Mungkin ramai yang membaca surah Kursi ini setiap hari tapi tidak tahu akan kelebihannya.
Potongan ayat ke-255 daripada Surah Al-Baqarah ini juga digelar ‘penghulu segala ayat al-Quran’ atau ayat paling agung dalam al-Quran . Keistimewaan dan kelebihannya dihuraikan oleh Dr Ahmad Sanusi.
Jangan tinggal ayat Kursi selepas solat
1. Amalan untuk masuk syurga
Pesan pada diri dan anak-anak agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setelah selesai menunaikan solat. Perkara ini adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda Nabi ﷺ sendiri.
Sabda Rasulullah ﷺ:
مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلا الْمَوْتُ
“Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani- hadis Sahih)
2. Ayat agung dalam al-Quran
Hadis di atas jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat agar tidak meninggalkan bacaan ayat Kursi setiap kali selesai dari solat. Malah ayat Kursi turut diiktiraf oleh Rasulullah ﷺ sebagai salah satu ayat yang agung.
Perkara ini pernah ditanya kepada Saidina Ubai bin Ka’b. Sabda Rasulullah:
يَا أَبَا الْمُنْذِرِ، أَتَدْرِي أَيُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ»؟ قَالَ: قُلْتُ: }اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ{ . قَالَ: فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ :«وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ
“Wahai Abu al-Munzir (gelaran bagi Ubai), apakah ayat yang paling agung di dalam al-Quran? Ubai lalu membaca permulaan ayat Kursi. Rasulullah lalu memegang dada Ubai dan memujinya: “Bergembiralah (tahniah buatmu) dengan ilmu (yang ada padamu) wahai Abu al-Munzir. (HR Muslim)
3. Struktur ayat memuji dan mengagungkan Allah SWT
Apa yang membuatkan ayat Kursi dianggap sebagai ayat yang paling agung di dalam al-Quran?
Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Dr. Yusuf al-Qardawi yang mengatakan:
إن آية الكرسي تميزت بكونها خاصة بالثناء على الذات العليا لله عز وجل وتنزيهه ووصفه بكل كمال يليق
“Sesungguhnya ayat Kursi itu mempunyai kelebihan dari aspek struktur ayatnnya yang memuji dan mengagungkan zat Allah yang Maha Tinggi, menyucikanNya serta menyifatkanNya dengan sifat yang layak bagi zat Allah.”
4. 10 bahagian ayat semuanya memuji Allah
al-Qardawi turut menjelaskan bahawa ayat Kursi ini boleh dibahagikan kepada sepuluh bahagian. Kesemua sepuluh bahagian ini mengandungi elemen yang mengagungkan Zat Allah. Kata beliau:
إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله
“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”
5. Syaitan tak berani mendekati
Atas kehebatan dan keagungan ayat yang mengesakan Allah ini, maka tidak hairanlah syaitan tidak berani mendekati mereka yang membaca ayat Kursi sebelum tidur seperti yang diceritakankan oleh Saidina Abu Hurairah dalam riwayat al-Bukhari.
Malah rumah yang dibaca ayat Kursi akan digeruni oleh syaitan seperti yang dinukilkan dalam hadith:
فإنه لا يقرأها أحد إذا دخل بيته إلا خرج الشيطان
“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)
6. Baca lepas solat, sebelum tidur, sebelum masuk rumah
Maka berikanlah pesanan buat diri, anak-anak dan ahli keluarga kita agar tidak lekang dari membaca ayat Kursi. Lazimi diri membacanya samada setiap kali selesai dari solat, sebelum tidur, setiap kali masuk rumah atau di waktu pagi dan petang. Basahi lidah kita dengan ayat agung ini. Mudah-mudahan Allah memelihara hambanya yang sentiasa mengagungkan Tuhannya.
Jangan berlakon terlupa, dilupakan, melupakan atau apa pun yang berumpunkan kata dasar lupa. Sedar diri ada hutang, bayar sebelum malaikat Izrail datang menyapa. Ramai juga yang liat nak membayarnya.
Jika bertangguh lama, bimbang yang memberi hutang pun kita tak jumpa, samada sudah dijemput Ilahi atau pindah entah ke mana. Ini yang kita perlu elakkan. Bersegeralah bayar sebagaimana dijanjikan.
Jika terjadi siatuasi yang mana kita nak bayar tapi tak tahu di manakah si pemberi hutang berada walaupun sudah mencari merata dan pelbagai cara, maka Islam ada cara untuk kita selesaikan.
Pucuk pangkalnya ia WAJIB dibayar. Kita sebagai pemiutang juga perlu maklumkan kepada ahli keluarga terdekat akan hal ini; kepada siapa, supaya mudah bagi mereka lunaskan bagi pihak kita.
Untuk itu, kita lihat kaedah bayaran yang disarankan:
Benar-benar serius
Carilah alamat si pemberi hutang. Lakukan lah apa sahaja metod. Hubungi rakan-rakan atau berjumpa dengan jiran kediaman lamanya, saudaranya atau sahabat tempat kerjanya. Tiada yang mustahil kan?
2. Sedekahkan atas nama si pemberi hutang
Kenalpasti pihak yang sesuai diberikan sedekah dengan jumlah nilai hutang. Sedekah infaq atau wakaf lebih baik lagi kerana pahalanya akan mengalir hingga akhirat buat si pemberi hutang.
3. Jika bertemu si pemberi hutang?
Andai bertemu selepas sedekah dilakukan, maka hutang tersebut perlu dibayar juga melainkan jika dia redha dengan sedekah itu.
Jika dia redha, Alhamdulillah, kita bebas daripadanya. Jika sebaliknya, maka kena lah bayar juga dan anggaplah sedekah tadi menjadi pahala buat kita.
4. Si pemberi hutang sudah meninggal dunia
Ini lah yang kita nak elakkan. Namun kalau sudah ajal, maka kita wajib mencari ahli warisnya. Jika tak jumpa warisnya, maka jalan akhir ialah dengan menyedekahkannya sebagaimana point pertama di atas.
Apakah ada fatwa menjelaskan tentang bayarannya sebagai wajib. Jawapannya Ya, ada. Sebagaimana dijelaskan dalam fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah berikut;
“Wajib bagi engkau bertanya dan bersungguh-sungguh sampai engkau tahu tempat dan alamatnya. Kemudian engkau kirimkan hak mereka (hutang), jangan terburu-buru (menyimpulkan tidak bertemu). Jika sudah benar-benar tidak bertemu maka bersedekah dengan niat pahala bagi mereka. Apabila engkau bertemu, maka mereka diberi pilihan. Jika mereka menerima sedekah itu, pahalanya untuk mereka dan jika tidak menerima, maka pahala sedekah untuk mu dan engkau tetap wajib membayar hutangmu”
Imam An-Nawawi berkata, “Ghazali menyebutkan, barangsiapa yang menyimpan harta haram dan dia hendak bertaubat dan hendak lepaskan diri dari harta haram tersebut. Jika ada pemiliknya maka dikembalikan padanya atau kepada wakilnya. Jika pemiliknya sudah meninggal, wajib menyerahkan kepada ahli warisnya. Namun jika pemilik dan ahli warisnya tidak diketahui juga dan sudah bersungguh-sungguh mencari, maka hendaknya harta tersebut disedekahkan untuk kemaslahatan kaum Muslimin, seperti untuk membangun jembatan, masjid, menjaga perbatasan negara Islam, dan sektor lain yang bermanfaat untuk segenap kaum Muslimin atau boleh juga dia sumbangkan kepada fakir miskin.”
Semoga keterangan ini memberi manfaat.
Kashoorga: Jika selesai baca artikel ini, maka segeralah recall semula.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bagi yang belum memiliki rumah sendiri, kadang kala terjadi kita perlu berpindah ke rumah lain. Boleh jadi juga rumah sewa baru yang kita bakal duduki pernah didiami oleh bukan Islam.
Bila begini timbul persoalan perlukah rumah tersebut disertu kerana bimbang penyewa sebelum memelihara anjing walaupun tak pernah tahu atau nampak. Selain itu bagaimana pula cara untuk sertu yang betul untuk rumah ini?
Memetik penjelasan dari portal Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, ini perkara yang perlu dilakukan.
Fahami erti sertu
Sebelum menjawab isu ini dengan lebih lanjut, suka untuk diperjelaskan berkaitan pengertian sertu. Ia membawa maksud: menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak. (Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat)
Cara untuk melakukan sertu, mengikut pendapat Mazhab Syafie ialah basuh pada tempat yang terkena najis mughallazah sebanyak tujuh kali, iaitu satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak (air suci pada dirinya dan dapat menyucikan orang lain). Jika didapati najis itu tetap ada ain (nampak), maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang najis tersebut.
Jangan andaikan perkara yang tidak nampak
Berkenaan persoalan yang diajukan, ketidakpastian sama ada owner rumah non-muslim yang mendiami rumah tersebut membela anjing ataupun tidak, telah menimbulkan keraguan sama ada rumah tersebut bersih daripada najis mughallazah ataupun tidak?
Pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas ia bernajis. Kita tidak sepatutnya mengandaikan perkara yang tidak nampak. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah usul fiqh:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).
Maksudnya: “Kerana sesungguhnya kebenaran adalah ketenteraman dan dusta adalah keraguan.”
(Diriwayatkan oleh. ‘Abdur-Razaq dalam al-Mushannaf (no. 4984), Ahmad (I/200). Al-Tirmidzi (no. 2518), Al-Tabrani dalam al-Mu’jamul-Kabir (no. 2708, 2711). Al-Baghawi dalam Syarhus-Sunnah (no. 2032)).
Rasulullah SAW juga bersabda:
عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَرَيْحَانَتِهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: حَفِظْت مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: دَعْ مَا يُرِيبُك إلَى مَا لَا يُرِيبُك
Maksudnya: Dari Abu Muhammad al-Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangannya RA, dia berkata: “Aku telah hafal dari Rasulullah SAW: ‘Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu’.”
(Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan al-Nasa’i.)
Oleh itu, tidak perlu disertu rumah tersebut kerana tiada bukti keseluruhan rumah itu terkena najis mughallazah. Islam tidak memberatkan atau menyulitkan masalah sehingga perlu berbuat demikian. Jika jelas terbukti tempat tertentu digunakan atau terkena najis mughallazah dan masih tidak dibersihkan dengan baik, maka di situ sahaja yang perlu disertu. Namun, jika mahu disertu juga keseluruhan, maka ia adalah harus.
Cara melakukan sertu
Amalan sertu perlu diberi perhatian serius oleh orang Islam kerana bab bersuci antara perkara penting yang dibincangkan dalam hukum fiqh. Allah berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, Iaitu binatang Yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-An’am ayat 145)
Ulama’ al-Syafi’iyyah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya. Mereka beristidlal (menetapkan sesuatu keputusan) pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah”.
Riwayat Muslim (279)
Kedua: Mazhab Imam Ahmad menunjukkan bahawa boleh untuk menggunakan selain daripada tanah dalam proses sertu seperti menggunakan sabun dan selainnya. [Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/74).]
Ketiga: Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir). [Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (114/3)].
Kaedah membasuh rumah tersebut adalah seperti berikut:
Basuh tempat tersebut sebanyak (1) satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak.
Jirus air yang di campur tanah pada tempat yang mempunyai najis.
Kesimpulannya, berdasarkan persoalan yang diutarakan hukum sertu rumah yang bakal didiami adalah tidak wajib kerana tidak pasti akan kewujudan najis. Sekiranya wujud keyakinan, maka wajib untuk menyucikan najis tersebut. Namun, jika ingin disertu juga rumah tersebut, hukumnya adalah harus bagi menghilangkan was-was serta lebih tenteram dan yakin untuk menetap di dalam rumah tersebut.
Bercinta, bertunang, bernikah dan dikurniakan bayi yang comel adalah kurniaan rezekiNya. Menimang cahayamata terutamanya merupakan nikmat paling indah. Anak-anak adalah pintu rezeki dan doa anak yang soleh dan solehah akan mengiringi kita ke syurga nanti.
Tatkala ibu selamat melahirkan bayi, perkhabaran baik itu disambut penuh kesyukuran oleh sang ayah, ahli keluarga dan kenalan. Kalau boleh, satu dunia perlu tahu kehadiran si mungil.
Namun dalam kegembiraan tersebut, adab menyambut kelahiran bayi harus diutamakan bagi mendapat redha Allah.
Ayah perlu ambil tahu hal ini. Ikuti perkongsian Ustaz Rahman Iskandar, tentang adab-adab menyambut kelahiran bayi yang ramai ambil mudah.
PENYAMBUT BAYI
Orang yang terbaik untuk menyambut bayi ialah bidan atau doktor Muslimah. Sekiranya tiada, maka keutamaannya boleh diserahkan kepada perempuan non-Muslim, seterusnya kepada lelaki Muslim, dan akhir sekali kepada lelaki non-Muslim. Ini semua adalah merujuk kepada fiqh aurat wanita di dalam Islam.
PERSEKITARAN TEMPAT BERSALIN
Bilik bersalin adalah tempat si ibu berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan anak. Justeru, pastikan tempat tersebut bersih. Selain itu, galakkan si bapa untuk berada sekali semasa persalinan sebagai sokongan moral.
Si bapa bolehlah memainkan peranan mengurangkan kesakitan si ibu, dan juga membaca doa atau sekadar memasang alunan bacaan al-Quran. Biar si ibu sentiasa teringat Allah, dan biarlah si bayi mendengar kalam Allah sebagai kalimah pertama ketika mula mengunjungi alam dunia ini.
MENGHEBAHKAN DAN UCAPAN TAHNIAH TANDA GEMBIRA
Adalah disunatkan untuk menghebahkan kelahiran anak terutama kepada si bapa dan juga kepada kaum keluarga dan rakan taulan. Dalam a-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan atau memberitakan berita gembira
Di dalam kitab Tuhfatul Maudud karangan Ibn al-Qayyim, dilaporkan yang Hasan al-Basri mencadangkan ucapan doa tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak. Sebahagian menyatakan doa ini adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut:
“Moga engkau diberkati dengan anugerah (kelahiran bayi) ini, dan bersyukur kepada yang Maha Pemberi (Allah), dan moga engkau diberikan ketaatannya, dan dia (bayi) akan membesar (dewasa).”
Ibu dan bapa diajar untuk menjawab:
“Moga Allah memberkati kamu, dan berkat-Nya ke atas kamu, dan moga Alah mengurniakan rezeki seperti ini (mendapat anak juga).”
AZAN DAN IQAMAT
Sejurus selepas kelahiran anak, si bapa atau walinya disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Ini berdasarkan sepotong hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi menyatakan yang nabi berbuat demikian ketika kelahiran al-Hasan bin Ali.
Ada yang mengkritik hadis ini kerana statusnya dho’if. Bagaimanapun, Ibn al-Qayyim menggalakkannya kerana biarlah si anak mendengar ucapan yang membesarkan Allah, syahadah, serta seruan ke arah solat dan kejayaan sebagai ayat-ayat pertama didengar di muka bumi ini.
Tahnik atau membelah mulut digalakkan selepas anak itu dilahirkan. Caranya ialah dengan mengunyah tamar atau melumatkan tamar dengan jari, lalu diletakkan tamar yang sudah lumat itu ke hujung jari, dimasukkan perlahan-lahan ke mulut anak dan diratai tamar tadi ke seluruh bahagian lelangit bayi.
Ketika ketiadaan tamar, bolehlah digantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis. Hikmahnya ialah untuk menguatkan gusi, urat mulut bayi serta menggalakkannya untuk minum susu ibu.
Sunnah tahnik adalah berdasarkan sepotong hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Dilaporkan Abu Musa r.a. berkata: “Aku pernah mendapat seorang anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah SAW maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnik dengan tamar, lalu didoakan keberkatan kepadanya. Kemudian diserahkannya kepadaku.”
MENCUKUR RAMBUT BAYI
Sunat dicukurkan rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin.
Menurut Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab Tarbiyatul Aulad, ada dua hikmah galakan mencukur rambut bayi, iaitu menguatkan kepala si anak, dengan cara membuat lubang rambutnya dan sekaligus mengukuhkan panca indera berhampiran.
Begitu juga sebagai hikmah sosial iaitu bersedekah dan saling bantu-membantu kepada yang memerlukan.
Ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.:
“Bahawasanya Rasulullah SAW telah mengarahkan untuk mencukur rambut al-Hasan dan al-Husain pada hari ketujuh mereka, rambut mereka telah dicukur, lalu disedekah timbangannya dengan perak”.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika menggunting rambut anak ialah larangan qaza’. Qaza’ bermaksud mencukur atau memendekkan sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain panjang seperti ‘punk’.
MEMBERIKAN NAMA ANAK
Ibu dan bapa disunatkan memberikan nama anak sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh. Khilaf ini berdasarkan hadis yang melaporkan Rasulullah memberi nama anak baginda dengan nama moyang baginda Ibrahim sejurus selepas kelahirannya.
Sementara dalam hadis yang lain Rasulullah memberikan nama al-Hasan dan al-Husein serta ramai yang lain pada hari ketujuh.
Digalakkan untuk memberikan nama anak dengan makna yang baik. Berdasarkan hadis riwayat Abu Daud :
“Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith dan Hammam manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.”
Sebahagian ulamak menyatakan bahawa sebaik-baik nama ialah nama yang dipuji seperti Ahmad, Muhammad, Mahmud dan Hamadah, serta nama yang disembah seperti Abdullah, Abdul Basit, Abdul Razak dan lain-lain.
Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya.
Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya. Dimakruhkan memberi nama anak sempena orang Islam terkenal yang fasiq. Dimakruhkan juga memberikan nama dengan perkataan yang bombastik. Ini berdasarkan hadis nabi, antaranya :
“Orang yang dimurkai Allah di hari kiamat dan sangat dibencinya ialah seorang yang dipanggil Malikul Malik (raja sekalian raja). Tiadalah raja yang memiliki melainkan Allah.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi).
AKIKAH
Majoriti mazhab menggalakkannya (sunat). Sementara mazhab Hanafi pula tidak mewajibkannya.
Sunat anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing, sementara anak perempuan seekor kambing. Sebahagian ulamak menyatakan menurut zahir hadis, memadai anak lelaki itu akikah dengan seekor kambing sahaja. Masa untuk aqiqah disunatkan pada hari ketujuh.
Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.
KHITAN / SUNAT
Dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya untuk anak perempuan.
Digalakkan melakukannya sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran atau hingga usia mukallaf. Antara hikmah bersunat ialah sebagai tanda keseriusan Islam terhadap kesucian anak.
DOA
Anak-anak adalah saham kita untuk masa hadapan. Ketika kita meninggal dunia nanti, doa anak yang soleh ialah antara amalan yang akan berterusan sampai kepada diri kita. Justeru, janganlah putus daripada mendoakan anak kita menjadi anak yang soleh.
Doa yang terbaik ialah seperti yang diajar oleh Allah sendiri di dalam surah
al-Furqan ayat 74:
“Tuhanku, kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku sesuatu yang menjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kepada imam kepada orang yang bertakwa.”
Kashoorga: Untuk adab menyambut kelahiran bayi ini, kita utamakan yang wajib dahulu. Perkara yang sunat boleh dilakukan sekiranya mampu dan yang makruh, sebaiknya kita tinggalkan terus. Wallahu’alam
Hidup tanpa sahabat atau teman dah tentu membosankan. Namun dalam memilih sahabat kita haruslah lebih berhati hati terutama pada zaman sekarang.Seorang sahabat membawa pengaruh...