Tersalah atau terlupa membaca doa Qunut tidak membatalkan solat.

Tak sengaja tersalah baca doa qunut, solat subuh sah atau tidak? Kadang-kadang dalam keadaan kelam-kabut mendirikan solat Subuh kita tidak sedar tersalah membaca doa qunut.

Lebih parah apabila selesai solat barulah tersedar yang kita tersalah membaca doa qunut. Ikuti penjelasan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sama ada solat subuh kita sah atau tidak jika tersalah membaca doa qunut.

Artikel Berkaitan:

Terlupa baca Doa Qunut & Sujud Sahwi, Sahkah Solat Kita? Ini Penjelasannya!

Tak Sengaja

Perkataan Qunut (الْقُنُوْتُ) adalah daripada Bahasa Arab yang membawa beberapa makna seperti berdiri lama, diam, selalu taat, tunduk, doa dan khusuk.

Manakala maksud doa Qunut secara istilah adalah doa yang dibaca seorang Muslim dalam solat pada tempat yang dikhususkan semasa berdiri.

Tersalah Baca Doa Qunut

Membaca qunut adalah semasa iktidal dalam rakaat yang kedua ketika solat Subuh dan dalam rakaat yang kedua dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan.

Begitu juga dalam rakaat yang akhir pada mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/145)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Muhammad bin Sirin bahawa beliau bertanya kepada Anas R.A:

هَلْ قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ؟ قَالَ: نَعَمْ، بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا

IKLAN

Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW melakukan qunut dalam solat Subuh? Beliau menjawab: ‘Ya, Baginda melakukan qunut dalam solat, tidak berapa lama selepas rukuk.’- Riwayat Muslim (677)

Dalam Riwayat lain Anas Bin Malik berkata :

مَا زَالَ رُسُولُ اللهِ ﷺ يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ حَتَّى فَارَقَ الدُنْيَا

Maksudnya:
Rasulullah SAW masih membaca doa qunut dalam solat subuh sehingga Baginda wafat.

Solat Subuh Sah Atau Tidak?

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan :
Disunatkan membaca qunut subuh ketika iktidal pada rakaat yang kedua selepas membaca doa I’tidal’, ini juga sepertimana yang disebutkan oleh al-baghawi dan dibenarkan oleh al-Isnawi.

Beliau menukalkan lagi bahawa al-Mawardi menyatakan : Tempat untuk membaca qunut adalah selepas selasai dari membaca “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَك الْحَمْدُ”. (Lihat Mughni al Muhtaj, 1/368)

IKLAN

Imam al-Syafi’e menyatakan dalam kitabnya al-Umm : Tidak dibacakan doa qunut dalam sembahyang kecuali sembahyang Subuh, kecuali jika berlakunya bencana maka dibolehkan untuk membaca doa qunut dalam semua sembahyang jika Imam menghendakinya. (Lihat al-Umm,1/236)

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan bahawa tersalah dalam membaca qunut tidaklah menyebabkan solat itu terbatal atau tidak sah.

Ini kerana qunut merupakan salah satu daripada sunat aba’d iaitu perkara sunat dalam solat yang mana sekiranya terlupa melakukannya maka kita disunatkan untuk sujud sahwi.

Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa : Hukum sujud sahwi itu adalah sunat apabila terjadinya salah satu daripada sebab-sebabnya (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/443)

Tidak Membatalkan Solat

Berkaitan doa qunut yang tersalah dibaca kami katakan, sekiranya ia tidak disengajakan maka ia tidak memberi apa-apa kesan terhadap sahnya solat. Ini juga sebagaimana yang telah diriwayatkan Zar al-Ghifari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

IKLAN

Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”
Riwayat Ibn Majah (2043)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beribadat kepada dan kami akhiri dengan doa :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)

Baca Di Sini:

Terlupa Doa Qunut Atau Berapa Lakukan Rakaat Dalam Solat, Usah Risau Lelaki Ini Ajar Cara Betul Lakukan Sujud Sahwi

Kashoorga: Tersalah atau terlupa membaca doa Qunut tidak membatalkan solat.

Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI