Sebagai seorang wanita kita memang berhak memilih calon suami yang bukan saja baik budi pekertinya, menjaga solat dan menghormati ibu bapa.
Tetapi juga ada beberapa kriteria atau sikap lain yang perlu dititikberatkan kerana akan memimpin diri kita hingga ke jannah.
Justeru, dalam mencari Imam terbaik, kita juga perlu melihat faktor lain yang tidak boleh dipandang sepi dalam memilih lelaki yang akan jadi peneman tidur kita.
Seperti perkongsian lelaki ini Amir Syahir di laman sosial Facebook yang memberitahu jika seseorang wanita itu menemui lelaki yang ada 7 sifat ini, pastikan jangan dilepaskan sebaliknya dia adalah pilihan tepat yang tidak wajar kita lepaskan.
Gambar sekadar hiasan.
Jangan Lepaskan Lelaki Yang Ada 7 Perkara Ini **************************************************
Edisi: Pengurusan Kewangan
Untuk mencari calon bakal imam dan teman menuju ke jannah, faktor power menguruskan kewangan sangat penting di era yang serba serbi mencabar ini.
Tak power sangat pun tak apa lah. Janji tahu uruskan kewangan. Ini tidak, gaji masuk hari ini tengah bulan dah makan megi. Akhir bulan duk pinjam duit kawan. Pastu buat-buat lupa nak bayar balik.
Selain pegangan agama yang mantap serta iman di dada yang padu, korang jangan lepaskan lelaki yang ada 7 ciri di bawah. Antaranya,
***
1. Tidak Terlalu Agungkan Kereta
Cukuplah kereta sebagai pengangkutan yang boleh ke sana sini. Tidak minat modified kereta. Yang selalu duk pasang spoiler, tukar sportrim, tukar tayar kereta jadi cacat terkeluar ni dompet dia boleh nipis. Si dia tak suka bazirkan duit untuk perkara yang tidak penting.
Ads
2. Tidak Minat Dengan Pakaian Dan Barang Berjenama
Pakai baju bundle pun takde hal. Tak pentingkan jenama je. Asalkan berkualiti dan boleh dipakai. Ada orang, tak pakai baju biasa-biasa. Alergik katanya. Mesti kena ada jenama.
3. Tidak Merokok
Kalau kesihatan dia pun dia jaga, hati awak apatah lagi. Cewahhh. Mesti dia jaga baik punya. Daripada duk bakar duit je, baik dia menyimpan duit untuk masa depan korang kan.
4. Tidak Tergila-gilakan Gajet Canggih
Telefon pintar baru menjadi idaman. DSLR, Go Pro semua ada. Padahal duit dalam bank sedang menangis dan hutang kad kredit tertunggak. Tak payah nak ikut arus peredaran zaman sangat.
5. Tidak Suka Lepak Kedai Hipster
Lepak kedai biasa saja untuk berjimat. Ini tidak, tiap minggu up gambar lepak kedai kopi mahal tapi marah-marah PTPTN menipu bagai. Sekali sekala tak salah pun kalau nak lepak kedai hipster. Yang salahnya kalau tiap-tiap minggu.
Ads
6. Banyak Membaca Buku Tentang Pengurusan Kewangan Dan Hartanah
Dia banyak membaca buku pasal hartanah dan pengurusan kewangan. Bukan duk baca buku tentang kereta mahal dan motosikal besar je manjang. Kalau duk baca Al-Quran suruh dia masuk minang laju-laju.
7. Ada Pelaburan Terjamin
Dia mempunyai pelaburan yang terjamin seperti melabur di ASB atau Tabung Haji. Dah ada rumah sendiri tu kira bonus dah. Dah ada simpanan untuk majlis kahwin nanti. Tidak gilakan Skim Cepat Kaya sebab nak pakai kereta Audi cepat. Tak ada niat nak buat pinjaman peribadi untuk kahwin nanti.
***
Ads
Kau kaum lelaki ada ciri ni tak?. Kalau ada baguslah. Boleh ubah ke arah kebaikan.
Korang tengok timeline FB nya. Kalau selalu buat status maki, marah-marah orang tak tentu pasal bahaya sangat tu.
Jika selalu duk up gambar tentang kereta idaman. Kereta honda Civic misalnya. Memang dia jenis gilakan kereta. Mesti akan bercinta dengan hutang kereta nanti.
Manusia tidak sempurna. Mungkin dia tak memiliki kesemua ciri-ciri di atas. Kalau ada beberapa ciri di atas pun dah dikira okey. Yang lain boleh diperbaiki.
Memilih calon suami yang bebas hutang jahat amatlah penting. Nanti hutang dia bersepah, kau pulak kena tanggung.
Kisah silam dia berhutang sana sini nanti kau juga jadi mangsa. Kau pulak kena buat pembiayaan peribadi untuk langsaikan hutang dia. Kah!
SHARE | TAG Pakwe Kau Yang Tersayang.
[ASY]
#AmirSyahir #NotaKewanganASY
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hari ini merupakan hari ke 23 umat Islam berpuasa. Bermakna kurang dari beberapa hari lagi umat Islam akan meninggalkan Ramadhan, bulan penuh keberkatan, bulan penuh kemuliaan dan bulan penuh keampunan.
Mungkin bagi yang tidak merasai “manisnya” Ramadhan akan mula memburu baju raya, kuih raya dan sebagainya dan tidak merasakan pentingnya memburu lailatulqadar (malam 1000 bulan) yang Allah hanya beri kepada umat akhir zaman ini kerana usia kita pendek, sekitar 60-70 tahun sahaja, tidak seperti umat terdahulu yang usia mereka lama. Kenapa malam lailatulqadar sangat penting dalam kehidupan umat Islam dan apa kelebihannya jika dapat bertemunya? Dipetik dari pejabat Mutfi Wilayah Persekutuan yang pernah ditulis oleh Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, diceritakan kelebihan malam lailatulqadar ini.
Lailatulqadar…Carilah
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, kita telah melalui fasa puasa hampir 2/3. Justeru yang berbakinya sudah hampir kepada akhir Ramadan yang disangkakan terdapat padanya malam al-Qadar. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini mengemukakan tajuk “Lailatulqadar…Carilah”.
Semoga kita dapat mengisi 10 malam terakhir dengan acara ibadat dan InsyaAllah dengannya kita memperolehi malam Lailatulqadar.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”(Surah al-Qadr: 1-3)
Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:
Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain. Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Lihat al-Mughni 3/178. Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:
Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.
Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.
Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.
Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.” Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi. Kemuliaan apa lagi yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.
Tiada lagi keagungan yang lebih tinggi dari suatu malam yang menjadi saat bersinarnya cahaya pengetahuan Ilahi ke hati Rasulullah SAW sebagai bukti rahmat kepada hamba-hambaNya. Seterusnya Nabi yang memberi khabar gembira dan buruk serta memimpin manusia ke jalan yang lurus. Baginda mendidik umat yang akhirnya dapat membebaskan diri sendiri dari belenggu perhambaan para pemerintah yang zalim. Baginda berusaha menyatukan perpecahan yang berlaku serta menyatukan mereka yang setelah sekian lama hidup berkelompok dan berpuak.
Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik. Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahala-Nya.
Maksudnya:“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr: 4-5)
Ibn Kathir berkata: Zahir ayat menunjukkan bahawa malam Qadar lebih afdal daripada malam Jumaat. Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan malam Jumaat lebih afdal. Inilah pendapat kebanyakan ulama Hanbali seperti Abil Hasan al-Jazari, Abdullah bin Battah, Abu Hafs al-Barmaki dan ramai lagi. Al-Mawardi menafsirkan maksud roh dengan menukilkan 4 pendapat:
Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi SAW bertujuan menyampaikan wahyu. Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang mengandungi kebaikan kepada mereka.
Turunnya para malaikat ke bumi adalah salah satu urusan Allah SWT. Kita tidak perlu membahaskan tentang bagaimana cara mereka turun. Cukuplah kita meyakini perkara ini dan tidak perlu kita berusaha ingin tahu bagaimana selok-belok rahsia itu. Apa yang diketahui oleh orang yang berilmu hanyalah sebahagian kecil sahaja dari alam wujud ini. Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.
Kelebihan Malam Qadar
Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:
Waktu Atau Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?
Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.
Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”
Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”
Adapun mereka yang menentukan malam Lailatulqadar ada banyak pendapat, antaranya:
Pertama:
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:
Kedua:
Pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”
Ketiga: Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.” Riwayat Ibn Nasr
Rahsia Menyembunyikan Lailatulqadar
Antara rahsia menyembunyikan Lailatulqadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatulqadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatulqadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya. Begitulah seterusnya. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita Lailatulqadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.
Alamat Malam Qadar
Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan. Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:
Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya? Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya. Lihat Fath al-Bari 4/268 dan al-Majmu’ 6/461. Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi: “Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”
Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya.” Firman Allah SWT:
Maksudnya:Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”(Surah Yusuf: 5)
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa mulia dan agungnya malam Lailatulqadar sehingga melebihi daripada 1000 bulan. Justeru, hendaklah kita lakukan amalan ibadat dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang pengabaian. Isikanlah dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa. Terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.
Kami nyatakan di sini bagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat:
Maksudnya:“Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya)” Riwayat Muslim: 2015
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain”
Riwayat Ahmad
أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك
Maksudnya:“Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 160). Paling kurang pastikan solat fardhu kita dilakukan secara berjemaah.
يصلي العشاء في جماعة و يعزم على أن يصلي الصبح في جماعة و قال مالك في الموطأ بلغني أن ابن المسيب قال : من شهد ليلة القدر ـ يعني في جماعة فقد أخذ بحظه منها و كذا قال الشافعي في القديم : من شهد العشاء و الصبح ليلة القدر فقد أخذ بحظه منها Maksudnya: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159). Semoga kita semua meraih malam Lailatulqadar. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tiada apa yang lebih menyedihkan apabila kehilangan tiga ahli keluarga serentak yang mana sehingga kini nasib mereka tidak diketahui sama ada masih hidup atau tidak dalam tragedi banjir yang melanda 9 kampung di Baling semalam.
Sehingga berita ini dilaporkan, tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil empat bulan dipercayai hilang selepas rumah didiami mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi, Kupang.
Menurut suami Nurul Hanis, Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan sepatutnya pulang hari ini bagi membawa isteri melakukan pemeriksaan kandungan.
Katanya, dia menerima panggilan daripada kakaknya mengenai kejadian banjir itu dan terus bergegas pulang, namun apabila sampai rumah yang didiami isterinya itu hilang dibawa arus deras.
“Saya dan isteri tinggal di Pulau Pinang, namun isteri minta balik ke kampung dan tinggal dengan emak saya untuk jaga dia sebab emak kena strok,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.
Khairul Ashraf berkata kali terakhir dia bertemu dengan isterinya pada minggu lepas dan isterinya sempat meninggalkan pesan supaya menjaga dirinya baik-baik. “Sebelum kejadian kami juga sempat berbalas mesej dan dia meminta saya membelikan dia makanan dan macam-macam benda lain, tapi bila kejadian ini berlaku tak sempat saya nak tunaikan permintaan dia,” katanya.
Khairul Ashraf berharap isterinya dan ahli keluarganya yang lain dapat ditemukan dengan selamat, namun dia reda dengan segala ketentuan.
Dalam pada itu, bapanya Abd Rahman Said, 71, berkata ketiga-tiga mangsa yang hilang adalah ahli keluarganya iaitu isterinya Salmah Mat Akib, 53, menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23, dan anak tirinya Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.
Beliau berkata ketika kejadian pada kira-kira 4 petang, menantunya itu sempat menelefon memberitahu keadaan air yang semakin naik di kawasan rumah.
“Ketika kejadian saya tidak berada di rumah dan bila menantu telefon saya beritahu dia saya dalam perjalanan balik. Tapi dalam perjalanan balik itu banyak halangan di jalan raya. Jadi saya lambat sampai ke rumah.
“Bila sampai saya lihat jambatan tidak ada sebab sudah dihanyut arus, saya terus parkir kereta dan berlari ke rumah tapi saya tengok rumah saya pun sudah tidak ada,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini hari ini.
Beliau berkata isterinya yang terlantar kerana strok ditemani menantunya yang sedang mengandung anak sulung serta anak tirinya di rumah itu tidak sempat menyelamatkan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.
Tambah beliau, kejadian banjir itu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu yang menyebabkan rumahnya musnah 100 peratus dan dihanyutkan arus deras. “Setakat ini saya belum terima apa-apa berita mengenai nasib mereka, tapi saya berharap mudah-mudahan mereka selamat. Tapi jika ditemukan tidak selamat sekalipun saya reda,” katanya sambil mengesatkan air mata.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat mengesahkan polis menerima laporan mengenai kehilangan tiga individu itu dan menggerakkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan kesemua mangsa, namun setakat 2 pagi tadi pihaknya belum menjumpai sebarang petunjuk.
“Pada malam ini (tadi) operasi tidak dapat diteruskan memandangkan tempat itu gelap, ada takungan air dan keadaan berlumpur. Pada petang tadi (semalam) pasukan kita sudah meninjau lokasi kejadian dan mendapati rumah tersebut telah musnah,” katanya ketika ditemui di PPS sama.
Beliau berkata operasi mencari kesemua mangsa diteruskan semula pada 7 pagi ini dan akan memperluaskan kawasan pencarian dengan pembabitan anggota daripada pelbagai agensi berkaitan.
Dalam perkembangan sama, Shamsudin menafikan dakwaan yang mengatakan seorang mangsa ditemukan terkorban dalam kejadian banjir itu seperti yang tular dalam media sosial.
Menurutnya, setakat ini dua mangsa disahkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu membabitkan seorang lelaki dan seorang perempuan yang telah dibawa dan menerima rawatan di Hospital Baling.
“Mereka yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an mengalami cedera ringan dan dalam keadaan stabil dan selamat. Saya berharap orang ramai tidak menyebarkan perkara yang tidak betul berkenaan kejadian ini,” katanya. Sumber : Harian Metro . Gambar : BERNAMA
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Bab poligami memang sensitif bagi wanita, namun ia amat digemari lelaki. Isu ini melibatkan soal hati. Walaupun Islam mengenakan syarat ketat mengharuskan poligami, namun wanita tidak yakin akan jaminan yang suami mampu berlaku adil setelah berkahwin lain.
Tidak hairanlah jika ada bakal isteri meletakkan syarat tidak mahu suami berpoligami. Kita ikuti penjelasan panjang Mufti Wilayah Persekutuan akan hal ini.
Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami?
Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami.
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan.
Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan.
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu.
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah.
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan.
Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie.
Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga: الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi.
Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
“Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya” Sahih Muslim (1408)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya.
Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami contohnya poligami ini, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh.
Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali.
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis: Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya.
Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah r.a:
Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai. Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan). Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif.
Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Silent treatment dalam rumah tangga boleh menjadi penderaan emosi yang merosakkan hubungan suami isteri jika tidak dikawal dengan komunikasi yang sihat.