Tindik hidung antara trend yang diikuti ramai tak kira umur dan jantina. Ia dibuat demi menonjolkan identiti, gaya diri atau sekadar mengikuti tren.
Semua tahu bahawa tindik hidung ini bukan dari agama Islam. Ia berasal dari budaya di India, Afrika, masyarakat asli Amerika dan Australia untuk menunjukkan status perkahwinan seseorang, menghormati dewi, menunjukkan kekayaan dan kedewasaan.
Malangnya ramai kalangan yang beragama Islam turut mengikuti trend ini tanpa mengambil kira tentang hukum.
Hukumnya haram
Menurut fuqaha mazhab Syafi’i hukum menindik hidung adalah haram sama ada lelaki mahupun perempuan, begitu egitu juga haram ke atas kanak-kanak
Ads
Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa menebuk lubang hidung bagi memasukkan cincin emas mahupun perak adalah haram. Hal ini kerana, menindik hidung untuk meletakkan barang kemas bukan satu bentuk perhiasan yang menjadi kebiasaan (urf) masyarakat setempat.
Tindik hidung miliki unsur keagamaan dari agama lain
Seterusnya, perbuatan menindik hidung juga merupakan adat tradisi golongan bukan Islam yang mempunyai unsur keagamaan. Celaan yang dahsyat terhadap penyerupaan agama lain bersandarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Ads
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” Riwayat Abu Daud (4031)
Al-San’ani mensyarahkan hadis di atas bahawa larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang meniru orang kafir dari segi pemakaian mahupun penampilan.[6]
Ads
Kesimpulannya, hukum menindik (piercing) mana-mana bahagian hidung untuk memakai cincin daripada emas, perak atau menindik hidung dengan batu berlian adalah haram sama ada lelaki dan wanita dewasa mahupun untuk kanak-kanak.
Assalamualaikum Dato’ Mufti. Terdapat masjid yang meletakkan pencuci tangan pada pintu masjid. Jadi, bolehkah menggunakan hand sanitizer ketika melakukan solat, adalakah ia dikira najis disebabkan ada alkohol di dalamnya. Mohon pencerahan Dato’ Mufti. Terima kasih.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam melakukan ibadah solat, di antara syarat sah solat yang wajib dipatuhi adalah menghilangkan najis yang terdapat pada badan dan pakaian. Persoalan pada kali ini adalah untuk menjelaskan penggunaan hand sanitizer (pencuci tangan) ketika hendak melakukan solat. Justeru sebaiknya kita membahaskan tentang apa yang terdapat pada kandungan dan bahan yang digunakan di dalam hand sanitizer (pencuci tangan) itu sendiri.
Penggunaan sanitizer adalah bertujuan untuk membunuh bakteria yang terdapat pada permukaan kulit. Ia juga merupakan bahan yang efektif dalam membunuh kuman dan bakteria berbanding mencuci tangan menggunakan air dan sabun.
Menurut garis panduan daripada Food and Drug Administration (FDA) setiap kandungan produk hand sanitizer yang dipasarkan mestilah mengandungi ethyl alcohol (ethanol), isopropyl alcohol (isopropanol) atau benzalkonium klorida sebagai bahan utama.[1]
Selain itu, terdapat juga hand sanitizer yang menggunakan bahan selain daripada alkohol untuk membunuh mikroorganisma dan bakteria seperti povidone-iodine atau triclosan.
Sukatan yang digunakan mengikut jenis bahan yang diletakkan di dalam hand sanitize (pencuci tangan). Mengikut World Health Organization (WHO) menetapkan garis panduan dengan menyatakan bahan kimia yang digunakan di dalam 10 liter hand sanitizer mestilah mengandungi 8333 ml daripada 96% ethanol, 417 daripada 3% hydrogen peroxide dan145 daripada 98% glycerol atau 7515 ml daripada 99.8% isopropyl alcohol, 417 ml daripada 3% hydrogen peroxide dan 145% daripada 98% glycerol. [2]
Menuru jumhur ulama, alkohol merupakan najis kerana ia termasuk di dalam cecair yang memabukkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/183-184). Ini seperti hadis yang diriwayat oleh Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap arak adalah haram.” Riwayat Muslim (2003)
Selain itu, Prof. Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari menyebut di dalam kitabnya menyatakan para ulama berselisih pandangan tentang sama ada arak najis atau tidak. Pada dasarnya, ulama bersepakat tentang arak adalah najis, tetapi mereka berselisih tentang sifat kenajisannya. Segolongan ulama berpendapat arak merupakan najis dari segi ainnya. Manakala menurut pendapat yang lain arak tidak najis dari segi ainnya. Sebaliknya najis dari segi maknawi iaitu tidak boleh diminum kerana ia merupakan sesuatu yang kotor sperti dadah dan seumpamanya. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa, hlm. 598)
Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (ms. 74) juga menyatakan: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun.
Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembut dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal. Tapai halal dimakan.
Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Begitu juga boleh rujuk artikel di laman web PMWP yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-185: MENGGUNAKAN ALKOHOL SWAB DAN MINYAK WANGI BERALKOHOL untuk maklumat lebih lanjut.
Kemunculan penularan virus Covid-19 telah melanda negara kita, oleh itu perlaksanaan menjaga kebersihan merupakan faktor utama bagi mengurangkan risiko dalam jangkitan virus ini. Justeru, timbul persoalan berkenaan dengan penggunaan hand sanitizer (pencuci tangan) semasa melakukan solat. Adakah ia dikira sebagai najis kerana kandungan alkohol di dalamnya?
Berbalik kepada persoalan yang diajukan dan pendapat ulama yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa hand sanitizer (pencuci tangan) adalah tidak najis dan boleh digunakannya ketika hendak melakukan sembahyang serta tidak dikira menanggung najis. Ini jelas seperti yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa fatwa Majlis Kebangsaan iaitu ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.
Wallahua’lam
S.S. Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan Diterbitkan : 1 Mac 2020
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Bahagian kaki Muslimah adalah antara yang mesti ditutup ketika solat. Namun untuk tujuan ini ada juga yang mengenakan stokin yang nipis hingga menampakkan warna kulit.
Timbul persoalan meskipun ditutup tapi adakah sah solat kerana masih menampakkan warna kulit. Berikut adalah jawapan daripada Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri
Antara syarat-syarat sah solat ialah menutup aurat. Ertinya, jika seseorang, sama ada lelaki atau perempuan, bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula. Aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafie.
Mereka berdalilkan hadis Nabi riwayat Aisyah R.Anha:
Maksudnya: “Allah tidak menerima solat orang perempuan yang mengalami haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).”
Al-Tirmidzi berkata, “Hadis Aisyah ialah hadis hasan dan diamalkan (sebagai hujah) di sisi ahli ilmu.” Al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai “ha’id” itu ialah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki.
Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat ialah, seperti kata Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab (125/1), “dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.”
Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “(penutupan aurat itu) dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit (yang boleh dilihat) dalam majlis al-takhotub (sebuah majlis percakapan).”
Setelah meneliti keterangan dan fakta di atas, kami cenderung untuk menyatakan seperti berikut:
Wajib menutup tapak kaki ketika solat bagi wanita dalam mazhab al-Syafie, dan ia merupakan syarat sah solat. Pendapat yang lemah dalam mazhab Syafie dan salah satu daripada pendapat dalam mazhab Hanafi, bahawa tapak kaki bukan aurat ketika solat. Mazhab Maliki mengkategorikan tapak kaki sebagai aurat ringan yang tidak memudaratkan solat apabila terdedah. Rujuk Syarh Yaqut al-Nafis (hlm.143-144)
Memakai pakaian nipis untuk menutup aurat adalah tidak memadai untuk mendapatkan solat yang sah.
Ukuran pakaian nipis dan tebal itu terdapat khilaf dalam ulama Syafieyyah. Kami cenderung kepada tarjihan Syeikh Ibn Ajil bahawa memadai jika pakaian itu tidak menampakkan warna kulit dalam jarak majlis al-takhatub, atau kira-kira 1.5 meter antara dua orang yang bercakap.
Namun pendapat muktamad seperti yang disebut oleh Syeikh Abu Makhramah bahawa tiada dabit majlis al-takhatub, melainkan dengan pandangan terlalu dekat dengan pakaian, adalah pendapat yang lebih berhati-hati.
Justeru, stoking wanita yang kelihatan nipis tetapi tidak boleh dilihat warna kulitnya, dan tidak boleh dibezakan warna kulit hitam atau putihnya, dalam jarak kira-kira 1.5 meter, adalah boleh dipakai oleh wanita semasa solat.
Sunat untuk memakai stoking yang lebih tebal, atau melabuhkan telekung, untuk keluar daripada khilaf dan mengelakkan fitnah.
Wallahua’lam.
Sumber kredit: FB: Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam hidup kita hanya ada 24 jam. Ada waktu di khususkan untuk solat iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Namun tahukah dalam ruang setiap waktu itu ada dilarang kita mengerjakan ibadah solat ini.
Dikongsi fb Ustaz Azhar Idrus, penceramah ini berkongsi waktu yang dilarang solat padanya.
Hadith Musnad Imam Syafie.
Ringkasan Dan Terjemahan Serta Sedikit Keterangan.
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الصَّلاةِ بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ، وَعَنِ الصَّلاةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
Ertinya : “Sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah melarang dari solat selepas asar sehingga terbenam matahari dan dari solat selepas subuh sehingga terbit matahari.”
Hadith ini telah dikeluarkan juga oleh Imam Malik dan Muslim.
Dan telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
لا يَتَحَرَّى أَحَدُكُمْ فَيُصَلِّيَ عِنْدَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَلا عِنْدَ غُرُوبِهَا
Artinya : “Janganlah salah seorang kamu sengaja mengerjakan solat ketika terbit matahari dan jangan ketika tenggelamnya.”
Hadith ini dikeluarkan juga oleh Imam Malik dan Bukhari dan Muslim dan An-Nasaie. Dan telah diriwayatkan daripada Abdullah As-Sonabihi sungguhnya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda :
Ertinya : “Bahawasanya matahari itu terbit ia dan menyertainya oleh tanduk syaitan. Maka apabila matahari telah terangkat ia pun meninggalkannya. Kemudian apabila matahari telah berada di tengah langit maka datang ia menyertainya dan apabila matahari telah tergelincir maka ditinggalkannya. Kemudian apabila matahari hampir tenggelam maka datang ia menyertainya dan apabila matahari telah pun habis tenggelam maka ditinggalkannya. Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah melarang dari solat pada sekelian waktu-waktu ini.”
Hadith ini telah dikeluarkan juga olih Imam Malik dan An-Nasaie.
Dan telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. :
Artinya : “Bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah melarang dari solat ditengah hari sehingga tergelincir matahari kecuali pada hari jumaat.”
Hadith ini dikeluarkan juga olih Imam Abu Daud dan Al-Baihaqi dan Ibnu Abdi Al-Barri.
KETERANGAN
Hadith-hadith ini datang pada menerangkan waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat padanya.
Bermula maksud larangan solat selepas asar itu ialah selepas seseorang itu menunaikan solat asar dan selepas subuh itu ialah selepas seseorang itu telah menunaikan solat subuh. Jika seorang itu belum menunaikan solat asar dan solat subuh maka tidak ada larangan ke atasnya.
Dan ada diriwayatkan daripada Uqbah bin ‘Amir r.a. beliau berkata :
Artinya : “Tiga waktu adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam melarang kami menunaikan solat padanya atau kami menguburkan padanya orang-orang yang mati dari kalangan kami yaitu apabila telah terbitlah matahari sehingga naik tinggi dan ketika berdirilah unta kerana kepanasan (yakni ketika istiwa’) sehingga condonglah matahari dan ketika masuk matahari hendak tenggelam sehingga selesai tenggelam.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah dan An-Nasaie dan Al-Baihaqi dan Ad-Darimi)
Dan maskud waktu unta berdiri kerana kepanasan ketika istiwa’ itu ialah pada waktu tersebut pasir menjadi sangat panas maka unta yang sedang duduk di atas pasir ketika itu akan bangun mengelakkan dari panasnya pasir tersebut.
Berkata Imam Ad-Damiri :
فـ (الظهيرة): شدة الحر، و (قائمها): البعير يكون باركًا فيقوم من شدة حر الأرض
Artinya : “Maka zahirah itu maknanya sangat panas dan yang berdiri itu ialah unta bangun dari kerana sangat panasnya bumi ketika itu.” (Kitab An-Najm Al-Wahhaj).
Maka dapat diketahui dari hadith-hadith ini bahawa sekelian waktu yang dilarang padanya solat itu ialah lima waktu.
Artinya : “Lima waktu tidak dilakukan solat padanya melainkan solat yang ada sebab baginya yaitu selepas solat subuh hingga terbit matahari dan ketika matahari sedang terbit sehingga sempurna tinggi kadar segalah dan ketika istiwa’ hingga gelincir matahari dan selepas solat asar hingga tenggelam matahari dan ketika sedang tenggelam matahari.” (kitab Kifayatul Akhyar)
TANDUK SYAITAN
Ulamak telah berbeda pendapat pada makna tanduk syaitan pada hadith Abdullah As-Sonabihi itu. Berkata setengah ulamak maknanya ialah syaitan menyertai bagi matahari pada sekelian waktu ini. Dan berkata setengah yang lain maknanya ialah syaitan menjadi kuat pada waktu-waktu tersebut. Dan kata setengah yang lain sebahagian orang-orang kafir menyembah matahari pada ketika ini.
Dan berkata setengah yang lain ia adalah sindiran yang bermaksud orang yang melambatkan solat asar sehingga dekat terbenam matahari dan solat subuh sehingga terbit matahari telah diperdaya olih syaitan.
Dan kata setengah yang lain adalah syaitan itu apabila hendak terbit matahari atau hendak tenggelam maka dia duduk ditengahnya hingga jadilah kedudukan matahari di tengah antara dua tanduknya lalu orang-orang yang menyembah mathari itu sebenarnya menyembah syaitan.
MATAHARI DI TENGAH LANGIT
Bermula maksud matahari berada di tengah langit itu ialah waktu tenghari di mana matahari betul-betul berada di atas kepala yakni sama jaraknya dari arah timur dan arah barat yang disebut dengan istiwa’ artinya sama maka apabila telah tergelincir yakni bergerak matahari ke arah barat sedikit yang disebut sebagai zawal maka hilanglah waktu larangan tersebut dan ialah bermula waktu zuhur.
SEGALA WAKTU YANG DILARANG SOLAT
Telah berkata Imam Ibnu Al-Atsir :
الذي ذهب إليه الشافعي: أن الأوقات المنهي عن الصلاة فيها خمسة: ثلاثة متعلقة بالوقت وهي الصلاة عند طلوع الشمس حتى ترتفع، وعند الاستواء حتى تزول، وعند الغروب حتى تغرب، واثنان متعلقان بالفعل وهما: الصلاة بعد صلاة الصبح إلى طلوع الشمس، وبعد العصر إلى الغروب، وهذه الأوقات لا تجوز الصلاة فيها عنده، إلا أن تكون صلاة لها سبب، كقضاء فرض، أو صلاة جنازة، أو سجود قرآن، أو إدراك جماعة أو نذر.
Artinya : “Bermula yang berjalan kepadanya olih Imam Syafie bahwasanya sekelian waktu yang dilarang dari mengerjakan solat padanya itu ada lima yaitu tiga waktu yang berkait dengan masa yaitu solat ketika matahari sedang terbit sehinggalah tinggi matahari. Dan solat ketika matahari berada ditengah langit sehinggalah matahari tergelincir yakni condong ke arah barat. Dan ketika matahari sedang terbenam sehingga tenggelam matahari. Dan dua lagi waktu itu berkait dengan perbuatan yaitu solat selepas menunaikan solat subuh sehingga terbit matahari dan selepas menunaikan solat asar sehingga waktu maghrib yakni tenggelam matahari. Dan sekelian waktu-waktu ini tidak harus solat padanya di sisi beliau kecuali bahawa adalah solat itu mempunyai sebab seperti solat qadha atau solat jenazah atau sujud sajadah atau mendapatkan jemaah atau solat nazar.” (Kitab As-Syafi Syarah Musnad Imam As-Syafie).
Artinya : “Bermula dilarang solat yang tiada mempunyai sebab baginya selepas menunaikan solat subuh sampailah terbit matahari dan selepas menunaikan solat asar sampai tenggelam matahari dan ketika matahari sedang terbit sampai naik tinggi matahari dan ketika matahari ditengah langit melainkan hari jumaat sehingga matahari telah tergelincir dan ketika kekuningan waktu matahari hendak tenggelam sehingga sempurna tenggelamnya. Adapun solat yang ada baginya sebab yang terdahulu seperti solat nazar dan qadha yang luput maka tidak diharamkan.” (Kitab Matan Zubad)
Dan hikmah dilarang solat pada waktu tersebut ialah suapa merehatkan diri supaya kuat ia pada masa yang dituntut padanya mengerjakan solat.
Artinya : “Sungguhnya larangan Nabi sollallahu alaihi wasallam dari mengerjakan solat selepas solat subuh ialah supaya lebih kuat bagi mereka itu atas menunaikan solat dhuha dan selepas asar pula supaya lebih kuat bagi mereka itu atas menunaikan solat malam dan ketika tengahari ialah kerana tidur dan berehat (sebelum zuhur).” (Kitab Al-Hawi Al-Kabir)
LARANGAN MAKRUH ATAU HARAM & PENGECUALIAN HARI JUMAAT
Sungguhnya para fuqahak telah berebda pendapat pada hukum larangan ini pada dua pendapat yaitu larangan haram dan larangan makruh.
Telah menyebut olih Dr Wahbah Az-Zuhaili :
وقال الشافعية : تكره صلاة النافلة تحريماً على المعتمد في الأوقات الثلاثة، وتنزيهاً في الوقتين الآخرين. ولا تنعقد الصلاة في الحالتين؛ لأن النهي إذا رجع لذات العبادة أو لازمها اقتضى الفساد، سواء أكان للتحريم أم للتنزيه. ويأثم الفاعل في الحالتين أيضاً؛ لأن الكراهة التنزيهية وإن كانت لا تقتضي الإثم عموماً، لكنها في هذه الحالة يأثم بها المصلي، بسبب التلبس بعبادة فاسدة. ويعزر من صلى في الأوقات المنهي عنها. واستثنى الشافعية حالات لا كراهة فيها وهي ما يأتي: يوم الجمعة: لا تكره الصلاة عند الاستواء يوم الجمعة، لاستثنائه في خبر البيهقي عن أبي سعيد الخدري وأبي هريرة قالا: كان رسول الله صلّى الله عليه وسلم ينهى عن الصلاة نصف النهار إلا يوم الجمعة» وخبر أبي داود عن أبي قتادة نحوه، ولفظه: وكره النبي صلّى الله عليه وسلم الصلاة نصف النهار إلا يوم الجمعة
Artinya : “Dan telah berkata olih ulamak-ulamak mazhab Syafie solat sunat dihukumkan dengan makruh tahrim atas pendapat yang muktamad pada tiga waktu yaitu ketika matahari sedang terbit dan ketika matahari di atas kepala dan ketika matahari sedang tenggelam. Dan makruh tanzih pada dua waktu lagi yaitu selepas solat asar dan selepas solat subuh. Dan tidak terjadi sembahyang yang dikerjakan pada kedua keadaan tersebut kerana larangan itu apabila kembali kepada zat ibadah atau melaziminya menghendaki bagi rosaknya ibadah samada larangan itu larangan haram atau larangan makruh dan berdosalah pelakunya pada kedua keadaan tadi kerana sungguhnya sekalipun makruh tanzih itu pada umumnya tidak berdosa akan tetapi pada keadaan ini berdosa sebabnya olih orang yang sembahyang itu dengan sebab melakukan ibadah yang rosak dan ditakzirkan orang yang sengaja sembahyang pada sekelian waktu yang dilarang daripadanya itu.
Dan ulamak-ulamak mazhab Syafi mengecualikan beberapa keadaan yang tidak dimakruhkan padanya yaitu pada hari jumaat maka tidak dimakruhkan sembahyang ketika istiwa’ kerana ada pengecualaiannya dalam hadith riwayat Al-Baihaqi dari Abu Said Al-Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a. : Adalah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam melarang solat pada tengahari melainkan pada hari jumaat dan hadith Abu Daud daripada Abi Qatadah r.a. yang sepertinya dan lafaznya ialah : Telah memakruhkan olih Nabi sollallahu alaihi wasallam solat pada tengahari melainkan pada hari jumaat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Imam Nawawi berkata : Telah berkata Ashab kami pada bawasanya larangan pada sekelian waktu ini adakah ia makruh tanzih atau haram atas dua pendapat. Salah satunya ialah makruh tanzih maksudnya makruh yang tidak berdosa jika dikerjakannya. Dan dengan makruh tanzih ini telah memutuskan olih satu jemaah dimana setengah dari mereka itu ialah Imam Al-Bandaniji.
Dan pendapat yang keduanya yaitulah pendapat yang paling sahih hukumnya makruh tahrim maknanya makruh yang diharamkan kerana sabitnya beberapa hadith pada melarangnya dan asal bagi larangan itu ialah menunjukkan haram. Dan sungguhnya telah menerangkan dengan haramnya olih Imam Al-Mawardi pada kitabnya Al-Iqna’ dan pengarang kitab Az-Zakhoir dan lain dari keduanya.” (Kitab Al-Majmu’).
Dan setengah fuqahak berkata yang berdosa mengerjakan solat pada sekelian waktu yang dilarang itu ialah di sisi mereka yang mengatakan hukumnya makruh tahrim. Ada pun di sisi mereka yang mengatakan makruh tanzih sahaja maka tidaklah berdosa jika dikerjakan solat padanya.
Berkata Syeikh Abu Bakr Ad-Dimyathi :
ويأثم أيضا من حيث إيقاعها في وقت الكراهة، على القول بأن الكراهة للتحريم، بخلافه على القول بأنها للتنزيه Artinya : “Dan berdosa juga dari pihak mengerjakan solat itu pada waktu yang yang dilarang atas pendapat yang mengatakan makruh tahrim dengan menyalahi atas pendapat yang mengatakan larangan itu hanya makruh tanzih.” (Kitab I’anah At-Talibin)
SAH ATAU TIDAK SOLAT PADA WAKTU YANG DILARANG?
Dan begitu juga ada dua pendapat pada siapa yang sengaja melakukan solat pada waktu-waktu yang dilarang ini adakah sah atau tidak sah.
Maka pendapat yang paling sahih mengatakan tidak sah dan pendapat yang lainnya mengatakan sah.
Artinya : “Jikalau seorang memulakan solat yang dimakruhkan pada sekelian waktu yang dilarang ini maka pada sah atau tidaknya ada dua pendapat telah menyebutnya olih ulamak-ulamak Khurasan yang paling sahihnya ialah solat itu tidak terjadi yakni tidak sah sama seperti puasa pada hari raya. Dan pendapat yang kedua mengatakan sah sama seperti solat pada kandang unta dan dalam bilik air dan kerana sungguhnya waktu tersebut menerima ia bagi solat pada umumnya bersalahan dengan hari raya (pada masalah berpuasa).” (Kitab Syarah Al-Muhazzab) wallahua’lam ustaz azhar idrus
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hong Leong Islamic Bank memperkenalkan halatuju baharu berasaskan prinsip Syariah, memfokuskan pengurusan kekayaan holistik dan nilai berteraskan amanah. Ketahui lima tonggak utama dan inisiatif terkini HLISB.