‘Nak tumpang solat, tuan rumah kalut minta maaf rumah tak kemas.’ Tetamu pandanglah dengan mata lebah, bukan mata lalat yang sentiasa salah dan buruk.
Adab bertandang ke rumah orang, janganlah dicari keburukan tuan rumah dan kemudian sebarkan pada orang lain. Minta dijauhkan kita daripada sikap sedemikian.
Kongsi wanita ini, suatu hari, kami terpaksa menumpang solat di rumah adik, kerana waktu solat sudah nak habis. Kiranya seperti kunjungan mengejutlah ni. Kami beritahu 15 minit sebelum sampai.
Sampai sahaja kami di rumahnya, adik ipar perempuan kelam-kabut kemas bilik, kain baju yang belum berlipat ditolak naik atas katil sambil berkali kali mohon maaf rumah tak berkemas.
Tuan Rumah Kalut Minta Maaf
Kami memandang dengan mata lebah, mencari yang baik dan manis. Rumahnya bagi kami tetap cantik dan kemas. Tidak pula kami perhatikan celah langsir ada rambut atau tidak, bilik air bersental atau tidak. Kami tak cari yang busuk dan buruk.
Ads
Jatuh belas kasihan padanya mengenang dia membantu adik saya mencari rezeki dan di masa yang sama mengurus anak anak yang masih kecil.
Rumah Tak Kemas
Terlompat lompat mengurus banyak benda, tidak merungut, hadap sahaja. Saya doakan rumah tangga mereka aman bahagia dan dirahmati Allah.
Begitulah kita menjadi manusia. Jangan hati perut itu suka mencari pasal dan salah orang. Yang mana kita boleh permudah, permudahkan.
Tetamu Pandanglah Dengan Mata Lebah, Bukan Mata Lalat
Kita tak berkenan cara orang sana sini, kita berkata buruk tentang mereka, seolah olah kita ini sempurna. Walhal aib kita Allah yang selindungkan.
Ads
Sebab itu saya tak menjemput sesetengah orang ke rumah saya. Saya tidak cukup kuat untuk melayan langau dan lalat, yang mencari rambut di celah langsir, kemudian dihebah sana sini. Tetapi jika lebah yang ingin berkunjung, saya begitu mengalukan.
Hidup ini terlalu singkat untuk kita melayan benci orang. Jalan terus dengan gembira cara kita.
Kashoorga : Semoga Allah sentiasa menjaga aib kita.
‘Setiap negeri, miliki resipi bubur asyura yang berbeza.’ Betul ke asal-usulnya daripada kisah Nabi Nuh AS. Boleh dikatakan setiap negeri ada resipi dan rasa yang berbeza bubur asyuranya.
Adakah amalam memasak memasak bubur asyura di bulan Muharam hanyalah sekadar adat atau budaya? Atau adakah ia bertentangan dengan syariat Islam. Kongsi Dr Abdel Rahmanov:
1. Apabila masuk sahaja bulan Muharam, amalan masyarakat Melayu ialah masak Bubur Asyura. Orang Kelantan memanggilnya Bubur Sugho. Benarkah asal-usul Bubur Asyura daripada kisah Nabi Nuh AS?
2. Setiap negeri mempunyai resepi Bubur Asyura yang berbeza-beza. Bubur Asyura di Kodiang tidak sama dengan bubur Asyura di Kota Bharu.
3. Bubur Asyura dikaitkan dengan kisah bahtera Nabi Nuh AS yang berlabuh di atas Bukit Judiy pada Hari Asyura’. Maka berkata Nabi Nuh AS kepada kaumnya:
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”
4. Maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas (macam kacang dhal), Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh jenis biji-bijian yang dimasak.
5. Kemudian Nabi Nuh AS berkata, “Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.
6. Kisah ini diriwayatkan dalam kitab Nihayatuz Zain karangan Syeikh Nawawi Al-Bantani, kitab Nuzhatul Majalis karangan Syeikh Abdul Rahman Al-Ushfuri dan kitab Jam’ul Fawaid karangan Syeikh Daud Al-Fathani.
Syeikh Nawawi Al-Bantani dan Syeikh Daud Al-Fathani adalah ulama Nusantara yang terkenal dan masyhur pada masa dahulu.
7. Kisah di atas diriwayatkan tanpa rantaian sanad. Dengan itu, kisah Nabi Nuh AS ini berstatus kisah atau cerita dan tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Bubur Asyura juga tidak sepatutnya dikaitkan dengan kisah Nabi Nuh AS Walaupun kisah itu yang popular dalam masyarakat.
8. Bubur Asyura juga dikaitkan dengan hadith Nabi SAW daripada Abu hurairah RA dan Abu Said Al- Khudri RA seperti berikut:
مَنْ وَسَّعَ عَلَى أَهْلِهِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَسَّعَ اللهُ عَلَيْهِ سَائِرَ سَنَتِهِ
“Sesiapa memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura maka Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu”.
“Memberi keluasan” dalam hadith ini ialah Tausi’ah iaitu bersedekah atau berbelanja. Masak Bubur Asyura termasuk dalam pengertian Tausi’ah.
10. Ulama menjelaskan darjat hadith ini iaitu palsu atau dhaif sebagaimana disebut oleh Ibnu Jauzi, Ibnu Qayyim dan Imam Al-Syaukani.
10. Walaubagaimanapun Imam Baihaqi menyebut, “Sanad-sanad hadith ini meskipun lemah namun jika digabungkan menjadi kuat.” Mulla Al-Qari dan Hafiz Al-Iraqi turut berpandangan demikian.
10. Mungkin sebab itu, Majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dan sepakat mengatakan bahawa disunatkan Tausi’ah pada Hari Asyura. Sila rujuk kitab Al-Mausu’ah Al-Fiqhiah Al-Kuwaitiah.
11. Pada hemat saya, masak Bubur Asyura boleh dilakukan dengan syarat dan pemahaman seperti berikut:
13. Kita perlu fahami bahawa Bubur Asyura tiada kaitan dengan kisah Nabi Nuh AS. Bubur Asyura bukan perkara wajib. Ia adalah amalan budaya masyarakat Melayu dan mungkin masyarakat lain dalam bulan Muharram yang dianggap sebagai bulan yang mulia dalam Islam.
14. Masak Bubur Asyura tidak semestinya dalam bulan Muharram.Bahkan dalam bulan lain pun boleh masak Bubur Asyura. Sebab itu, kita dapat melihat program “Kacau Bubur Sugho” dilakukan dalam bulan lain.
15. Masak Bubur Asyura dilihat sebagai program kemasyarakatan yang mengeratkan hubungan persaudaraan.
16. Di Kelantan, biasanya Bubur Asyura yang telah siap dimasak akan dipotong bentuk empat segi dan ditutup dengan daun pisang. Kemudian Bubur Asyura berkenaan akan diberi kepada jiran-jiran dan rakan taulan. Ini adalah tanda bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya.
17. Jika ada orang mendakwa Bubur Asyura ada kaitan dengan Syiah. Sebenarnya amalan masyarakat Melayu berbeza dengan orang Syiah yang meratapi dan menyiksa diri kerana memperingati kematian Saidina Husain RA.
18. Adapun masyarakat Melayu masak Bubur Asyura kerana gembira dengan kedatangan bulan Muharram dan peristiwa Hijrah.
19. Justeru, masak Bubur Asyura adalah amalan orang Melayu yang tidak bertentangan dengan agama. Bahkan ada pandangan dalam fiqh empat mazhab. Salam hormat.
‘Beza umur hampir 20 tahun.’ Lelaki ini tidak kekok isteri lebih berusia, terima jodoh ketentuan Allah. Benarlah bila kita ikhlas menerima pasangan kita seadanya, bab umur bukanlah satu masalah besar.
Malahan bagi dua lelaki ini, usia hanyalah angka dan paling penting adalah kasih sayang serta sifat saling memahami antara satu sama lain.
Atas faktor itulah menjadikan dua pemuda berusia 24 dan 28 tahun ini tidak kekok memperisterikan wanita yang jauh lebih tua daripada mereka yang masing-masing berusia 46 dan 38 tahun.
Mereka enggan mengambil pusing mengenai tanggapan orang sekeliling dan bahagia melayari bahtera rumah tangga.
Sebelum itu, impian Muhammad Hakim Hanif Rosli untuk berumah tangga pernah berkecai selepas putus tunang tahun lalu.
Meskipun perit, Muhammad Hakim, 24, yang kini menetap di Kampung Kebakat, Tumpat, Kelantan, tidak menutup pintu hatinya untuk bercinta lagi.
Ditakdirkan pemuda itu berkenalan dengan Haslinda Haron, 46, menerusi aplikasi WeChat, Disember lalu.
Perkenalan tidak sampai 24 jam itu membuahkan bibit cinta hingga meyakinkan Muhammad Hakim untuk menyunting Haslinda sebagai suri hidupnya walaupun wanita berkenaan adalah ibu kepada lapan anak dan nenek dua cucu.
Bagi Muhammad Hakim, umur hanya sekadar angka kerana apa yang lebih penting, dia dan isteri menyayangi satu sama lain.
“Saya pernah menjalin hubungan dengan perempuan sebaya dan yang lebih muda.
“Bagaimanapun hubungan itu tidak berpanjangan dan saya pernah merancang berkahwin sebelum Aidiladha tahun lalu.
“Hasrat itu tidak kesampaian apabila putus tunang dan selepas beberapa bulan, Allah temukan saya dengan isteri.
“Kami kenal tidak lama iaitu kurang dua bulan dan sah menjadi suami isteri pada 17 Februari lalu,” katanya.
Menurutnya, salah satu perkara yang membuatkannya tertarik dengan Haslinda adalah kerana isterinya pandai berjenaka.
Katanya, Haslinda juga tidak kisah menerima dirinya yang hanya bekerja kampung dan dia bersyukur kerana mendapat restu keluarga untuk berkahwin.
“Keluarga okay, tiada halangan cuma mereka ada menasihatkan saya untuk berfikir sehabis baik kerana enggan saya terburu-buru dalam soal perkahwinan.
“Lagipun saya anak sulung daripada lima beradik, jadi mungkin sebab itu keluarga mahu saya fikir masak-masak sebelum buat keputusan namun hati saya mengatakan isteri orangnya (pilihan tepat) ketika itu.
“Saya tidak kisah soal umur kerana apa lebih penting dapat pasangan yang jujur, ikhlas dan setia.
“Cuma ada yang mengatakan isteri tanggung saya kerana dia bekerja tetap namun saya abaikan sahaja,” katanya.
Sementara itu, jelas Haslinda yang bekerja sebagai guru tadika, perkahwinannya sebelum ini bertahan 22 tahun sebelum dia dan bekas suami sepakat membawa haluan masing-masing pada 2018.
Katanya, jurang umur lebih dua dekad juga bukan halangan walaupun dia tiada pengalaman dengan pasangan lebih muda sebelum ini.
“Tempoh perkenalan kami singkat sangat kerana hari ini kenal, esok jumpa dan terus suami bawa berjumpa keluarganya.
“Mujur ibu bapanya terima saya dan keluarga. Anak-anak juga tiada masalah, malah mereka terima keputusan saya.
“Walaupun suami jauh lebih muda, dia amat bertanggungjawab dan penyayang orangnya. Sakit demam saya, dia jaga dan saya berasa bahagia dapat suami sepertinya.
“Saya doa kepada Allah supaya panjangkan jodoh dengan suami sampai saya tutup mata,” katanya.
Bukan hanya Muhammad Hakim dan pasangannya, Muhammad Amirul Suhanan dan Emmayuza Yusof juga antara pasangan suami isteri yang mempunyai jurang umur yang jauh. Awalnya hubungan pasangan ini tidak lebih daripada sekadar rakan sekerja.
Beza umur juga menyebabkan Muhammad Amirul, 28, lebih selesa memanggil Emmayuza, 38, kakak sebagai tanda hormat.
Kini panggilan kakak bertukar sayang dan semuanya selepas Muhammad Amirul serta Emmayuza diijabkabulkan menjadi suami isteri pada 27 Februari lalu.
Perkahwinan mereka bersandarkan rasa cinta dan buktinya, Muhammad Amirul sedia menerima Emmayuza dan empat anak hasil perkahwinannya terdahulu.
Manakala Emmayuza pula sanggup menerima lamaran Muhammad Amirul yang 10 tahun lebih muda daripadanya.
Berkongsi detik awal pertemuan mereka, terang Muhammad Amirul, dia dan isteri dahulunya bekerja di sebuah pasar raya yang sama.
“Saya kerja di bahagian khidmat pelanggan manakala isteri pula sebagai ketua juruwang.
“Memandangkan kami satu tempat kerja, maka saya selalu sangat mengusiknya dan berasa kosong apabila dia tidak datang serta tiada di depan mata.
“Kiranya hari saya tidak sempurna kalau tidak mengusiknya. Isteri juga ambil berat terhadap saya kerana jika tidak datang, dia akan tanya kenapa, jadi daripada situ timbul perasaan sayang antara kami,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dia tiada pengalaman menjalin hubungan dengan wanita lebih berusia sebelum berumah tangga.
“Bagaimanapun itu yang dinamakan jodoh, jadi saya terima sahaja ketentuan-Nya.
“Cuma biasalah emak dan ayah ada tanya saya adakah sudah betul-betul bersedia ketika saya beritahu mereka hasrat untuk berkahwin dengan isteri.
“Bukan kerana mereka tidak izinkan, cuma mahukan kepastian yang saya sudah bersedia jadi suami dan saya sendiri tahu bukan mudah jaga ‘anak orang’ tambahan isteri sudah ada empat anak.
“Tetapi saya percaya rezeki Allah itu luas, jadi saya cuba usaha sehabis baik, doa dan yakin pada-Nya,” katanya yang tidak pernah menerima sindiran termasuk daripada rakan kerana memilih wanita lebih berusia sebagai isteri.
Sementara itu, kongsi Emmayuza, dia tidak pernah terfikir untuk mendapat ‘pucuk muda’.
“Dulu saya pernah katakan tidak ingin (kahwin lelaki muda), tetapi akhirnya itu yang saya dapat.
“Suami dulu suka usik dan keletahnya itu yang membuatkan saya selesa hingga akhirnya jatuh cinta.
“Lagipun raut wajahnya lembut dan dia juga baik orangnya,” katanya yang kini giat menjalankan perniagaan dalam talian.
Akhiri Emmayuza, keluarganya tidak membantah keputusannya malah memberi restu kepadanya untuk berkahwin lagi walaupun dengan pasangan lebih muda.
‘Tak boleh tengok orang hidup senang.’ Jangan jadi manusia busuk hati, banyakkan istighfar & bertaubat sepaya tak menyakiti hati orang lain.
Lumrah manusia kadang-kadang terkhilaf, namun sesekali jangan menjadi manusia busuk hati. Kongsi Ustaz Khairul Anuar Basri, manusia yang busuk hati ni memang wujud.
Jenis yang tak boleh tengok orang lain hidup senang dan tenang. Serba tak kena. Ada saja yang nak dikacaunya. Ada saja idea jahatnya.
Orang yang macam ni, dia sanggup buat apa saja asalkan orang yang dia tak suka tu menderita. Ada yang sampai ke peringkat hantar sihir dan juga santau berkali-kali.
Kalau tak boleh guna kekerasan fizikal, dia akan guna ketajaman lidah untuk mengata. Mulut sebusuk bau longkang. Adu domba, fitnah dan menghasut orang lain tu macam biasa tak rasa apa-apa.
Kalau di media sosial ni, mereka akan jadi keyboard warrior dengan bahasa kesat tak ada ampun punya. Kadang-kadang tu, sampai sanggup buat fake account semata-mata nak mengata orang lain. Suka sangat jadi nasi tambah dan batu api.
Kawan-kawan…
Jangan kita jadi orang yang busuk hati. Jadilah orang baik-baik yang suka dengan kebaikan.
Seronok bila tengok orang lain bahagia. Sedih dan simpati bila tengok orang lain susah dan menderita.
Banyak-banyak istighfar dan bertaubat. Minta Allah bimbing kita supaya jadi orang yang baik.
Hidup tenang-tenang saja. Nanti nak mati pun senang. Sebab Allah akan seru hanya jiwa yang tenang untuk balik mengadap-Nya dalam keadaan redha dan diredhai.
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...