
Hidup bahagia di samping keluarga menjadi impian bagi seorang suami. Tiada guna menjadi suami yang berjaya dalam hidup tetapi rumah tangga porak peranda. Bahtera yang dibadai gelora dan masalah konflik dalam keluarga, akan dapat harungi dengan adanya ilmu yang diamalkan mengikut landasan al-Quran dan sunnah.
Meskipun Rasulullah SAW sebagai pemimpin disegani, Baginda sentiasa peka dan mencuba sedaya-upaya agar isteri tidak tersinggung. Sikap itu ditunjukkan dengan bersahaja, contohnya tidak segan mandi bersama, makan dan minum berdua daripada pinggan serta gelas sama. Perlakuan itu dilakukan sepenuh hati sehingga menampakkan keikhlasannya.
Melalui perkongsian Ustaz Ebit Lew dilaman Facebooknya, dia berkongsi tentang ‘kewajipan’ suami untuk menyantuni isteri.
Sunnah Nabi SAW balik dari mana-mana beri hadiah buat bidadari dan keluarga. Tadi balik dari Johor. Cepat-cepat wasap florist. Sampai kl terus ambil dan sorokkan dari bidadari saya.
BUAT KEJUTAN
Suka sangat walau kecil kejutan wat bidadari. Sebab bunga ni tak dapat bayar pun susah bidadari saya. Dunia ini sangat singkat tapi melihat bidadari saya tersenyum ubat bagi hati ini. Senyuman mak ayah. Senyuman bidadari ialah ubat dan penawar dalam letih duka sakit di dunia ini. Terima kaseh Allah
Melihat bidadari masam 5 saat jer saya susah hati. Berusaha dan fikir apa nak buat bahagiakannya. Kadang cuma video call or call dengar bidadari saya cerita. Itu jadi ubat buatnya. Saya susah hati bila bidadari cuma reply k. Jangan memandang rendah kesedihan bidadari hidup kita. Mereka dah takde sesape dalam hidup mereka.
Migrain demam urus rumahtangga dan anak-anak. Mereka setia ikhlas mencintai suami. Mereka perlu seseorang dengar mereka. Sesekali buat kejutan walau sekuntum bunga atau mesej cinta yang ikhlas. Kongsi doa dan bimbing mereka dengan solat dan sunnah Nabi SAW seharian. Biar mereka bina kekuatan dalam diri anak dengan iman.
Rasulullah SAW juga tidak terkecuali daripada ujian rumah tangga, namun Baginda tidak pernah membabitkan emosi. Ketika marah kepada Aisyah, Nabi SAW menyuruh isterinya menutup mata hingga berasa cemas dan khuatir dimarahi, tetapi Baginda terus memeluknya sambil menyatakan marah itu hilang setelah memeluknya.
KESIMPULAN
Sebagai rumusan dan pengajaran, seseorang suami perlu berusaha mendalami ilmu agama untuk menjadi ketua keluarga dihormati bagi menjalani bahtera kehidupan bersama isteri dan keluarga. Isteri juga perlu berusaha menambahkan ilmu supaya setiap konflik rumah tangga dapat diselesaikan dengan aman dan sentosa.
Jauhilah sikap ego terhadap pasangan, sebaliknya tanamkan sifat sentiasa maaf dan bersangka baik, selain bermuhasabah diri serta sentiasa berdoa pada yang Tuhan Yang Maha Esa.
Sumber kredit: Ebit Lew
VIDEO KASHOORGA:
Anak Ramai Bukan Kayu Pengukur Rumah Tangga Bahagia, Yang Penting Persefahaman Suami Isteri

Anak adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri bersyukur atas rezeki berkenaan. Sememangnya anak membawa rezeki namun ini setiap kali bertambah anak, kos sara hidup makin bertambah. Maka sebab itulah suami dan isteri perlu bijak merancang kewangan untuk masa depan anak-anak.
Ikuti perkongsian berikut.
Aku nak buat confession mengenai sesuatu yg aku lakukan 3 tahun lps. Aku tau aku akan dikecam, mungkin ada insan baik hati yg akan bg kata nasihat, ada insan yg kesian akan doakan yg baik2. Tp aku redha kalau dikecam. Sbb apa aku dah buat mmg berdosa tp aku terpaksa. Confession aku buat sbb viral ada sorg ust ckp anak ramai bukti kelakian dan kesuburan wanita. Aku tak setuju sgt.
Aku buat perkenalan dulu supaya kalian dpt menghakimi aku secara keseluruhan. Aku sorg wanita berumur pertengahan 30an dan beranak 6. Aku dah masuk 8 tahun kahwin. Maksudnya aku beranak 1 tahun sekali.
Dulu aku kerja. Gaji boleh tahan la. Aku dulu sekolah asrama, belajar sampai degree. Dapat anak kedua, suami aku suruh aku berhenti kerja jaga anak. Sebab bayaran pengasuh mahal, katanya. Dia suruh duduk rumah, jaga, susukan anak, banyak dpt jimat duit. Dia mampu. Dia janji akan bagi aku nafkah, apa saja aku nak. Awal2 mmg dia tunaikan janji. Masuk anak keempat, janji mula dilupakan. Bila aku minta duit, mcm peminta sedekah. Kena bebel dulu. Baru bagi. Itupun setengah drpd apa yg aku minta.
Baju baru? Baju dalam baru? Kasut baru? Dah lama aku tak bau barang baru. Kulitt muka pon menggerutu sbb aku tak ingat bila terkakhir aku buat facial. Dulu masa bergaji aku selalu pergi spa dan facial. Suami aku kerja sendiri. Gaji ikut rezeki. Tak tetap. Tapi dia mmg rajin cari duit. Bawak lori, tolong kawan niaga pasar malam, bazar. Tapi akibatnya keluar kerja sebelum matahari naik. Balik kerja bila dah tenggelam.
ENGGAN BANTU BUAT KERJA RUMAH
Bab jaga anak, dia boleh diharap. Tapi bab tolong buat kerja rumah, dia mmg tak sentuh langsung. Semua aku buat sendiri. Tapi dia tak bising kalau baju berlonggok, rumah sepah. Cuma aku yang sakit mata. Jadi aku gagahkan diri buat. Malam-malam kalau suami dah balik, dia layan anak2. masa tu aku ambil utk uruskan hal rumah.
Kalau mertua dan ipar, mereka di negeri lain. Mereka tak campur sgt urusan kami sekeluarga. Tapi mereka keluarga besar. Suami ku ada 8 adik beradik. Ibu bapa aku dan meninggal dunia masa aku ada anak 1. Sakit tua. Mula2 ayah, lepas tu ibu. Aku ada seorang adik laki, dia skg ambil master. Belum kahwin. Kami tak rapat. Biasa-biasa je.
Aku tak pakai apa-apa penghalang kehamilan. Aku mahu. Tapi suami tak izinkan. Dia suka anak ramai. Meriah, katanya. Lagipun dia rajin layan anak. Aku sungguh penat tapi aku bodoh, ikut kata suami membabi buta. Sampailah takdir, aku mengandung anak ke-7.. tepat anak ke-enam ku 1 thn 2 bulan. Aku mengandung lagi.
Aku nangis. Aku tak sanggup. Aku letih sangat. Aku baru 30-an tapi aku nampak mcm nenek org. Aku dah beruban. Aku rayu suamiku supaya bagi aku masa utk diri aku tapi ayat dia ’mak saya dulu boleh je. Besar elok je saya adik beradik. Takde spa takde urut lah org dulu2’. Aku stress. Aku rindu kawan2 aku yg sekarang dah lost contact. Aku takde org nak luah. Aku pernah juga luah aku penat kepada suami. Aku minta dia ingat janji2 dia masa aku berhenti kerja. Dia tuduh aku tak bersyukur. Tak bersyukur dia masih lagi setia, balik rumah setiap malam walaupun selepas penat seharian kerja. Dia kata aku tak reti berterimakasih sebab muka aku tak pernah senyum.
TAK BAGI DUIT BELANJA
Aku sedih. Aku bagitahu, aku penat. Senyum pun tak larat. Bukan aku tak bersyukur. Tapi tolong la. Aku penat. Dia diam je. Setiap kali lepas gaduh, dia akan diam. Takde penambahbaikan. Naikkan sikit duit rumah pon dia tak buat. Dia tak bagi aku uruskan duit. Barang dapur, dia beli. Yuran tadika anak, dia bayar. Pampers, dia beli. Aku tak ada duit. Aku buat sedikit online bisnes, jadi agent doorship, hasil tu aku buat main kutu, dan simpan sikit2.
Aku mengandung anak ke 7. Aku menangis melihat urine test yang aku curi-curi suruh jiran ahmoi aku beli. Aku kira2 bila last period, maksudnya baru mengandung 5 minggu. Aku tiba-tiba jadi moody sangat. Dengan anak2 aku jadi garang sgt. Dengan suami aku dah pandai gaduh lempar barang. Aku tak bgtau aku mengandung. Aku tak bgtau sesiapa aku mengandung. Hari2 aku lompat bintang, naik turun tangga, tak makan, supaya bdn aku lemah dan tak mampu mengandungkan anak ini. Aku jadi benci dengan semua org. Termasuk diri aku. Aku pernah menangis pukul 2pagi diluar rumah sambil pukul-pukul perut.
Selepas 2 minggu. Aku tak tahan. Aku tengok duit simpanan aku ada 3ribu. Aku simpan diam2 hasil doorship, kutu. Dengan duit tu aku beli baju dalam baru, spender baru, aku jimat2. satu hari, aku tekad. Aku nak gugurkan kandungan ini. Aku ada jiran cina yang sosial. Aku panggil dia ahmoi. Aku tahu sebab dia selalu bawa laki lain2 balik rumah. Dia je manusia yg berborak dgn aku ditaman ni. Wanita2 lain semua jenis membawang. Aku taknak kisah hidup aku jadi bahan bawang mereka.
GUGURKAN KANDUNGAN
Aku beranikan diri tanya dia pernah gugurkan kandungan tak. Dia tanya kenapa tanya soalan pelik. Aku terus terduduk depan dia, nangis mcm org tak siuman. Aku meraung-raung ckp aku dah taknak anak. Aku tak larat. Aku penat.. Suami aku tak faham. Tau nak anak banyak tapi semua aku yang buat. Dia pujuk aku. Dia bagi aku satu alamat. Dia kesian tgk aku menangis. Dia kata dia tolong.
Aku guna duit simpanan aku upah satu bibik harian utk seminggu. Kebetulan suami aku ada job bawa lori ke kelantan. Katanya tak balik 2-3 hari. Lepas tu aku dgn ahmoi pergi klinik tu. Aku berdebar, tapi aku tekad. Doktor tu scan, ada janin berusia 7minggu, dia pon bagitau prosedur (aku taknak cerita details) apa dia akan buat. Dan harga. Harga tu aku mampu bayar jadi aku setuju je.
Cukuplah kalian tahu aku menangis teruk sambil minta maaf semasa prosedur. Aku ckp aku tak mampu. Ayah dia tak menolong. Aku penat, aku stress. Semua selesai.
Suami aku balik, aku ckp aku period pain. Bibik tu aku pakat dgn dia tipu suami aku ckp tu bibik jiran, bercuti tak bawa bibik. Bagi pinjam seminggu. Suami aku diam je. Tapi dia tak selesa ada bibik kat rumah. Dia keluar dgn kawan pergi memancing (ni sebab dia taknak upahkan aku bibik. Dia tak selesa ada org asing dlm rumah).
PAKAI ALAT PENCENGAH KEHAMILAN
Seminggu lepas procedur tu, doktor ada suruh dtg utk check betul ke dah takde. Aku angkut semua anak2 dan ahmoi ke klinik. Anak2 aku bising dlm klinik, ahmoi tlg jaga sementara aku check dgn doktor. Doktor kata dah takde. Aku nangis lg. Dia kata dia faham. Bukan kali pertama ada wanita dtg kata tak ready pregnant sbb anak kecik, suami tak menolong, atau tak mampu. Aku diam je. Dia suruh aku pakai alat pencegah kehamilan. Aku kira-kira duit aku ada lagi. Aku setuju. Aku pakai alat. Doktor kata tahan 5 tahun.
Hal ni 3 tahun lepas. Sekarang anak2 aku dh besar sikit. Aku pon boleh simpan duit lebih banyak sebab boleh buat lebih banyak kerja. aku berniaga online. Tak harap suami lagi. Dia tau aku berniaga, lagi lah dia jadi kedekut. Aku dgn suami dingin. Aku bosan dgn dia. Hubungan kami atas katil je. Aku tak risau lagi sbb dah pakai alat. Dia tak berubah langsung. Masih ditampuk lama.
Aku sampai sekarang sedih dgn apa aku buat. Rasa dosa. Tapi kalau aku tak buat, aku yang meroyan. Aku hari2 minta ampun. Semoga Allah ampunkan aku. Aku syg anak2 yg aku ada. Biarlah ayah mereka mcm tu. Aku nak didik mereka supaya tak jadi mcm ayah mereka.
Akhir kata, anak ramai bukan ukuran kelakian atau kesuburan. Tapi tanggungjawab. Tanggungjawab bukan hanya bagi sperma. Tapi membesarkan, didik, nafkah. Isteri pon manusia. Kami bukan kilang anak. Lepas tu harap semua kami buat semua. Aku kdg2 rasa benci dgn suami. Tapi aku sabarkan diri dgn alasan sekurang-kurangnya dia tak pukul aku dan anak2. tahan je la selagi nyawa dikandung badan. aku harap wanita diluar sana lebih bijak. suami tak izinkan pakai pencegah kehamilan tu, lantakkan. bukan badan mereka yang penat. pakai je senyap2.
Harap kalian tolong doakan dosa aku diampunkan. Suami aku berubah. Anak2 aku membesar jadi manusia bertanggungjawab.
– Insan berdosa
Sebenarnya hukum merancang keluarga terbahagi kepada tiga. Pertama, harus merancang keluarga jika ia dilakukan bagi memelihara kesihatan setelah mendapat nasihat daripada doktor pakar sakit puan. Perbuatan merancang keluarga ini telah lama diamalkan sahabat Nabi SAW menerusi kaedah ‘azal.
Namun, merancang keluarga mestilah mendapat keizinan daripada pasangan masing-masing. Jika tidak, hukumnya boleh berubah daripada harus kepada haram kerana ia termasuk dikira menzalimi pasangan atau tidak taat kepada arahan suami.
Kedua, makruh berbuat demikian sekiranya ia hanya sekadar suka-suka di samping risau terhadap rezeki pasangan dan anak pada masa hadapan. Ketiga, haram merancang keluarga jika ia dilakukan hanya kerana takut miskin.
Niat sedemikian termasuk dalam larangan Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah al-Isra’, ayat 31, yang menegaskan bahawa Dia yang memberikan rezeki kepada setiap hamba-Nya dan perbuatan membunuh adalah jenayah besar.
Perbuatan itu juga boleh menjadi haram jika isteri tidak mendapat izin daripada suami dan begitulah sebaliknya. Oleh demikian, pasangan mestilah berbincang terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Kesimpulannya jumlah anak yang ramai bukanlah penentu kebahagiaan dalam sesebuah perkahwinan. Toleransi amat penting antara suami dan juga isteri. Perlu difahami bahawa tanggungjawab membesarkan anak bukan sekadar memberi makan pakai sahaja tetapi penyediaan dari segi pendidikan agama.
Sumber kredit: IIUM Confessions
Nafkah Keluarga Suami Kena Cari Kalau Isteri Nak Bantu Tiada Masalah Tapi Jangan Sampai Mengungkit

Tanggungjawab memberi nafkah diamanahkan kepada ketua keluarga iaitu suami yang wajib memberi nafkah, menjaga kebajikan isteri dan anak. Namun pada masa kini dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, isteri perlu keluar bekerja untuk membantu suami.
Nafkah tidaklah bersifat mutlak kerana setiap orang tidak sama kemampuannya. Ada yang kaya dan berkemampuan menyediakan semua keperluan dan ada pula sebaliknya. Apa yang penting, suami memberikan komitmen dan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin dengan memberi keselesaan kepada isteri, bukan kemewahan atau pembaziran yang melampau.
Dalam surah An-Nisaa ayat ke 34, Allah telah berfirman, “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Teringat dialog time taaruf sebelum kami nikah dulu..
“Awak, lepas kawin nanti awak nak kerja ke?”
“Haah, saya nak kerja. Mak ayah saya suh kerja.”
“Tapi tempat terbaik seorang wanita itu kan di rumah. Jaga kemulian diri dan didik anak-anak. Tapi kalau awak nak kerja juga, boleh je..”
Lama suamiku Akmal Mokhtar ambik masa nak bagi aku paham tentang kelebihan menjadi surirumah ni. Dah dapat anak, baru aku rasa perasaan tu. Perasaan fitrah seorang ibu yg Allah bagi tu. Rasa sayang kat anak.
Semalam aku pergi program, aku pon tanya soalan yg tengah serabut dalam otak aku,
“Ustazah, haritu sy pergi bengkel kewangan. Dia kata pompuan kena cari duit. Prepare kalau suami, mati, suami kawin lain, suami masuk penjara, suami sakit, atau apa-apa lah berlaku. Saya dilema lah ustazah, pasal saya kalau boleh tak nak simpan duit. Nak jadi macam Saidina Abu Bakar, bagi semua harta kat jalan Allah.. Ustaz² pon selalu kata tempat terbaik seorang pompuan tu kat rumah. Macam mana ustazah?”
Maka jawapan Ustazah Qurrotul Aien begini
“Pompuan ni macam kucing. Lelaki ni macam harimau. Kucing kan manja, suka menyinding-nyinding, suka dibelai, bila tuan balik, berlari ke tuannya. Adalah sangat bahaya jika kucing tu keluar. Harimau pulak memang dicipta mesti keluar cari rezeki. Kalau dok rumah, lagi bahaya. Lagi banyak dosa jika lelaki di rumah dan lagi banyak dosa jika perempuan di luar. Jadi tempat paling selamat utk wanita ialah rumah.
Hiduplah dalam dunia realiti. Jangan terawang-awang dengan kata kalau². Benda tu belum pon terjadi. Mana pulak tau kalau kita yg mati dulu? Sibuk duk pikir suami mati. Adapun persediaan yang kita kena buat ialah bersedia sebagai muslim yg hidup. Apa tu?
Siapkan Islam dalam diri kita. Cari ilmu, hidup sebagai wanita yg ada cahaya dalam dada.
Kita kena sediakan mental utk sentiasa rasa Allah ada bersama kita. Kuasa Allah yg akan bagi rezeki kat kita. Minda kita kena sedia bersih dari sifat jahiliyyah.
Niat. Niat kerja nak apa?nak cari duit poket? Nak beli itu ini. Niat tu kena betul dulu. Nak kerja, niat tu mesti sebab nak sedekah. Sedekah kat suami. Sedekah kat Islam. Nabi pernah cakap, isteri dia yg paling cepat masuk syurga ialah yg paling panjang tangannya. Siapa paling panjang tu?
Zainab bt Jahsy. Sebab apa paling panjang tangan? Sebab dia bekerja utk Islam. Dia menjahit dan duit tu dia guna semuanya utk perjuangan Islam.
Nafkah keluarga itu suami kena cari. Suami kena sedia 2 set pakaian luar dalam utk isteri. Tapi jika isteri nak beli sendiri, niatlah kita sedekah kat suami. Tapi lepas ni, jangan mengungkit pula.
Abang tak pernah beli baju utk saya sepanjang 10 tahun kawin.. Habis semua pahala 10 tahun bersedekah.
Tu,panjag lebar..
Sumber kredit: Amira Shazwani Ridzuan
Enggan Bermadu, Apakah Hukumnya Wanita Letak Syarat Bakal Suami Tidak Boleh Berpoligami

Sebut sahaja poligami pastinya ia seperti ‘nightmare’ kepada wanita-wanita di luar sana. Bimbang dimadukan ada wanita yang meletakkan syarat agar bakal suami mereka tidak boleh berpoligami.
Namun apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami? Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Berikut ulasan Mufti Wilayah Persekutuan.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/350) Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami. (Rujuk Al-Mabsuth, 19/120)
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan. Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan. (Rujuk Al-Mudawwanah, 2/131)
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu. (Rujuk Al-Taudhih fi Syarh Mukhtasar Ibn al-Hajib, 4/181)
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 7/265; Tuhfah al-Muhtaj, 7/312 dan 387; Mughni al-Muhtaj, 4/377 dan Al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/186)
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 4/83-83)
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie. Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi. Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadis:
لاَ تَسْأَلُ الْمَرْأَةُ طَلاَقَ أُخْتِهَا لِتَكْتَفِئَ صَحْفَتَهَا وَلْتَنْكِحْ فَإِنَّمَا لَهَا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهَا
Maksudnya: Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya. Sahih Muslim (1408)(Rujuk Al-Mughni, 7/93-94)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh.
Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya. Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata:
مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ
Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Rujuk Al-Fatawa al-Kubra, 3/90)
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu reda dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh. Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali. (Rujuk Syarh Zad al-Mustaqni’, 20/60-62)
KESIMPULAN
Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif. Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Sumber kredit: Mufti Wilayah
VIDEO KASHOORGA: