“Dukacita nak maklum anakanda kami Muhd Sher Harraz telah meninggal dunia jam 8.40 pagi dan jenazah akan dikebumikan di Felcra Ramuan Cina, Lubuk Cina, Melaka sebelum atau selepas Asar. “Sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat Harraz. Nyata Allah lebih sayang padanya,” kata Chot.
Anak pelawak, Chot atau nama sebenarnya Hazmeer Hassan telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.40 pagi tadi. Bayi sulung Chot yang merupakan ahli kumpulan XOXO, Muhd Sher Harraz, meninggal dunia disebabkan masalah injap jantung terbalik pada usia empat bulan.
Bayi lelaki Chot mengalami masalah dengan jantung sejak dilahirkan. Sher Harraz yang dilahirkan pada 16 Jun lalu itu mempunyai masalah injap jantung terbalik yang menyebabkan darah kurang memasuki paru-paru. Penyakit itu dikesan selepas setengah jam bayinya dilahirkan.
Chot ada memuat naik posting di laman Instagramnya mengenai keadaan Harraz yang semakin lemah. Walau bagaimanapun menurut Chot, Harraz yang mengalami masalah injap jantung terbalik mula menunjukkan respon positif ketika berada di wad Hospital Besar Melaka beberapa hari lalu.
salam semua.. alhamdulillah.. Harraz senyum hari ni.. oksigen dia dah stabil .. dah ada tanda bernafas sendiri.. cuma dibantu sikit je dgn oksigen dr machine.. segala jarum di badan dah dicabut.. yang tinggal hanya ubat untuk jantung jer.. Allahuakhbar.. Berkat doa keluarga , sahabat dan kalian Harraz sedikit demi sedikit tunjuk respon positif.. saya dan isteri hanya mampu sampai kan doa buat semua yang concern akan keadaan sher harraz.. moga segala urusan kita bersama dipermudahkan..
Mungkin belum sampai ajalnya. Ibarat peluang kedua, tiga beranak ini selamat meskipun dihempas ombak tsunami. Gitar milik kumpulan pop rock terkemuka Indonesia Seventeen antara barang yang digunakan oleh mangsa tsunami, Akhmad Khowarizmi atau Azmi, 10 untuk menyelamatkan diri dari gelombang tsunami yang melanda pantai Carita. Menerusi portal Liputan 6, Azmi bersama keluarganya menyaksikan persembahan kumpulan tersebut di kawasan pelancongan itu.
Menurut Datuknya, Ashari,64, keluarganya itu berada di hadapan pentas dan tidak sempat melarikan diri. Katanya lagi, apabila tsunami melanda, mereka tidak sempat lari hingga mengakibatkan anak, menantu dan kedua cucunya dihanyutkan air deras.
CAPAI GITAR AHLI SEVENTEEN
Cucunya terselamat kerana berjaya mencapai gitar salah seorang anggota kumpulan Seventeen untuk dijadikan pelampung.
“Apabila dihanyutkan gelombang, cucu saya sempat mencapai gitar itu untuk membuatkan dia terapung. Cucu perempuan saya, Farzana Arfa Fahira, 7 tahun, juga terselamat kerana dilindungi oleh permaidani pentas,” kata Ashari.
Menantunya juga, Akhmad Diyak juga berjaya menjadikan dahan pokok sebagai pelampung. Malangnya anak perempuan tunggal Ashari terkorban dalam tragedi itu. Ninil Ukhita Anggra Wardani ditemui tidak bernyawa pada 23 Disember 2018. Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kalirejo, Bangil, Pasuruan.
Meskipun sedih dengan kehilangan anak perempuan tunggalnya namun Ashari perlu tabah agar cucu-cucunya kuat untuk meneruskan kehidupan tanpa ibu mereka di sisi.
“Apabila mereka bersama saya, mereka tenang tetapi ketika mereka bersendirian, kadang-kadang mereka menangis. Kebiasaanya mereka akan memeluk ibu mereka ketika pulang dari kerja tetapi kini tidak lagi.”
Jika sudah sampai ajalnya, tidak akan terawal atau terlewat walaupun sesaat. Pemergian isteri dan anak kepada penjaga gol skuad Negeri Sembilan, Mohd Kaharuddin Abdul Rahman begitu menjentik rasa. Berita itu dikongsikan oleh Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia) melalui laman sosial mereka.
Isteri Mohd Kaharuddin meninggal dunia akibat komplikasi bersalin. Lebih meruntun jiwa, dua hari sebelum anak yang dilahirkan turut meninggal dunia akibat komplikasi.
Takziah kepada penjaga gol skuad Negeri Sembilan, saudara Mohd Kaharuddin bin Abdul Rahman atas pemergian isteri pagi ini. Pada dua hari lepas beliau juga kehilangan anak yang baru dilahirkan akibat komplikasi ketika dilahirkan.
Kami di PFA Malaysia amat bersedih dengan dugaan yang dilalui oleh beliau dan mendoakan agar saudara Mohd Kaharuddin tabah dengan dugaan dan ketentuan Allah ini. Marilah kita sama-sama memanjatkan doa kepada Allah agar arwah anak dan isteri beliau diberikan rahmat Allah.
Salam takziah
Namun apa yang meluluhkan hati ialah luahan kerinduan terhadap arwah isterinya.
Antara luahan hati yang Mohd Kaharuddin:
“RINDU!!!
“Pejam mata nampak awak”
“Bukak mata nampak awak”
“Tengok anak nampak awak”
“Makan nampak awak..urmmmm”
“Rindu yang tiada penghujungnya…”
“Subhanallah…Di saat anak baru lelapkan mata”
“Di saat itulah aku terlalu rindukan mu sayang”
“Saya redha yang penting awak bahagia dengan anak kita Sumayyah”
“Terima kasih buat semua yang memberi nasihat dan memberi doa buat keluarga saya.”
Daripada setiap bait-bait kata yang diluahkan menunjukkan bahawa Mohd Kaharuddin terlalu merindui arwah isterinya.
Salam takziah buat Mohd Kaharuddin sekeluarga. Moga arwah isteri Mohd Kaharuddin di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Drama Isteri Untuk Disewa gandingan pelakon popular Fattah Amin dan Tiz Zaqyah yang kini sedang ditayangkan di saluran Astro Ria telah mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Surat terbuka dari mufti untuk pengarah drama ini, Osman Ali, memperkatakan mengenai dua isu iaitu yang pertama mengenai tajuk drama dan yang kedua implikasi hukum.
Zulkifli menegaskan bahawa tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.
“Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai.
“Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19.
“Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada hukum syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat,” tulisnya.
Mengenai implikasi hukum pula, tambah Zulkifli, dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.
“Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.
“Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang d iluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam,” katanya lagi.
Berikut merupakan petikan surat terbuka yang dipetik dari Muftiwp.gov.my
Kami mengambil prihatin dan cakna akan lambakan drama yang berkonsepkan santai, isu-isu kekeluargaan dan percintaan mutakhir ini. Secara umumnya sebagai penonton, kita harapkan drama atau filem yang berkualiti dan sarat dengan mesej, setanding dengan hasil seni peringkat antarabangsa.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa kami memilih “Isteri Untuk Disewa” dan bukan drama-drama lain? Ada beberapa sebab mengapa kami memilih drama ini:
Persoalan daripada mustafti berhubung tajuk drama ini.
Isu fiqh perkahwinan yang wujud dalam drama ini.
Secara umumnya, kami rasakan drama ini baik kerana mengenengahkan satu unsur baru dalam plot yang keluar daripada kebiasaan drama-drama lain yang bertemakan konflik keluarga dan percintaan. Kami sama sekali tidak mempunyai sikap prejudis terhadap seni dan juga anak-anak seni. Ulasan kami ini adalah berdasarkan kepada beberapa babak yang ditayangkan dan menilainya semula dari sudut hukum-hakam.
PERTAMA: TENTANG TAJUK
Kami nyatakan sepertimana berikut:
Tajuk drama ini; Isteri Untuk Disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia samada Islam mahupun bukan Islam.
Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa. Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19.
Firman Allah SWT,
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
Ibnu Kathir ketika mengulas ayat ini menegaskan bahawa ayat ini memerintahkan untuk memperperhaluskan kata-kata dan memperindahkan perilaku dan sikap, sebagaimana yang kita kehendaki daripada seorang isteri.
Penamaan tajuk yang provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada Hukum Syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat.
KEDUA: IMPLIKASI HUKUM
Dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.
Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Qur’an, hadith dan pandangan fuqaha’.
Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang diluar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam. Ini sebagaimana kata Imam al-Nawawi berkata: “Nikah mut’ah tidak dibolehkan, kerana pernikahan itu pada dasarnya suatu akad yang bersifat mutlak. Maka tidak sah apabila dibataskan dengan masa.” (Lihat al-Majmu, 17/356). Antara contoh bentuk nikah mut’ah adalah perkahwinan yang dihadkan tempohnya. Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama seminggu.” Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima.”
PENUTUP
Syabas dan tahniah diucapkan kepada wargakerja drama Isteri Untuk Disewa atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.
Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel. Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat untuk menyekat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ianya selari dengan agama dan budaya ketimuran kita.
Sepertimana yang telah kami nyatakan di hadapan para artis dan selebriti tanahair dalam program “A Night With Mufti” di Istana Budaya pada Ramadhan lalu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sentiasa membuka pintu dan ruang kerjasama dalam memartabatkan industri seni tanahair. “Dinding” antara seni dan agama wajar dipecahkan bagi mengangkat budaya dan faham seni yang berkualiti serta berdaya saing.
Kami amat yakin bahawa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau Lembaga Penapis Filem (LPF) sentiasa memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan drama dan filem yang disiarkan, mencapai standard kualiti dan moral yang terbaik.
Kami mengambil kesempatan memohon maaf atas kenyataan terbuka ini. Maaf sekiranya kenyataan ini mengguris hati mana-mana pihak. Tidak ada langsung secebis rasa benci dan marah melainkan kasih semata-mata. Kami bacakan firman Allah SWT:
Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. (Surah Hud: 88)
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Sinar Harian