Sebelum Pilih Calon Suami, Lihat Ciri-ciri Ini Dahulu

  • 318
    Shares

Sebagaimana lelaki tertarik kepada seorang wanita, demikian juga wanita tertarik dengan seorang lelaki. Bagi memastikan rumah tangga yang bakal dibina bahagia dan berkekalan sehingga ke syurga, wanita berhak untuk mencari dan memilih lelaki manakah yang bakal menjadi imam di hatinya.

Pernikahan bererti mengikat seseorang itu menjadi teman hidup. Bukan untuk sehari dua tetapi seumur hidup. Oleh yang demikian adalah wajar bagi setiap pasangan khususnya wanita supaya lebih berhati-hati dan selektif dalam memilih pasangan hidup. Keserasian dan kebahagiaan itu bukan hanya terletak pada sifat luaran semata-mata tetapi juga personaliti yang memenuhi syarat sebagai seorang suami yang soleh.

Walau bagaimanapun tidak ramai wanita memandang berat akan hal ini. Sebahagian mereka lebih tertarik kepada fizikal luaran tanpa memerhatikan akhlak dan agama pasangan. Akhirnya rumah tangga yang dibina mula retak di pertengahan jalan kerana naluri dan hati yang tidak serasi.

Justeru hargailah ikatan perkahwinan yang akan dibina. Pilihlah bakal suami yang mempunyai ciri-ciri seorang ‘suami yang bertakwa’.

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya

Ini adalah kriteria yang paling utama berbanding kriteria yang lainnya. Seperti mana firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kalian adalah yang paling bertakwa.”( Al Hujurat: 13)

Takwa adalah menjaga diri daripada azab Allah SWT dengan menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Maka seorang wanita itu perlulah berjuang untuk mendapatkan calon pasangan yang paling mulia di sisi Allah, iaitu seseorang yang taat kepada perintah agama.

2. Bersopan dan berakhlak

Al Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan sabda Nabi s.a.w: “Mukmin yang sempurna imannya adalah mukmin yang paling baik akhlaknya dan yang berbudi bahasa terhadap isterinya.”

Selidiki budi bahasa dan sikapnya terlebih dahulu sebelum anda menyesal di kemudian hari. Penyesalan yang disebabkan oleh rasa tertipu dan terpedaya dengan sikap pasangan sebelum kahwin dan selepas kahwin tidak boleh mengubah apa-apa selain redha dan berdoa agar dia diberikan hidayah untuk berubah.

3. Al Kafa’ah (Sekufu)

Yang dimaksudkan dengan sekufu atau al kafa’ahadalah setaraf dalam hal kedudukan, agama, nasab, rumah dan selainnya (Lisaanul Arab, Ibnu Manzhur). Al Kafa’ah secara syariat menurut majoriti ulama adalah setaraf dalam agama, nasab (keturunan), kemerdekaan dan pekerjaan. Atau dengan kata lain kesetaraan dalam agama dan status sosial. Banyak dalil yang menunjukkan anjuran ini. Di antaranya firman Allah SWT,

“Wanita-wanita yang keji untuk laki-laki yang keji. Dan laki-laki yang keji untuk wanita-wanita yang keji pula. Wanita-wanita yang baik untuk laki-laki yang baik. Dan laki-laki yang baik untuk wanita-wanita yang baik pula.”(Surah An Nur: 26)

3. Menyenangkan jika dipandang

Tidak dinafikan, faktor fizikal juga merupakan salah satu kriteria dalam memilih calon pasangan. Wajah dan penampilan yang menarik juga adalah tunjang keharmonian dalam rumah tangga. Maka pertimbangkanlah hal ini untuk mewujudkan ketenteraman di dalam hati.

4. Kemampuan memberikan nafkah

Carilah seorang suami yang mampu memberi nafkah. Ini kerana memberi nafkah itu merupakan satu kewajipan bagi seorang suami. Usah jadikan masalah kewangan sebagai punca perpecahan dalam rumah tangga. Kelemahan suami mentadbir dan menyara keluarga hanya akan mengganggu perjalanan kehidupan dan kebahagiaan suami dan isteri.

Terimalah hakikat ini, alam perkahwinan amatlah berbeza daripada alam bercinta. Apabila sudah berkahwin semua aspek perlu difikirkan bersama. Soal tempat tinggal, kenderaan, makan pakai, anak-anak dan juga keperluan bagi seorang isteri. Bukanlah bertujuan untuk mengajar dan menambat isteri dengan wang ringgit dan harta benda tetapi cukuplah sekadar dapat menampung seisi keluarga.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*