Selalu terbabas solat subuh dan isyak, jangan sampai kita jadi orang munafik kerana kerap meninggalkan sembahyang.
Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat isyak dan solat subuh. (berat untuk menunaikan secara berjemaah di masjid). Solat adalah tian g agama, jadi bab solat ini jangan dibuat main.
Ikuti kemusykilan bab solat ini bersama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan hadam baik-baik jawapannya.
Selalu Terbabas
Soalan
Assalamualaikum, betulkah terdapat lafaz “munafik” dalam hadis yang menyebutkan bahawa orang yang berasa berat untuk solat Isyak dan Subuh itu adalah munafik? Selain itu, boleh saya tahu juga hadis ini disebutkan dalam kitab apa saja? Mohon pencerahan, terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Benar terdapat lafaz “munafik” dalam hadis ini dan kewajipan solat berjemaah ini adalah kewajipan yang ditetapkan pada zaman awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada meninggalkan solat.
Hal ini kerana, apabila mereka bersendirian mereka tidak akan mendirikan solat. Kemudian, kewajipan tersebut telah dimansukhkan dalam Islam. Meskipun begitu, solat berjemaah di masjid amat dituntut dalam Islam kerana ganjarannya melebihi solat secara bersendiri menurut hadis Nabi SAW.
Solat Subuh & Isyak
Huraian Jawapan
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ، صَلاةُ الْعِشَاءِ الآخِرَةِ، وَصَلاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا، لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
Maksudnya: Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.[1] Riwayat Ahmad
Ads
Hadis ini juga diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis yang lain seperti Sahih al-Bukhari, Sunan al-Nasa’i, Sunan Ibn Majah, Sahih Ibn Khuzaimah dan lain-lain karya hadis muktabar.
Sebenarnya apa yang nak dimaksudkan dalam hadis ialah setiap waktu solat bagi orang munafik adalah berat dan ia tidak tertumpu kepada waktu Isyak dan subuh sahaja. Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Munawi, kata beliau: أثقل أن الصلوات كلها ثقيلة على المنافقين
Maksudnya: Setiap solat bagi orang-orang munafik itu adalah paling berat.[6] Kemudian, beliau menukilkan satu ayat al-Quran, firman Allah SWT: وَلا يَأْتُونَ الصَّلاةَ إِلا وَهُمْ كُسَالَىٰ
Maksudnya: dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas.
Surah al-Taubah (54)
Al-Zarqani menyebutkan dalam syarah kitab Muwatta’ al-Imam Malik bahawa Abu Darda’ ketika sakit hendak meninggal dunia menyebutkan bahawa:
Maksudnya: Dengarkan dan sampaikanlah, peliharalah dua solat jemaah ini iaitu Isyak dan Subuh. Kalaulah kamu mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya kamu akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak di atas siku-siku dan lutut-lutut kamu.
Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa agama Islam amat menggalakkan solat berjemaah pada kedua waktu ini iaitu Isyak dan Subuh. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Muhammad Amin al-Harari ketika mensyarahkan hadis berkenaan solat al-ʻatamah(solat Isyak). Kata beliau:
وفي الحديث الحث العظيم على حضور جماعة هاتين الصلاتين لما في ذلك من الفضل الكثير لما فيهما من المشقة على النفس من تنقيص أول نومها وآخره ولهذا كانتا أثقل الصلاة على المنافقين
Maksudnya: Hadis ini memberikan galakan hebat untuk solat berjemaah pada dua solat tersebut(Isyak dan Subuh). Sedangkan padanya terdapat ganjaran yang besar kerana waktu tersebut merupakan waktu yang susah ke atas jiwa (manusia) seperti mengurangkan tidurnya di awal malam dan akhirnya (sebelum Subuh). Solat-solat inilah merupakan solat yang paling berat bagi orang-orang munafik.
Ads
Hadis ini juga menunjukkan kewajipan solat berjemaah yang diwajibkan pada awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada terus meninggalkan solat. Hal ini kerana, apabila mereka tidak berjemaah maka mereka akan meninggalkan solat tersebut. Kemudiannya, hukum wajib solat berjemaah ini telah dimansukhkan.
Berdasarkan kepada soalan di atas memang benar terdapat lafaz “munafik” dalam hadis ini. Namun, kewajipan solat berjemaah ini adalah kewajipan yang ditetapkan pada zaman awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada meninggalkan solat.
Hal ini kerana, apabila mereka bersendirian mereka tidak akan mendirikan solat. Kemudian, kewajipan tersebut telah dimansukhkan dalam Islam. Meskipun begitu, solat berjemaah amat dituntut dalam Islam kerana ganjarannya melebihi solat secara bersendiri menurut hadis Nabi SAW.
Kashoorga : Semoga penjelasan ini dapat merungkaikan segala kemusykilan.
Permainan video PUBG dan Mobile Legends: Bang Bang amat popular di kalangan remaja. Malah ramai menghabiskan masa berjam-jam mengadap telefon bimbit masing-masing sehingga ada yang terlupa mengerjakan solat yang menjadi kewajiban bagi umat Islam. Lebih malang, adakalanya pemain bertaruh wang sesama sendiri sekaligus wujudnya unsur perjudian di situ.
Terkini, streamer menjadikan itim-item untuk ditikam dengan menggunakan Unknown Cash (UC) dalam permainan ini. Apakah hukumnya. Dengarkan penjelasan Mufti Wilayah mengenai hukum UC ini.
Assalamualaikum. Tujuan saya mesej SS Mufti adalah untuk memberitahu tentang amalan streamer FB (livestream) di Malaysia yang beragama Islam yang gemar menikam item-item yang luar biasa dalam permainan video seperti Player Unknown’s Battle Ground (PUBG), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan sebagainya. Cara mereka menikam item-item tersebut adalah dengan menggunakan Unknown Cash (UC) bagi permainan PUBG dan Diamond bagi permainan MLBB. Bagi mendapatkan UC dan Diamond tersebut, seseorang itu hendaklah menambah nilai menggunakan wang yang sebenar (RM). Apakah hukum melakukan transaksi sedemikian? Diharapkan pihak SS Mufti dapat meneliti terhadap isu ini yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Terima kasih banyak.
Jawapan Ringkas
Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.
Huraian Jawapan
Dalam era globalisasi kini, setiap isu baharu yang muncul perlu difahami gambarannya sebaik mungkin supaya setiap hukum-hakam yang keluar berada di atas landasan yang tepat dan benar bersesuaian dengan prinsip Islam yang menyebut, “Hukum terhadap sesuatu perkara terbina berdasarkan gambaran menyeluruh tentangnya”. Tulisan ini akan memfokuskan jawapan hukum menggunakan duit Unknown Cash (UC) PUBG Mobile untuk tujuan tikaman.
Konsep Unknown Cash (UC)
Dalam permainan PUBG, selain daripada aktiviti utama iaitu peperangan dan aksi tembak-menembak sesama pemain, pemain juga disediakan ciri-ciri dan keistimewaan lain untuk menaik taraf penampilan karakter setiap pemain seperti set pakaian yang cantik, aksesori senjata yang unik, hiasan kereta dan motor yang menarik, dan sebagainya. Kesemua perkara tersebut boleh didapati melalui pelbagai medium. Antaranya, melalui shop (kedai barangan), medium Elite Royal Pass, pembukaan crates (peti), menyelesaikan misi-misi yang diberikan dan lain-lain.
Dalam masa yang sama, item dan barangan tersebut boleh diperoleh secara percuma melalui pemberian pihak PUBG sendiri, berbayar mahupun melalui tikaman. Proses bayaran dan tikaman memerlukan setiap akaun pemain mempunyai duit yang mencukupi. Duit tersebut mempunyai beberapa kategori seperti Unknown Cash (UC), Battle Points (BP), Ace Gold (AG) dan Silver. Pembelian secara terus boleh menggunakan kesemua kategori duit tersebut manakala pembelian secara tikaman hanya boleh menggunakan UC dan AG sahaja.
UC boleh dibeli dengan mata wang sebenar secara online dengan harga yang berbeza-beza mengikut penyedia (provider); seperti contoh 600 UC bersamaan RM39.90. Duit UC dan AG yang mencukupi melayakkan pemain untuk melakukan tikaman melalui pembukaan peti-peti istimewa seperti Premium Crate, PUBG Lucky Crate, Classic Crate dan sebagainya. Kos yang dikenakan bagi setiap tikaman pula berbeza-beza mengikut tahap keistimewaan sesebuah peti. Seperti contoh, kos sekali percubaan untuk membuka Premium Crate berharga 120 UC manakala bagi PUBG Lucky Crate berharga 60 UC.
Kebiasaan tikaman dibuat bagi mendapatkan item-item yang istimewa dan langka yang tidak boleh didapati melalui pembelian secara terus. Jadi, perbahasan di bawah akan membincangkan status hukum bagi transaksi tersebut.
Analisis hukum
Setelah membuat analisis dan pemerhatian terhadap kaedah transaksi di atas, kami mendapati ia bermasalah kerana beberapa sebab.
Utamanya, pemain hanya bergantung 100% terhadap hasil tikaman yang dibuat. Konsep sebegini dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur perjudian. Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama menyatakan ciri-ciri berikut:
(Lihat Halal Dan Haram Dalam Islam, hlm. 427)
Kesemua ciri tersebut wujud dalam transaksi di atas. Huraiannya, pembeli atau pemain meletakkan taruhan mereka menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit, dalam masa yang sama pihak PUBG selaku penjual menawarkan item-item yang menarik untuk dimiliki.
Pemilikan hanya sah dengan cara tikaman dibuat. Sekiranya nasib menyebelahi pemain, maka dia akan dapat barang tersebut dengan sekali percubaan membuka peti sahaja. Jika sebaliknya, kemungkinan dia tidak akan dapat barangan tersebut walau berpuluh-puluh kali percubaan dibuat, bahkan beribu-ribu UC habis dilaburkan.
Antara dalil pengharamannya ialah firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. Surah al-Ma’idah (90)
Tambahan pula, kaedah tikaman sebegini bergantung kepada nasib semata-mata. Sedangkan permainan yang bersandarkan kepada unsur nasib semata-mata turut dilarang oleh Syarak, apatah lagi disertakan bersama wang taruhan. Ini disebutkan dalam kitab fiqh bahawa:
“Setiap permainan yang berdasarkan nasib seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan sebegini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia.”[1](Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/166)
Seterusnya, menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya. Kami merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) yang menyebut seperti berikut: “Jual beli yang mengandungi unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak.”[2]
Hal ini jelas kelihatan tatkala pemain ingin menikam barang-barang yang ada dalam peti, contohnya Premium Crate. Pemain perlu membayar sebanyak 120 UC terlebih dahulu sebelum mempunyai peluang untuk menikam barang. Kemudian, berlaku proses pemilihan barang akan berlaku secara rawak. Terdapat kemungkinan pemain ‘dapat dan tidak dapat’ apa yang dimahukan. Jual beli sebegini mirip dengan gambaran jual beli Munabazah dan Mulamasah yang diharamkan oleh Syarak.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara sentuh-menyentuh (mulamasah) dan campak-mencampak (munabazah).” Riwayat al-Bukhari (5482)
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) ada dinyatakan:-
“Dalam menafsirkan kedua-dua istilah ini, periwayat hadis ini berkata: Mulamasah ialah seorang lelaki menyentuh sehelai pakaian dengan tangan pada waktu malam atau siang dan dia tidak boleh mengambil selain daripada barangan yang disentuhnya. Munabazah pula ialah seorang lelaki mencampakkan bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki pertama, dengan itu berlakulah jual beli tanpa melihat atau saling meredhai.”[3]
Alternatif dan Saranan
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.
Kami sedia maklum bahawa pembelian sebegini tidak membuatkan para pemain mendapat barang-barang yang istimewa dan langka. Namun, prinsip agama menyebut secara jelas bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, bahkan item tersebut bukanlah kategori barang keperluan apatah lagi mendesak.
Dalam artikel kami sebelum ini, kami ada menyebut bahawa permainan PUBG secara umum hukumnya adalah makruh sekiranya tidak mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Syarak. Namun begitu, hukum keharusan tersebut boleh berubah sekiranya terdapat elemen lain yang dilarang Syarak seperti mengabaikan perintah Allah, bermain terlalu lama sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai individu Muslim, mempunyai unsur perjudian, maksiat dan sebagainya.
Sehubungan itu, kami menasihatkan agar para pemain yang terlibat meninggalkan perbuatan menikam barang tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT sama ada perbuatan tersebut dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja. Perkara halal dan haram perlu jelas ditentukan dan unsur-unsur haram perlu disingkirkan sekiranya ada. Akhir kata, apabila agama mengharuskan sesuatu perkara, agama juga mengehadkan sesuatu perkara yang lain. Kesemuanya memperlihatkan ciri-ciri agama yang bersifat fleksibel dalam masa yang sama tidak mengenepikan prinsip-prinsip utama. Wallahu a’lam.
Bila waktu yang tepat, naikkan jari telunjuk ketika tahiyat awal dan akhir. Ada beberapa perbahasan antaranya bila nak turun jari atau jari telunjuk perlu statik tak bergerak, kesemuanya banyak dibahaskan dalam hadis.
Jadi, pada waktu bilakah disunatkan untuk kita mengangkat jari telunjuk ketika tasyahhud (tahiyat)? Adakah sewaktu mula mengucapkan ‘Asyhadu alla Ilaha illa Allah’?
Selain itu, perlukah kita terus kekal mengangkat jari telunjuk hingga memberi salam? Ikuti penjelasan Ustaz Riza berkaitan isu ini:
Dalam beberapa penjelasan dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w, bagaimana rasulullah duduk ketika tasyahud dan bagaimana kedudukan tangan Nabi ketika bertasyahud.
Mengangkat jari telunjuk ketika duduk tasyahhud tsabit melalui pelbagai hadith, antaranya ialah melalui Abdullah bin Umar R.Anhuma yang meriwayatkan tatacara Rasulullah SAW solat sewaktu keadaan tasyahhud:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَعَدَ يَدْعُو وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ وَوَضَعَ إِبْهَامَهُ عَلَى إِصْبَعِهِ الْوُسْطَى وَيُلْقِمُ كَفَّهُ الْيُسْرَى رُكْبَتَهُ
Maksudnya: Rasulullah SAW apabila duduk untuk tasyahhud, Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan dan tapak tangan kiri di atas peha kiri, sambil mengangkat jari telunjuk dalam keadaan ibu jari diletakkan di atas jari tengah, manakala tapak tangan kiri Baginda pula menutup bahagian lutut.
Sahih Muslim (579)
Maksudnya: Rasulullah SAW apabila duduk untuk tasyahhud, Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan sambil menggenggam kesemua jari, dan mengangkat jari telunjuk iaitu jari disebelah ibu jari, dan meletakkan tapak tangan kiri di atas peha kiri.
Sahih Muslim (580)
Jelas Ustaz Riza, kita dituntut atau disunatkan untuk mengangkat jari telunjuk ketika kalimah ‘illallah’.
Ada beberapa perbahasan antaranya bila nak turun jari atau jari telunjuk perlu statik tak bergerak kesemua banyak dibahaskan dalam hadis.
Tetapi praktis kita di Malaysia adalah mengangkat satu jari iaitu jari telunjuk dan statik tanpa bergerak. Namun sekiranya seseorang itu tidak ada jari iaitu jari telunjuknya putus akibat kemalangan, maka dia tidak perlu mengangakt jari-jari yang lain.
Di sini dengan jelas dapat kita lihat, gugur tuntutan angkat jari telunjuk ketika tasyahud kerana dia di kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Selain itu, jari telunjuk kanan itu hendaklah kekal dalam keadaan demikian hingga bangun jika dia dalam tasyahhud awal, atau hingga memberi salam jika dalam tasyahhud akhir.
Jika seseorang itu sudah taubat tetapi setelah beberapa lama masa berlalu dia telah lakukan lagi dosa itu. Adakah taubatnya dulu tidak diterima?
JAWAPAN :
Siapa yang telah melakukan satu dosa kemudian dia telah bertaubat maka Allah akan menerima taubatnya itu jika taubatnya itu nasuha artinya yang ikhlas kerana Allah yang terbit dari hatinya dan ada serta taubatnya itu rasa penyesalan atas apa yang telah lalu dan berazam ia sungguh-sungguh tidak akan kembali kepada maksiat.
Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu semua kepada Allah dengan taubat nasuha semoga Tuhan kamu menghapuskan daripada kamu sekelian segala kesalahan kamu dan memasukkan kamu sekelian kedalam taman-taman syurga yang berlari di bawahnya mata air.” (At-Tahrim : 8)
Ertinya : “Dan sungguhnya Aku maha pengampun bagi orang yang bertaubat dan beriman dan melakukan amal yang soleh kemdian mengikut pertunjuk.” (Taha : 82)
Ada pun taubat hanya dengan lisan sedangkan hati masih ingin kembali kepada maksiat maka taubat ini ditolak bahkan ia dikira sebagai satu maksiat pula.
Maka jika telah benarlah taubat yang nasuha kemudian syaitan memperdayakannya sehingga dia terjatuh melakukan maksiat lagi dalam keadaan tidak ada dia berniat untuk melakukan maksiat dan tidak berazam melakukannya kemudian dia bertaubat maka Allah akan menerima taubatnya.
Hukum ubat kuat menurut Ustaz Azhar Idrus adalah harus jika digunakan untuk tujuan kesihatan dan nafkah batin, dengan syarat produk halal, selamat serta tidak memudaratkan pengguna.