Mengingati mati hukumnya sunat kerana kematian merupakan sesuatu yang pasti dan kita harus bersedia menghadapinya.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Setiap yang bernyawa itu akan mati” (Surah al-Anbiyaa: 35)

Hukum menyempurnakan jenazah orang Islam adalah fardhu Kifayah, ianya memadai dilaksanakan oleh sebahagian orang Islam sahaja tetapi jika tidak ada yang melakukannya, maka semuanya akan berdosa.

Perkara yang wajib dilakukan dalam mengurus jenazah orang Islam ialah memandikan, mengkafankan, solatkan dan mengkebumikan.

Meskipun tiada pertalian darah dengan si mati namun Mohd Zulhairi Zainol ikhlas menguruskan jenazah bermula daripada memandikan hingga ke liang lahad dilakukan secara percuma.

Menurut Mohd Zulhairi, dia pernah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya, merayu untuk membantu menguruskan jenazah seorang rakan yang meninggal dunia di Ipoh, Perak.

“Pernah satu kes di Ipoh, ada orang minta tolong sangat… sebab dia tiada duit.

IKLAN

“Saya minta waris tunggu sehingga saya sampai dalam tempoh tiga jam kerana memandu dari Kuala Lumpur. Kemudian saya uruskan semuanya termasuk mandikan, kafan dan bawa jenazah ke kubur.”

Kata pemuda berusia 33 tahun itu, dia mula menawarkan perkhidmatan van jenazah secara percuma di seluruh Semenanjung kepada mereka yang memerlukan sejak lebih dua tahun lalu.

 

IKLAN

Pada awalnya, lelaki yang berasal dari Bangi, Selangor itu mula membantu golongan asnaf yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah dengan menyediakan barangan keperluan dapur kepada 30 hingga 40 keluarga pada setiap awal bulan.

Tidak lama kemudian, Mohd Zulhairi menawarkan perkhidmatan penghantaran jenazah kerana ingin membantu golongan tidak berkemampuan.

“Saya bukan NGO (badan bukan kerajaan), ini adalah perkhidmatan persendirian. Aset (kenderaan) yang dibeli adalah sumbangan daripada kawan-kawan.

“Kami baru dapat beli Toyota Alphard terpakai berharga RM60,000 untuk bawa orang pergi hospital pula,” katanya yang turut memiliki dua van jenazah.

IKLAN

 

Kata bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia berpandangan penggunaan van jenazah untuk menghantar orang sakit adalah tidak sesuai. Maka Mohd Zulhairi dan rakan-rakannya mengutip derma untuk membeli MPV terpakai tersebut.

Katanya, dia mengendalikan beberapa kumpulan WhatsApp yang disertai hampir 400 ahli yang sanggup memberikan sumbangan secara bulanan bagi membantunya menguruskan perkhidmatan tersebut.

Wang yang terkumpul akan diagihkan kepada golongan asnaf dan sebagai kos untuk menguruskan jenazah. Selain menawarkan perkhidmatan itu sepenuh masa, Mohd Zulhairi turut menjadi pemandu persendirian atau berkhidmat sebagai ‘runner’ premium bagi golongan hartawan.

Sumber: Mstar.com