Baru ini tular di media sosial perkahwinan melibatkan ketua pasukan hoki India, Manpreet Singh Pawar yang telah melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Saddique. Lapan tahun menjalin hubungan cinta, Illi akhirnya selamat dinikahkan dengan pasangannya beberapa minggu lalu.
Bagaimana pun status perkahwinan ini mendapat perhatian ramai kerana semasa majlis di sebelah lelaki, kelihatan Illi mengenakan persalinan sut Punjabi dan masa yang sama status suaminya menjadi tanda tanya, adalah sudah memeluk agama Islam?.
Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa kelihatan menawan dengan pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.
Majlis yang ringkas dan meriah itu dihadiri keluarga, saudara mara, pemain pasukan kebangsaan, pengurusan dan tetamu jemputan.
Pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, dengan resepsi majlis di Ludhiana, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19.
Difahamkan Illi Najwa, 27, berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi seterusnya meneruskan perjalanan ke kampung halaman Manpreet.
Ads
Hari ini Harian Metro melaporkan, kerajaan akan memanggil Illi Najwa Saddique yang berkahwin dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, wanita itu akan dipanggil sekembalinya ke Malaysia.
Katanya, setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berhubung status agama wanita berkenaan.
Ads
"Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awal yang diterima, wanita berkenaan masih seorang Muslim dan setakat ini tiada permohonan diterima untuk menukar agama.
"Pada masa sama, kita juga tidak menerima permohonan daripada wanita berkenaan untuk berkahwin di luar negara. Menerusi pembacaan saya di media sosial, wanita berkenaan masih Islam dan lelaki itu dikatakan sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.
"Bagaimanapun, perkara ini akan terungkai sebaik kita mendapat penjelasan daripada wanita itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada Nelayan dan Petani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, di sini, hari ini.
Rabu lalu, Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Saddique.
Pasangan itu sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Majlis resepsi perkahwinan diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab. Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa kelihatan menawan dengan pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.
Mengulas lanjut, Marzuk bagaimanapun berkata, majlis resepsi yang diadakan itu bercanggah dengan ajaran Islam kerana terdapat unsur agama lain. "Kita memahami kegusaran masyarakat berhubung perkara berkenaan kerana ia agak sensitif. Bagaimanapun, setakat ini kita bersangka baik dan mengandaikan wanita itu masih Islam," katanya. Sumber: Harian Metro
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ramai menganggap kerjaya peguam hebat. Membela orang yang dituduh dan jika terbukti tidak bersalah maka kehebatannya akan lebih terserlah. Bayaran kos guaman akan lebih tinggi berdasarkan kredibiliti peguam sendiri dan seberapa banyak kes dimenanginya melibatkan kes-kes berprofil tinggi.
Namun di sebalik kerjaya ini, ada hal perlu menjadi ingatan bahawa setiap sen kemenangan itu akan menjadi dosa jika pihak dibelanya asalnya memang bersalah namun atas kepintarannya berhujah, orang diwakilinya tidak bersalah.
Mufti Perlis, Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin pernah mengupas isu ini pada 2019 mengenai kerjaya peguam yang mewakil anak guaman yang sebenarnya bersalah namun akhirnya didapati tidak bersalah.
Ada beberapa peguam bertanya saya mengenai kerjaya mereka yang kadang-kala membela atau mempertahankan kes-kes yang mereka tahu sebenarnya pihak yang dibela itu berada di pihak yang salah ataupun zalim. Namun, dengan kepakaran atau kepandaian peguam di sudut teknikal, mereka membela kes-kes tersebut kerana upah guaman yang dibayar. Apakah kedudukan mereka dalam hal ini.
Berikut adalah jawapan saya;-
1. Menjadi prinsip Islam, menyuruh kita membela yang benar dan mengharamkan kita membela yang salah ataupun yang dosa. Kebenaran dan kesalahan itu diukur dengan pengetahuan seseorang mengenai hakikat sesuatu perkara yang dibela tersebut. Jika dia percaya itulah yang benar berdasarkan keilmuannya yang mencukupi pada keyakinannya maka pembelaan itu menjadi pahala untuknya. Sekalipun kemungkinan pada ijtihad orang lain pendapat itu salah.
2. Demikian juga kesalahan atau kebatilan. Jika seseorang itu tahu bahawa perkara yang dibela itu salah, atau dia percaya tidak benar namun dia tetap membela kerana kepentingan dirinya atau ketaksubannya, atau sikapnya yang tidak adil maka dia berdosa. Seseorang itu di samping ilmu yang dimiliki, dia hendaklah bertakwa kepada Allah dengan bertanya dirinya apakah tindakan membela atau menentang dalam sesuatu kes itu diredhai oleh Allah.
3.Atas asas ini, maka seseorang peguam patut menilai kes-kes yang dia ambil untuk dibela. Jika kes yang seorang peguam itu ambil pada keyakinannya berada di pihak yang benar, maka tindakannya itu diterima dan berpahala di sisi syarak. Jika dia tahu bahawa kes itu berada di pihak yang salah tetapi dia membelanya atas bayaran anak guamnya, maka itu adalah dosa dan wang guaman itu merupakan rezeki yang haram. Dosa wang yang diambil itu lebih buruk dari pelacur kerana dosa pelacur antara dia dengan Allah sahaja. Sementara dosa wang guaman yang batil merupakan kezaliman ke atas pihak yang lain.
4. Al-Quran dalam Surah al-Nisa ayat 105 mengingatkan kita agar adil dan jangan membela golongan yang khianat dalam hal ini:-
(maksudnya) Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah tunjukkan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi pembela orang-orang yang khianat.
.
5. Nabi s.a.w menyebut dalam hadis tentang mereka yang memenangi kes kerana kepetahan hujah padahal berada di pihak yang salah:-
“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bayangkan, jika kemenangan yang diberikan oleh Nabi s.a.w atas manipulasi kepandaian dan kepetahan hujah di hadapan penghakiman baginda sendiri tetap dihukum neraka, apatah lagi kes-kes yang dimenangkan oleh hakim-hakim selain Nabi s.a.w. Ini kerana mahkamah yang sebenar ialah di akhirat kelak. Segala kes akan dibicarakan semula dengan seadil-adilnya.
6. Cenderung jiwa kepada golongan yang zalim merupakan satu dosa dan membawa kepada neraka. Apatahlagi menyediakan hujah dan bertindak membela perbuatan yang zalim. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 113:-
(maksudnya) “Jangan kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti api neraka akan menyentuh kamu, sedangkan tiada bagi kamu pelindung-pelindung selain Allah dan kamu tidak akan ditolong”
Maka tindakan para peguam yang membela kes-kes yang mereka tahu zalim atau salah, merupakan perbuatan yang membawa kepada neraka.
Sesiapa yang menolong sesuatu pertelingkahan dengan cara yang zalim, atau menolong atas satu kezaliman maka dia sentiasa dalam kemurkaan Allah sehingga dia meninggalkannya (bertaubat).
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah -lafaz di atas lafaz Ibn Majah-, al-Hakim dalam al-Mustadrak. Al-Hakim menilai sahih ini sebagai sahih, disetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menilai sebagai sahih)
Hadis ini jelas menyatakan menolong pihak yang batil atau zalim dengan penghujahan yang batil atau zalim menyebabkan kemurkaan Allah. Hanya taubat yang dapat menghilangkan kemurkaan itu. Jika penghujahan itu telah menyebabkan kezaliman kepada pihak yang lain, maka hendaklah peguam itu memohon kemaafan pada pihak yang dizalimi. Ini kerana syarat taubat yang membabit kezaliman kepada pihak lain ialah dengan memohon maaf atau meminta halal.
8. Segala pendapatan yang diperolehi untuk membela kes-kes yang diketahui salah atau batil atau zalim adalah pendapatan yang haram. Janji Allah kepada mereka seperti yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w riwayat al-Imam al-Bukhari:-
“Sesungguhnya lelaki-lelaki yang terlibat dengan harta Allah tanpa cara yang benar, maka bagi mereka itu nereka pada Hari Kiamat”
9. Maka, para peguam hendaklah sentiasa ingat akan perintah Allah dalam al-Quran yang melarang tolong menolong dalam dosa dan permusuhan. Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 2:
(maksudnya) “Dan bertolong menolonglah atas kebaikan dan takwa. Jangan kamu tolong menolong atas dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras balasanNYA”.
10. Para peguam perlu diingatkan, sesungguhnya pembelaan perkara yang batil itu memenangkan pihak yang diwakili tetapi menzalimi pihak yang ditentang. Kezaliman itu akan dituntut dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Jika ia membabitkan harta atau nyawa atau maruah atau apa sahaja, maka doa pihak yang dizalimi akan memburu orang yang zalim. Kehidupan itu bukan sahaja di mahkamah, tetapi di luar mahkamah ada kehidupan sebenar peguam itu sendiri. Demikian kehidupannya di akhirat. Allah tidak lupa kepada orang yang zalim. Maka berhati-hati bagi setiap kes yang diambil dan dibela agar tidak menzalimi pihak yang lain.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Setiap hari beri makan 40 ekor kucing jalanan. ‘Ini caranya saya kongsi ganjaran pahala dengan penderma buah pinggang anak.’ Begitulah luahan seorang bapa yang amat menghargai penderma buah pinggang anaknya.
Disebabkan pihak hospital merahsiakan nama penderma atas permintaannya, jadi beginilah cara lelaki tua ini membalas jasa dan pengorbanan penderma itu kepada mereka sekeluarga.
“Inilah yang mampu saya lakukan untuk berkongsi ganjaran pahala dengan penderma buah pinggang yang tidak dikenali menderma buah pinggang kepada anak perempuan saya yang bongsu,” kata warga emas, Nasir Salaton, 69.
Setiap hari dia memberi makanan kepada kira-kira 40 ekor kucing jalanan sejak lima tahun yang lalu, dekat Slim River, Perak.
Menurut Nasir, dia kini hanya mempunyai dua anak iaitu anak sulung lelaki dan anak bongsu perempuan selepas anak perempuan yang kedua meninggal dunia.
Jelasnya, anak perempuannya, Nurul Faezah, 33, menderita sakit buah pinggang selama 15 tahun selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM).
Katanya, pada peringkat awal dia memberi kucing makan hanya sekitar kawasan tempat tinggal iaitu di Kampung Kurnia dan perumahan sahaja.
“Pada tahun 2020, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh pihak kerajaan, saya menerima panggilan telefon daripada pihak hospital.
“Pihak hospital memaklumkan ada seorang penderma ingin menderma buah pinggang kepada anak saya dan ketika itu memang saya rasa terkejut dan amat bersyukur dengan berita terbabit,” katanya lagi.
Selepas menjalani pembedahan di hospital berkenaan, anak perempuannya kembali pulih dan kehidupan seharian anaknya kembali normal.
Ekoran pihak hospital diminta merahsiakan nama penderma buah pinggang kepada anaknya sehingga hari ini, dia tidak mengetahui siapa insan misteri yang berhati mulia membantu anak perempuannya itu.
“Saya ingin berjumpa dengan penderma sekurang-kurangnya dapat mengucapkan terima kasih kepadanya yang sanggup berkorban menderma buah pinggang namun pihak hospital tetap memegang amanah yang diberikan kepada mereka agar merahsiakan nama penderma terbabit.
“Oleh itu, bagi membalas jasa dan pengorbanan penderma terbabit, saya memberi kucing makan sambil berdoa menghadiahkan atau memanjangkan ganjaran pahala ke atas apa yang saya lakukan kepada penderma terbabit,” katanya.
Tambahnya lagi, jika dahulu dia hanya memberi makanan kucing hanya sekitar kampung dan perumahan sahaja namun sejak dua tahun yang lalu beliau memberi kucing makan di sekitar pekan Slim River, Perak pula.
Katanya, beliau membelanjakan kira-kira RM50 sehari untuk membeli ikan dan ayam yang akan digaul bersama nasi setiap hari sebelum bergerak ke tempat tinggal kucing jalanan terbabit setiap pagi.
“Begitulah rutin pada waktu pagi saya setiap hari dengan menunggang motosikal untuk menjejaki tempat tinggal kucing jalanan sambil membawa makanan.
“Bunyi sahaja deruman dan hon motosikal atau suara saya, kucing jalanan akan datang menghampiri untuk menikmati makanan termasuklah anjing liar di kawasan pekan,” katanya.
Keadaan Nurul Faezah yang masih belum sembuh sepenuhnya menyebabkan dia tidak mampu bekerja dan tinggal bersama ibu bapanya di samping membantu mengurus kehidupan seharian.
Malah, masih menjalani rawatan susulan di salah sebuah hospital kerajaan secara berkala dan bergantung kepada keadaan kesihatan.
Oleh itu, Nurul Faezah yang akan memasak makanan kucing setiap hari sebelum ayahnya menunggang motosikal sambil membawa makanan kucing dari rumah kira-kira jam 7 pagi.
Nasir berkata, kucing atau anjing jalanan juga makhluk Tuhan dan perlukan makanan seperti manusia untuk terus bernafas di muka bumi walaupun hanya sementara.
Katanya, apa yang dilakukan diharapkan mampu memberi kesedaran kepada masyarakat setempat agar perihatin kepada makhluk Tuhan.
“Hati saya berasa lebih tenang dan berharap pahala yang saya niatkan semasa memberi makan kucing sampai kepada penderma buah pinggang terbabit.
“Saya sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada penderma terbabit kerana memberi sinar baharu kepada anak perempuan saya dan jasa baiknya hanya Tuhan sahaja mampu membalasnya,” katanya.
Jadi tidak hairanlah, kelibat lelaki ini memberi kucing jalanan makan setiap hari sudah menjadi kebiasaan penduduk yang tinggal sekitar Slim River dan rata-rata mereka memuji usaha yang dilakukan oleh beliau itu.
Kashoorga : Tindakan Nasir patut dijadikan inspirasi dan contoh kerana tak semua yang ambil berat tentang kucing jalanan.
Jodohmu sudah diatur, dan siapa yang mengaturnya? Tentu sahaja Allah yang berkuasa ‘memasangkan’ hamba-hambaNya untuk berjodoh.
Maka buat yang masih lagi sendiri, tidak usahlah terus bertanya bila si dia akan datang menemuimu.
Tidak usah terus bertanya bila dia akan menghampirimu, dan tidak usah terus bertanya bila si dia akan datang bertemu ayahmu.
Sesungguhnya semua telah ada waktunya maka tunggu sahaja sampai Allah percaya bahawa kamu sudah memerlukan kehadirannya.
Allah sangat sempurna melihat hatimu, keperluanmu, dan apa yang terdetik dalam benakmu, maka pastikan kamu terus berbaik sangka dulu kepadaNya. Ketika menurut Allah kamu sudah memerlukan teman hidup, maka pasti Allah akan menghantarkanmu seorang jodoh dengan jalan terbaik.
Jodoh tidak pernah salah alamat. Tidak akan pernah tersasar kepada orang lain jika memang si dia telah Allah tuliskan untuk hidup bersamamu. Oleh itu percayalah kepada Allah. Tetaplah bersabar, ikhlas, dan yakin bahwa bila memang sudah tiba waktunya pertemuan itu akan menjadi kenyataan.
Selama mana pun kamu menunggu si dia datang, semuanya memang sudah Allah atur sempurna. Maka si dia tidak akan datang terlalu cepat dan tidak akan terlambat, kerana pasti kedatangannya tepat pada waktu.
Untuk itu, tidak usah berasa resah, bersedih, dan putus asa bila belum juga berjumpa jodohmu. Bersabarlah! kerana pasti Allah sedang mempersiapkan sesuatu agar pertemuanmu lebih indah.
Jangan pernah bimbangkan rencana Allah, sebaik apapun rencanamu pasti akan tetap kalah dengan rencanaNya yang selalu luar biasa.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kucing masuk syurga atau tidak? Ketahui penjelasan menurut Islam berdasarkan al-Quran dan pandangan ulama mengenai nasib haiwan di akhirat serta ganjaran berbuat baik kepada haiwan.