
Petanda Akhir Zaman, Bila Soal Halal Haram Makanan Dah Tak Dipeduli Lagi
Zaman sekarang, pantang nampak tempat makan viral, terus penuh parkir dan sanggup beratur panjang demi nak cuba “spot best” yang trending di media sosial.
Tapi yang menyedihkan, ramai antara kita tak kisah tentang status makanan di tempat tersebut? Sama ada halal atau sebaliknya.
Sedangkan dalam Islam, bab makanan bukan perkara remeh. Makanan yang kita suap bukan sekadar isi perut, tapi boleh jadi punca doa kita tak diangkat, hati kita jadi keras dan amal kita tidak diterima.
Bila halal haram dah tak dipeduli, waktu itu kita sebenarnya dalam bahaya bukan sekadar dari sudut kesihatan, tapi juga dari sisi agama. Malah ini juga sebenarnya petanda akhir zaman.
Memetik perkongsian Dr Ahmad Sanusi Azmi, Rasulullah SAW telah memberi peringatan tentang fenomena akhir zaman di mana manusia tidak lagi peduli soal halal atau haram. Sabda Baginda:
“Akan datang satu zaman nanti, seseorang tidak mempedulikan dari mana sumber (rezekinya) diambil, apakah dari halal atau haram.” (HR al-Bukhari)
Jelas Dr. Ahmad Sanusi yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hadis ini menunjukkan betapa rosaknya hati apabila makanan sudah tidak lagi ditapis berdasarkan hukum Allah. Maka tidak hairan jika amal sukar diterima dan doa tidak dimakbulkan.
Imam Ahmad rahimahullah pernah berkata:
“Tidakkah kamu tahu bahawa soal makanan ini adalah sebahagian daripada agama? Allah menyebut makan makanan yang baik dahulu, kemudian baru amal soleh.” (Rujukan: Ihya’ ‘Ulum al-Din)
Bayangkan, amal kita belum tentu diterima jika makanan yang masuk ke tubuh datang dari sumber yang syubhah atau haram. Yusuf ibn Asbat, seorang tabi’in terkenal, pernah menggambarkan hal ini dengan kata-kata:
“Jika seorang pemuda beribadah, iblis akan berkata: Perhatikan makanannya. Jika makanannya kotor, biarkan dia beribadah, kerana makanan itu sudah cukup merosakkannya.” (al-Zuhd al-Kabir, al-Bayhaqi)
Malah, dalam hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW menyebut bagaimana seorang lelaki yang dalam keadaan musafir mengangkat tangan berdoa, namun Allah tidak memakbulkan doanya kerana makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya pun haram. (HR Muslim, no. 1015)
Mencuba tempat makan baru dan makanan viral tak salah, tapi jangan sampai jadi lalai dan cuai. Ambil berat soal halal dan keberkatan rezeki, kerana inilah yang akan membentuk siapa kita dan siapa anak-anak yang kita besarkan. Jika sudah terlanjur tersilap, kembalilah bertaubat dan perbetulkan semula pilihan hidup kita.
Sumber: Dr Ahmad Sanusi Azmi
Baca Lagi: Nak Doa Makbul, Makanan Kena Sumber Halal
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





