Isu rasuah di kalangan penguatkuasa bukan isu taboo. Malah sudah banyak perasuah ditangkap dan dikenakan tindakan tataterbit. Pun begitu, isu ini tidak pernah habis. Malah dari sekecil-kecil pangkat hingga ke orang politik terlihat dalam budaya rasuah. Kenapa isu rasuah masih menjadi budaya masyarakat kita? Mufti Wilayah Persekutuan mengulas isu mengapa ia menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia sama ada secara sedar atau tidak sedar.
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Memahami Makna Rasuah
Kami mulakan terlebih dahulu dengan menjelaskan makna rasuah. Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab al-risywah (الرِّشْوَةُ). Al-Fayyumi berkata: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau orang lain, agar hakim itu memenangkannya, atau agar hakim itu memutuskan hukum sesuai dengan apa yang diinginkannya. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir, 3/411)
Ibn al-Athir pula menyebut: al-Risywah (الرِّشْوَةُ) adalah sesuatu yang menghubungkan kepada keperluan/hajat dengan cara pujukan. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athr, 2/226)
Dari segi istilah, al-risywah merupakan sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 22/219) Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut: "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya." (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 627)
Istilah rasuah telah diguna pakai dalam bahasa Melayu yang bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu menyogok, menyuap. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat) Syed Hussein Alattas dalam buku Rasuah, Sifat Sebab dan Fungsi, menyatakan rasuah merupakan penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Manakala menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.[1]
Menurut undang -undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3(a), (b) dan 4(a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: “menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.” Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; “Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.”
Ads
Dalil Pengharaman Rasuah
Pengharaman rasuah adalah jelas sama ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Larangan rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) Surah al-Maidah (42)
Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”(Surah al-Baqarah: 188)
Al-Sobuni berkata: “Janganlah sebahagian kamu memakan sebahagian harta yang lain dengan cara yang tidak dihalalkan oleh Allah seperti kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/112)
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)
Ads
Dalam hadis lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)
Menjawab soalan di atas, suka untuk kami memetik kenyataan Dato’ Sri Haji Zakaria Bin Haji Jaffar, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) antara lain menyebut: “Rasuah telah menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat sama ada kita sedar atau tidak. Kehadirannya dikaburi kerana pemberi dan penerima saling setuju dan menyetujui serta berkompromi akan perbuatan mungkar ini. Bahaya rasuah teramat dahsyat.” (Lihat buku beliau bertajuk Man Ana Perjuangan Menentang Rasuah, hlm. 42) Amalan rasuah akan menatijahkan kesan dan kesudahan yang sangat buruk. Kami nukilkan di sini daripada buku Rasuah: Punca, Kesan dan Penyelesaiannya, menyebut antara kesannya ialah:
Menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara.
Melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran.
Muncul masyarakat yang pentingkan diri sendiri.
Menatijahkan hasil kerja yang buruk.
Kos pengurusan akan meningkat.
Pengurusan pentadbiran menjadi lambat dan kucar-kacir.
Muncul orang jahat yang bertambah jahat.
Menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk rasuah tetapi sebaliknya membina jati diri dengan integriti dan keamanahan yang unggul. Semoga negara kita bebas dari sebarang bentuk rasuah. Amin.
Apa makna Jihad Memerangi Rasuah? Ikuti tembual eksklusif bersama Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Dato' Hussamuddin Hj Yaacub dalam #Persepektif Datuk Hussamuddin Yaacub hari ini jam 8.30 malam di saluran 501 dan Astro Awani.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Allah bagi pinjam seketika, reda dengan ketentuan Allah. ‘9 tahun saya tunggu kelahirannya, tapi dia ‘pergi’ dulu.’ Memang berat ujian ini, namun sebagai hamba-Nya dirinya reda dengan takdir Ilahi.
Lebih menyayat hati, dia bukan hanya kehilangan satu-satunya anak tunggalnya tetapi turut kehilangan ayahanda tercinta. Allahuakbar sungguh menyayat hati. Ternyata Allah lebih menyayangi kedua-duanya.
Demikian luahan Zarina Azmi, 34, yang merupakan ibu kepada kanak-kanak setahun tujuh bulan yang lemas bersama datuknya di sebuah kolam terbiar dekat Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah.
Menurut Zarina, dia dan suami, Muhammad Yuzarith Martin Abdullah, 35, bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah yang meminjamkan anak tunggal kesayangan, Muhammad Ziyaad Mikhail seketika biarpun telah sembilan tahun menanti kelahiran cahaya mata.
Reda Dengan Kententuan Allah
Dalam kejadian itu, Zarina turut kehilangan bapa tersayang, Azmi Abdullah, 77, yang ditemukan terapung dalam sebuah kolam bersama Muhammad Ziyaad selepas kedua-kedua beredar dari kedai makan di mana tempatnya bekerja dengan menaiki motosikal untuk keluar bersama.
“Sepanjang hari (Isnin), Muhammad Ziyaad asyik peluk saja, seolah-olah tak puas bermanja sebelum datuknya datang ambil kira-kira jam 5 petang.
“Namun, tak lama kemudian saya dikejutkan dengan berita yang ayah dan anak ditemukan lemas di kolam berhampiran,” jelasnya sebak.
9 Tahun Saya Tunggu Kelahirannya
Kejadian disedari apabila kedua-dua beranak itu tidak pulang ke rumah sehingga jam 7 petang, menyebabkan mereka keluar mencari di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, luluh hatinya apabila menemukan jasad datuk dan cucu itu lemas dan terapung dalam kolam tersebut.
Sementara itu, adik kepada Azmi, Yusof Abdullah, 61, menjelaskan kali terakhir dia bertemu arwah abangnya bulan lalu dan terkejut apabila menerima panggilan berhubung kejadian.
“Arwah dah lama pencen sebagai tukang kebun sekolah dan sejak itu dia banyak menghabiskan masa di rumah selain bermain dengan cucu dan menjadi rutin membawa cucunya itu meronda waktu petang dengan menaiki motosikal,” katanya.
Tapi Dia ‘Pergi’ Dulu
Menurut Yusof, dia difahamkan bahawa kejadian kemungkinan berlaku apabila kanak-kanak itu turun dari motosikal dan berlari ke arah kolam sebelum terjatuh.
Tambah Yusof, kemungkinan Azmi yang ternampak cucunya jatuh terus berlari ke arah kolam dan cuba menyelamatkan, namun turut lemas.
“Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri.
“Apapun yang berlaku, semuanya sudah suratan takdir dan kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurut Yusof, Azmi mempunyai lima anak serta 10 cucu dan Muhammad Ziyaad Mikhail serta ibu bapanya tinggal bersama.
Jenazah kedua-dua beranak itu kemudian dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal selepas selesai urusan bedah siasat untuk proses pengebumian.
‘Isteri wajib taat perintah suami.’ Tapi janganlah sampai jatuh talak, bila isteri minta balik raya rumah mak dia. Bab cerai ini jangan buat main, jangan terlalu ikut emosi hingga hubungan yang terbina terputus.
Soal balik raya memang sensitif, apatah lagi bila seorang suami atau isteri tidak bersikap adil dalam penggiliran balik beraya.
Mungkin orang yang tak melaluinya rasa “remeh’ tapi bila setiap tahun beraya rumah mentua, pasti lama-lama kecil hati. Macam dia seorang ada mak, bapak.
Ikuti perkongsian Ustazah Nur Aqidah Mawardi ini dan hadam baik-baik ya wahai suami.
Hukum asal… Wajib seorang isteri taat kepada perintah suami selagi tidak bercanggah dengan syarak.
Tapi Janganlah Sampai Jatuh Talak
Cuma!
Janganlah sampai nak jatuh talak jika isteri membuat permohonan dan keizinan hendak balik umah mak dia.
Wahai segelintir suami, anda berkahwin dengan anak orang. Bukan anak buluh betung. Anda sepatutnya kene mainkan peranan bercakap dengan ibu kalian tanpa membabitkan isteri.
Seperti contoh, “Mak, abang raya pertama baru balik kampung yer, sebab tahun ini abang teringin nak beraya dengan mentua abang.”
Bila bercakap macam ini, mak anda akan lebih faham sebab sebagai ibu pastinya dia hendak anak dia bahagia.
Bila Isteri Minta Balik
Wahai para ibu yang sudah punya menantu. Ketahuilah anak kita sudah berkahwin dengan anak orang lain. Jadilah ibu yang support anak meraikan pasangannya.
Andai satu hari, anak perempuan kita diperlakukan sedemikian rupa, apa perasaan kita? Jika kita perlakukan menantu ”buruk”, ingat! Kita ada anak perempuan atau adik perempuan atau saudara perempuan. Allah Maha Adil.
Begitu juga suami, jangan tanya kenapa andai satu hari anak perempuan mu menjadi hamba abdi suaminya kita kamu perlakukan isteri mu lebih teruk dari hamba abdi.
Raya Rumah Mak Dia
Jangan mudah-mudah labelkan anak kita anak derhaka, parah hidup anak itu nanti.
Bertoleransilah, berlapang dadalah dan kita bersama-sama tanamkan azam. Bila jadi menantu atau mertua atau apa sahaja peranan, kita usaha untuk jadi yang baik semampunya tapi jangan sampai makan diri.
Minta agar kita semua dipelihara oleh Allahu Ya Hafiz.
Ramai yang berkata bahawa jodoh itu mesti dicari. Usah berdiam diri tanpa usaha, jika tidak, bagaimana jodoh datang mendekati. Sebenarnya jodoh itu bukan dicari sebaliknya dicipta.
Mengapa demikian? Alasannya kerana ramai orang sering membuat kesalahan ketika mencari jodoh sehingga tidak bertemu dengan orang yang menjadi impiannya.
Rumah tangga yang bahagia hingga suami isteri meninggal dunia, barulah dinamakan jodoh.
Sebuah rumah tangga yang harmoni diketuai oleh suami yang memainkan peranan sebagai ketua rumah tangga, isteri sebagai pembantu dan pengelola rumah tangga, dan anak sebagai anggota keluarga. Maka barulah lengkap perjalanan sebuah rumah tangga.
TIADA MANUSIA YANG SEMPURNA
Kita tidak akan pernah menemukan jodoh dengan 1001 syarat dan kriteria. Tidak akan pernah ada orang yang memenuhi kriteria jodoh ideal, kerana tidak ada manusia yang sempurna.
Maka sebab itulah jodoh perlu ‘dicipta.’ Jika kita meletakkan 10 kriteria yang ada dalam diri seseorang, kita harus menerima kenyataan bahawa tidak semua kriteria tersebut ada pada jodoh yang kita pilih. Oleh itu kita harus bersama-sama mencipta kesempurnaan itu bersama insan yang menjadi pilihan.
Mungkin kita hanya menemukan dua kriteria yang ada dalam diri pasangan. Namun oleh kerana merasakan dialah jodoh maka kita menerimanya sebagai pasangan hidup. Semestinya kita memerlukan proses yang panjang untuk mendapatkan keluarga yang ideal dan harmoni.
Suami isteri saling melengkapi kekurangan pasangannya dan tidak mencela kekurangan pasangan. Terus belajar bersama pasangan agar jodoh tidak berakhir dengan cara yang menyakitkan.
Buatlah kriteria calon pasangan yang realistik bukan kriteria yang tidak mampu dicapai dek akal. Bila bertemu dengan seseorang yang hanya memenuhi sedikit kriteria yang kita mahukan, jangan ke tepikan si dia.
Jadikanlah dia pasanganmu, dan berusahalah bersama menuju keluarga harmoni kerana jodoh itu ‘dicipta’ bukan dicari.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Salah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah walaupun mereka tidak memahami setiap apa yang dibaca daripada al-Quran...