka lebih utama untuk sesiapa yang bersedekah ke atasnya dan baginya mengambil dari harta itu menurut kadar hajat kerana dia juga fakir”
Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas adalah untuk orang yang mendapat harta daripada hasil yang haram sedangkan dia dan keluarganya amat memerlukan harta itu atas sebab kemiskinan.
Maka dalam situasi ini syariat membenarkan dirinya makan atau menggunakan hasil haram itu mengikut kadar hajat sahaja, iaitu tidak boleh secara berlebihan apatah lagi bermewah-mewahan.
Jadi jika dia miskin tidak mampu untuk pulangkan hasil judi itu kepada pemilik asal atau bersedekah pada fakir miskin, dia boleh menggunakan motosikal tersebut untuk pergi mencari rezeki yang halal, menghantar anak ke sekolah dan seumpamanya.
Namun apabila suatu hari nanti dia sudah ada kemampuan dari sudut kewangan atau harta maka dia tetap wajib melepaskan diri daripada harta yang haram itu dengan memulangkan ia pada tuannya jika mampu atau bersedekah pada fakir dan miskin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan semasa pandemik, kerajaan telah mengetatkan syarat untuk solat Jumaat berjemaah kepada jumlah yang terhad sahaja. Hanya beberapa jemaah berdaftar sahaja dibenarkan untuk solat Jumaat berjemaah. Keadaan ini menyebabkan rasa hampa sebahagian jemaah yang ingin tunaikan solat Jumaat di masjid.
Justeru adakah dibenarkan dalam situasi sekarang, kaum lelaki mendirikan solat Jumaat atas niat berjemaah menerusi Live Streaming di rumah? Kita ikuti penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan akan hal solat secara live streaming ini.
Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu persoalan. Bolehkah kita menunaikan solat Jumaat secara live streaming? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut.
Solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah
Kami ingin menegaskan bahawa kewajipan solat Jumaat hendaklah ditunaikan secara berjemaah. Perkara ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ Maksudnya : “Solat Jumaat merupakan satu hak kewajipan ke atas setiap orang muslim untuk mendirikannya secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” Riwayat Abu Daud (1067)
Malah, Dr. Wahbah al-Zuhaili telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa telah berlaku Ijma’ ulama mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah.
Syarat-Syarat Mengikut Imam Bagi Solat Berjemaah
Sepertimana yang telah kami sebutkan, solat Jumaat wajib ditunaikan secara berjemaah. Oleh itu, solat Jumaat tertakluk kepada syarat-syarat sah solat berjemaah. Antara syarat-syarat sahnya solat berjemaah ialah makmum mesti mengetahui pergerakan imam.
Mengenai perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :
Maksudnya : “Disyaratkan untuk sahnya ikutan (dalam solat berjemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan (pergerakan dalam solat) orang yang menjadi imam, sama ada kedua-duanya (Imam dan makmum) menunaikan solat di dalam masjid atau selain masjid (luar masjid) atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).
“Ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa hasil pengetahuan makmum itu ialah dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakang imam atau melihat pergerakkan imam atau pergerakkan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menukilkan ijma’ mengenai keharusan berpegang pada tiap-tiap satu daripada perkara tersebut.”
Begitu juga, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disyaratkan makmum mengetahui segala pergerakan imam (di dalam solat), supaya (makmum itu) dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf (makmum yang lain) atau mendengarnya (suara imam) atau pun mendengar suara muballigh.
Selain itu, Al-Sayyid Ahmad al-Syatiri ada menyebutkan antara syaratnya juga ialah :
أن يكون اجتماع الإمام والمأموم… إما في مسجد، أو في مكان سواه لا يزيد ما بينهما منه على ثلاث مئة ذراع تقريبا…
“Hendaklah berhimpun (pada satu tempat) Imam dan makmum… sama ada di dalam masjid, atau tempat selainnya (luar masjid) yang mana jarak antara keduanya tidak melebihi kira-kira 300 hasta (lebih kurang).”
Apabila kita melihat kepada syarat ini, sebenarnya ia kembali semula kepada syarat sebelumnya iaitu dengan berhimpunnya kedua-duanya dalam satu tempat membolehkan makmum melihat dan mengetahui pergerakkan imam.
Oleh itu, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada disebutkan bahawa sekiranya imam dan makmum sama-sama berada di dalam masjid maka mengikut imam adalah sah walau sejauh mana sekalipun jarak antara kedua-duanya ataupun terlindung oleh dinding-dinding yang boleh dilalui
Namun, apabila kedua-dua imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam masjid dan makmum di luarnya, ketika ini disyaratkan jarak antara kedua-duanya tidak terlalu jauh.
Dalam hal ini, para ulama ada meletakkan tiga syarat tambahan iaitu :
Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau melihat makmum lain yang melihat imam.
Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).
Jarak antara kedua-duanya (imam dan makmum) tidak melebihi 300 hasta.
Sekiranya salah seorang berada di dalam masjid, manakala sebahagian lagi berada di luar masjid, kiraan jarak 300 hasta (150 meter) tersebut bermula daripada bahagian akhir masjid dan bukannya dari saf yang terakhir dalam masjid iaitu jarak di antara tepi dinding luar masjid dengan tempat berdiri makmum yang terdekat di luar masjid tidak melebih 300 hasta. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 297 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/182)
Imam Kamaluddin al-Damiri pula berpendapat bahawa dengan makmum melihat imam atau melihat sebahagian daripada saf atau mendengar suara imam atau mendengar suara muballigh, adalah merupakan antara sebab-sebab yang boleh membawa kepada pengetahuan makmum mengenai pergerakkan imam di dalam solat.
Walau bagaimanapun, di sisi kami dan jumhur ulama sekadar (mensyaratkan) perkara tersebut sahaja tidak cukup, bahkan mesti bersamanya diletakkan syarat supaya berhimpunnya imam dan makmum (dalam satu tempat) kerana kalaulah sudah cukup dengan hanya pengetahuan (mengenai pergerakkan imam), sudah tentu terbatalnya (tidak perlu lagi) perintah untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Begitu juga, seruan untuk menunaikan solat berjemaah (di masjid). Dan setiap orang akan menunaikan solat di rumah masing-masing atau di pasar dengan berimamkan (mengikuti) solat imam di masjid, sekiranya mereka mengetahuinya (pergerakkan imam). Ini jelas menyalahi al-Quran dan Sunnah. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/375)
Hukum Menunaikan Solat Jumaat Secara Live Streaming
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, menunaikan solat Jumaat melalui perantaraan live streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama.
Begitu juga, solat berjemaah ini sebenarnya bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang Islam (secara hakiki). Oleh itu, ia berhajat kepada satu tempat dan bersambungnya saf antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, tidak boleh menunaikan solat berjemaah melalui siaran langsung di televisyen atau radio (atau live streaming) kerana ia tidak mencapai maksud sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Kalaulah dibenarkan perkara ini, sudah tentu setiap orang boleh menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di rumah masing-masing.
Sudah tentu, perkara seperti ini menafikan (tujuan) pensyariatan solat Jumaat dan solat berjemaah (iaitu menghimpunkan manusia). (Lihat Majmu’ al-Fatawa wa Rasail Syeikh Ibn al-Uthaimin, 15/213)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menunaikan solat Jumaat melalui perantaraanlive streaming adalah tidak sah dan solatnya terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat sah mengikuti imam dalam solat berjemaah sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama.
Oleh itu, apabila terdapatnya keuzuran atau halangan daripada menunaikan solat Jumaat seperti perintah kawalan pergerakan ini, maka hendaklah kembali kepada rukhsah yang diberikan oleh syarak iaitu menggantikannya dengan menunaikan solat zohor di rumah masing-masing.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Tak jadi puasa nazar sebab datang haid, adakah wajib qada? Ada di antara kita memasang niat untuk berpuasa nazar apabila doa dan permintaan mereka dimakbulkan Allah.
Sesetengah orang mungkin bernazar secara umum dan ada pula bernazar secara spesifik pada sekian hari dan tarikh. Jadi apabila dia bernazar untuk berpuasa tetapi datang haid adakah seseorang itu perlu mengqada puasanya?
Ikuti penjelasan panjang lebar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.
Definisi nazar menurut fiqh adalah keterikatan atau kewajipan yang ditetapkan seorang muslim mukalaf yang rasyid (bijak melaksanakan) untuk melakukan ibadat yang mendekatkan diri dengan Allah SWT, selagi mana ibadat tersebut bukan fardu ain dan termasuk dalam kategori ibadat sunat atau fardu kifayah.
Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya:
“Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan mentaati Allah SWT, hendaklah dia taat kepada-Nya. Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan melakukan maksiat kepada-Nya, janganlah dia menderhakai-Nya.- (Riwayat al-Bukhari)
Sebab Datang Haid
Merujuk kepada persoalan di atas, seorang wanita telah niat untuk berpuasa nazar pada hari yang ditentukan namun apabila tiba pada hari berkenaan dia telah didatangi haid.
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sekiranya seseorang telah bernazar untuk berpuasa, maka dia disunatkan bersegera untuk melakukan nazarnya.
Akan tetapi, perbuatan menyegerakan puasa tersebut tidaklah diwajibkan bahkan dia bebas untuk memilih mana-mana hari yang diinginkan kecuali ketika bulan Ramadan.
Jika seseorang itu telah bernazar untuk berpuasa pada hari-hari tertentu namun tidak dinyatakan secara tepat, maka dia boleh memilih untuk berpuasa pada mana-mana hari seperti yang dinazarkan.
Contohnya, sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa pada hari khamis namun tidak dinyatakan dengan terperinci sama ada pada hari khamis minggu ini atau minggu hadapan, maka dia boleh memilih untuk berpuasa pada mana-mana hari khamis yang diinginkan.
Malahan jika telah berlalu hari khamis pada minggu ini dan dia masih belum menunaikan nazarnya, tuntutan kewajipan puasa itu masih kekal dalam tanggungannya sehinggalah dia meninggal dunia.
Adakah Wajib Qada?
Berbeza pula keadaannya apabila puasa nazar itu telah ditentukan harinya secara tepat. Menurut jumhur ulama, tidak sah puasanya sebelum sampai pada hari yang dinazarkan seperti mana tidak sah solat sebelum masuk waktunya.
Begitu juga diharamkan jika dia sengaja melewatkan puasanya tanpa sebarang keuzuran syar’ie seperti musafir atau sakit. Puasanya setelah daripada waktu yang ditentukan adalah sah dan dianggap sebagai puasa qadha.
Kesimpulan
Wanita yang bernazar untuk melakukan puasa pada hari tertentu perlu merujuk kembali pada niatnya. Jika dia bernazar puasa pada hari tertentu tanpa memperincikan tarikhnya, maka dia bebas untuk memilih mana-mana hari seperti yang dinazarkan.
Manakala, jika wanita tersebut bernazar puasa dengan menyatakan secara tepat hari dan tarikhnya, maka dia wajib berpuasa pada hari berkenaan tanpa diawal atau dilewatkan.
Akan tetapi, sekiranya dia tidak mampu berpuasa disebabkan kedatangan haid justeru ia dimaafkan dan puasanya wajib diqada selepas ia suci daripada haid.