Wisma Putra sahkan remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang dilaporkan hilang sebelum ini meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan pagi ini, Wisma Putra menzahirkan ucapan takziah Kerajaan Malaysia kepada keluarga Allahyarham Muhammad Haziq.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia (di New Zealand) akan memberikan bantuan kepada keluarga dalam proses pengebumian jenazah Allahyarham.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Menteri akan ke Christchurch untuk mewakili kerajaan dalam memberi sokongan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kejadian tragis ini,” katanya.

HORMATI PERASAAN KELUARGA

Wisma Putra juga memohon kerjasama pihak media dan orang ramai untuk menghormati perasaan ahli keluarga yang terbabit dalam tempoh yang sukar ini.

IKLAN

“Dimaklumkan bahawa keluarga Muhammad Haziq meminta ruang privasi untuk tidak dihubungi oleh media untuk sebarang komen atau temubual,” katanya.

Muhammad Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor. Ketika kejadian Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Muhammad Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

TRAUMA DAN CEDERA PARAH

Mohd Haris terselamat tetapi trauma, manakala bapa mereka parah ditembak.

IKLAN

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), Jumaat lalu.

Selain Mohd Tarmizi dari Alor Setar, Kedah, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera akibat serangan itu ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas di sini dan Muhammad Nazril Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor. Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

KOMEN MUFTI WILAYAH

IKLAN

Sesungguhnya serangan berdarah di Masjid al-Noor, Christchurch, New Zealand merupakan suatu perkara yang amat malang. Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kesemua mereka yang maut itu meninggal dunia ketika ingin menunaikan solat Jumaat dan mahu mengadap Allah.

“Mereka mengadap Allah dalam keadaan berwuduk dan dalam rumah Allah. Dalam keadaan menanti untuk solat berjemaah. Dalam keadaan menanti solat Jumaat.

“Kesemua itu kebaikan demi kebaikan. Mati dalam husnul khatimah. Kita mengharapkan mereka diganjari dengan balasan yang sebaiknya di sisi Allah.

“Ditempatkan mereka sebagaimana di sebut ‘mereka itulah akan bersama para nabi, para siddiqin, para shuhadah dan juga para solehin. Yang mana mereka inilah golongan yang terbaik yang Allah ganjarkan kepada mereka,” kata Dr. Zulkifli dalam khutbah Jumaat minggu lalu.

“Peristiwa seperti ini adalah peristiwa yang cukup tragis yang bagi kami tidak sepatutnya berlaku. Makanya mereka yang berada di dalam masjid kita mengharapkan mereka mendapat syahid daripada Allah. Kita mengharapkan mereka diganjari dengan pahala kerana semangat datang ke masjid,” kata Dr. Zulkifli.

Sumber kredit: Berita Harian Online dan Utusan Online

VIDEO: