
Dewasa ini ramai wanita yang bersolat dengan hanya mengenakan tudung labuh, jubah panjang dan stoking sehingga menimbulkan tanda tanya sama ada solat mereka sah mahupun tidak. Adakah ketika bersolat, wajib mengenakan telekung atau ia sekadar syarat sahaja? Entri kali ini menjelaskan untuk anda.
Telekung bukanlah wajib ketika bersolat. Yang penting seorang wanita itu mengenakan pakaian yang menutup aurat untuk mendirikan solat. Ummu Salamah r.a berkata, pernah dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang perkara ini. “Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang dan menutup kepala tanpa memakai kain sarung (izar). Baginda menjawab: “Boleh selagi mana pakaian panjangnya itu (dar’u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.” (Riwayat Abu Dawud). Dalam hadis lain Aisyah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Tidak diterima solat wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung.” (Riwayat Tirmizi).
Maka melalui dua hadis ini, fuqaha membahaskan syarat pakaian solat untuk wanita. Pertamanya kain tudung menutupi kepala dan dada mereka serta kainnya perlu cukup panjang sehingga dapat menutup tapak kaki wanita tadi. Kedua, pakaian yang dipakai haruslah longgar dan tidak berbayang (iaitu tidak jarang).
Dengan pakaian seperti jubah, asalkan syarat menutup auratnya dipenuhi, maka solat boleh didirikan dengan mudah, tidak kira di mana. Tidak perlu khuatir solat lewat kerana terpaksa menunggu giliran menggunakan telekung dan sebagainya. Seandainya pakaian yang dipakai sudah cukup menutup aurat dan bebas daripada najis, maka solat itu sah.
10 Amalan Di Hari Jumaat Yang Patut Kita Buat

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari Jumaat inilah hari yang terkumpul di dalamnya sekian banyak fadhilat dan kelebihan. Hari Jumaat juga dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam.
Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik hari yang matahari terbit pada hari berkenaan ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam telah dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan pada hari itu juga ia dikeluarkan darinya.
Pastinya hari Jumaat menjadi hari yang cukup istimewa dan ramai yang menantikan kedatangan penghulu segala hari ini.
10 perkara ini kita kena buat hari ini. Iyalah, hari inikan hari Jumaat. Penghulu segala hari.
1. Mandi sunat hari Jumaat. Nak mandi tu kalian niatlah. Dapat pahala.
2. Berpakaian kemas. Terus boleh pergi kerja dan bawa ke masjid untuk solat Jumaat.
3. Memakai wangian. Hari Jumaat ini, kalian semburlah lebih sikit. Huhu.
4. Datang awal ke masjid. Iyalah, nak elak berebut parking dan tempat duduk di masjid nanti.
5. Membaca surah Al-Kahfi. Paling tidak 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir.
6.Banyakkan selawat ke atas Nabi. Ambil 1 masa, berselawatlah sebanyaknya. Letakkan jumlah kalau boleh. Contohnya nak selawat 50 kali. Hah, buatlah kasi habis.
7. Banyakkan berdoa hari ini. Kerana ada waktu yang mustajab berdoa pada hari Jumaat.
8. Di masjid nanti, elakkan melangkah bahu jemaah lain, hati-hati supaya kalian tak lalu depan orang sembahyang, duduk dekat dengan imam, dengar khutbah dan ini penting, simpan henfon canggih kalian dalam poket. Jangan bagi ada bunyi ya.
9. Bersedekahlah hari ini. Tabung masjid atau kepada siapa sahaja.
10.Berkata yang baik-baik sahaja. Elakkan mengumpat dan mencarut. Huhu. Banyakkan mendengar nasihat dan cuba sampaikan nasihat juga.
Sumber kredit: FB: Firdaus Mokhtar
Ini Kelebihan Solat Dhuha, Rugi Kalau Langsung Tak Pernah Buat

Solat Dhuha merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk dilakukan oleh setiap muslim. Ia juga dikenali dengan nama solat al-Awwabin dan waktunya bermula setelah terbitnya matahari.
Tambahan pula, Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:
أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” [Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]
Banyak hadis yang menggalakkannya dan menyatakan keutamaannya.
1. Solat Sunat Yang Sangat Dituntut
Antaranya ialah dalam Riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasulullah SAW telah berwasiat kepadakau tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
2. Dimurahkan Rezeki Dan Elak Miskin
Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain”, sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:
“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan”
3. Ganti ‘Sedekah’
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:
“Pada tiap-tiap pagi, lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
4. Diampuni Dosa
Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya, nescaya diampuni Allah baginya aku segala d0sanya walaupun seperti buih di lautan” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
KELEBIHAN SOLAT DHUHA
Antara kelebihan solat Dhuha yang lain adalah dua rakaat solat Dhuha menyamai kita telah melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى
Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” [Riwayat Muslim (720)]
KESIMPULAN
Menjadi satu kemestian bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah agar melaksanakan solat sunat Dhuha pada setiap hari. Ini kerana, ia merupakan sebagai satu tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT terhadap segala nikmat-nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita termasuklah nikmat sendi-sendi di dalam badan kita ini.
Marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan beristiqamah dalam melaksanakan solat sunat Dhuha ini di dalam kehidupan seharian kita walaupun cuma dua rakaat kerana itu lebih dikasihi oleh Allah SWT sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل
Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” [Riwayat Muslim (783)]
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Subuh Masuk Lewat, ‘Curilah’ Peluang Solat Tahajud

Solat Tahajud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur. Solat ini lebih afdal dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam. Solat sunat ini amat dituntut dan sangat baik dilakukan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Banyak kelebihan melakukakn solat tahajud. Dr. Zaharuddin Abd Rahman berkongsi tentang keajaiban solat Tahajud yang mampu mendekatkan diri kita kepada pencipta.
Subuh masuk lewat ketika ini (iaitu jam 6:03 ketika status ini ditulis – waktu Putrajaya), nescaya jika kita terbangun dari tidur pada jam 5:50 pagi hatta jam 6 am sekalipun, kita masih berpeluang mendirikan Solat tahajud dua rakaat dan ditutup dengan 3 atau 1 rakaat solat witir (kecuali jika telah witir sebelum tidur – tidak perlu witir lagi kerana Nabi sebut tiada dua witir dalam satu malam)
Waktu solat Tahajud bermula selepas Isyak, kemudian tidur dan mujahadah bangun sebelum subuh untuk solat menurut majoriti ulama berdasar athar sahabat nabi bernama Hajjaj Bin al- Amru yang hasan sanadnya menurut Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir.
Tamat waktunya adalah ketika masuk waktu Subuh atau fajar sebagaimana hadis:
إن الله أمدكم بصلاة هي خير لكم من حمر النعم ، وهي الوتر فجعلها الله لكم فيما بين العشاء إلى طلوع الفجر
Ertinya: Sesungguhnya Allah mengurniakan bagimu solat yang lebih baik dari unta merah (barang paling berharga di dunia) iaitulah solat witir dan dijadikan baginya waktu selepas solat Isyak sehingga naik Fajar. (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)
AMBIL PELUANG
Justeru, ambillah peluang mendirikan solat Tahajud yang ditutup dengan witir sebagai mujahadah diri dan jiwa. Allah swt menjanjikan kemulian kedudukan (di akhirat) bagi mereka yang melaziminya. JANGAN niat solat Tahajud untuk kononnya muka bercahayalah, putih, untuk kaya dan lain-lain sebab dunia, jadikan ia khas untuk menghampirkan diri kepada Allah swt & redaanNya. Insha Allah.
JANGAN juga pandang rendah jika hanya mampu laksana DUA rakaat Tahajud sahaja, asalkan konsisten kerana ibadah yang konsisten lebih dicintai Allah SWT berbanding yang banyak tetapi terputus.
Solat Tahajud dua rakaat yang tidak melahirkan bongkak dan ujub JAUH LEBIH MULIA dari berbelas rakaat tetapi ujub, bongkak dan memandang rendah ibadah orang lain.
KASHOORGA:
Tip memudahkan bangun solat malam:
*Sebelum masuk tidur, berniat ingin melakukan Solat Tahajud.
*Menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.
*Bersederhana makan dan minum pada waktu siang.
*Membaca ayat-ayat al-Quran.
Sumber kredit: Dr. Zaharuddin Abd Rahman