Sebuah masjid di wilayah Gansu, China sebahagiannya dirobohkan pihak berkuasa pada 9 April lalu, dalam kempen terbaharu Beijing untuk menghapuskan tradisi masyarakat Islam di negara ini.
Pihak berkuasa China secara sistematik melancarkan tindakan kekerasan terhadap minoriti umat Islam di negara ini terutamanya di Xinjiang yang menyaksikan kira-kira sejuta etnik Uighur ditahan di kem tahanan.
Namun penindasan itu secara berterusan diperluaskan ke beberapa wilayah lain dengan laporan tempatan melaporkan kemusnahan masjid dan simbol Islam di wilayah Ningxia dan Gansu yang menempatkan masyarakat Islam dari etnik Hui.
Lapor agensi berita France24, pihak berkuasa tempatan merobohkan sebahagian masjid yang di kampung Gazhuang, Wilayah Autonomi Linxia Hui di Gansu, merosakkan kubah emas dan ciri-ciri Islamik masjid itu.
Masjid tersebut dibina kurang sebulan lalu dan penduduk tempatan diberi amaran agar tidak memuat naik sebarang foto atau video berhubung perobohan masjid berkenaan.
Namun beberapa video muncul dalam Twitter beberapa hari kemudian menunjukkan keadaan kubah masjid yang musnah serta serpihan bertaburan di bumbung dan berdekatan pintu masuk masjid. Selain itu, turut kelihatan sebuah kren besar diletakkan di perkarangan masjid tersebut serta beberapa orang dilihat menangis dalam video terbabit.
Individu yang merakam video itu menghantar klip itu kepada wartawan bebas berasal dari Xinjiang, Erkin Azat yang kini menetap di Kazakhstan dan memuat naik video berkenaan di internet.
Menurut Azat yang menggunakan nama samaran kerana bimbang keselamatan keluarganya di Xinjiang, individu terbabit turut memaklumkan kepadanya bahawa beberapa orang yang mengambil video tersebut kemudiannya ditahan.
“Menurut sumber saya, perobohan di wilayah Gansu bermula tahun lalu. Masjid dimusnahkan dan amat sukar untuk mengesahkan angka sebenar masjid yang dirobohkan di Gansu.
“Matlamat kerajaan adalah satu masjid untuk setiap bandar atau daerah dan masjid-masjid di pinggir bandar kini hilang semuanya. Hanya satu masjid disimpan sekiranya organisasi antarabangsa datang untuk menemu ramah komuniti Muslim,” ujarnya. Tambah Azat, penduduk Muslim takut untuk ke masjid, menyuarakan pendapat dan takut untuk disoal siasat.
“Situasi di Gansu telah meruncing sejak tahun lalu, sama seperti apa yang berlaku di Xinjiang,” jelasnya. – AGENSI
Sumber kredit: Utusan Online
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI