Apabila kita sudah berkahwin, kedudukan ibu bapa mentua adalah sama dengan ibu bapa kandung. Sebagai menantu, wajib kita melayan mereka dengan baik.
Namun ada sesetengah daripada kita melihat kedudukan ini sebagai satu peluang baik untuk melepaskan tanggungjawab tertentu kepada anak-anak menantu.
Hal ini mungkin juga ketaksuban dengan penyataan “Kalau nak kahwin dengan anaknya, kena lah ‘kawin’ juga dengan keluarganya’. Kita ikuti penjelasan ustaz Syed Shahridzan Ben-Agil tentang masalah menantu yang perlu menanggung nafkah ibu bapa mentua dan membayar hutang ipar duai.
SOALAN: Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya soalan tentang hukum. Ada sorang sahabat ini mak mentua dia suruh dia bayar hutang adik iparnya. Ada yang cakap dia wajib settlekan hutang itu sebab itu arahan mak mentua yang kedudukannya dah macam mak sendiri.
Lagi satu mak mentua adalah salah satu tanggungjawab si menantu untuk menanggung mentua serupa dia wajib tanggung mak bapak sendiri. Betul ke hukumnya macam saya sebutkan ini?
JAWAPAN: Setiap insan mempunyai tanggungjawab masing-masing terhadap keluarga sendiri. Syariat telah membataskan tanggungjawab seseorang ke atas keluarganya dalam memberi nafkah, oleh setiap yang dipertanggungjawabkan oleh syarak wajib dilaksanakan apatah lagi ia melibatkan hak seseorang.
Menurut pembacaan saya yang terhad, setakat ini tiada mana-mana mazhab atau ulama menyatakan bahawa ibu dan bapa mentua merupakan tanggungjawab menantu untuk memberi nafkah. Manakala mazhab Hanafi menspesifikasikan tanggungjawab tanggungan nafkah lebih luas dari 3 mazhab yang lain, namun mentua tidak termasuk di dalam senarai.
Di sini dilampirkan pandangan dari sisi mazhab Syafi’ie iaitu siapa yang diketogarikan sebagai tanggungan nafkah ke atas ahli keluarganya selain daripada isteri.
Sila lihat kenyataan Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari di dalam karangannya ‘Asna al-Matolib’:
Maksudnya: “Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan pecahan keturunan(قرابةبعضية) iaitu FURU'(anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan USUL(bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik samaada lelaki mahupun perempuan, samaada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak”.
Maka jelas di dalam mazhab Syafi’ie seperti apa yang dinyatakan oleh Imam Zakaria al-Ansari bahawa ibu bapa mentua bukan tanggungjawab nafkah bagi seseorang(menantu) apatah lagi ipar duai.
Ini kerana kedua-duanya bukan tergolong dari keluarga punca(darah daging atau punca kelahiran). Oleh itu menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui batas tanggungjawab nafkah masing-masing agar tidak mencabuli hak orang lain.
Dalam hal ini, seorang menantu tidak wajib menanggung ibu bapa mentua tidak seperti kewajipannya menanggung ibu bapa kandungnya yang miskin. Apatah lagi hutang ipar duai bukan lah menjadi kewajipannya bahkan ia membebankan.
Ads
Sedangkan dia ada tanggungan dan kewajipan nafkah yang perlu dilunaskan iaitu anak-anak, isteri dan ibu bapa kandung.
Sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir -radiyallahu ‘anhu- bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda:
ابْدَأْبِنَفْسِكَفَتَصَدَّقْعَلَيْهَا،فَإِنْفَضَلَشَيْءٌفَلِأَهْلِكَ،فَإِنْفَضَلَعَنْأَهْلِكَشَيْءٌفَلِذِيقَرَابَتِكَ Maknanya: “Mulakan dengan diri-mu, maka bersedekah padanya, jika ada lebihan maka untuk ahli keluarga kamu, jika ada lebihan dari perbelanjaan keluarga kamu maka untuk kerabat kamu”. (Hadith riwayat Imam Muslim)
Anak menantu wajib memastikan hak isteri dan anak-anaknya ditunaikan terlebih dahulu.
Jika si menantu melunaskan hutang ipar duainya sehingga menjejaskan hak anak dan isterinya maka tindakannya melunaskan hutang itu adalah haram kerana hak yang sepatutnya tidak diberikan kepada yang berhak.
Oleh itu jika si menantu itu melunaskan hutang atas arahan ibu mentuanya, maka ketaatan itu adalah salah di sisi syarak kerana menjejaskan hak orang lain. Ketaatan tidak sepatutnya dituruti dalam perkara yang mengingkari perintah Allah.
Ads
Sepertimana yang dinyatakan di dalam sepotong hadis bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- yang bersabda:
لاطاعةلبشرفيمعصيةالله،إنماالطاعةفيالمعروف Maksudnya: “Tidak ada ketaatan terhadap manusia dalam urusan maksiat kepada Allah, ketaatan hanya pada perkara yang ma’ruf”. (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Tidak dinafikan bahawa ibu bapa mentua ada hak terhadap menantu, namun hak tersebut tidak boleh disamakan dengan hak ibu bapa kandung terutama bab yang berkaitan dengan nafkah dan hutang piutang.
Malah jika ibu bapa kandung sendiri mengarahkan anaknya menanggung hutang adik beradiknya, maka si anak tidak wajib menuruti perintah ibu bapanya itu.
Hutang adik beradik bukan tanggungjawabnya dan ibu bapa kandung tiada hak untuk menentukan tanggungjawab nafkahnya, malah hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang berhak menentukan.
Jika ibu bapa kandung tiada hak sebegini apatah lagi ibu bapa mertua, ia tidak sewajarnya berlaku.
‘Tak boleh sentuh walaupun berlapik?’ Bila haid, wanita dilarang pegang Al-Quran walaupun tangan berlapik dengan kain atau sarung tangan.
Setiap wanita yang datang bulan bukan hanya tidak boleh solat, malahan ada beberapa perkara lain yang tidak dibenarkan mereka lakukan antaranya memegang kitab suci, Al-Quran.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan merungkaikan isu bolehkah wanita haid pegang al-quran secara berlapik? Ikuti kupasannya.
Soalan:
Adakah terdapat halangan bagi wanita haid memegang al-Quran secara berlapik? Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan:
Wanita haid dilarang memegang mushaf al-Quran walaupun secara berlapik.
Huraian Jawapan:
Mereka yang mengalami hadas haid mahupun nifas haram memegang dan membawa mushaf berdasarkan dalil-dalil berikut:
Firman Allah SWT:
(٧٩) فِي كِتَابٍ مَّكْنُونٍ (٧٨) لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
Maksudnya: “Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, (78) Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci (79) – Surah al-Waqiah (78-79).
Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar:
لا يمسُّ القرآنَ إلَّا طاهرٌ
Maksudnya: “Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci”
Riwayat al-Tabarani
Seterusnya, maksud mushaf ialah nama bagi yang tertulis padanya kalam Allah SWT antara dua kulit.
Hukum wanita memegang mushaf secara berlapik adalah haram berdasarkan pandangan fuqaha mazhab Syafi’i:
“(Haram wanita haid memegang mushaf) walaupun pada tulisan nota kaki, antara garisannya, kertas putih diantaranya, jilid awal dan akhir yang bersambung dengan mushaf. Haram juga menyentuh mushaf walaupun dengan lapik yang tebal.’
Begitu juga, haram menyentuh mushaf secara berlapik dengan kain perca :
مراد بالمصحف : كل ما كتب لدراسة قرآن ولو بعض آية مفهمة، ويحرم مس المصحف ولو بخرقة
“Mushaf ialah sebarang perkataan yang ditulis untuk mempelajari al-Quran walaupun sebahagian ayat yang dapat difahami. Begitu juga diharamkan menyentuhnya walaupun berlapik pada perca kain.
Kesimpulannya, mushaf al-Quran merupakan kitab suci yang terpelihara, maka individu yang mengalami hadas dilarang membawa mahupun memegang mushaf walaupun secara berlapik dengan kain.
‘Ramai ambil ringan bab solat dalam kapal terbang.’ Begini tatacara solat fardu atas pesawat. Sebenarnya walaupun kita dalam keadaan musafir, jangan sesekali tinggalkan solat.
Malah terdapat beberapa keringanan dalam menunaikan solat bila kita berjalan jauh termasuk dapat jamak dan qasarkan solat. Namun bagaimana pula kita nak solat di dalam kapal terbang, mana nak tahu arah kiblat?
Ikuti perkongsian Ustazah Asma’ Harun dan hadam penjelasan tentang cara solat di atas kapal terbang.
Ramai yang tak tahu atau tak nak ambil tahu?
Tatacara solat fardu atas kapal terbang yang ramai orang terlepas pandang.
Sepanjang musafir dari Malaysia ke Turki, kami perlu transit di Jeddah dahulu sebelum sampai ke destinasi misi. Penerbangan yang mengambil masa sekitar 13 jam pastinya ada waktu solat yang perlu kami laksanakan di atas kapal terbang.
Alhamdulillah, syukur di dalam penerbangan Saudia Airlines ini ada disediakan ruang solat yang sangat selesa.
Ramai yang saya perasan mengambil ringan tentang solat sewaktu bermusafir. Lagi-lagi ketika dalam perjalanan yang panjang menaiki kapal terbang. Malah, ada yang meninggalkan solat kerana tidak tahu cara sebenar untuk menunaikannya.
Sahabat, kita WAJIB menunaikan ibadah solat walau dimanapun kita berada.
Tidak ada yang terkecuali daripada menyahut panggilan seruan illahi melainkan mereka yang mati sahaja, bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ajar tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.
Lebih menyedihkan, ramai yang abaikan solat fardu, ada yang tidak berwuduk sebelum solat sedangkan kemudahan air boleh didapati dengan mudah.
Malah, ada yang solat duduk tanpa usaha mencari tempat-tempat kosong luas dibelakang bahagian kapal dan lebih menyedihkan ada yang tidak solat dengan alasan akan qadha’ sesudah sampai.
Firman Allah SWT :
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Di sini saya ingin kongsikan tatacara solat di atas kapal terbang, mudah-mudahan ia bermanfaat semasa kita sedang musafir dalam perjalanan yang panjang. Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.
Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”
Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.
Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.
Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya ialah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat. Namun, jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki beralih arah (terumbang-ambing) maka HARUS bagi dirinya melakukan dan menyempurnakan solat tersebut dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.
Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim menjelaskan dalam kitab Taqrirat as-Sadidah:
Maksudnya:
“Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardhu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”
Keadaan solatnya diperincikan dalam dua keadaan:
a) Jika seseorang dapat mendirikan solat dengan menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud, maka dalam hal ini dia tidak perlu qadha solatnya.
b) Manakala sebaliknya (tidak dapat menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud atau dia solat tidak menghadap ke arah kiblat) maka wajib baginya qadha solat menurut kesepakatan para ulama.”
Abu Bakar Al-Hishni menuturkan di dalam kitabnya Kifayatul Akhyar:
Maksudnya: “Dibolehkan bagi seorang musafir sama ada dengan kenderaan atau berjalan kaki melakukan solat sunat dengan menghadap ke arah tempat tujuannya, di dalam perjalanan yang panjang (yang boleh mengqasar solat) dan di dalam perjalanan yang pendek (yang tidak dibolehkan mengqasar solat) menurut pendapat dalam mazhab (Syafi’e).”
Pendapat di atas bertepatan dengan satu hadis, daripada Jabir bin Abdillah r.a.:
Maksudnya: “Rasulullah SAW solat di atas kenderaannya menghadap ke mana pun kenderaannya itu menghadap. Namun bila Baginda hendak solat fardhu, maka baginda turun dan solat menghadap kiblat.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Kesimpulannya, walau apa jua keadaan sekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan kerana ia merupakan tiang agama dan merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Berdasarkan dalil di atas, WAJIB kita qadha solat semula bagi solat fardhu.
Solat merupakan satu pertalian antara hamba-Nya dengan Tuhan-Nya. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan penciptanya dikira berdosa besar. Apatah lagi mengingkari suruhan-Nya.
Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
(Surah al-Ma’un: Ayat 4-5)
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui waktu solat adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang.
Tuan puan boleh juga bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan, terutamanya berkaitan tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.
Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Oleh itu, jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.
Kemudian, bagi solat Zuhur dan Asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu Zuhur dan dijama’kan dengan waktu Asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu Zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.
Manakala, solat Maghrib dan Isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib.Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isya’, sebagaimana ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isya’ sebagai jama’ ta’khir.
Tuan puan,
Perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa. Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisitif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat. Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.
Penampilan golongan transgender yang jauh berani daripada wanita sejati sering kali menarik perhatian. Dengan pakaian seksi, mendedahkan bahagian tubuh mereka yang nampak seperti wanita sudah tentu mengundang lirikan mata baik kaum lelaki mahupun wanita.
Timbul persoalan apakah hukumnya memandang golongan ini yang berpakaian ‘menjolok mata’? Ikuti penjelasan Ustaz Syed Shahridzan Ben Agil dalam satu perkongsiannya di laman sosial Facebook
Terdapat istilah bahasa Arab yang dikenali sebagai “Amrad” atau disebut “Syab Amrad”. Apakah maksud istilah ini?
Menurut kitab “al-Qamus al-Muhit” maksud “Amrad” ialah lelaki yang tiada misai dan janggut.
Manakala menurut perbahasan fuqaha’, “Amrad” bermakna lelaki yang tiada janggut. Amrad juga termasuk lelaki tanpa misai dan janggut yang mana wajahnya cantik seperti wanita.
Jadi golongan amrad dalam istilah Alam Melayu amat sesuai dikaitkan golongan transjantina.
Apakah hukum melihat wajah dan aurat golongan transjantina? Menurut Mazhab Syafi’ie seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam karangan beliau “Raudah al-Tolibin”
“Lelaki melihat lelaki hukumnya harus pada keseluruhan badan kecuali di antara pusat dan lutut. Tetapi haram melihat lelaki amrad dan selainnya dengan terbitnya rasa ‘teringin’”
Menurut penjelasan Imam Nawawi bahawa haram melihat golongan amrad samaada muka dan juga tubuh mereka dengan ada rasa seronok. Bahkan pengharaman ini tiada khilaf dalam kalangan ulama dari mana-mana mazhab sekali pun.
Perkara ini dinyatakan di dalam “Mausuah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah”: “Para ulama fiqh bersepakat ke atas pengharaman melihat wajah amrad dengan rasa ‘syok’”
Dalam rujukan yang sama dijelaskan juga: Para ulama fiqh bersepakat tentang pengharaman melihat pada amrad dengan tujuan berlazatan dan menikmati keindahannya.
Tiada beza antara amrad yang comel atau tidak. Bahkan telah dinyatakan oleh ulama Mazhab Hanafi dan Syafi’ie bahawa melihat golongan amrad dengan rasa ‘teringin’ lebih besar dosanya daripada melihat wanita kerana ia (amrad) tidak halal sama sekali (untuk golongan lelaki berbanding perempuan)
Kesimpulannya, haram lelaki melihat wajah dan tubuh badan golongan transjantina penuh keteringinan sama ada berwajah cantik atau tidak, apatah lagi wajah dan anggota badan yang mirip dengan wanita.
Bayangkan melihat wajah golongan amrad hukumnya haram apatah lagi melihat tubuh badan atau aurat mereka yang juga mirip kepada bentuk badan wanita.
Bahkan di sisi Syafi’iyyah lebih haram dan besar dosanya melihat golongan ini berbanding wanita kerana amrad sama sekali tidak boleh dinikahi oleh golongan lelaki