‘Tak tahu jangan kongsi.’ Elak orang keliru, Kota Al-Ula bukan tempat yang dilaknat Allah tapi Madain Saleh. Tak pasal-pasal seluruh Kota Al-Ula terkena tempias gara-gara netizen membuat andaian sendiri tanpa selidik.
Baru-baru ini, tular semula video Zul Ariffin melawat Kota Al-Ula ketika dia mengerjakan haji dan dikatakan selebriti ini telah menziarahi kota larangan yang dilaknat Allah.
Tak Tahu Jangan Kongsi
Sebenarnya, Kota Al-Ula adalah nama sebuah kota di Arab Saudi yang terletak kira-kira 300 kilometer, di utara Madinah. Pada masa lalu, Al-Ula adalah ibu kota Lihyanites Kuno (Dedanites) dan ia merupakan kota yang Nabi Muhammad SAW elak untuk disinggah.
Namun sekarang, kawasan yang dikatakan kota larangan tidak meliputi keseluruhan bahagian sebagai contoh yang Klang adalah kota larangan dan tidak semestinya satu negeri Selangor tidak boleh dikunjungi.
Ikuti perkongsian Radiah Hassan dan ketahui benarkah lokasi yang menjadi tempat ziarah Zul Ariffin adalah kota larangan yang seperti diperkatakan.
Artikel Berkaitan:
Elak Orang Keliru
Tengah hangat isu pasal Al-Ula ini, tetiba ramai juga PM (private message) tepi tanya. Alang-alang tengah hangat, mari sini saya hendak berkongsi sedikit info.
Bukan semua tempat di Al-Ula itu adalah kawasan yang dilaknat.. sebelum mengeluarkan fakta tu, kena berilmu dahulu.
Silakan kaji sejarah, malah dalam masa yang sama baca hadis-hadis. Silakan hadam segala ilmu penjelasan tafsiran hadis daripada ulama-ulama terdahulu mengenainya.
Jangan disebabkan sebuah “video” yang tidak tahu siapa penyampainya, content creator yang sekadar nak menaikkan view reels atau TikTok nya untuk mendapatkan engagement tinggi.
Kota Al-Ula Bukan Tempat
Tak pasal-pasal Seluruh Kota Al-ula termasuk penduduk Al-ula terkena tempiasnya.
Moral of the story, jika tidak tahu, jangan share! Malah, jika tidak tahu, jangan komen! Paling penting, jika tidak tahu jangan menambah-nambah.
Pergilah kamu menjelajah muka bumi Allah ini untuk mencari ibrah. Supaya dengan ibrah yang kamu dapat membuatkan diri mu lebih mempercayai kekuasaan Allah.
Lebih menghayati kekuasaan Allah, Rasa bersyukur dengan nikmat kehidupan yang ada dan lebih menyanyangi Rasullullah.
Yang Dilaknat Allah Tapi Madain Saleh
Sulusurilah sirah dan sejarah Rasullullah di Kota Al-Ula terutamanya Old Town dan kawasan sekitarnya.
Pasti setiap detik dan ketika kamu berada di sana hati mu tidak henti-henti berzikir memuji kebesaran Allah dengan ciptaan-Nya.
Tempatnya sangat unik tidak terdapat di tempat lain dan beristighfar menginsafi diri yang terasa begitu kerdil berbanding gunung-gunung batu ciptaan Allah yang sangat gah berdiri.
Yang kami semua maksudkan adalah Kota Al-Ula, bukan hegra atau madain saleh ya! Dua tempat yang berbeza lokasinya!
Baca Di Sini:
Kashoorga: Belajarlah memahami sirah dengan baik agar kita tidak tersalah info.
Sumber: Radiah Hassan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Waktu Doa Paling Mustajab Adalah Di Malam Nisfu Sya’ban, Banyakkan Juga Amalan Lain
Soalan
Apakah status hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Sya’ban) dan juga amalan yang berkaitan dengannya?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Sya’ban adalah merupakan di antara bulan yang agung dalam syarak. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah pada bulan ini dan disunatkan bagi kita untuk mempertingkatkan amalan dan ibadah kita sebagaimana yang disebut di dalam hadith yang sahih. Di samping itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban.
Hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Antaranya melalui jalur Abu Musa al-Asy’ari RA, Aisyah RA, Abu Tha’labah RA, Abdullah bin Amr RA, Mu’az bin Jabal RA, Abu Hurairah RA dan Abu Bakar RA.
Matan hadith
Di sini kami datangkan beberapa matan hadith yang berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban. Antaranya:
- Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 1380] Imam al-Zahabi mengatakan hadith ini dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi’ah. [Lihat: Talkhis al-‘ilal al-Mutanihiyah, 184]
- Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 670] Al-‘Aini mengatakan hukum hadith ini adalah munqathi’. [Lihat: ‘Umdah al-Qari, 11:116]
- Daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ
Maksudnya: “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya”. [Syu’ab al-Iman, no. Hadith 3551] Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2:560]
- Daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. [Riwayat Ahmad, no. Hadith 6353] Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadith dhaif). [Lihat: al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2:43] Manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih [Lihat: Musnad Ahmad, 10:127]
- Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665]
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya: “Apabial tiba malam nisfu Sya’ban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. [Majma’ al-Zawaid, 8:68] Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa perawi-perawinya tidak ada dipertikaikan. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1:325]
- Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَنْزِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِكُلِّ نَفْسٍ إِلَّا إِنْسَانًا فِيْ قَلْبِهِ شَحْنَاء أَوِ المُشْرِكَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan setiap yang bernyawa kecuali orang yang ada dalam hatinya permusuhan dan juga orang yang syirik”. Imam al-Bukhari mengatakan padanya nazhar (perlu diteliti),manakala Ibn ‘Adiy mengatakan sanadnya mungkar. [Lihat: Lisan al-Mizan, 5:269]
Tarjih hukum hadith
Setelah melihat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban telah berlaku perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum berkenaan hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian lagi sebaliknya. Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Sya’ban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu’az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Untuk itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hukum hadith ini sahih dengan kesemua jalur-jalurnya yang lain dan ini menunjukkan bahawa hadith ini mempunyai asal. Walaubagaimanapun, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit namun amalan tertentu pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, istighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi.
Antara ulama’ yang menyatakan sedemikian ialah Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibbanbahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sahih berdasarkan syawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam bab ini (kelebihan malam pertengahan bulan Sya’ban) walaupun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 12:481]
Feqah hadith
Antara feqah hadith yang boleh diambil dan difahami daripada hadith-hadith ini:
- Terdapat hadith lain yang menyatakan bahawa Allah SWT turun pada setiap satu pertiga malam. Namun, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa Allah SWT turun pada malam nisfu Sya’ban sepanjang malam sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi SAW. Malam bermula selepas terbenamnya matahari.
- Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT. Untuk itu, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan dan padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi yang memohon ampun dan yang berdoa kepada-Nya. Disebabkan itu, Imam al-Syafie mengatakan sesungguhnya berdoa padanya iaitu pada malam nisfu Sya’ban adalah mustajab.
- Di dalam hadith ini juga menunjukkan keampunan Allah SWT amat luas. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan akan Allah SWT itu bersifat dengan pengampun. Firman Allah SWT:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun”. [Nuh:10]
- Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya melainkan dengan taubat. Berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar”. [al-Nisa’:48]
- Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini ada disebut di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RA. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
Maksudnya: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis maka diampunkan setiap hamba yang tidak syirik kepada Allah SWT dengan sesuatu kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Lalu dikatakan: Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai”. [Riwayat Muslim, 4652]
- Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehingga mereka meninggal sifat tersebut. Sifat dengki ini juga boleh digolongkan dalam golongan orang yang bermusuhan. Terdapat sebuah hadith yang melarang kita daripada sifat dengki ini. Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ تَبَاغَضُوا ، وَلاَ تَحَاسَدُوا ، وَلاَ تَدَابَرُوا ، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا
Maksudnya: “Janganlah saling memarahi, saling mendengki, saling membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 5612]
- Di samping itu juga, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk di dalam dosa besar yang memerlukan seseorang itu bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الموبِقَاتِ . قالوا : يَا رَسُولَ اللهِ : وَمَا هُنَّ ؟ قال : الشِّركُ بِاللهِ ، وَالسِّحرُ ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا ، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيْمِ ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ ، وَقَذْفُ المحْصَنَاتِ المؤْمِنَاتِ الغَافِلَاتِ
Maksudnya: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat RA bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah perkara-perkara tersebut? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri daripada peperangan dan menuduh wanita mukmin yang suci melakukan zina”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 2560]
Pendapat ulama’ berkaitan kelebihan malam nisfu Sya’ban
Berikut adalah beberapa pendapat ulama’ berkaitan malam nisfu Sya’ban:
Telah berkata Imam al-Syafie RA: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. [Lihat: al-Um, 1:264]
Ibnu Rajab RA mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 247]
Pendapat ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib (الرغائب)
Solat al-Raghaib adalah solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Selain itu, solat ini dilakukan antara waktu Maghrib dan Isyak. Antara dalil yang digunakan bagi menyatakan akan kewujudan solat ini adalah:
Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة
Maksudnya: “Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.
Hadith ini adalah palsu sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani , Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Selain itu, Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban. [Lihat al-Manar al-Munif, 98]
Antara pendapat para ulama’ berkaitan solat sunat al-Raghaib adalah:
- Telah berkata Ibn Hajar al-Haithami:
“Adapun solat sunat al-Raghaib adalah seperti solat yang biasa pada malam nisfu Sya’ban dan kedua-dua ini (solat pada awal malam dalam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban ) adalah bid’ah yang buruk dan dikeji. Hadith berkaitannya pula adalah palsu maka ia dibenci kepada pelakunya samada bersendiri atau berjemaah”. [Lihat: al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1:216]
- Telah berkata Imam al-Nawawi:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang mungkar lagi buruk”. [Lihat: al-Majmu’, 3:548]
- Telah berkata Imam Ibn al-Jauzi:
“Solat al-Raghaib adalah palsu (direka) di atas nama Rasulullah SAW dan pendustaan ke atas Baginda SAW. Para ulama’ telah menyebut akan bid’ah dan keburukan kedua solat ini dengan beberapa cara: Antaranya adalah bahawa sahabat, tabi’in dan generasi selepas daripada mereka daripada kalangan imam-imam yang mujtahid tidak menyatakan akan kedua solat ini. Jika kedua solat ini disyariatkan maka mereka tidak akan terlepas daripada melakukannya. Tambahan pula, ia muncul selepas 400 tahun”.
- Telah berkata Imam al-Syaukani:
“Ini adalah solat al-Raghaib yang masyhur yang mana para huffaz telah bersepakat bahawa ianya palsu atau direka”.[Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 48]
Berdasarkan sebahagian pendapat ulama’ yang kami nyatakan ini, maka di sini kami ingin tekankan dan jelaskan bahawa solat al-Raghaib adalah tidak mempunyai asal di dalam agama dan ia merupakan satu pendustaan yang direka di atas nama Nabi SAW.
Amalan yang digalakkan pada malam nisfu Sya’ban
Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.
Walaubagaimanapun, kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum. Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban.
Penutup
Kesimpulannya, kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith yang kami nyatakan di awal perbahasan iaitu Allah SWT akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya. Dalam masa yang sama, tidak ada amalan yang khusus pada malam nisfu Sya’ban melainkan amalan-amalan yang bersifat umum. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam melaksanakan ibadah serta memelihara kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai asal di dalam agama. Amin.
SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Guru Kongsi Anak Murid Darjah 2 Bercita-Cita Nak Jadi Suri Rumah Kerana Terinspirasi Kehebatan Ibu
Menjadi suri rumah bukanlah mudah pada zaman hari ini. Ibu-ibu perlu ada kemahiran tinggi kerana cabaran dilalui hari ini tidak sama dengan zaman mak ayah kita dahulu khususnya dari segi kewangan.
Tidak timbul istilah suri rumah kerana isteri yang berkorban segala-galanya bagi memastikan ruang lingkup rumah sempurna kerana para ibu inilah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah.
Hebatnya seorang suri rumah itu hingga ia menjadi inspirasi kepada anak-anaknya sendiri yang berasa kagum dengan cara ibunya menguruskan rumah. Malah ibu yang punya banyak masa di rumah akan lebih rapat dengan anak-anaknya berbanding ibu bekerja.
Seorang guru, Fathanah Nasir berkongsi di akaun twitternya @fathanahnasir tentang cita-cita seorang anak muridnya darjah 2 selepas terinspirasi melihat kehebatan ibunya boleh jadi macam-macam walau duduk di rumah.
Kongsinya :-
Saya tertarik dengan cita-cita salah seorang murid saya (Tahun 2). Sedang rakan yang lain mahu bergelar guru, polis, askar dia pula mahu bergelar seorang surir umah yang berpendidikan. Saya tanya kenapa? Lalu dia menjawab…
“Bila saya jadi suri rumah yang berpendidikan maka saya mampu jadi semua yang dicita-citakan rakan lain. Saya boleh jadi guru, saya boleh jadi doktor, boleh jadi chef, saya boleh jadi security. Terdetik dalam hati Ya Allah macam mana anak seusia ini mampu berfikir sedemikian?
“Bila saya tanya lagi, dari mana datangnya mimpi dan cita-cita itu? Dia jawab dari ibu dia. Dia puji kehebatan ibu dia yang mampu urus dia dan adik beradik termasuk ayahnya dengan bermacam pekerjaan dalam satu masa.
“Katanya Ibu yang gerak awal pagi ke sekolah, ibu yang gerak ayah kerja, ibu buatkan sahur, ibu periksa keadaan suhu badan kami, ibu semak kerja sekolah dan lain-lain. Ibu cakap kena belajar rajin-rajin boleh jadi macam ayah tapi saya nak jadi macam ibu!
“Tambahnya lagi, saya percaya cita-cita ini cita-cita yang baik sebab ibu kata kalau buat perkara yang baik Allah sayang.
Dari jawapan murid ini saya teringat dengan petikan buku Memori Bukan Memoir dari Dr. Maszlee Malik yang mengambil kata dari Eleanor Roosevelt:-
“masa depan adalah milik mereka yang percaya kepada keindahan mimpi mereka”.
Kata Dr Maszlee dalam penulisannya:-
“Bermimpilah! Percayalah dengan keindahan mimpi dan aspirasi kita, pelajari daripada orang lain tentang cara melakukan sesuatu dan terus melakukan apa sahaja yg diperlukan untuk menjadikan semua yang kita impikan satu kenyataan. Apa pun cita-cita dan mimpi mereka, sebagai pendidik kita bantu realisasikannya. Beri tunjuk ajar, ilmu dan pendidikan yang cukup dan baik. Semoga mereka membesar dengan penuh ilmu di dada.
Tambah guru ini lagi, dirinya memang tidak mahu mendedahkan privasi anak muridnya saat ditanya oleh pengikutnya. Cukuplah dirinya dan guru-guru saja yang tahu. Ini kerana katanya, ini antara sebab saya tak dedahkan identiti si murid utk jaga privasi dan elak berlaku sindiran terhadapnya. Usia 8 tahun, hidup zaman digital boleh jadi pengaruh itu datang dari pemerhatian terhadap sekeliling (drama, youtube dan lain-lain). Impian dia boleh berubah dari semasa ke semasa,” kongsinya.
Ya, tugas ibu itu sangat mulia dan anak-anak hebat juga lahir dari seorang ibu yang mampu menjadikan ibunya idola mereka sendiri.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Projek Tunggang Agama Paling Mewah, Pemuda Dedah Owner Ada RM3 Juta Tapi Anak Yatim Tetap Miskin
Isu ini sebenarnya bukan baru. Ini kerana bila menyebut tentang sedekah, hati kita sangat lembut seperti tisu selain mudah membuat kesimpulan, “kita sedekah saja, kalau dia tipu itu urusanya dengan Allah”.
Hanya kerana pemikiran beginilah, semakin mewah mereka yang menggunakan anak-anak yatim untuk mengutip derma atas nama sedekah namun digunakan untuk kegunaan diri sendiri. Pendedahan dari Amir Hamzah ini pasti sangat mengejutkan di mana dirinya mengajak Toqqi dari PPIM mengambil serius membongkar hal ini yang sudah terlalu lama berleluasa. Seperti katanya, inilah PROJEK TUNGGANG AGAMA PALING MEWAH.
Baca perkonggsiannya :-
Hari tu masa duduk dengan Toqqi PPIM, aku ada bersembang satu topik dengan Toqqi. Satu benda yang mungkin sangat sensitif pada sesetengah orang yang positif tak bertempat. Tapi benda ni betul-betul berlaku.
“Tok, pasal hal Ah Long ni Tok biarlah orang lain sambut. Dah ramai dah pun yang start buat walaupun PPIM ni pencetus. Bagi je ke Yusuf Azmi handle under semboyan. Dekat Malaysia ni ada satu lagi scam paling besar yang daripada dulu takda siapa usik. Asal usik je lepas tu sepi. Terlalu sensitif. Dapat bongkar benda ni Tok, banyak mata terbukak nanti..”
“Apa dia tu?”
“Rumah anak-anak yatim ni lah tok. Dan segala macam yang jenis collect sumbangan ni. Saya terlibat dengan rumah anak-anak yatim ni dari saya umur 20an tok. Setiap bulan puasa, sumbangan diorang dapat ratus ribu. Kalau yang ada nama sikit, cecah juta tok. Anak yatim dalam tu berapa kerat je. Tetap lah miskin macam tu. Makan tetap nak ada orang sumbangkan. Pendidikan pun bukan di sponsor sampai masuk University. Belajar biasa-biasa macam tu je. Tapi sumbangan ni, depa minta merata.”
“Ada bukti ke? Cuba dapatkan beberapa detail, kita gerakkan team nanti”
Part ni yang aku suka Toqqi ni. Dia sangat berjiwa besar dan berani.
Tapi part rumah anak yatim ni memang Real. Ini antara Scam jual nama agama paling besar collection dia. Perjudikan nasib anak yatim, sedangkan pengusaha hidup mewah kaya raya. Anak yatim tetaplah miskin macam tu je, baju pun tak lawa macam anak-anak kita, tempat tidur pun tetaplah dengan katil double decker yang tilam pesen asrama. Ini semua pengusaha penunggang agama jenis tak takut mati.
Aku ingat lagi, ada satu rumah anak-anak yatim dan anak-anak bermasalah di Selangor. Aku rapat dengan owner dia masa tu. Owner dia kalau sembang, cerita pasal Nabi SAW je. Solat pun dia jaga. Apa jenis keadaan pun, solat dia tak tinggal.
Power tak?
Aku pergi ke tempat rumah anak yatim dan anak bermasalah tu. Aku tengok, bukan main daif lagi kehidupan anak-anak ni. Tempat tidur pun macam miskin sangat. Ada lah anak-anak tak sampai 30 orang pun. Kerja owner ni, pergi mana pun dia akan bagitau orang dia ada buka rumah anak yatim, kalau ada yang sudi nak bagi bantuan untuk anak-anak ni, boleh lah bantu. Lepas tu dia cerita pasal hadis-hadis Nabi SAW tentang sedekah, tentang membela anak yatim.
Last masa aku duduk dengan dia tahun 2012 kalau tak silap. Masa tu dia tunjuk ada 4 buku bank dia. Satu buku bank tu dia tunjuk, ada baki RM3,000,000! Baru satu buku bank. Menganga aku.
Macam tak logik, tapi ini real. Menunggang agama guna pakai sentimen anak yatim, anak tahfiz ni berniaga yang paling senang kau jutawan. Sekejap je. Ya, bukan lah semua ke arah scam ni. Tapi sepanjang aku hantar team pergi ke tempat-tempat ni, boleh cakap kebanyakannya ke arah ni lah. Memang collection juta!
Tak percaya collection sebanyak tu? Kau try pergi jumpa orang-orang bank ni, diorang confirm ada pengalaman pernah tengok balance dalam akaun rumah-rumah anak yatim ni.
Okey kita kira-kira lah sekejap. Bayangkan sebulan collection RM500,000 hasil daripada spend ke FB Ads gila-gila.
Siap guna mana-mana ceramah Ustaz Popular yang cerita pasal sedekah. Anak-anak yatim ni pulak ada 30 orang je lah. Hidup anak yatim macam tu je lah. Makan pun biasa-biasa je bukan makan Mcdonald, bukan makan Starbuck ke apa jadah ke. Cincai-cincai kira, belanja 30 orang anak yatim cecah RM50,000 tak sebulan? Kira kira RM50,000 je lah.
RM500,000 – RM50,000. Ada balance RM450,000 lagi. Ini bulan pertama. Bulan kedua masuk pulak RM1,000,000. Sebab iklan FB Ads pakai ceramah Ustaz popular tu menjadi. Tolak belanja anak yatim RM50,000 lagi. Dalam tangan dah ada RM1,400,000.
Kau rasalah collection juta ni, anak yatim ni akan tidur dekat katil selesa macam korang tidur ke? Kau rasa anak yatim ni merasa pakai baju mahal-mahal, kasut mahal-mahal macam anak-anak korang pakai ke? Kau rasa anak yatim ni merasa nak dapat pendidikan tinggi disponsor sepenuhnya oleh duit collection tu sampai luar negara ke? Baju brand Bulan Bintang pun belum tentu anak-anak ni merasa.
Yang pakai kereta mahal, rumah banglo, pakaian mahal-mahal, pergi bercuti luar negara dengan family ni siapa? Anak yatim ke pengusaha?
Ada satu rumah anak yatim dekat Johor ni lagi power. Sumbangan barangan makanan terlampau banyak. Sampai orang datang sumbang beras, dia tolak. Dia tak bagi dah sedekah barangan-barangan asas lagi. Dia cuma terima duit je. Bila masuk stor dia, ada beras-beras yang dah busuk pun, banyak barang-barang asas yang dah rosak. Terlampau banyak.
Tapi kau tengok lah jiwa diorang macam mana. Dia rela biar semua tu rosak dari dia usaha hantar ke tempat lain yang lagi memerlukan. Last sekali terpaksa bagitau orang, yang depa memang taknak pun segala mak nenek sumbangan ni. Depa nak duit. Nak duit! Nak duitt! Beras mana diorang boleh beli kereta. Dengan tin-tin makanan mana diorang boleh pergi sara anak diorang belajar luar negara.
Belum cerita rumah anak yatim dekat Kedah yang hantar anak-anak yatim ni keluar sampai malam untuk mintak sedekah. Padahal pengusah kaya raya nak mampos. Ini sindiket paling jahat yang kerja malas, tapi modus operandi dia ialah tunggang anak yatim ni kaw-kaw untuk dapat simpati kita.
Hina tak nasib anak-anak ni di Malaysia tuan-tuan? Dasyat tak penunggang-penunggang agama ni buat duit?
Nak bongkarkan semua ni tak susah pun tuan-tuan. Kerajaan kena keras sikit. Arahkan semua rumah-rumah kebajikan, rumah-rumah anak yatim, pusat-pusah tahfiz yang bersungguh-sungguh hari-hari minta sumbangan ni, di audit. Tu yang siap spend ke FB ads beribu-ribu untuk collect sumbangan tu. Ini semua lagi jenis haram jadah.
Buat audit, terbongkarlah segala kesundalan pengkhianat-pengkhianat ni. Tapi korang pulak, jangan lah balun kerajaan lepas tu kononnya kerajaan ni kejam lah cuba nak susahkan orang islam lah.
Jangan! Jangan termakan dengan borak pengusaha-pengusaha setan yang konfem akan mainkan sentimen gila-gila guna agama.
Diorang tau, nak ambik duit orang melayu islam ni tak susah. Buat cerita kesian, masukkan elemen agama, masukkan hadis yang cerita tentang rezeki akan bertambah, kubur akan bercahaya, mati nanti akan selamat, lepas tu dia takutkan pulak kita nanti rezeki kita sempit kalau tak bersedekah, haa berebut lah orang sedekah. Nak beli saham akhirat katanya.
Simple gila buat duit pakai agama ni. Diorang pun tahu orang melayu ni jenis nak masuk syurga dengan cara paling simple. Itu dia gasak pasal kelebihan sedekah. Yang sedekah-sedekah ni pun pakai Viva, pakai motor je, yang minta sedekah ni dah pergi haji 200 kali. Kereta pun pakai Alphard. Betul kacang dia jadikan kita semua ni tukang bagi duit ke dia.
Tak bagi nanti, tak sampai hati. Takut kubur tak bercahaya.
Try lah satu kali buat suprise dekat rumah-rumah ni. Cari pengusaha dia, suruh dia bukak akaun dia depan korang. Mesti terbeliak mata tu siap rasa panas lagi. Itu jam, rasa nak pelempang je. Tapi pengusaha yang dah biasa tunggang agama ni takkan bagi pipi dia kena lempang macam tu je. Dia akan start borak agama lagi dalam. Dia bukak misi visi dia untuk anak yatim ni semua. Yang esok bakal jadi pejuang-pejuang agama yang dasyat. Kau dengar, kau pun jadi respek. Padahal tu borak marketing je.
Tuan-tuan, sebelum sedekah, buatlah kajian sikit. Kita selalu cakap, “takpalah diorang nak tipu, Tuhan lagi tahu. Kita berserah je. Bagi je lah sumbangan. Kalau dia tipu, biar dia jawab dengan Tuhan.”
Sikap kita ini akan membiakkan lagi kumpulan celaka ni tuan-tuan. Dan akan banyak lagi anak-anak bangsa kita ini jadi mangsa dengan ketamakan setan-setan tak takut mati ni. Anak-anak yatim ni nanti lah yang bakal jadi mangsa. Depa kena jual cukup-cukup dan tetap miskin di sebabkan satu prinsip yang kita pegang tu lah. Orang nak tipu ke tak ke, kita serah pada Allah.
Semoga satu hari nanti, akan ada gerakan yang menghentak segala setan-setan yang mengaut keuntungan dengan mempergunakan anak-anak yatim, anak-anak tak bernasib baik dan anak-anak tahfiz ini.
P/s : Sebab tu kalau orang tanya aku, perniagaan apa yang senang kaya raya. Jawapan dia kau bukak je rumah tahfiz ke, rumah anak yatim ke, rumah kebajikan ke. Confirm kaya.
Tinggal nak spend duit ke marketing kesian dan selit hadis je. Video kena gempak-gempak biar orang tengok video tu rasa kesian dan rasa dapat pahala kalau sedekah. Aku memang harap ramai sikit orang bukak rumah anak yatim ni, baru lah otai-otai yang dah lahap duit sumbangan gila-gila ni rasa tercabar. Lepas tu bergaduh lah sesama korang nanti sebab tak puas hati nak kena bersaing dan collection makin sikit.
AMIR HAMZAH ABDUL HAMID
12 June 2022
Sumber : FB Ahmad Sham
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI