
Pelajar Tahun Tiga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali telah dinobatkan sebagai johan qari pertandingan Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan dalam percubaan sulungnya itu.
“Saya gembira dengan kejayaan ini dan tidak menyangka saya mampu tewaskan 13 peserta lain yang lebih berpengalaman dan mempunyai bacaan yang lebih sempurna,” kata beliau.
Bapa Hasnul yang merupakan pendorong utamanya telah menjadi guru al-Quran pertama yang membawa beliau bertanding ke pelbagai peringkat.
“Bapa saya seorang pegawai polis dan masih berkhidmat. Kami tiga beradik memang belajar al-Quran dengan ayah dari awal hingga fasih seperti sekarang.
“Ayah juga ada asas ilmu tarannum yang diajar kepada kami dan saya juga banyak berjumpa dengan guru lain untuk bertalaqi,” tambahnya lagi.
Beliau akan terus membuat latihan sebagai persediaan mewakili negara ke peringkat antarabangsa nanti.
BACA JUGA: Pempengaruh Muslimah Terkenal, Ayana Moon Berjaya Masuk Oxford University
Di samping itu, johan qariah, Nur Syakura Mohamad Musa dari Sarawak menyatakan beliau bersyukur atas kejayaan ini selepas usahanya selama enam tahun membuahkan hasil.
“Ini kali keenam penyertaan saya di peringkat kebangsaan. Pencapaian terbaik sebelum ini hanya di tempat keempat,
Benarlah usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Saya banyak ambil pengalaman sebelum ini untuk kenal pasti kelemahan dan perbaiki kekurangan,” katanya.
Kedua-dua juara qari dan qariah telah membawa pulang wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji beserta piala , cenderamata dan sijil.
Selain itu, pemenang turut menerima hadiah tambahan iaitu bar emas seberat dua gram sumbangan MAIDAM Property Sdn Bhd dan tajaan penginapan dua hari satu malam di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu.
Sumber: BERNAMA
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok